Mafhum Jamaah Dalam Neraca As-Sunnah

Pendahuluan

Dewasa ini, fenomena menuduh sesat sesama muslim berlaku secara pesat, di tangan mereka yang melanggar etika dalam berselisih pendapat. Di sebalik kewujudan perselisihan pendapat dalam kalangan umat Islam, timbul suatu budaya mengeluarkan umat Islam yang tidak sehaluan dengan kerangka paradigma mereka dalam memahami nas-nas Islam, daripada “Al-Jamaah” yang dijamin kebenaran mereka oleh Rasulullah s.a.w., walaupun pada hakikatnya, umat Islam yang bercanggah dengan kerangka paradigma mereka, yang mereka keluarkan daripada “Al-Jamaah” adalah majoriti umat Islam (sawadhul a’zhom).

Kelompok manusia yang mengeluarkan selain daripada para muqollid mereka (walaupun mereka mengaku sebagai mujtahid/orang yang berijtihad) ini bermula dengan membid’ahkan (tabdi’) kebanyakkan ijtihad-ijtihad ulama’ yang tidak sehaluan dengan mereka, bahkan ada yang sampai tahap menuduh syirik sesetengah amalan umat Islam yang pada prasangka (bahkan suuk zhon) mereka terhadap umat Islam itu sendiri. Akhirnya, mereka membuat kesimpulan, bahawa, merekalah Al-Jamaah, atau Ahlus-Sunnah wal Jamaah sedangkan selain daripada mereka yang tidak sehaluan dengan mereka, yang merupakan majoriti umat Islam (iaitu dari kalangan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah) dikeluarkan daripada kelompok Ahlus-Sunnah wal Jamaah, padahal sebelum kelahiran mereka (yang muncul pada awalnya setelah kurun ke-6 hijrah), majoriti umat Islamlah (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah) sebagai ahlus-sunnah wal jamaah.

Ini suatu gejala yang sungguh tragis dalam umat Islam, bahkan para ulama’ ahlus-sunnah wal jamaah yang sebenar dari kalangan majoriti umat Islam amat prihatin dengan golongan minoriti yang terperangkap dalam waham sendiri dengan menyangka hanya merekalah ahlus-sunnah wal jamaah. Para ulama’ ahlus sunnah wal jamaah daripada majoriti umat Islam yang merupakan para ulama’ ahlus-sunnah wal jamaah yang sebenar sentiasa prihatin dan berusaha untuk mengejutkan kelompok tersebut daripada lamunan mimpi waham yang panjang, dalam paradigma tasyaddud (ekstimisme) mereka terhadap institusi ilmu Islam.

Fenomena Perpecahan Dalam Kalangan Umat Islam

Perpecahan dalam umat Islam sememangnya sudah dijangkakan oleh Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda berkenaan dengan hal ini:

Sesungguhnya sebelum kamu, iaitu sebahagian daripada ahlul kitab telahpun berpecah kepada tujuh puluh dua golongan. Sesungguhnya, umat ini (umat Rasulullah s.a.w.) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan…” (Hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud:

Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a’zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka (Hadith riwayat Ibn Majah)

Sabda Nabi s.a.w. lagi dalam menggambarkan tentang perpecahan umat Islam, namun dalam bentuk yang berbeza:

تفترق أمتي على بضع وسبعين فرقة كلها في الجنة إلا الزنادقة

Umatku akan berpecah kepada lebih tujuh puluh kelompok yang mana seluruhnya akan masuk syurga kecuali golongan zindiq. (Hadith riwayat Ad-Dailami dalam Musnad Al-Firdaus).

Hal ini jelas menunjukkan bahawa, akan berlaku perpecahan dalam umat Islam. Namun, ketika berlaku perpecahan dan perselisihan, kepada siapakah harus untuk kita bersama dan berpegang?

Hendaklah Kamu Bersama-sama Dengan Jamaah (Ahlus Sunnah wal Jamaah)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“…Hendaklah kamu menyertai jamaah (majoriti umat Islam) dan janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang tersesat)…Sesiapa yang mahu menghuni taman syurga, maka hendaklah dia mengikut jamaah” (Hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, dan Al-Hakim).

Telah berkata Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

…Dan sesungguhnya pada jamaah itu ada rahmat, dan pada perpecahan itu ada azab. (Hadith riwayat Imam Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tabrani).

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

…Aku tidak menyembunyikan sesuatupun (daripada kebenaran). Hendaklah kamu semua bertaqwa dan bersama-sama dengan jamaah. Janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang terkeluar daripada jamaah). Sesungguhnya (dengan keluar dari jamaah) itulah kesesatan. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menhimpun umat Muhammad dalam kesesatan” (Hadith riwayat At-Tabrani)

Daripada Ibn Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

“…Yadd (bantuan) Allah itu bersama-sama jama’ah…” (Hadith riwayat Al-Hakim daripada jalan Ad-Dhiya’ Al-Maqdisi)

Dalam hal ini, ramai para ulama’ telahpun membincangkan mengenai mafhum jamaah secara terperinci yang lebih dikenali dengan istilah Ahlus-sunnah wal jamaah. Ada yang menyatakan bahawasanya, yang dimaksudkan dengan Al-Jamaah atau ahlus sunnah wal jamaah tersebut adalah golongan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah. Ada juga yang mengatakan bahawasanya, golongan ahlus-sunnah wal jamaah (Al-Jamaah) adalah golongan Al-Athariyah (ahlul hadith), Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah (termasuklah dari kalangan ahli fiqh dan ahli sufi yang kebanyakkannya adalah Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah).

Imam As-Subki berkata:

Ahlus Sunnah wal Jamaah telah bersepakat tentang apa yang wajib, apa yang mustahil dan apa yang harus bagi Allah s.w.t., walaupun berbeza dalam metodologi dan asas perbahasan mereka berkenaan hal-hal tersebut.

Pertama: Golongan Ahlul Hadith

Kedua: Golongan Ahli Penelitian (An-Nazhor) iaitu Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah

Ketiga: Golongan Sufiyah.

(rujuk Syarah Aqidah Ibn Hajib oleh Imam As-Subki)

Imam Ibn Rusyd Al-Maliki ketika ditanya tentang Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah, maka beliau menjawab:

“Mereka adalah yang dinamakan sebagai imam-imam yang menjadi ikutan, di mana dengan mengikuti mereka, merupakan suatu kwajiban kerana mereka membela syariat (bahkan aqidah Islam), membatalkan kesesatan fahaman yang songsang…Tiada siapa yang menyesatkan mereka melainkan dia adalah seorang yang jahil ataupun seorang ahli bid’ah. (Al-Fatawa 2/802)

Imam As-Safarini menegaskan bahawa, ahlus sunnah adalah: golongan Athariyah (pelopornya ialah Imam Ahmad r.a.), golongan Al-Asya’irah dan golongan Al-Maturidiyah. (lawami’ Al-Anwar Al-Bahiyyah: 73)

Imam Az-Zabidi dalam Ittihaf Saadah Al-Muttaqin juga berkata bahawa, jika dikatakan tentang ahlus-sunnah wal jamaah, maka yang dimaksudkan adalah Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah.

Bagaimanapun, sepertimana yang dijelaskan oleh Imam As-Subki, bahawasanya, ahlus-sunnah wal jamaah adalah golongan yang bersepakat dalam masalah usul aqidah walaupun berbeza manhaj dan asas perbahasan mereka mengenainya. Mereka adalah golongan ahlul hadith, golongan Al-Asya’irah (kebanyakkan ulama’ fiqh mazhab Al-Maliki, As-Syafi’e dan sebahagian ulama’ mazhab Hanbali), golongan Al-Maturidiyah (kebanyakkan ulama’ fiqh bermazhab Hanafi) dan para sufi (yang juga pada asasnya bermazhab Al-Asya’irah).

Ada sebahagian pihak yang ta’assub dengan kelompok mereka sendiri, justeru mengatakan bahawasanya, ahlus-sunnah wal jamaah ataupun Al-Jamaah dalam hadith tersebut hanyalah merujuk kepada kelompok ahli hadith semata-mata sedangkan selain daripada mereka dari kalangan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah (yang merupakan majoriti umat Islam) bukanlah dari kalangan ahlus sunnah wal jamaah.

Ini suatu kerangka pemikiran yang jumud dan berbaur ta’asub dan tasyaddud. Jika hanya ahli hadith (ahli isbat) semata-mata yang merupakan ahlus-sunnah wal jamaah, sedangkan selain daripada mereka yang merupakan majoriti umat Islam dari kalangan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah adalah terkeluar daripada mafhum Al-Jamaah tersebut, maka ianya bererti, Al-Jamaah adalah golongan minoriti dalam umat Islam semata-mata, sejak zaman berzaman. Adakah ia suatu kebenaran? Atau suatu khayalan natijah ta’assub dan berlebih-lebihan?

Kelompok yang cuba mengeluarkan golongan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah daripada kesatuan Ahlus-Sunnah wal Jamaah merupakan golongan yang menisbahkan diri mereka kepada seorang pemuka terutama mereka iaitu Sheikh Ibn Taimiyah (yang kononnya dinisbahkan juga kepada ahlul hadith) sedangkan pemikiran dan kefahaman Ibn Taimiyah yang menjadi anutan mereka itu sendiri bukanlah suatu kefahaman dan manhaj para ahlul-hadith ataupun manhaj para salafus soleh sama sekali!!

Kepincangan Dalam Menyempitkan Al-Jamaah kepada Golongan Ahlul Hadith Semata-mata

Hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah, golongan ahlul hadith di zaman salafus-soleh sendiri, yang kononnya hanya ianya semata-mata adalah ahlus-sunnah wal jamaah, mengakui mereka memerlukan bantuan ahlul fiqh dalam memahami nas-nas hukum. Sejak dari zaman pengkhususan ilmu-ilmu Islam di zaman salafus soleh, sehingga hari ini, ulama-ulama dan ahli hadith sendiri mengakui memerlukan ahli fiqh untuk membantu mereka dalam mengistinbath hukum-hukum daripada nas-nas Islam.

Abdullah bin Mubarak (seorang ulama’ Hadis dari Khurasan) r.h.l. pernah berkata: “Jika Allah s.w.t. tidak membantu saya dengan perantaraan Abu Hanifah dan Sufian (dua ulama’ Fiqh), nescaya aku sama sahaja seperti orang awam (yang tidak memahami Hadis-hadis Nabi (sallallahu’alaihi wasallam) “. (Kitab “Tibyiidh As-Shohafiyyah” m/s 16)

Sufian bin ‘Uyainah r.h.l. pernah berkata: “Orang yang pertama membantu saya dalam memahami hadis dan menjadikan saya seorang ahli Hadis ialah Imam Abu Hanifah (seorang ulama’ fiqh)” (Kitab “Jawahir Al-Mudhiyah” jilid 1 m/s 31)

Abdulla bin Wahab r.h.l. (seorang ahli hadis juga sahabat Imam Malik r.h.l.) juga pernah berkata: “saya telah berjumpa dengan tiga ratus enam puluh ulama’, (bagi saya) tanpa Imam Malik dan Imam Laith r.h.l (ulama’-ulama’ Fiqh), nescaya saya akan sesat dalam ilmu.” (Ibn Hibban, muqoddimah Kitab “Al-Majruhin”)

Beliau juga diriwayatkan pernah berkata: “Kami mengikuti empat orang ini dalam ilmu, duanya di Mesir dan dua orang lagi di Madinah. Imam Al-Laith bin Sa’ad dan Amr bin Al-Harith di Mesir, dan dua orang lagi di Madinah ialah Imam Malik dan Al-Majishun. Jika tidak kerana mereka, nescaya kami akan sesat.”

Imam Al-Kauthari r.h.l. berkata di dalam kitab Al-Intiqa’ karangan Ibn Abdil Bar, telah berkata Abdullah bin Wahab (dari sanad Ibn ‘Asakir): “Jika tiada Imam Malik bin Anas dan Imam Al-Laith Sa’ad, nescaya saya akan binasa. Dulu, saya menyangka setiap yang datang dari Rasulullah (sallallahu’alaihi wasallam) (As-Sunnah dan Al-Hadis), perlu diamalkan“.

Maksud kesesatan dalam perkataan beliau ialah: percanggahan dengan maksud Hadis Nabi (sallallahu’alaihi wasallam). Kemudian, Imam Al-Kauthari mengulas: “Kesesatan yang dimaksudkan sepertimana berlaku pada kebanyakan manusia yang jauh dari ilmu Fiqh dan tidak dapat membezakan tentang hadis yang diamalkan dan selainnya. Ktab “Al-Intiqa’ fi Fadhail Al-A’immah Ath-Thalathah Al-Fuqoha'” m/s 27-28

Al-Qodhi ‘Iyadh r.h.l. meriwayatkan, Ibn Wahab r.h.l. juga pernah berkata: “Andai Allah s.w.t. tidak menyelamatkan saya dari kesesatan melalui Imam Malik dan Al-Laith r.h.l., nescaya saya akan sesat.” Beliau ditanya: “Mengapa begitu?” Beliau menjawab: ” Saya telah menghafal banyak hadis-hadis Nabi (sallallahu’alaihi wasallam), sehingga timbul pelbagai persoalan. Kemudian, saya pergi ke Imam Malik dan Al-Laith untuk bertanya mengenainya, maka mereka berkata kepada saya: “Hadis ini kamu amalkan dan ambil ia sebagai hujah, dan hadis yang ini pula kamu tinggalkan (tidak perlu menggunakannya).” (Kitab “Tartib Al-Madarik” jilid 2 m/s 427)

Sufian bin ‘Uyainah pernah berkata: “Hadis itu menyesatkan kecuali kepada Al-Fuqoha’ (ulama’ ahli Fiqh). Kadangkala, suatu hadis itu tidak boleh dipegang secara zahir sahaja, malah ada ta’wilannya. Kadangkala, sesuatu Hadis itu pula ada maksud yang tersembunyi. Ada juga Hadis yang perlu ditinggalkan dengan sebab-sebab tertentu, yang mana, semua itu hanya diketahui oleh orang yang mahir dan berilmu luas khususnya dalam Fiqh (kefahaman). (Imam ibn Abi Zaid Al-Qairawani, “Al-Jami'” m/s 118)

Ibn Rusyd r.h.l. pernah ditanya tentang kata-kata: “Hadis itu menyesatkan kecuali bagi ahli Fiqh”. Beliau ditanya lagi: “Bukankah seorang ahli Fiqh itu juga perlu tahu mengenai Hadis terlebih dahulu.?!” Beliau menjawab: “Kata-kata itu bukanlah dari Rasulullah (sallallahu’alaihi wasallam), ia merupakan kata-kata Ibn ‘Uyainah r.h.l. dan ahli-ahli Fiqh yang lain. Maksud kata-kata itu tepat, kerana kadangkala, sesuatu hadis itu diriwayatkan dalam sesuatu keadaaan yang khusus, tetapi maknanya umum, begitu juga sebaliknya. Ada juga Hadis yang Nasikh dan Hadis yang Mansukh (tidak digunakan lagi). Kadangkala pula, ada hadis yang secara zahirnya seolah-olah menyerupakan Allah dengan makhluk (Tasybih). Ada juga hadis yang maksudnya hanya diketahui oleh para ahli Fiqh sahaja. Barangsiapa yang hanya mengumpul hadis tetapi tidak memahaminya tidak dapat membezakan antara hadis yang maksudnya umum atau khusus. Oleh kerana itu, ahli Fiqh (Faqih) itu bukanlah orang yang sekadar mengetahui tentang Hadis-hadis Nabi (sallallahu’alaihi wasallam) sahaja, bahkan memahaminya secara mendalam. Jika seseorang itu tdak mampu memahami secara mendalam dalam masalah hadis mahupun Fiqh, maka dia bukanlah seorang ahli Fiqh (Faqih), walaupun dia mengumpul banyak Hadis-hadis Nabi (sallallahu’alaihi wasallam). Inilah sebenarnya maksud kata-kata Sufian bin ‘Uyainah. (Abu ‘Abbas Al-Wansyarishi “Al-Mi’yar Al-Mu’rab” jilid 12 m/s 314 )

Abdullah bin Mubarak r.h.l. pernah berkata mengenai fiqh Imam Abu Hanifah r.h.l.: “Jangan kamu katakan fiqh ini (mazhab Imam Abu Hanifah) merupakan pendapat beliau, tetapi katakanlah, ia (mazhab Abu Hanifah) merupakan tafsiran bagi hadis Nabi (sallallahu’alaihi wasallam). Kitab “Manaqib Al-Muaffaq Al-Makki” m/s 234

Para ulama’ salafus soleh dan mereka yang mengikut jejak langkah mereka, dalam segenap bidang termasuk dalam kelompok Jamaah Muslimin, samada golongan fuqoha’ (ahli fiqh), golongan muhaddithin (ahli hadith), golongan mutakallimin daripada kelompok Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah, golongan sufi yang muhaqqiq dan sebagainya.

Di zaman salafus-soleh sendiri, pengkhususan dalam segenap bidang ilmu Islam tidak pernah mengeluarkan sesiapa daripada Jamaah umat Islam, ataupun menyebabkan mana-mana kelompok mendominasi penggunaan Jamaah Umat Islam lalu mengeluarkan selain daripada mereka, daripada Jamaah Umat Islam tersebut.

Golongan fuqoha’ seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Auza’ie, Imam Laith dan sebagainya saling bekerjasama dengan ulama’ hadith seperti Imam Az-Zuhri, Imam Al-Madani, Ibn Juraij, Ibn Mubarak dan sebagainya. Begitu juga, para ulama’ tafsir tidak ketinggalan dalam menjalinkan kerjasama dengan kedua-dua golongan tersebut. Para ulama’ sufi yang lebih dikenali dengan golongan Zuhhad (orang-orang Zuhud) juga dalam masa yang sama terlibat secara langsung ataupun secara tidak langsung dengan golongan-golongan tersebut. Bahkan, Imam Hasan Al-Basri yang merupakan penghulu dan ulama’ para sufi juga dalam masa yang sama dikenali sebagai ulama’ dalam bidang hadith, tafsir dan fiqh. Imam Malik juga walaupun dikenali sebagai ulama’ fiqh, tetapi dari satu sudut yang lain, beliau juga adalah sebagai ulama’ hadith yang mengarang buku Al-Muwatta’, buku yang mengandungi kesepaduan antara ilmu fiqh dan hadith di zaman tersebut.

Dari satu sudut yang lain, seolah-olah ada pertembungan dan perselisihan antara golongan yang dikenali sebagai ahlul-hadith (yang dipelopori oleh Imam Malik) dengan golongan ahlul-ra’yi (golongan ahli akal yang dipelopori oleh Imam Abu Hanifah di Iraq). Namun, perselisihan tersebut tidak menjurus kepada sikap mengeluarkan mana-mana golongan daripada kelompok jamaah muslimin.

Setelah kemunculan Imam As-Syafi’e yang mengambil ilmu dan manhaj daripada para ulama’ kedua-dua golongan (ahlul-hadith dan ahlul-ra’yi), beliau membuat suatu tajdid (pembaharuan) dalam lapangan ilmu Islam lalu menggabungkan kedua-dua manhaj dengan suatu manhaj pertengahan yang sederhana. Manhaj beliau jelas dalam menggabungkan kepentingan hadith-hadith dalam menggali hukum (manhaj utama ahlul hadith), dan kepentingan akal dalam berinteraksi dengan nas-nas tersebut (manhaj golongan ahlul-ra’yi).

Manhaj tajdid yang dibawa oleh Imam As-Syafi’e dalam menggabungkan kedua-dua manhaj gurunya (Imam Malik) dan guru kepada gurunya (Imam Abu Hanifah) dalam bidang fiqh diwarisi oleh Imam Ahmad bin Hanbal yang pada mulanya terkenal dalam bidang hadith.

Setelah itu, perkembangan ilmu Islam terus berlaku di mana, berlakunya pengkhususan dalam setiap lapangan ilmu Islam. Para ulama’ hadith menyusun manhaj untuk menjaga ketulenan hadith dengan menyusun buku-buku bagi menghimpunkan hadith-hadith sesuai dengan manhaj penyusunan mereka.

Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim contohnya, menghimpunkan hadith-hadith yang dinilai sahih dari sudut periwayatannya (sanadnya) dalam buku-buku mereka yang bernama “As-Sahih”.

Imam At-Tirmizi pula menghimpunkan hadith-hadith yang digunakan oleh beliau sebagai hujah dalam amalan-amalan beliau, tanpa menetapkan syarat bahawa hadith itu perlu sahih (sepertimana manhaj Imam Al-Bukhari). Begitu juga para ulama’ hadith lain seperti Imam Abu Daud, Imam An-Nasa’ie dan sebagainya, yang menyusun kitab hadith-hadith mereka sesuai dengan manhaj yang mereka inginkan, lalu dikenali sebagai kitab-kitab “sunan”.[1]

Para ulama’ hadith tersebut tetap bekerjasama dengan para ulama’ fiqh di zaman mereka, yang memegang peranan berijtihad dan menggali hukum daripada hadith-hadith dan Al-Qur’an. Ini kerana, mereka (para ulama’ hadith) tahu, bahawa para ulama’ fiqh lebih layak berijtihad kerana mereka menguasai ilmu usul fiqh, qawa’id fiqhiyyah dan ilmu ifta’ (berfatwa) berbanding mereka (ulama’ hadith).

Oleh kerana itu, jarang kelihatan fatwa-fatwa para ulama’ hadith seperti Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, Imam At-Tirmizi dan sebagainya, dalam keseluruhan cabang bidang fiqh Islam. Ini kerana, mereka tahu kelayakan para ulama’ fiqh dalam berfatwa, sedangkan mereka (ulama’ hadith) berperanan utama dalam menjaga ketulenan sumber hukum Islam.

Ulama’ sufi pula menumpukan usaha mereka dalam bidang pentarbiahan umat Islam, sehinggakan, Imam Junaid Al-Baghdadi yang dikenali sebagai penghulu dua golongan (sufi dan fiqh) –Ibn Qayyim turut mengakuinya dalam muqoddimah kitab Tariq Hijratainnya- tidak banyak kelihatan fatwa-fatwanya dalam fiqh tertulis dalam kitab-kitab fiqh, kerana penumpuan beliau kepada bidang tarbiah.

Ulama’ aqidah yang lebih dikenali sebagai golongan mutakallimun pula, lebih menumpukan perbahasan dalam bidang aqidah Islam, dengan menghancurkan hujah-hujah golongan ahlul-bid’ah dalam bidang aqidah seperti golongan muktazilah, hasyawiyah, mujassimah, jabbariyah, qadariyah, syiah, khawarij dan sebagainya. Golongan ulama’ aqidah dari kalangan ahlus-sunnah wal jamaah adalah dari kalangan golongan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah.

Kesatuan dalam Perselisihan dan Perbezaan Manhaj

Namun, di sebalik tradisi pengkhususan peranan dalam pelbagai lapangan ilmu Islam, tidak timbul mana-mana kelompok yang mewakili mana-mana pengkhususan dalam mana-mana lapangan ilmu, yang mengeluarkan kelompok yang lain daripada entiti ahlus-sunnah wal jamaah.

Para ulama’ hadith, para ulama’ fiqh, para ulama’ tafsir, para ulama’ ahli bahasa, para ulama’ sufi, dan para ulama’ Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah bersepakat dalam sebuah entiti kefahaman aqidah yang satu, iaitu aqidah Tauhid (mengesakan zat, sifat dan nama-nama Allah s.w.t.) dan bermanhaj Tanzih (menyucikan sifat-sifat Allah s.w.t. daripada ciri-ciri sifat makhluk) dalam aqidah khususnya yang melibatkan masalah usul seperti sifat-sifat ketuhanan.

Para ulama’ ahlul hadith tidak pernah bercanggah dengan para ulama’ Al-Asya’irah dalam kesepakatan manhaj Tauhid dan Tanzih dalam perbahasan sifat-sifat ketuhanan, walaupun para ulama’ hadith tidak membahaskan masalah sifat-sifat ketuhanan secara terperinci sepertimana para ulama’ Al-Asya’irah, kerana lebih menumpukan dalam bidang hadith.

Kesepakatan dalam perkara usul berkenaan masalah aqidah Islam, khususnya melibatkan bab ketuhanan ini, iaitu tauhid dan tanzih, antara golongan ahli hadith salafus-soleh dengan manhaj Al-Asya’irah jelas dalam banyak perkataan mereka.

Contohnya:

Imam At-Tirmizi berkata dalam mensyarahkan tentang hadith “melihat Allah s.w.t.”: “Adapun yang menjadi mazhab (pegangan beliau) dalam masalah ini adalah perkataan para ahli ilmu dalam kalangan para imam, seperti Imam Sufiyan At-Thauri, Imam Ibn Mubarak, Imam Ibn Uyainah, Imam Waqi’ dan sebagainya mereka berkata: “Kami meriwayatkan hadith ini sebagaimana ianya diriwayatkan (secara zahirnya). Kami beriman dengannya (lafaznya) tetapi tidak boleh ditanya: “bagaimana ia”, dan kami tidak menafsirkannya (memahaminya dengan maknanya yang zahir) dan tidak membayangkannya (menetapkan bentuk bagi sifat-sifatNya).” (Sunan At-Tirmizi: 4/692, Al-Itqan 2/986)

Inilah manhaj tanzih para ulama’ hadith yang menyucikan Allah s.w.t. daripada sifat-sifat yang tidak layak bagi Allah s.w.t., secara ringkas. Biarpun ianya suatu manhaj yang ringkas, tetapi selari dengan manhaj Al-Asya’irah dalam asas tanzih tersebut dengan tidak memahami lafaz-lafaz mutasyabihat dengan makna zahirnya.

Manhaj tanzih berkenaan nas-nas mutasyabihat terutamanya ada dua iaitu, ta’wil ijaz (ta’wil ringkas) yang dikenali sebagai tafwidh (menyerahkan makna sebenar kepada Allah s.w.t. tanpa memahaminya daripada sudut bahasa) dan ta’wil tafsili qarib (ta’wil secara terperinci yang bersesuaian dengan kaedah bahasa Arab dan kaedah kiasa Arab).

Contoh perkataan Imam At-Tirmizi tadi berkaitan dengan ta’wil ijaz atau tafwidh. Adapun contoh di mana ulama’ hadith menggunakan manhaj ta’wil tafsili qarib dengan memberi ta’wil kepada perkataan-perkataan mutasyabihat adalah seperti berikut:

Dalam hadis sahih Al-Bukhari di mana Rasulullah s.a.w. menyebut: “Yadhak Allah” (dalam bahasanya bermaksud: Allah telah ketawa), dan Imam Al-Bukhari menta’wilkannya dengan maksud: “Allah merahmati”. Beliau menta’wilkan ketawa dengan makna rahmat. (Fathul Bari 6/123-124).

Jelaslah di sini, bahawa, ahlul-hadith dari kalangan salafus-soleh juga tidak menolak manhaj ta’wil mentah-mentah seperti fahaman sebahagian yang mendakwa diri mereka mengikut ahlul-hadith zaman ini.Di sinilah keseragaman kefahaman para ulama’ ahlus-sunnah wal-jamaah dalam aqidah Islam yang melibatkan perbahasan usul tentang sifat-sifat ketuhanan, biarpun siapa sahaja yang mereka, samada dari kalangan ahli hadith, ahli fiqh, mutakallimun, ahli bahasa Arab, ahli tafsir dan ahli sufi. Mereka inilah majoriti ulama’ Islam yang memayungi majoriti umat Islam, dalam kesepakatan aqidah yang sama, khususnya melibatkan masalah sifat-sifat ketuhanan.

Di sinilah yang dimaksudkan dalam hadith:

Sabda Nabi s.a.w.:

إنّ أمّتي لا تجتمع على ضلالة فإذا رأيتم الإختلاف فعليكم بالسواد الأعظم

Maksudnya:

Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a’zhom (majoriti umat Islam) (Hadith riwayat Ibn Majah).

Jelas di sini, Rasulullah s.a.w. menjamin kebenaran golongan majoriti umat Islam dengan jaminan bahawa, umat Baginda s.a.w. tidak akan bersepakat dalam kesesatan.

Sawadhul A’zhom dan Kekeliruan Golongan Minoriti

Sejak akhir-akhir ini, ada suatu golongan yang pada hakikatnya merupakan golongan minoriti dari kalangan umat Islam, cuba mengeluarkan majoriti umat Islam daripada Jamaah Umat Islam, lalu menisbahkan Sawadhul A’zhom kepada diri mereka yang merupakan golongan minoriti, yang pada hakikatnya bercanggah dengan makna Sawadhul A’zhom dari sudut bahasa mahupun dari sudut istilah menerusi siyaq (petunjuk) hadith-hadith pada bab tersebut.

Antara hadith-hadith berkenaan Sawadhul A’zhom adalah:

Rasulullah s.a.w. bersabda:

إنّ أمّتي لا تجتمع على ضلالة فإذا رأيتم الإختلاف فعليكم بالسواد الأعظم

Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a’zhom. Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka (Hadith riwayat Abd bin Hamid dan Ibn Majah).

Sabda Nabi s.a.w.:

لا تجتمع هذه الأمّة على ضلالة أبداً، وإنّ يد الله مع الجماعة فاتبّعوا السواد الأعظم، فإنّ من شذّ شذّ في النار

Maksudnya: Tidak akan berhimpun umat dalam kesesatan selamanya. Sesungguhnya yadd (bantuan) Allah s.w.t. bersama dengan Jamaah. Maka, ikutilah As-Sawadhu Al-A’zhom. Sesiapa yang terpinggir, maka dia terpinggir dalam dalam neraka. (Hadith riwayat Al-Hakim, Abu Na’im dan melalui jalan Al-Dhiya’ Al-Maqdisi daripada Ibn Umar)

Dalam hadith ini mengandungi beberapa petunjuk yang menunjukkan bahawasanya, maksud As-Sawadhul A’zhom dalam hadith tersebut adalah golongan majoriti umat Islam.

Pertama, dari sudut bahasanya, As-Sawadhu Al-A’zhom adalah menunjukkan tentang banyaknya bilangan kelompok tersebut.

As-Sawad Al-A’zhom dari sudut bahasanya bererti, warna hitam yang terbesar, yang merupakan kiasan bagi menunjukkan kuantiti yang banyak. Al-A’zhom itu bererti yang terbesar. Maknanya, golongan As-Sawadhu Al-A’zhom adalah golongan yang mempunyai kuantiti yang terbesar dalam kelompok umat Islam, saat berlakunya perpecahan dalam umat Islam.

Kedua, dari beberapa perkataan dalam hadith tersebut, menjelaskan makna As-Sawadhu Al-A’zhom sebagai golongan majoriti dalam umat Islam.

Antaranya, perkataan Al-Jamaah dalam hadith tersebut. Maksud jamaah bererti, suatu kumpulan. Ianya bersifat mutlak. Namun, apabila disyarahkan dengan perkataan As-Sawadhu Al-A’zhom, maka fahamlah kita bahawa, Al-Jamaah itu adalah majoriti. Perkataan Al-Jamaah dan As-Sawadhu Al-A’zhom saling mensyarahkan satu sama lain.

Abu Al-Bahili mensyarahkan Al-Jamaah sebagai As-Sawadhu Al-A’zhom (hadith diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan At-Tabrani).

Ketiga: Lawan bagi Al-Jamaah dan As-Sawadhu Al-A’zhom menurut Rasulullah s.a.w. adalah: “syaz” (hadith riwayat Al-Hakim tadi).

Syaz dalam bahasa Arab bererti, asing atau terpinggir. Jadi, terpinggir ataupun asing itu adalah merujuk kepada sedikit kuantiti atau minoriti. Maknanya, lawan bagi Al-Jamaah dalam hadith tersebut adalah syaz, maka mafhum bagi Al-Jamaah adalah lawan bagi syaz (minoriti). Lawan bagi minoriti adalah majoriti. Maka, majoriti adalah mafhum bagi As-Sawadhu Al-A’zhom.

Ini dikuatkan lagi dengan hadith yang lain yang berbunyi:

Sabda Nabi s.a.w.:

عليكم بالجماعة وإيّاكم والفرقة فإنّ الشيطان مع الواحد وهو عن الإثنين أبعد

Maksudnya: Hendaklah kamu bersama-sama dengan Al-Jamaah. Dan janganlah kamu berpecah-belah. Sesungguhnya, syaitan itu berserta dengan yang satu, sedangkan dia lebih jauh daripada yang dua (berbanding yang satu tersebut). (Hadith riwayat At-Tirmizi daripada jalan Saidina Umar r.a.. Diriwayatkan juga oleh Al-Hakim dan Imam Ahmad).

Maksud perkataan: ((وهو عن الإثنين أبعد الشيطان مع الواحد )) (maksudnya: Syaitan bersama yang satu sedangkan dia lebih jauh darpada yang dua berbanding yang satu) menunjukkan bahawasanya, menurut Nabi s.a.w. bahawasanya, syaitan beserta dengan yang seorang, berbanding yang dua orang.

Ini suatu perumpamaan dalam bentuk nisbah, iaitu 2:1. Di mana, Nabi s.a.w. mengingatkan bahawasanya, syaitan itu akan bersama dengan yang satu berbanding yang dua orang. Maknanya, syaitan akan bersama-sama dengan minoriti berbanding yang majoriti. Ini menunjukkan jemaah yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. adalah golongan majoriti dalam kalangan umat Islam. Kerana itulah, Nabi s.a.w. mengingatkan supaya tidak beserta dengan minoriti kerana syaitan beserta yang minoriti, sedangkan dia lebih jauh daripada yang majoriti berbanding yang minoriti.

Hadith lain juga menyebut tentang kepentingan mengikut majoriti umat Islam dengan perkataan العامة iaitu yang am (hadith riwayat Ahmad). Adapun istilah am atau ammah digunakan dalam bermaksud, kebanyakkan umat Islam.

Dalam hadith riwayat Ahmad tersebut juga menyebut bahawa, syaitan umpama serigala yang mencari mangsa kambingnya. Jadi, syaitan berpeluang menangkap kambing yang terpinggir dari kelompok kumpulannya. Perumpamaan ini adalah jelas menunjukkan, celaan terhadap golongan minoriti yang keluar daripada kelompok majoriti umat Islam khususnya dalam masalah usul termasuklah masalah aqidah Islam.

Jadi, syaz dan minoriti dicela oleh Rasulullah s.a.w. dalam galakan supaya kita beserta dengan golongan majoriti umat Islam.

Tahqiq Mafhum Tho’ifah

Ada sebahagian manusia yang merupakan dalam kelompok minoriti umat Islam tersebut, cuba menegakkan benang yang basah, dengan cuba membuktikan bahawa, merekalah (yang merupakan minoriti umat Islam) yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan Al-Jamaah berdasarkan hadith-hadith At-Tho’ifah (kelompok).

Hadith tersebut berbunyi:

Sabda Nabi s.a.w.:

Akan sentiasa ada tho’ifah (kelompok) daripada umatku yang akan berpegang dengan kebenaran sehingga hari kiamat.” (hadith riwayat At-Tabrani dengan perawi-perawinya yang Sahih).

Begitu juga dengan hadith-hadith yang hampir sama dengan maksud hadith ini, yang diriwayatkan oleh Al-Bazzar)

Guru kami, Sheikh Muhammad bin Ibrahim Al-Kattani berkata: “Maksud umat dalam perkataan tersebut adalah umat dakwah[2], iaitu seluruh umat manusia, bukan semata-mata umat Islam. Jadi, tho’ifah (kelompok) yang dimaksudkan adalah umat Islam (umat ijabah), yang merupakan kelompok daripada keseluruhan umat dakwah.” (Ibro’uz Zimmah: 35)

Ada sepotong hadith yang lain yang menjadi dalil bahawasanya, yang dimaksudkan dalam hadith tadi bermaksud umat Islam keseluruhannya.

Nabi s.a.w. bersabda: “Akan sentiasa umatku berpegang (memperjuangkan kebenaran sehingga turun Nabi Isa…” (hadith riwayat Abu Ya’la)

Hadith ini walaupun dalam riwayatnya mengandungi Musa bin Ubaidah yang tidak diterima oleh sebahagian ahli hadith, namun asal makna hadith ini juga ada dalam hadith sahih iaitu:

Sabda Nabi s.a.w.:

“…Umatku akan sentiasa memperjuangkan urusan ini (agama Islam atau kebenaran)…” (hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Ini menunjukkan, hadith yang menyebut tentang tho’ifah (kelompok) tadi adalah umat Islam berdasarkan hadith riwayat Abu Ya’la, Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad tersebut, bukan sekelompok daripada umat Islam.

Adapun yang mereka perjuangkan adalah Al-Haq (kebenaran) iaitu agama Islam dan aqidah Islamiyah.

Adapun tentang hadith tho’ifah (kelompok) daripada umat Islam dalam beberapa hadith, yang menunjukkan sebahagian kecil daripada umat Islam, bukanlah seperti yang difahami oleh sesetengah kelompok dengan mendakwa, hanya sebahagian kecil sahaja daripada umat Islam yang berpegang kepada kebenaran.

Contoh hadith-hadith tersebut adalah:

Sabda Nabi s.a.w.:

“Akan sentiasa sekelompok (tho’ifah) daripada umatku yang memperjuangkan agama, yang memusnahkan musuh-musuhnya…” (hadith riwayat At-Tabrani)

Sabda Nabi s.a.w. lagi:

“Ada sekelompok (tho’ifah) daripada umatku akan sentiasa memperjuangkan kebenaran. Aku harap mereka adalah ahli Syam” (hadith riwayat Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tabrani)

Tho’ifah (kelompok) dalam hadith ini tidak sama dengan tho’ifah dalam hadith yang dibincangkan sebelum ini, kerana tho’ifah dalam hadith ini menceritakan tentang sekelompok daripada umat Islam yang bertugas sebagai golongan mujahid yang berjuang melawan musuh-musuh Islam. Inilah isyarat dariapda hadith riwayat At-Tabrani sebelum ini (perkataannya: “…yang memusnahkan musuh-musuhnya”).

Hadith riwayat Al-Hakim ada menunjukkan secara jelas bahawasanya, konteks tho’ifah dalam hadith-hadith tersebut adalah berkaitan dengan golongan mujahidin. Ianya berbunyi:

“Akan sentiasa ada sekelompok daripada umatku yang berperang dalam memperjuangkan kebenaran…” (Hadith riwayat Al-Hakim).

Kesimpulan

Oleh itu, janganlah kalian terpengaruh dengan kelompok minoriti yang mana syaitan lebih hampir kepada mereka berbanding golongan majoriti (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah), yang menisbahkan Jamaah dan As-Sawadhu Al-A’zhom kepada mereka, sedangkan menurut Nabi s.a.w. sendiri, golongan majoritilah (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah) yang merupakan jamaah muslimin yang diakui oleh Rasulullah s.a.w..

Kesimpulannya, sememangnya As-Sawadhu Al-A’zhom adalah golongan majoriti umat Islam dalam setiap zaman, sehinggalah hari Kiamat. Oleh itu, hendaklah kita beserta golongan As-Sawadhu Al-A’zhom dalam bidang aqidah khususnya, yang merupakan majoriti umat Islam dari kalangan Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyah. Janganlah kita keluar daripada kelompok majoriti umat Islam kerana Nabi s.a.w. telahpun memberi amaran kepada sesiapa yang keluar daripada aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah yang merupakan majoriti umat Islam ini, sebagai terasing dan terpinggir di dalam neraka. Na’uzubillah min zalik.

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Ar-Razi

16 Mac 2008

About these ads