Kadar mutaah mengikut kemampuan suami

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sayid Qutub berkata: Kemudian datang pula hukum perempuan yang dicerai sebelum disetubuhi. Ini adalah satu kes baru yang berlainan dari kes-kes talak yang melibatkan perempuan-perempuan yang telah disetubuhi yang telah diterangkan sebelum ini.

Kes ini memang banyak berlaku dan di sini al-Quran akan menerangkan kewajipan dan hak-hak bagi kedua-dua suami isteri itu.

Firman Allah: Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka. Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi Mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan. (Al-Baqarah: 236)

Huraian untuk firman Allah s.w.t untuk ayat: Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin jika kamu menceraikan….. (sehingga ayat) suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya.

Al-Baghawi berkata: Mutaah tidaklah wajib dan perintah dengannya adalah sunat mengiaqkut sebahagian ulama.

Ibn al-Arabi berkata: Timbul perselisihan pendapat tentang menghuraikan maksudnya. Ada yang mengatakan, ia bermaksud: Tidak menjadi kesalahan kepada kamu menceraikan isteri-isteri yang telah ditetapkan mas kahwin kepada mereka sebelum berlakunya persetubuhan, selagi kamu belum menyentuh mereka atau menceraikan isteri yang belum ditetapkan mas kahwin sebelum ditetapkan. Pendapat ini dikatakan oleh al-Tabari, serta dipilih olehnya.

Ada yang mengatakan: Ia bermaksud; tidak menjadi kesalahan jika kamu menceraikan isteri-isteri selagi kamu belum menyentuh dan menetapkan mas kahwin untuk mereka.

Ada pula yang mengatakan, ayat ini masih mempunyai maksud tersembunyi iaitu tidak menjadi kesalahan kepada kamu jika kamu menceraikan isteri-isteri, sama ada kamu telah ditetapkan mas kahwin atau belum menetapkan:

Huruf au (atau) membawa erti wau (dan).

Dalam ayat ini ada pengertian tersembunyi yang perlu ditafsirkan untuk memahami maksud ayat.

Dengan itu huruf au (atau) tetap seperti maksud asalnya. Tetapi berperanan untuk memberikan penghuraian, pembahagian dan penerangan. Ia tidak membawa erti huruf wau (dan).

Sayid Qutub berkata: Kes yang pertama, ialah kes perempuan yang dicerai sebelum disetubuhi dan belum ditetapkan kepadanya bayaran mas kahwin yang tertentu, sedangkan mas kahwin itu merupakan suatu kefarduan.

Oleh itu dalam kes ini wajib di atas suami memberi bayaran saguhati mengikut kemampuannya. Tindakan ini mempunyai nilai kejiwaan di samping ia merupakan semacam bayaran pampasan. Putusnya tali ikatan kahwin sebelum dimulakannya itu menimbulkan perasaan yang pahit di dalam hati perempuan. Ia membuat perceraian dan perpisahan itu sebagai tikaman yang membawa dendam dan permusuhan.

Dengan bayaran saguhati itu boleh menghilangkan suasana yang mendung dan melepaskan tiupan angin bayu yang mesra dan meminta maaf dan menyalutkan talak itu dengan suasana sedih dan dukacita.

Jadi, apa yang berlaku itu merupakan satu percubaan yang gagal bukannya satu pukulan yang memang sengaja ditujukan. Oleh sebab itulah Allah menyuruh mereka memberi bayaran saguhati mengikut pertimbangan yang baik untuk mengekalkan perasaan kemesraan dan memelihara kenangan manis, dan di dalam waktu yang sama Allah tidak mentaklifkan suami dengan pemberian yang di luar kemampuannya.

Oleh itu, suami yang kaya mengikut taraf kekayaannya dan suami yang miskin mengikut batas-batas kemampuannya.

Firman Allah s.w.t, …sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.

Sonhaji menyebut hukum-hukum yang terkandung dalam ayat ini ialah:

* Pertama: Jika seseorang itu mengahwini perempuan, tetapi belum lagi ditetapkan mas kahwinnya, sahlah nikahnya. Kemudian apabila diceraikannya sebelum disentuhnya, wajiblah ia memberi mutaahnya.

* Kedua: Perempuan yang dicerai sesudah disentuh, tiadalah baginya mutaah, tetapi dengan sendirinya ia sudah berhak menuntut sepenuhnya mahar misil.

Adapun mahar misil ini ialah mas kahwinnya yang semisal dengan perempuan itu, iaitu; jika dara mas kahwinnya yang semisal dengan dara, jika janda mas kahwinnya semisal dengan janda. Jika ada kelebihan lain seperti seperti seorang yang terpelajar umpamanya, hendaklah diikuti mengikut tarafnya.

Dalam pada itu, mengikut pendapat al-Syafie yang muktamad – sekalipun isteri telah diberi mahar atau mas kahwinnya, bila diceraikan diwajibkan juga memberikan mutaahnya berdasarkan firman Allah, surah al-Baqarah, ayat 241 yang bermaksud: Perempuan yang diceraikan itu berhak mendapat mutaah dari suaminya secara patut.

lKetiga: Kesimpulan kadar mutaah yang telah ditetapkan oleh ayat ini bergantung kepada keadaan suami, yang kaya mengikut kekayaannya, yang miskin mengikut kadar yang termampu – terserahlah kepada pertimbangan yang adil – samalah kedudukannya dengan kadar memberi nafkah yang telah diwajibkan oleh Allah ke atas para suami terhadap isteri.

Ibn al-Arabi berkata: Hikmah di sebalik ketetapan itu ialah kerana Allah s.w.t menentukan balasan bagi persetubuhan itu ialah mas kahwin yang wajib. Dan balasan bagi perceraian sebelum persetubuhan ialah separuh mas kahwin itu. Ini disebabkan kedudukan isteri yang telah halal disebabkan oleh akad perkahwinan.

Oleh itu, jika suami menceraikannya sebelum menyetubuhinya dan sebelum menetapkan mas kahwin maka Allah s.w.t memastikan kepadanya supaya membayar sagu hati atau mutaah sebagai tandingan bagi pengertian ini. Disebabkan itulah ulama berbeza pendapat berkewajipan membayar mutaah.

Ada yang berkata wajib berdasarkan zahir ayat dan disebabkan pengertian di sebalik hikmah tadi. Walaupun begitu dalam mazhab Maliki, mutaah tidak wajib kerana dua sebab:

* Pertama: Allah s.w.t tidak menentukan kadarnya. Tetapi diserahkan kepada ijtihad manusia yang menetapkannya.

* Kedua: Dalam ayat di atas, Allah menyebut pada akhirnya dengan kalamnya yang bermaksud: Sebagai satu hak kewajipan ke atas orang yang berbuat kebajikan. Ini memberi maksud, kalau ia merupakan pemberian yang wajib, sudah pasti Allah menentukan kewajipannya ke atas semua orang.

- Iktibar Ayat

* Yang dimaksudkan dengan mutaah adalah semua benda yang dapat dimanfaatkan.

* Sifat toleransi dan bertimbang rasa patut dipupuk dalam institusi rumah tangga.

* Kadar pemberian mutaah atau nafkah mengikut keadaan manusia dari segi kaya dan miskinnya dia.

About these ads