KHUTBAH KHAS

HARI RAYA AIDIL ADHA 1428H

(IBADAH HAJI: KONSEP PENYATUAN UMMAH)

(20 DISEMBER 2007 / 10 ZULHIJJAH 1428)

KHUTBAH PERTAMA

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ،

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ،

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَِللهِ الْحَمْدُ.

لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الكَافِرُونَ. لاَ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ، صَدَقَ وَعْدَهُ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ، وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ.

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ شَرَعَ لَنَا الْحَجَّ، وَجَعَلَهُ سَبِيْلاً إِلَى السَّعَادَةِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلِهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، الَّذِيْ بَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَأَدَّى الأَمَانَةَ، وَنَصَحَ الأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِي اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلَّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَذُرِّيَّتِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ أُوْصِيْكُمْ ونَفْسِيْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

MUSLIMIN DAN MSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Bersempena dengan perhimpunan jemaah pada Hari Raya Aidil Adha ini, marilah sama-sama kita mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Yang Maha Esa dengan melaksanakan segala yang dituntut dan menjauhi segala yang dilarang-Nya. Mudah-mudahan dengan ini dapat membuktikan keimanan dan ketaqwaan kita kepada-Nya seterusnya kita akan beroleh kegembiraan di dunia dan di akhirat, Insya-Allah.

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَِللهِ الْحَمْدُ،

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Pada setiap tahun berjuta-juta umat Islam dari pelbagai negara di seluruh dunia, yang berbeza warna kulit, darjat dan pangkat berhimpun dalam satu perhimpunan terbesar umat Islam sebagai melaksanakan perintah agama, di samping memuji dan mengagungkan kebesaran dan keagungan Allah Yang Maha Suci selain dapat berkenal-kenalan, mewujudkan perpaduan dan menyatukan ummah serta dapat mengeratkan hubungan persaudaraan sesama umat Islam.

Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Hajj, ayat 27:


Bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh”.

Apa yang mengkagumkan dan menggembirakan, pada musim haji di tanah suci ini ialah mereka bersepakat dan bersatu melafazkan kalimah talbiah mentauhidkan Allah S.W.T:

“لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ.”

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintahMu. Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu, kami sahut seruanMu. Seungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagiMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu.

Seruan ini memberi makna yang besar kepada seluruh jemaah haji kerana ianya merupakan ikrar yang dilafazkan semata-mata untuk bertawqa kepada Allah S.W.T, mewujudkan persaudaraan dan persamaan di antara umat Islam. Selain itu, ia juga mengeratkan lagi hubungan hamba dengan Tuhan-Nya dan bersiap sedia untuk berkorban memenuhi kehendak Allah S.W.T, memberi inspirasi kepada umat Islam agar mengikut jejak pengorbanan Nabi Ibrahim, dan anaknya Nabi Ismail ( عَلَيْهِمَا السَّلاَم ) serta Nabi Muhammad S.A.W dalam memenuhi tuntuan dan menyampaikan risalah Allah S.W.T. Dan yang terakhir, ikrar ini juga sebagai memperingati jasa Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail ( عَلَيْهِمَا السَّلاَم ) dalam membina semula Kaabah yang telah diasaskan oleh Nabi Adam a.s.

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَِللهِ الْحَمْدُ،

SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH

Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. adalah simbolik yang melahirkan pelbagai nilai yang besar. Pertama: Kita hendakalah mentaati sepenuhnya perintah Allah S.W.T. sehingga kita sanggup mengorbankan apa saja jika Allah S.W.T. menghendakinya. Dan yang kedua: Nabi Ibrahim a.s sangat taat kepada Allah S.W.T, lalu Allah S.W.T. Yang Maha Pemurah memerintahkan seekor kibas disembelih sebagai ganti anaknya

Pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail ( عَلَيْهِمَا السَّلاَم ) dalam menegakkan agama Allah S.W.T di tanah Arab yang kering kontang dan gersang amat menguji keimanan mereka. Selain faktor cuaca dan bentuk muka bumi yang sukar itu, mereka juga menghadapi cabaran musuh besar daripada godaan syaitan yang cuba menggagalkan seruan Allah S.W.T. itu. Walaubagaimanapun dengan ketaatan dan kesabaran, maka hasutan syaitan dapat dihapuskan. Bagi kita yang ingin mengikuti contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim tersebut, kita dituntut supaya melaksanakan ibadah qurban dengan mengorbankan haiwan ternakan yang ditetapkan syarak sebagai simbul ketaatan dan disedekahkan daging binatang qurban tersebut kepada golongan fakir miskin.

Selepas lama kewafatan Nabi Ibrahin dan Ismail ( عَلَيْهِمَا السَّلاَم ), keimanan umat Islam semakin luntur dan terhakis. Bahkan terdapat di kalangan mereka yang telah kembali menjadi bangsa yang menyembah berhala, menggantung beratus-ratus patung batu di Kaabah untuk disembah. Walaubagaimanapun di zaman Nabi Muhammad S.A.W, semua patung-patung itu telah dihancurkan dan berjaya mengembalikan semula Kaabah sebagai tempat ibadah mengikut piawaian yang ditetapkan Islam. Demikian pengorbanan Nabi Muhammad S.A.W. berjaya meneruskan kesinambungan pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ( عَلَيْهِمَا السَّلاَم ). Nabi Muhammad S.A.W juga berjaya melawan dan menghapuskan pakatan musuh dari kalangan pihak musyrik Mekah yang menawarkan pelbagai ganjaran hebat supaya menghentikan misi dakwah Baginda S.A.W.

Persoalan besar timbul dalam fikiran kita ialah sejauh mana pengorbanan umat Islam hari ini untuk meneruskan kesinambungan pengorbanan rasul-rasul dalam usaha memulihkan hak asasi Allah S.W.T. dan memelihara martabat agama Islam pada masa ini dan juga akan datang, daripada terus dinodai oleh pihak-pihak yang suka melihat agar Islam dipandang rendah dan tidak dihormati.

Apa yang paling menyedihkan dan menyanyat hati ialah terdapat suasana kehidupan umat Islam yang hidup di tanah tumpah kelahiran Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi seperti di Palestin, di mana umat Islam terus hidup menderita, ditindas dan dibunuh secara membabi buta tanpa belas kasihan oleh pihak zionis.

Apa yang menimbulkan kemusykilan dan tanda tanya ialah umat Islam Palestin masih lagi tidak bersatu dan terus berpecah-belah walaupun mereka hidup sengsara sejak puluhan tahun. Masing-masing, umat Islam tidak sanggup berkorban untuk meningkatkan integriti dan menjaga martabat Islam. Malah terdapat negara-negara Islam sanggup berkorban dan memberi kerjasama serta laluan demi untuk kepentingan musuh-musuh Islam. Malah pakatan musuh-musuh Islam ini terus menindas umat Islam yang miskin dan daif di Palestin, Iraq, Afganistan dan sebagainya. Musuh-musuh Islam berkelakuan seperti syaitan besar sering dan sentiasa berusaha untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Kini terdapat umat Islam yang masih tidak mengambil pengajaran terhadap tipu muslihat musuh-musuh Islam yang menjadi proksi atau tali barut zionis untuk menghancurkan umat Islam.

اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، اَللهُ أَكْبَرُ، وَِللهِ الْحَمْدُ،

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG DIRAHMATI ALLAH

Marilah kita sama-sama menjadi umat Islam yang lebih prihatin dan berusaha kea rah melakukan sedikit pengorbanan bagi membantu saudara seagama kita agar mereka dapat bangkit semula bagi meneruskan kehidupan dengan lebih sempurna.

Inilah masanya bagi seluruh umat Islam menghulurkan sumbang bakti dalam apa juga bentuk yang terdaya baik dari segi wang ringgit, masa, tenaga mahupun buah fikiran. Inilah juga masanya untuk kita menterjemahkan erti kata pengorbanan dalam semangat persaudaraan Islam yang sebenarnya, tatkala umat Islam di seluruh dunia amat memerlukan pengorbanan daripada saudaranya yang seagama.

Akhirnya, marilah kita semua doakan agar semua umat Islam akan menjadi umat yang kuat dan maju pada masa akan datang. Teruskanlah perjuangan dan laungkanlah kalimah perpaduan dan penyatuan ummah agar umat Islam menjadi ummah yang dikagumi pada masa akan datang.

أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ،


Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelengkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ القُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّىْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْن وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَـا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

About these ads