SEDUTAN TAFSIR AL MUNIR

AYAT 20 HINGGA 23 SURAH AL ANFAL

1.TERJEMAHAN

20. Wahai orang-orang Yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran Yang mewajibkan taatnya).

21. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) Yang berkata: “Kami dengar”, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).

22. Sesungguhnya Sejahat-jahat makhluk Yang melata, pada sisi (Hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang Yang pekak lagi bisu, Yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).

23. Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah ia menjadikan mereka dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan Yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan diri.

2.HURAIAN TAFSIR

Allah memerintahkan hambaNya orang-orang beriman dengan ketaatan kepadaNya dan ketaatan kepada rasulNya, serta melarang mereka daripada menyalahi suruhan dan laranganNya.

Ayat di atas berkisar tentang seruan jihad serta meninggalkan harta benda sebagai rentetan perbincangan ayat sebelumnya.

Allah memberi peringatan agar orang-orang beriman tidak menjadi seperti golongan munafik yang berkata “kami dengar” sedangkan mereka tidak menghiraukan apa yang mereka dengar. Mereka tidak mahu turut berperang bersama-sama rasulullah dan para sahabat dalam perang Badar.

Lalu Allah ta’ala menyamakan golongan munafik dan musyrik itu dengan binatang ternakan yang melata di bumi bahkan  lebih teruk lagi kerana binatang ternakan tidak memudaratkan sedangkan munafik dan musyrik memudaratkan aqidah manusia.

Ini kerana mereka tidak memikirkan beza antara hak dan batil, baik dan buruk, petunjuk dan kesesatan, Islam dan kekufuran; seolah-olah mereka tidak mempunyai deria rasa terhadap manfaat, faedah dan kebaikan yan diperolehi hasil daripada ketaatan itu.

2.PENGAJARAN

Ayat-ayat di atas mengandungi dua pengajaran penting:

  • Taat Allah dan RasulNya
  • Peringatan agar tidak menyalahi perintah dan larangan Allah dan rasul.

Tiga golongan yang ditujukan oleh Allah azza wa jalla sebagai ‘seburuk-buruk binatang melata” ialah seperti berikut:

1.Munafik-mereka yang menzahirkan keimanan tetapi menyembunyikan kekufuran dalam hati. Mereka buat-buat dengar suruhan Allah dan rasul tetapi hakikatnya mereka tidak mentadabbur dan tidak memahami sedikit pun.

2.Yahudi dan Nasrani –mereka suka mempertikaikan kebenaran yang datang dari Nabi Muhammad s.a.w. Mereka inilah yang disifatkan dalam ayat tersebut sebagai “pekak telinga” kerana mereka meniadakan fungsi akal daripada memikirkan dan bercita-cita dengan kebenaran Islam.

3.Musyrik-mereka merupakan golongan yang keras kepala (kafir Inad)kerana tidak mahu dengar kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. selama-lamanya, bahkan menyekat orang lain dari mendengar al Qur’an dan sabda rasulullah s.a.w. serta membuta tuli ikut kepercayaan nenek moyang mereka.

About these ads