TAFSIR AYAT 6 HINGGA 9 SURAH A HUJURAT

يا أيها الذين آمنوا ان جاءكم فاسق بنباء فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين  .واعلموا أن فيكم رسول الله لو يطيعكم كثير من الأمر لعنتم ولكن الله حبب اليكم الايمان و زينه في قلوبكم و كره اليكم الكفر والفسوق والعصيان . اولئك هم الراشدون. فضلا من الله ونعمة.والله عليم حكيم.و ان طاءفتان من المؤمنين اقتتلوا فأصلحوا بينهما , فان بغت احداهما على الأخرى فقاتلوا التي تبغي حتى تفيء الى أمر الله. فان فاءت فأصلحوا بينهما ب العدل و أقسطوا. ان الله يحب المقسطين

6. Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini – Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.

7. Dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus; -

8. (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

9. Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

ASBABUL NUZUL AYAT 6

Ayat 6 surah al hujurat mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita dari orang-orang fasik. Sebab nuzul atau turunnya ayat ini ialah bersempena kisah seorang muslim yang bernama al Walid bin Aqabah bin Abi Mu’id yang diutuskan oleh Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam untuk memungut harta sedekah dari Bani Mutalib. Kemudian apabila beliau ke Kampung Bani Mutalib, tiba-tiba beliau melihat penduduk kampung ramai-ramai keluar untuk menunaikan sedekah. Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu lari ke Madinah menghadap Baginda Nabi sallalahu alaihi wasallam, lau menceritakan apa yang berlaku. Setelah mendengar berita itu, baginda mengarahkan kerahan bala tentera untuk menyerang kampung Bani Mutalib. Baginda melantik Khalid al Walid sebagai pemimpin bala tentera. Khalid Al Walid bertindak menghantar perisik ke kampung tersebut untuk menyiasat apa yang berlaku. Sesampainya di sana, mereka terdengar suara azan dan melihat orang kampung menunaikan solat. Ternyata mereka tidak murtad sebagaimana didakwa oleh Walid bin Aqabah. Lalu Khalid al Walid dan bala tentera Islam kembali ke Madinah bertemu Rasulullah. Kemudian Allah menurunkan ayat 6 surah al hujurat sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik.

PENGERTIAN FASIK

Fasik ialah orang yang keluar dari garis panduan Islam. Menurut syara’, fasik ialah orang yang mengerjakan dosa-dosa besar atau mengekalkan dosa-dosa kecil.

PENGAJARAN

Sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud,  ”Berhati-hati itu dari Allah dan terburu-buru itu dari syaitan.”

Kalau di zaman Rasulullah sudah ada orang-rang Islam yang membawa berita palsu dan tidak betul, maka di zaman kita ini lebih-lebih lagi, terutamanya melalui media massa yang ada sekarang ini seperti tv dan akhbar. Ditambah pula dengan teknologi internet yang sedang berkembang maju, dunia hanya di hujung jari, berita-berita cepat tersebar tanpa mempedulikan sama ada betul atau tidak. Yang penting ialah sensasi berita itu. Kebenaran menjadi perkara kedua dalam pertimbangan. Sebahagian rakyat bagaikan mendapat kedai kopi kedua di mana mereka bincangkan isu-isu semasa sama ada politik, ekonomi, sosial, agama dan lain-lain dalam internet.

Lebih teruk lagi, ada individu tertentu seolah-olah menjadikan internet terutamanya blog-blog sebagai tempat menyelesaikan masalah dalaman gerakan Islam. Blog dan laman web sebagai media baru sangat berkesan dalam menyampaikan maklumat-maklumat terkini kepada masyarakat. Keburukannya ialah mereka tidak dapat membezakan yang mana benar dan yang mana salah. Ini kerana hilangnya kemahiran yang diajar oleh Allah s.w.t. melalui ayat di atas agar kita menyelidik berita yang disampaikan, lebih-lebih lagi di zaman kefasikan masa kini

TAFSIR AYAT 7

7. Dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus; -

Rasulullah masih ada di kalangan kamu, maka janganlah ada di kalangan kamu yang membohongi Rasulullah s.a.w. Kamu hendaklah memaklumkan kepadanya berita yang sebenar. Menerima berita yang sebenar daripada pengajaran yang sebenar. Kalau kamu mendustakan Rasulullah s.a.w, maka Alah Maha Mengetahui dan Allah akan mendedahkan kerja-kerja tidak betul yang kamu lakukan.

Allah ta’ala menyatakan sekiranya Rasulullah s.a.w. taat kepada kamu dalam banyak perkara atau dengar percakapan kamu semuanya, nescaya akan berlaku perkara-perkara yang berat ke atas kamu dari kesilapan-kesilapan yang diambil oleh Rasulullah tentang berita yang kamu bawakan. Kalaulah Rasulullah s.a.w. percayakan berita al Walid bin Aqabah, kemudian mengarahkan Khalid al Walid lancarkan serangan ke atas penduduk Kampung Bani Mutalib itu tanpa usul periksa terlebih dahulu, sudah tentu ramai orang beriman akan dibunuh.

Seterusnya Allah ta’ala menjadikan perasaan kamu itu kasih kepada iman sehingga kamu tidak membohongi Rasulullah s.a.w. Kamu tidak menyampaikan berita-berita yang tidak betul kerana Allah ta’ala telah menjadikan iman itu suatu perkara yang kamu kasih. Kalau tubuh badan kita ini ada perhiasan yang zahir, maka perhiasan di dalam hati kita ialah iman dan perhiasan itu adalah kurniaan daripada Allah ta’ala.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud: ” Alah ta’ala menjadikan kebencian dalam diri kamu terhadap kekufuran , kefasikan dan penderhakaan.” Allah ta’ala menjadikan dalam hati orang-orang yang beriman itu benci kepada kufur, benci maksiat dan benci kepada fasik. Ini adalah suatu sifat yang Allah ta’ala jadikan di dalam hati-hati orang yang beriman. Hasil daripada pemberian Allah ta’ala ini menyebabkan seseorang itu melihat perkara kufur, maka dia akan benci dan marah. Kalau sekiranya dia melihat perkara-perkara tersebut dan ia terasa ingin melakukannya, maka sudah tentu dalam dirinya mempunyai hati yang kotor dan keji. Tetapi Allah ta’ala menjadikan dalam hati kita benci melihat kepada kufur, maksiat dan sebagainya. Semuanya ini adalah kurniaan daripada Allah azza wajalla.

Allah berfirman lagi yang maksudnya: ”Mereka itulah orang yang berada di atas jalan yang lurus dan betul.”

Makna al Rasyidun ialah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus iaitu jalan siratal mustaqim, orang-orang yang beristiqamah, orang yang duduk di atas jalan yang betul dan sentiasa berdiri teguh di atas jalan yang lurus itu. Bukanlah kita duduk di atas jalan yang betul andai pegangan kita terhadap Islam tidak teguh dan kukuh, ibaratnya seperti angin, apabila dia bertiup ke arah timur, maka dia condong ke sebelah timur dan begitulah sebaliknya. Maksud berdiri atas jalan yang betul ialah tegak atas pegangan yang betul.

TAFSIR AYAT 8

8. (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Perasaan suka kepada iman dan benci kepada kufur merupakan antara kurniaan Allah yang paling besar kepada kita.  Nikmat lain yang kita perolehi atas mukabumi ini tidak kekal lama seperti nikmat makan, ia akan hilang apabila ia masuk ke dalam perut. Nikmatnya hanya di mulut sahaja. Adapun nikmat Iman, ia berkekalan, berpanjangan sampailah kita ke dalam kubur, bahkan tetap bersama-sama kita di hari akhirat.

TAFSIR AYAT 9

9. Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ada beberapa riwayat tentang turunnya ayat ini. Di antaranya, menurut riwayat al Mukhtar bin Sulaiman dari Anas bin Malik, beliau berkata, aku pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w. “ Wahai Nabi Allah, alangkah baiknya kalau Rasulullah s.a.w. pergi berjumpa dengan Abdullah bin Ubay”(pemimpin kaum munafik yang ketika itu masih belum masuk Islam).

Lalu Rasulullah pergi dengan menunggang seekor keldai bersama-sama dengan beberapa orang Islam. Mereka melalui suatu kawasan tanah berdebu. Setelah sampai di tempat Abdullah bin Ubay laknatullahi alaihi, berkatalah Si Bapa Munafik itu dengan suara yang keras, ”Jauhkanlah keldai itu dariku, demi Allah aku tidak tahan menghidu bau busuk keldaimu itu.”

Lalu salah seorang lelaki di kalangan Ansar berkata kepada Abdullah, ”Demi Allah, sesungguhnya keldai Rasulullah s.a.w. adalah lebih harum baunya dari kamu.”

Rasulullah tidak menjawab barang sedikitpun dek kerana memang sikap baginda yang penyabar dan lemah lembut. Kemudian ada pengikut Abdullah bertengkar dengan lelaki Ansar tadi, menyebabkan berlakunya pergaduhan. Kemudian turun ayat ini memerintahkan agar diperdamaikan kedua-dua belah pihak.

Mengikut riwayat yang lain pula, bahawa ada seorang wanita Ansar berkahwin dengan seorang lelaki dari suku kaum lain. Pada suatu hari, berlakulah perbalahan suami isteri itu. Ummu Zaid ingin menziarahi keluarganya tetapi tidak dibenarkan oleh suaminya. Beliau dikurung dalam rumah. Secara sembunyi perempuan itu menyampaikan berita tersebut kepada keluarganya. Mereka pun datang beramai-ramai sementara suaminya pula memanggil ahli keluarganya dan akhirnya berlakulah perbalahan.

Kesimpulannya, Allah ta’ala memerintahkan supaya apabila berlaku pergaduhan, perbalahan, pertelingkahan, perselisihan faham, maka hendaklah diperdamaikan keduanya dengan al Qur’an dan sunnah Rasulullah s.a.w. Sekiranya salah satu pihak melampau(tidak mahu penyelesaian menurut al Qur’an dan Sunnah), maka perangilah mereka hingga mereka kembali kepada Qur’an dan Sunnah Nabi.

Hukum perdamaian yang diperintahkan daam ayat tersebut terpakai dalam keadaan sama ada hanya sebelah pihak yang salah ataupun kedua-duanya bersalah. Sekiranya kedua-dua belah pihak degil dan tidak mahu berdamai, maka hendaklah diperangi keduanya sehingga mereka kembai kepada hukum Allah. Tetapi jika sekiranya salah satu pihak benar, dan sebelah lagi salah; lalu kedua belah pihak berdegil untuk tidak berdamai, maka elok perangi yang salah.

Adapun sekiranya kedua-dua pihak berada dalam keraguan siapakah yang lebih benar, maka hendakah masing-masing mengemukakan hujjah yang terang lagi nyata. Apabila hujjah yang terang lagi nyata telah dikemukakan tetapi masing-masing masih berdegil, maka kedua-duanya dianggap penderhaka dan mereka boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

Ayat ini juga menjelaskan kepada kita tentang kewajipan mengambil tindakan yang tegas terhadap golongan pemberontak yang menentang hukum hakam Allah ta’ala sama ada dia penderhaka kepada sesuatu kerajaan Islam atau dia pelampau kepada orang perseorangan atau golongan tersebut.

Ayat ini mengharuskan penyerangan dilakukan kepada penderhaka dan ia merupakan fardhu kifayah. Perlu dinyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan penderhaka menurut Islam ialah kumpulan orang-orang yang beriman yang menentang kerajaan yang adil, kerajaan yang melaksanakan Islam dalam satu-satu negara, walaupun demikian oleh kerana berlaku silap faham di kalangan kumpulan itu disebabkan berlainan pendapat tentang cara pelaksanaan syariat Islam. Adapun jika sekiranya kerajaan itu tidak menjalankan syariat Islam, maka tidak wujudlah apa yang diistilahkan sebagai pemberontak.

Wallahu a’lam.

About these ads