MUAFIQ DAN MASBUQ DALAM SOLAT

APA ITU MUAFIQ DAN MASBUQ?

Muafiq: Seorang ma’mum yang sempat berjamaah dengan imam semasa berdiri (qiam) imamnya, di mana ia sempat berjamaah dengan imam sekadar masa yang membolehkan ia membaca al fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yg pertengahan di kalangan uruf orang ramai , tidak berdasarkan kepada bacaan ma’mum itu dan juga tidak berdasarkan kepada bacaan imam juga.

Masbuq: seorang ma’mum yang tidak sempat berjamaah semasa berdiri imamnya sekadar masa membaca al fatihah dengan bacaan yang pertengahan, tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat, malahan perhitungan bacaan fatihah itu tidak berpandukan kepada bacaan imam dan tidak berpandukan kepada bacaan ma’mum itu bahkan mengikut bacaan uruf orang ramai. Mana-mana ma’mum yang tidak sempat berjamaah dengan imam semasa berdiri imamnya sekadar masa yang membolehkan ia membaca al fatihah hingga selesai, maka dinamakan orang masbuq.

BILA BERLAKU?

Ia boleh berlaku ke atas seseorang ma’mum kepada empat rakaat sama ada pada rakaat pertama, rakaat kedua, rakaat ketiga, dan seterusnya pada rakaat keempat.

HUKUM ORANG MUAFIQ

Hukum bagi orang muafiq dimaaf kepadanya tertinggal jarak tiga rukun yang panjang daripada imamnya.tidak termasuk rukun yang pendek. Contoh rukun panjang seperti rukuk dan sujud. Manakala rukun yang pendek seperti iktidal, duduk istirehat, duduk tasyahhud awal dan duduk antara dua sujud.

CONTOH –CONTOH DAN GAMBARANNYA

1.Seorang ma’mum yang muafiq sedang solat berjamaah, sebelum imam qiam berdiri tegak daripada sujud yang kedua, dia sudah rukuk.Maka ma’mum berkenaan mendapat rakaat itu kerana ketinggalan daripada imam belum masuk kepada rukun keempat.

2.Seorang ma’mum yang muafiq sedang berjamaah sebelum imam duduk tasyahhud akhir ma’mum berkenaan sudah rukuk, hukumnya dia juga mendapat rakaat itu.

Kedua-duanya contoh di atas menunjukkan bahwa ma’mum berkenaan masih lagi berada dalam jarak tiga rukun daripada imamnya, belum lagi masuk ke rukun keempat. Sebagaimana contoh-contoh di atas itu bahwa rukun-rukun yang renggang atau jarak antara ma’mum dengan imam ialah tiga rukun yang dikira daripada:

  • Rukuk
  • Sujud yang pertama
  • Sujud yang kedua

3.Jika seorang muafiq itu solat berjamaah , apabila imamnya sudah berada dalam qiam kedua untuk membaca al fatihah tetapi ma’mum berkenaan masih lagi berada di qiam pertama belum lagi habis bacaan fatihahnya, atau imam sudah berada di tasyahhud akhir sedangkan ma’mum masih lagi berada di qiam pertama dan fatihahnya belum selesai, hukum ma’mum demikian ialah batal solatnya, kecuali ia membuat dua pilihan segera semasa imam hendak berpindah kepada rukun keempat iaitu:

Pilihan pertama:ma’mum berkenaan dikehendaki meninggalkan bacaan fatihahnya dan terus mengikut dan melakukan apa yang sedang dilakukan oleh imam, dan ia tambah satu rakaat lagi selepas salam imam, atau ;

Pilihan kedua: ma’mum berkenaan dikehendaki niat mufaraqah dari mengikut imam, kemudian ia hendaklah meneruskan bacaan al fatihah dan rukun- rukun yang lain dengan seorang diri sehingga selesai solatnya.

Jika ma’mum berkenaan gagal membuat pilihan segera sebelum imam sampai kepada rukun keempat iaitu qiam kedua atau tasyahhud akhir maka batal solat ma’mum itu dengan sampainya imam kepada rukun kempat sedangkan ia masih berada di rukun yang pertama; tetapi tidak mengapa jika sama-sama berpindah (selisih) iaitu ma’mum sedang berpindah kepada rukuk manakala imam sedang berpindah kepada qiam kedua atau berpindah kepada tasyahhud akhir.

MASALAH-MASALAH MA’MUM MUAFIQ

Ulama’-ulama’ fekah telah menjelaskan bahawa hukum orang muafiq itu ada beberapa masalah. Ada masalah yang bersepakat kata ulama dan ada masalah yang berlainan pendapat antara mereka.

Antara masalah yang bersepakat hukum antara ulama’ muta’akhirin ialah seperti berikut:

1.Orang muafiq yang dimaafkan oleh syarak kepada yang tertinggal tiga rukun jarak daripada imam itu ialah orang yang lambat bacaannya kerana tabiat kejadiannya begitu dan bukan waswas. Tetapi orang yang lambatkan bacaannya kerana waswas tidak dimaafkan ketinggalan tiga rukun melainkan dimaafkan sekadar imam belum turun untuk sujud dia selesai bacaan fatihahnya.yakni orang muafiq yang waswas boleh menghabiskan bacaan al fatihah sebelum imam turun untuk sujud, maka batallah solatnya kecuali ma’mum berkenaan niat mufaraqah ( berpisah dengan imam) sebelum imam turun sujud dan dia diwaktu itu dikehendaki meneruskan bacaan fatihahnya dan mengerjakan rukun-rukun yang lain hingga selesai solat.

Kepada orang muafiq yang waswas tidak boleh meninggalkan bacaan al fatihah dan terus melakukan apa yang dibuat oleh imam bila dia tidak sempat menghabiskan bacaan fatihahnya, kerana ia dikira seperti hukum orang yang sengaja meninggalkannya.

2.iaitu orang muafiq yang syak sebelum ia rukuk dan sesudah imamnya rukuk adakah ia sudah membaca al fatihah atau belum, maka wajib ke atasnya membaca surah al fatihah dan dimaafkan ketinggalan tiga rukun daripada imamnya.

3.Seorang muafiq yang lupa membaca al fatihah sehingga imamnya rukuk tetapi ma’mum itu belum rukuk. Kemudian dia teringat bahawa dia belum lagi membaca al fatihah. Ma’mum ini diwajibkan membaca al fatihah dan dimaafkan kepadanya ketinggalan tiga rukun seperti di atas.

4.seorang muafiq yang syak adakah dia membaca al fatihah atau belum lagi, ataupun dia teringat bahawa ia belum lagi membaca al fatihah sesudah imam dan ia sendiri telah rukuk. Hukum orang itu tidak boleh lagi ia kembali membaca al fatihah tetapi wajib ke atasnya mengikut imam dan apabila selesai salam imamnya, dia dikehendaki menambah satu rakaat lagi.

5.orang muafiq yang syak sama ada dia sudah membaca al fatihah sesudah ia rukuk sedangkan imam belum lagi rukuk, maka wajib ia kembali qiam dan membaca al fatihah, dan ia dimaafkan ketinggalan tiga rukun yang panjang daripada imamnya.

6.orang muafiq yang tertinggal membaca al fatihah kerana sibuk membaca doa iftitah, tiba-tiba imamnya rukuk sebelum ia sempat menghabiskan bacaan al fatihah, sama ada dia telah membaca sebahagian dari ayat-ayat al fatihah ataupun belum sempat membacanya walaupun sedikit, hukumny WAJIB dia membaca al fatihah dan dimaafkan ketinggalan tiga rukun daripada imamnya.

7.orang muafiq yang sedang menunggu saktah imamnya yakni beliau memperhatikan bacaan al fatihah imamnya untuk mendapatkan sunat dan bercadang membaca al fatihah apabila imam membaca surah nanti, tetapi imam tersebut terus rukuk tanpa membaca apa-apa surah, menyebabkan ma’mum tidak sempat baca al fatihah. Hukumnya dimaafkan tiga rukun yang panjang daripada imam dan wajib ke atasnya baca al fatihah.

8.orang muafiq yang sedang menunggu saktah imamnya untuk mendapatkan sunat dan bercadang akan membaca al fatihah apabila imam membaca surah sunat nanti, tetapi imam membaca surah yang pendek menyebabkan ma’mum tidak sempat habiskan al fatihah sedangkan imam sudah rukuk atau sujud, hukumnya juga dimaafkan tiga rukun panjang daripada imamnya.

………………………….

Bersambung…

About these ads