ILMU USUL FIQH

Bahagian 1
    

Saya pernah berjanji dengan salah seorang penanya dalam ruangan soaljawab agama untuk menulis berkenaan ilmu usul fiqh. Sudah terlalu lama janji itu tidak ditunaikan dek kerana kesibukan yang berpanjangan. Kali ini insya Allah saya cuba tunaikan setakat yang termampu.

Untuk pengetahuan, saya menggunakan risalah matan al waraqat fi usulil fiqh karangan al Imam al Haramain Abdul Malik bin Abdullah al Juwaini(meninggal 478 hijriah) sebagai asas dan kitab Syeikh Abdul Karim Zaidan, al wajiz fi usulil fiqh sebagai huraiannya.

Makna Usul Fiqh

Usul: ia kalimah jamak(plural) bagi aslun yang membawa makna secara bahasanya; “Apa yang dibina ke atasnya(asas) selainnya”. Adapun makna usul dari sudut istilah memberi beberapa pengertian iaitu dalil, rajih(asal makna yang hakiki dari Qur’an Sunnah), dan kaedah.

Fiqh: Pada bahasa, ia bererti “Ilmu dengan sesuatu dan kefahaman baginya.” Akan tetapi penggunaannya(kalimah fiqh) dalam al Qur’an tidaklah menunjukkan kepada makna yang dikehendaki dalam ilmu fiqh, bahkan ia membawa erti kefahaman yang mendalam seperti dalam contoh ayat;

                    
91. mereka berkata: “Wahai Syuaib,! Kami tidak mengerti kebanyakan dari apa Yang Engkau katakan itu, dan Sesungguhnya Kami melihat Engkau orang Yang lemah Dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah Kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati). dan Engkau pula bukanlah orang Yang dipandang mulia Dalam kalangan kami!”

Dan juga dalam contoh ayat ;

                                        
78. di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada Dalam benteng-benteng Yang tinggi lagi kukuh. dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” ini adalah dari (sesuatu nahas) Yang ada padamu”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. maka apakah Yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?

Adapun al fiqh pada istilah ulama’ ialah satu ilmu dengan hukum syarak yang praktikal, yang diusahakan secara ijtihadi daripada dalil-dalilnya yang terperinci; atau ia(fiqh) merupakan hukum-hukum itu sendiri.

Adapun Usul Fiqh sebagai satu istilah, ia membawa maksud :

“Ilmu tentang kaedah mengeluarkan hukum fiqh berdasarkan dalil ijmal (umum/tidak terperinci).”

…………………..
Akan disambung insyaALLAH..

About these ads