PEMBICARAAN HUKUM ORANG MASBUQ

Sebagaimana dalam huraian yang lepas bahawa orang masbuq ialah oang yang tidak sempat berjamaah dalam qiam imamnya sekadar masa yang membolehkan dia membaca fatihah hingga tamat mengikut pembacaan yang sederhana di kalangan orang ramai.

Contohnya seorang ma’mum masuk solat berjamaah lewat iaitu ketika imam membaca surah al kafirun hampir tamat pada rakaat pertama, ma’mum itu dinamakan orang masbuq kerana masa qiam imamnya itu tidak sempat dan tidak membolehkan ia membaca fatihah hingga selesai.

Tetapi sekiranya seorang ma’mum masuk berjamaah solat isya’ ketika imamnya hendak memulakan bacaan surah ad Dhuha selepas fatihah, ma’mum itu dinamakan muafiq kerana masa berdiri imamnya dia sempat membaca surah fatihah mengikut pembacaan uruf orang ramai.

Ma’mum yang masbuq hukumnya dimaafkan meninggalkan bacaan fatihah, kerana fatihah yang belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahaja oleh ma’mum itu dikira semuanya ditanggung oleh imamnya.

Syarat-syarat masbuq seperti berikut:

  1. imam suci dari hadas dan najis
  2. rakaat yang ma’mum masbuq ikut itu bukan rakaat yang lebih, contohnya rakaat yang kelima.
  3. ma’mum masbuq sempat rukuk dan mempunyai tamakninah sebelum imamnya bangkit daripada rukuk.

Contoh-Contoh Masbuq

Contoh Pertama

Setengah daripada ma’mum itu pada mulanya dia adalah orang muafiq, di dalam menunaikan peraturan-peraturan solatnya ia terlewat, belum sempat ia bangkit qiam tiba-tiba imamnya telah rukuk atau hampir rukuk, hukum ma’mum itu ialah orang masbuq. Jika ia sempat qiam dan terus rukuk sebelum imamnya bangkit daripada rukuk maka ia mendapat rakaat itu, dan diamaafkan dia meninggalkan bacaan fatihah.

Contoh Kedua

Didapati imam-imam solat terlalu cepat membaca bacaan di dalam solat. Apabila ma’mum berdiri daripada sujudnya didapati imamnya sudah rukuk dan ia tidak sempat menghabiskan bacaan fatihah, maka hukumnya wajib ke atas ma’mum itu rukuk bersama-sama imamnya kerana ia seperti orang masbuq dan dia mendapat rakaat itu. Begitulah hukumnya jika hal keadaan ini berlaku hatta setiap rakaat sekalipun. Kalau ma’mum meneruskan bacaan fatihahnya hingga selesai sedangkan imam sudah rukuk dan bangkit daripada rukuk, atau dia dapat rukuk bersama imam tetapi tidak sempat dapat tamakninah dalam keadaan imamnya sudah bangkit dari rukuk, maka luputlah rakaat itu darinya. Hendaklah dia terus mengikut imamnya sehingga salam, tetapi dia dikehendaki menambah satu lagi rakaat yang terluput tadi.

Adalah sunat bagi orang masbuq untuk tidak membaca apa-apa bacaan sunat selepas takbiratul ihram tetapi hendaklah membaca al fatihah sahaja kecuali ia menjangka sempat membaca al fatihah dan membaca zikir yang sunat itu baharulah boleh berbuat demikian.

Contoh ketiga

Seorang masbuq yang berjamaah dengan imam, apabila rukuk imamnya dan makmum yang masbuq belum lagi sempat membaca surah al fatihah di mana ia tidak membaca apa-apa melainkan al fatihah, hendaklah ia tinggalkan bacaan al fatihahnya dan wajib ia mengikut imamnya rukuk, kerana al fatihah yang belum dibaca atau sempat dibaca sebahagian sahajaitu semuanya ditanggung oleh imamnya. Jika makmum yang masbuq itu bertabiat lambat bacaannya sekalipun, tidak wajib ke atasnya membaca lebih daripada kemampuan yang ia dapat. Berlainan kepada makmum muafiq yang lambat bacaan, dia dikehendaki menghabiskan bacaan al fatihahnya dan dimaafkan ketinggalan tiga rukun daripada imamnya sebagaimana dalam penerangan yang lepas.

Contoh keempat

Jika seorang makmum masbuq rukuk terkemudian daripada imam sebab ia membaca al fatihah hingga imamnya bangkit daripada rukuk, maka luputlah rakaat itu Dan wajib ke atasnya tambah satu lagi rakaat selepas salam imamnya.

Contoh kelima

Seorang makmum masbuq bersolat jamaah sibuk membaca zikir yang sunat, tiba-tiba imamnya rukuk sedangkan dia belum membaca fatihahnya. Makmum itu wajib ke atasnya membaca fatihah sekadar huruf-huruf yang dibaca dalam zikir sunat itu, dan ia dikehendaki menggunakan ijtihad dzannya dalam hal ini.

Contoh keenam

Jika seorang makmum yang masbuq itu diam tanpa membaca fatihah selepas takbiratul ihram sehingga imamnya rukuk, wajib ia membaca fatihah sekadar masa yang ia diam itu, dan ia dikehendaki menggunakan ijtihad dzannya dalam hal ini.

Apabila makmum masbuq itu selesai membaca daripada fatihah kerana menggantikan zikir sunat atau diamnya dalam contoh kelima dan keenam di atas, kemudian wajib ia rukuk, jika ia dapat rukuk dengan imam sekadar tamakninah dengan yakin sebelum imamnya bangkit daripada rukuk sedangkan ia baharu sahaja selesai membaca fatihah atau ia sempat rukuk dengan imamnya tetapi tidak ada tamakninah, maka luputlah rakaat itu dan dia dikehendaki tambah satu lagi rakaat selepas salam imamnya.

Jika imamnya sudah mengangkat kepala daripada rukuk dan makmum yang masbuq tadi masih belum sempurna bacaan fatihahnya maka wajib makmum tadi niat mufaraqah sebagaimana diterangkan oleh Syeikh Ibnu Hajar dalam kitab minhajul qawwim, diterangkan oleh syarbini dalam kitab mughni dan diterangkan oleh Syeikh Ramli dalam kitab nihayah. Menurut pendapat syeikhul Islam pula, makmum yang masih belum sempurna bacaan fatihah nya sedangkan imamnya sudah mengangkat kepala daripada rukuk, tidak wajib atasnya niat mufaraqah, bahkan diberi pilihan antara mufaraqah atau tinggalkan rukuk dan sujud terus bersama imamnya.

MASBUQ JUMAAT

Solat jumaat diwajibkan dengan berjamaah. Oleh itu, tidak sah jumaat kecuali dengan berjamaah sekurang-kurangnya dengan empat puluh orang yang berakal, cukup umur(baligh), merdeka dan bermastautin.

Bagi seorang makmum masbuq yang ingin mendapat jumaat, dia hendaklah sekurang-kurangnya sempat rukuk bersama imam pada rakaat yang kedua serta mempunyai tamakninah. Kemudian dia hendaklah menambah satu lagi rakaat selepas salam imam dan disunatkan membaca fatihah dan bacaan ayat qur’an yang sunat dengan nyaring.

Jika ia tidak sempat mendapatkan rukuk bersama imam pada rakaat kedua itu, maka hendaklah ia menyempurnakan solat itu sebagai solat zohor iaitu dengan menambahkan empat rakaat selepas salam imam. Bacaan fatihah serta ayat yang sunat selepasnya hendaklah dengan perlahan.

Mana-mana makmum masbuq yang sempat berimamkan orang yang mendapat satu rakaat dengan imam jumaat, maka dia juga dikira mendapat jumaat jika dia sempat mendapat sekurang-kurangnya rukuk imam pada rakaat kedua sebagaimana di atas, kemudian sdia menambah satu rakaat lagi selepas salam imam. Begitulah seterusnya sekiranya ada lagi makmum masbuq yang datang berimamkan makmum yang sempat berimamkan makmum masbuq sebelumnya, sehinggalah waktu asar.

About these ads