Rabu, 27 Jun 2007


Hukum Islam, Fitrah dan Aqal Manusia

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net

Islam adalah sebuah cara hidup yang amat bertepatan dengan fitrah manusia. Setiap hukum yang diletakkan oleh Allah SWT adalah bertujuan membawa kebaikan kepada manusia dan menjauhkan mereka dari kemudaratan samada yang dapat dilihat dan ditanggapi oleh pancaindera dan logik aqal manusia atau tidak.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut, tidak mungkin akan dijumpai satu arahan Allah dari sumber nas Al-Quran atau hadith nabi yang merupakan perkara mustahil. Jika ada, sudah tentu samada dalil dari hadith itu kurang sohih atau aqal manusia masih gagal mencari hikmah dan kebaikan yang terselindung disebaliknya. Hal ini juga telah lama disebut oleh Imam Izzuddin Abd Salam dalam Qawaid al-ahkam fi masalihil anam dan juga oleh Imam Ibn Taymiah dalam kitab khasnya yang menghuraikan isu ini.

“Tapi ustaz, ada juga beberapa benda yang Islam larang, tapi saya rasa memberi manfaat kepada manusia” tegas seorang doktor perubatan kepada saya di sebuah masjid selepas mendengar kuliah saya.

“Boleh bagi contoh” tanya saya

“Contohnya kenapa Islam perlu menghalang seorang wanita dalam ‘iddah berkahwin lain setelah bercerai dengan suaminya, jika Islam inginkan rahim isteri itu bersih dari suami, bagaimana jika sudah ada teknik yang boleh mengesahkan rahim tersebut tiada benih suaminya, adakah Islam akan haruskan?” Tanya doktor itu lagi.

“ye, masih dilarang” kata saya ringkas

“Itu lah yang saya maksudkan nampak macam bertentangan dengan kebaikan, sedangkan isteri tadi mungkin perlukan teman dengan segera agar tak terjebak dengan maksiat pula, malah rahimnya juga telah disahkan bersih” Hujah doktor tadi mengasak saya.

“Mudah saja, sebab Islam menghalalkan Ruju’ (kembali) bagi suami selama masih dalam tempoh iddah, rujuk tidak perlu kepada aqad nikah baru. Tempoh ‘iddah adalah satu bentuk ‘masa istimewa’ buat suami untuk memikirkan samada ia benar-benar tidak boleh bersama lagi dengan isterinya lagi atau ia tersilap membuat keputusan menceraikannya” saya menerangkan.

“Tempoh waktu ini amat diperlukan oleh fitrah manusia yang perlukan masa untuk menenangkan diri dan berfikir tentang sesuatu dengan lebih matang dan waras, keperluan ‘iddah bukan hanya bergantung kepada isu rahim kosong dari benih suami atau tidak sahaja, itu hanya salah satu dari objektif ‘iddah yang cuba dilontarkan oleh ulama mazhab Hanafi” Tegas saya lagi.

Ajar Utamakan Nas dari Logik

Sebab itulah saya kurang bersetuju untuk kita mendahulukan logik aqal ketika cuba menyakinkan orang ramai tentang sesuatu hukum. Sewajarnya, kita ajar dahulu mereka dengan dalil dan ketetapan Allah. Selepas itu barulah diiringi dengan tambahan logik itu dan ini. Jika diajar, setiap hukum dengan logik, satu hari..pendakwah Islam akan terperangkap.

Bayangkan, saya selalu dengar, bila ditanya :

“kenapa Islam haramkan makan babi”

Ada yang akan menjawab, kerana babi itu ada kuman yang sangat merbahaya, dia makan najis, kotor dan lain-lain.

Benar, ia jawapan yang sangat baik. Tapi bagaimana jika satu hari pembunuh dan penawar kepada kuman babi dapat dihasilkan. Adakah kita ingin mengatakan.

Oleh kerana kuman dan segala mudarat babi tu telah berjaya dihapuskan, kini ia jadi halal ?

Dalam hal hukum yang tidak bergantung kepada ‘sebab musababb khas’ atau yang disebut juga sebagai ‘illah, maka janganlah kita mempopularkan hikmah dan logik disebalik arahan sebegini ( khasnya dalam bab ibadah). Ia akan mengelirukan kelak.

Pendakwah Islam perlu memikirkan cara untuk membajai iman yang teguh kepada Allah, kasih kepada Allah dan keyakinan kepada segala arahannya walaupun tanpa logik. Ia perlu dibina terlebih dulu sebagai Nabi Saw sentiasa ingatkan sahabatnya dengan akhirat dan kematian dalam apa jua keadaan. Adapun cara lanjutnya, sama-sama kita fikirkan.

Sebagai contoh cara lanjutannya, saya bersetuju dengan pendapat sahabat saya (www.saifulislam.com) yang specialized dalam bidang sikap, yang mengajak kita berfikir tentang akhlak sebagai salah satu cara berkesan dalam dakwah, jambatan kepada segala ‘gap’. Kerana akhlak punyai kekuatan untuk mempengaruhi manusia walaupun tanpa logik. Punyai kekuatan pengaruhi manusia untuk tidak bersangka buruk bila di ajak.

Akhlak juga adalah salah satu punca untuk sampai kepada kasih. Orang berkasih, semua yang datang dari kekasihnya adalah baik. (Sebab tu ramai wanita yang kena rogol dengan orang yang dikenali dan dipercayainya – menurut statistik)

Demikian juga, bila sudah yakin dan percaya kepada kebijaksanaan dan rahmat belas Allah SWT, semuanya akan diterima samada ia logik atau tidak. Samalah macam bila sudah yakin dan kasih kepada seseorang alim, cakapnya akan lebih mudah diterima dari orang lain.

Demikian Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, yang menerima kebenaran Isra Mikraj baginda SAW walaupun ia tidak logik dek aqal, kerana ia adalah dari Muhammad Bin Abdullah yang amat amanah lagi berakhlak.

Fitrah, Tempoh Bertenang & Tidak Bertegur

Islam melarang umatnya dari tidak bertegur sapa dengan sahabat seIslamnya yang lain dek kerana pergaduhan perkara keduniaan lebih dari 3 hari. Antara yang dimaksudkan pergaduhan kerana sebab dunia adalah kerana tanah, harta pusaka, rumah, tanam bunga masuk kawasan jiran, isu pangkat, isu cemburu wanita dan lelaki dan lain-lain yang tidak ada kaitan secara langsung kepada Islam.

Nabi SAW bersabda :

ولا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ

Ertinya : Dan tidak halal bagi seorang Muslim itu meninggalkan ( tidak bertegur sapa kerana pergaduhan) saudara seIslamnya lebih dari 3 hari” ( Riwayat Al-Bukhari, 5/2253)

Kenapa 3 hari?, inilah sifat fitrah dalam kerana Islam. Walaupun Nabi SAW pernah menasihatkan agar jangan marah dalam sabdanya :-

سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ مَاذَا يباعدني من غَضِبِ اللَّهِ عز وجل قال لاَ تَغْضَبْ

Ertinya : Ditanya kepada Rasulullah SAW : Apakah yang menjauhkan aku dari kemurkaan Allah SWT , jawab Nabi : Janganlah kamu marah ” ( Riwayat Ahmad, 2/175)

Walaubagaimanapun, kemarahan tetap tidak dapat dielak secara total, justeru Islam memberikan motivasi dan cara bagaimana cara menangani marah dengan pelbagai cara. Apabila ia berkait dengan orang lain, Islam mengajar kita agar jangan terlalu terbawa-bawa sehingga memutuskan ikatan persaudaraan dan persahabatan hanya kerana kes marah & gaduh tadi.

Imam An-Nawawi menyebutkan :-

تحرم الهجرة بين المسلمين أكثر من ثلاث ليال بالنص وتباح في الثلاث بالمفهوم وإنما عفى عنه في ذلك لأن الآدمي مجبول على الغضب

Ertinya : “Diharamkan tidak bertegur sapa di antara Muslimin ( yang disebabkan punca pergaduhan dunia) lebih dari 3 hari secara jelas dari Nas hadith, dan secara mafhumnya difahami harus untuk melakukan itu (jika perlu) selama 3 hari, dan sesungguhnya dimaafkan sifat demikian kerana manusia sentiasa terbawa-bawa sifat marah” ( Syarah Sohih Muslim, 16/117)

Memang tidak mungkin untuk melenyapkan pergaduhan kerana keduniaan di antara sesama manusia, justeru Islam menggalakkan kemaafan antara satu sama lain.

Islam membenarkan tidak bertegur sapa untuk maksimum 3 hari sebagai memenuhi kehendak fitrah manusia, tetapi tidak lebih dari itu, kerana lebih dari tempoh tersebut akan membawa mudarat kepada ikatan dan keutuhan sesama Islam.

Di dalam kaedah Islam ditegaskan :-

فتقدم المصلحة العامة على الخاصة

Ertinya : “Kepentingan umum sentiasa di dahulukan atas kepentingan peribadi” ( Az-Zakhirah, 2/467 ; Al-I’tisam , As-Syatibi, 2/116 ; Al-Muwafaqat, 2/367)

Justeru, melayani kemarahan dan keegoan diri adalah kepentingan peribadi, jangan sampai ia melewati batas kepentingan umum. Kepentingan umum yang menjadi objektif Islam adalah masyarakat Islam yang berkasih sayang, bantu membantu dan objektif ini akan terhakis jika semua individu melayani kepentingan dan keegoan dirinya dalam hal ini lebih dari 3 hari.

Cuma perlu difahami, jika tidak bertegur sapa kerana berjauhan, kesibukan dan terputus komunikasi sehingga tidak dapat bertegur sapa lebih dari 3 hari, ia tidak termasuk dalam larangan Islam.

Hakim, Fitrah & Tempoh Bertenang

Islam sangat mengambil berat perihal keadilan di dalam sebarang penghakiman. Walaupun demikian, Islam amat memahami hal keadaan seorang hakim yang ditugaskan menjaga keadilan itu. Walaupun sehebat dan sebijak mana sekalipun ia, Islam masih meraikan kelemahannya sebagai manusia yang terbatas kemampuan dan perasaan. Sebagai contoh jelas, Nabi SAW bersabda :-

لا يقضينّ حكم بين اثنين وهو غضبان

Ertinya : Janganlah sesekali seorang hakim menetapkan sesuatu hukuman di antara dua orang (yang sedang bertelagah) dalam keadaan hakim itu sedang dilanda perasaan marah” ( Riwayat Al-Bukhari, 6/2616 ; An-Nasaie, 3/474 )

Hukum larangan ini bertujuan memastikan keadilan di capai dalam apa jua keputusan. Sebarang perasaan tidak sedia seorang hakim seperti marah, mengantuk, pening, lapar, ingin ke tandas dan lain-lain yang boleh menganggu keputusannya, perlu dijauhi di ketika membuat keputusan penting melibatkan keadilan dua pihak. Demikian disebutkan oleh Imam Ibn Daqiq Al-‘Id dan Imam Ibn Hajar Al-Asqolani (Fath Al-Bari, 13/137)

Hukum ini menunjukkan ketrampilan Islam sebagai sebuah agama fitrah, yang sangat memahami keadaan fitrah manusia yang lemah dan mudah terkesan dengan suasana fizikal dan mentalnya.

Aqal Manusia Tidak Mampu

Allah SWT juga menegaskan bahawa aqal manusia juga tidak sebegitu canggih untuk mengenalpasti setiap yang baik dan yang buruk untuk dirinya dengan tepat.

Firman Allah SWT :-

وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

Ertinya : “dan mungkin apa yang kamu benci itu adalah baik untukmu dan mungkin apa yang kamu sukai itu adalah buruk untukmu, Allah lebih mengetahui dan sesungguhnya kamu tidak mengetahuinya” (Al-Baqarah : 216)

Justeru, Islam sekali lagi mengajar kita agar tidak terlalu mengukur sesuatu menurut aqal semata-mata. Terdapat banyak perkara yang memerlukan penilaian iman bagi mencapai kebenaran.

Sedarilah, terlalu banyak perkara yang kelihatan baik untuk kita, menyebabkan sebahagian besar kita berasa marah apabila mengetahui ia adalah haram. Banyak pula perkara yang kita merasakan sukar dan tidak ‘best’ tetapi ia wajib dijaga. Semuanya adalah untuk kebaikan kita.

“jangan makan tu” jerit seorang ibu kepada anaknya yang cuba makan sesuatu yang sudah basi.

“jangan keluar main waktu begini, panas ni tak elok” Kata bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun.

“Hari ini, tak boleh makan gula dan aiskrim” tentu kita kerap menyebut perkataan ini kepada anak kita.

“Cukup-cukup, tutup tv tu, dah panas dah dia” tegas seorang datuk kepada cucunya.

Pastinya kanak-kanak yang dihalang sedemikian mencebik dan adakalanya cukup benci dengan pantang larang ini.

Apakah sebabnya pantang larang ini dibuat? Adakah kerana dengki, agenda tersembunyi si ibu bapa dan datuk?

Jawabnya adalah kerana kasih mereka untuk memastikan kebaikan buat orang di bawah jagaan mereka. Kasih inilah agenda tersembunyi.

“eleh, kalau gitu, sebutlah elok-elok, ni tak kasar dan keras je” tegas seorang anak protes.

Kasar dan keras bergantung kepada teknik masing-masing. Nabi SAW juga pernah berkeras dengan sahabat. Seperti memboikot Ka’ab bin Malik dan 2 orang lagi kerana ‘ter’cicir mereka dari perang Tabuk.

Yang lebih penting adalah ia dilakukan kerana ilmu si ibu bapa lebih dalam dari pengalaman pendek si anak. Ia juga dibina atas rasa kasih dan ingin menjaga kanak-kanak itu. Tanpa kasih, ibu bapa akan membiarkan saja anak-anak itu buat apa yang disukainya tanpa larangan. Kesannya, anak akan menderita jangka panjang, gembira jangka pendek. Ibu bapa tadi pula dianggap tidak bertanggungjawab kepada anaknya.

Allah SWT maha bijaksana, lalu memberikan beberapa larangan dan arahan bagi keselamatan kita dunia dan akhirat. Hukum hakam seterusnya diulas oleh baginda Nabi SAW sebagai penjelas kepada apa yang dituurnkan Allah SWT. Selepas kewafatan baginda, dalam perkara yang tiada sebarang nas yang khusus, para sabahat baginda dan seterusnya para ulama akan membuat penelitian mendalam terhadap seluruh hukum yang telah ada lalu membuat perbandingan hukum (qiyas) bagi mengeluarkan apa jua hukum bagi masalah baru. Bersandarkan kepada ilmu al-Quran dan al-Hadith yang amat mendalam, mereka akan meneliti hikmah dari setiap hukum yang asal agar setiap hukum yang difatwakan bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya. Sudah pasti banyak larangan dan arahan ini yang bertembung dengan kehendak peribadi masing-masing. Yakinlah ia adalah baik untuk dunia dan akhirat kita. Belajarlah untuk meyakininya.

Ulama Tiruan

Benar, memang terdapat ulama tiruan, ‘mata duitan’ dan macam-macam lagi gelarannya (moga dijauhkan Allah dari kita semua). Bagaimanapun, apa jua niat mereka, apabila mereka mengeluarkan sesuatu fatwa, yang pertama perlulah kita melihat kandungan saranan mereka terlebih dahulu serta hujjahnya.

Tidak lupa jua ahlaknya, tetapi jangan kerana rupanya kurang tampan, akhlaknya kurang baik, nadanya tinggi, wajahnya kelihatan sombong, lalu ditolaknya fatwa mereka tanpa sebarang pertimbangan.

Ingat juga, jangan kita kerap menyamakan orang lain dengan kita. Ada orang yang dirinya jarang sekali ingin berbuat baik kepada orang lain tanpa sebarang habuan dan upah. Semua mesti nak upah. Tiba-tiba dia ternampak ada orang lain berbuat baik, terus disangkanya sapa yang upah dia. “Mesti dia buat sebab nak upah punya pasal, berapa dia dibayar, dan pelbagai lagi”

Jangan, jangan fikirkan semua orang macam kita, jahat macam kita dan tak ikhlas macam kita. Melakukan ‘generalize’ kelemahan yang ada pada diri kita dan mengganggapnya ada pada orang lain akan menyebabkan banyak sangkaan buruk berlaku. Kerap prejudis kepada sesiapa jua.

Kerana itulah Allah SWT menyifatkan individu yang mampu menahan sangka buruk dari orang Islam yang lain adalah salah satu sifat orang yang beriman.

لَوْلَا إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ الْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا

Ertinya : “Adalah baik kiranya mereka mendengar (sesuatu berita) maka orang yang beriman lelaki dan wanita akan bersangka baik tentang sesama mereka..” ( An-Nur : 12)

Ayat ini menjelaskan secara tersirat, individu yang mudah bersangka buruk dengan apa jua kebaikan yang dilakukan oleh orang lain sebagai tidak ikhlas, untuk dapat habuan itu dan ini, jaga kedudukan dan lain-lain. Sebenarnya hanyalah memantulkan sifat dirinya sendiri, selain ia tidak menepati sifat seorang mukmin di sisi Allah. Maka jauhilah ia.

Redha Dengan Hukum

Hanya dengan keyakinan terhadap kebijaksanaan Allah SWT sahaja yang dapat menjadikan kita sebagai orang yang redha dengan hukum yang ditentukan oleh Nya. Allah menegaskan tiada pilihan aqal boleh masuk campur apabila sesuatu ketetapan hukum yang qati’e telah dibuat.

Sebagai hamba, kita diwajibkan menerimanya tanpa bantahan dan pilihan. Kecuali jika hukum itu tidak bersifat putus (Qat’ie). Untuk itu, seseroang yang ingin mempertikai perlu merujuk kepada mereka yang pakar bagi menentukan samada sesuatu hukum itu ‘Qa’tie’ atau ‘Zhonni’ sebelum ingin mempertikaikannya.

Firman Allah SWT :-

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا

Ertinya : Dan tidaklah boleh bagi seorang lelaki yang beriman dan wanita yang beriman itu, apabila Allah SWT & RasulNya telah menetapkan sesuatu hukum, maka mereka ingin memilih (mengikut suka hati mereka), dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, ia telah sesat dalam kesesatan yang nyata.

Allah SWT tidak akan mentaklifkan (meletakkan tanggung jawab) kepada manusia sesuatu arahan dan larangan yang mustahil mampu dikerjakan oleh manusia. (Al-Muwafaqat, As-Syatibi)

Semoga kita sedar Islam amat toleransi dengan kita, aqal kita pula memang kurang cukup bagi melihat kebaikan yang tersembunyi dan seluruh hukum Islam dibina atas fitrah buat keselamatan di dunia dan akhirat.

Sekian

U. Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

25 Jun 2007

10 Jumada Al-Akhir 1428 H

PANDANGAN ISLAM TERHADAP MUZIK

Nyanyian yang lunak adalah santapan jiwa manusia, menyegarkan otak dan disukai oleh pendengaran. Ia adalah kelazatan bagi telinga sepertimana makanan yang menjadi kelazatan bagi mulut dan perut; Pemandangan yang indah menjadi kelazatan bagi mata; bauan yang harum menjadi kelazatan bagi hidung dan sebainya.Adakah perkara-perkara yang baik dan lazat ini haram bagi Islam?!
Daripada beberapa dalil Qur’an,setiap benda yang baik lazimnya halal; Oleh itu setiap yang baik dipandang oleh jiwa dengan baik; akal manusia yang sejahtera adalah halal sebagai kerahmatan kepada umat Islam ini dan juga kerana kesyumulan, kelengkapan, dan keberkekalan risalah Islam. Firman Allah (maksud):
“Mereka bertanya kepadamu:Apakah yang dihalalkan bagi mereka?Bagi menjawabnya katakanlah:Dihalalkan bagi kamu yang lazat-lazat serta baik. “(Maaidah: 4)
Hak mutlak menghalal/mengharam sesuatu adalah milik Allah saja: (maksud):
“Katakanlah:’ Sudahkah kamu nampak baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfa’at kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanyaharam dan sebahagian lagi halal?Katakanlah lagi (kpd mereka):Adakah Allah mengizinkan kepada kamu hanya mengada-ngadakan secara dusta terhadap Allah?” (Yunus:59)
Firman Allah (maksud):
“Sesungguhnya merugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan lagi tidak berilmu (sedang Allah memberi rezki kepada sekelian makhluk); dan rugilah (mereka) yang mengharamkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dengan berdusta terhadap Allah. Sesungguhnya sesatlah mereka dan tiadalah mereka mendapat petunjuk.” (al An’am: 140)
Firman Allah (maksud):
“Dan kehidupan dunia ini hanyalah LAHWUN dan permainan belaka..” (Ankabut: 64)
RasuluLlah saw pernah menasihati Handzalah, Wahai Handzalah, bergurau ada masanya dan serius ada masanya. Saidina Ali ada menasihatkan:Rehatkan hatimu dr masa ke semasa kerana hati jika dipaksa akan menjadi buta. Juga dari Ali KW:Hati juga merasa jemu sepertimana juga badan merasa jemu; maka carilah perkara-perkara yang menarik untuk menghiburkannya. Telah berkata Abu Darda’:Aku menghiburkan diriku dengan sedikit al Lahwu untuk menguatkan diriku dalam melakukan perkara-perkara kebaikan.
KATA IMAM AL GHAZALI:
Apabila diajukan kepada Imam alGhazali apakah nyanyian termasuk al Lahwu? Beliau berkata:Ya begitulah sebenarnya. Sesungguhnya seluruh dunia adalah al lahwu dan permainan..dan semua guarauan bersama isteri adalah al lahwu melainkan jima’ yang bertujuan melahirkan zuriat. Begitu juga setiap gurauan yang tidak mengandungi kejahatan dan kemaksiatan, maka ia adalah halal. Sebab itulah ada waktu-waktunya makruh mengerjakan solat nawafil (sunat) untuk memberi kerihatan kepada orang yang sering melakukannya. Kerihatan sebenarnya menolong utk terus beramal. Sedikit dalam al lahwu dapat menolong seseorang dalam situasi tegang oleh kerana kita tidak akan mampu untuk sentiasa dalam keadaan serius dan kepahitan sepanjang masa kecuali jiwa para Anbiya’.
Maka al lahwu (berhibur seketika) adalah ubat juga bagi jiwa. Maka allahwu sudah semestinya Harus. Tapi al lahwu seperti mana ubat-ubatan yang lain ia tidak boleh diambil secara berlebihan.
Jika al lahwu disertai dengan niat ibadah, ia menjadi ketaatan kepada Allah. Sesiapa yang mendengar nyanyian dan muzikal janganlah menganggapnya sebagai sifat terpuji! Tapi hanya sekadar mendapatkan kelazatan dan kerihatan semata-mata.
Manusia mempunyai tingkatan: perkara-perkara yang harus kepada golongan martabat ABRAR (golongan yang baik) adalah kejahatan kepada golongan muqarrabin ( mereka yang sangat hampir dengan Allah) dan seterusnya.
Oleh itu kita mesti mengambil hukum ‘am/pada kadar yang biasa. Bagi yang mengetahui selok belok cara untuk mengubat hati, cara untuk melembutkan hati dan mendorongnya kepada kebenaran, secara pasti dia juga akan tahu bahawa merihatkan hati dengan perkara-perkara begini (lahwun dan la’ibun) adalah ubat yang berguna yang mesti digunakan (al Ghazali).
Nyanyian adalah Harus (dibolehkan) tapi dalam Acuan Islam . Muzik adalah termasuk dalam perkara tabi’iy (asasi) di sisi fitrah manusia. Ia juga termasuk bab Urf (adat resam sesuatu bangsa); ada bangsa yang amat suka kepada muzik dan nyanyian; Islam tidak menghalang sesuatu yang selari dengan fitrah dan diterima oleh urf (adat) atau cara hidup budaya setempat. (Prof Qardhawi, halal ; haram , juga Fatwa Mu’asirat) Bermain gambus dan nyanyian oleh hamba sahaya sudah diamalkan sejak zaman Ali bin Talib dan tiada yang menegahnya..
Malangnya industri musik seperti juga bidang-bidang lain, ia diterajui oleh Barat yang mempunyai muslihat yang jahat terhadap Islam terutama remajanya. Apabila industri muzik; nyanyian itu diterajui oleh Barat, maka umat Islam perlulah berhati-hati, unsur-unsur yang diketengahkan oleh mereka adalah bertujuan melalaikan manusia, menjatuhkan mereka kepada maksiat dan menjurus kepada manusia meninggalkan kehidupan beragama. Industri muzik Barat juga memperkenalkan pelbagai jenis muzik yang melampau seperti heavy metal, rap, rock, super dance dan lain-lain yang bertentangan dengan fitrah. Ini bertentangan dengan hiburan dalam Islam yang bertujuan memberi sedikit kerehatan kepada jiwa manusia.
Oleh itu rumusannya industri musik dan nyanyian yang harus ialah yang sesuai dengan fitrah manusia, menghibur dan memberi ketenangan kepada jiwa dan mematuhi adab-adab Islam ; ini menuntut kesedaran Islam yang tinggi dari pemuzik dan pencipta lagu Muslim supaya membentuk arahalir industri musik yang tersendiri dan terpisah drpd pengaruh jahat Barat. Sebarang percubaan Barat untuk menghanyutkan umat Islam kepada kemaksiatan, kemudharatan dan kefasikan, mestilah dihalang, menetapi kaedah Masoleh Mursalah (kepentingan awam), Sadd Adz Dhara’iy (menutup pintu-pintu kejahatan) dan Istiqra’ (pungutan suara rakyat) juga Urf (adat budaya tempatan).

PANDANGAN ULAMA” TERHADAP MUZIK

Ulamak yang paling berautoriti dalam hukum-hukum yang baru utk abad ini ialah al marhum Syaikh Mahmud Syaltut, bekas rektor al Azhar dalam koleksi Fatwanya, alFatawa (terbitan Darul syuruq, Cairo. 1960) ms 355-359 menjelaskan dengan tegas empat perkara tentang muzik:
Pertama: Mendengar dan bermain alat muzik adalah sama (hukumnya) dengan merasa makanan yang lazat, menghidu bau yang harum, melihat pemandangan yang cantik atau mencapai pengetahuan yang tidak diketahui adalah semuanya keseronokan naluri yang dianugrahkan Tuhan kepada manusia. Semuanya memberi kesan menenangkan fikiran apabila kepenatan jasmani dan memberi kesan dalam memulihkan semula tenaga. (Syaikh Syaltut menggunakan hujah Imam alGhazali dalam Ihya Ulumiddin, Jld 2, pg 208.)
Kedua: AlQur’an yang mendasari segala peraturan dan perundangan di atas dasar kesempurnaan dalam Tujuan sentiasa menjaga supaya tidak berlaku keterlaluan dipihak yang tidak menggunakan muzik dan pihak yang menggunakan muzik secara berlebihan. Islam mahukan kesederhanaan.
Ketiga: Fuqaha’ terdahulu membenarkan musik apabila mempunyai konteks yang sesuai seperti muzik iringan ke medan perang, hajji, perkahwinan, perayaan id. Mengikut fuqaha’ Hanafi muzik yang dilarang ialah dengan bersyarat jika ia bercampur dengan sebutan alkohol, gadis penyanyi, fusuq, perzinaan dan keberhalaan. Aku (Syaltut) berpendapat larangan terhadap muzik adalah berdasarkan kpd konteks dan iringannya dengan yang lain dan bukanlah suatu reaksi terhadap muzik itu sendiri.
Keempat: Syaltut memberi amaran bahawa sesiapa yang berani melarang sesuatu perkara yang tidak jelas dilarang oleh Allah. Dalilnya ialah firman Allah dalam surah al A’raf: 32-33. siapakah yang berani mengharamkan perhiasan drpd Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan rezki yang baik-baik?….. hingga akhir.
Kesimpulannnya: secara ‘amnya muzik dibenarkan, jika ada larangan terhadapnya adalah kemalangan atau pengecualian disebabkan perlaku penyalahgunaan terhadap muzik itu sendiri.
Hukum mengenai muzik, pemuzik dan alat muzik mengikut Hujjatul Islam alGhazali (Ihya’ Ulumidin, vol 2, pg 283-301) menjelaskan ada tiga komponen penting yang mempengaruhi hukum muzik yang mungkin berubah dari masa kesemasa: zaman, makan dan ikhwan. ‘Zaman’ merujuk kepada masa, apakah muzik itu melalaikan daripada jihad dan ibadah. ‘Makan’ merujuk kepada suasana, situasi, occasion atau upacara di mana muzik itu dipersembahkan. ‘Ikhwan’: merujuk kepada aktiviti muzik itu; jika dengan muzik itu boleh menyebabkan mereka terdedah kepada manusia yang jahat atau membawa kepada kejatuhan moral.
Menurut al Ghazali inilah tiga komponen yang menjadi neraca bagi muslim di setiap zaman menghukum muzik: zaman, makan dan ikhwan.
Berbalik kepada soalan asal: apakah alat muzik yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dalam Islam?
Al Ghazali menjelaskan (Ihya’ Ulumiddin, vol2, pg 271-272): tidak ada keterangan yang jelas dari sunnah yang melarang alat-alat muzik bahkan setengah alat muzik yang mempunyai bunyi yang baik tidak dilarang, ia tidak lebih daripada seperti kemerduan suara burung. Ianya dilarang jika ada hubungan atau dikaitkan dengan kumpulan peminum arak, homoseks dan lain-lain yang diarang.
Menurut Prof Lamya’ alfaruqui hukum hudud Islam jika seseorang didapati mencuri alat muzik ini berbedza-bedza mengikut madzhab. Misalnya menurut Syaikh Ibn Abu Zaid al Qairawan, Bakhurah alSa’ad menjelaskan pencuri alat muzik tidak boleh dipotong tangannya. Imam Syafi’iy dalam al Umm menjelaskan seseorang yang didapati bersalah memecahkan peralatan muzik tidak boleh dihukum. Manakala menurut sebahagian ulamak sesiapa yang memecahkan seruling atau sebarang alat muzik, ia layak dkenakan hukuman kerana menjual peralatan muzik itu sah di sisi undang-undang Islam.
Kesimpulan dan tarjih:
1. Menurut Fatwa Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat
2. Menurut al Ghazali, tidak ada perincian syara’ tentang peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kpd zaman(masa), makan(tempat), dan ikhwan(aktiviti muzik); mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang jelik dan dihubungkan dengan kumpulan manusia yang jahat akhlaknya adalah ditegah.
3. Hukum muzik, pemuzik dan peralatan muzik akan sentiasa berubah mengikut keadaan umat dan ulamak semasa.

Rapatkan saf – Usahakan barisan terbaik
KALIMAT yang sering kita dengar dari mulut imam sebelum memulakan solat adalah “Luruskan saf (barisan dalam solat berjemaah)” atau “Rapatkan saf”. Namun berapa ramai yang benar-benar mengikuti arahan imam tersebut? Berapa ramai yang mengetahui apa maknanya meluruskan saf mengikut sunah Rasulullah s.a.w. yang sahih?
Para ulama sepakat bahawa saf pertama adalah saf terbaik dan besar keutamaannya bagi jemaah lelaki dalam bersolat. Manakala bagi saf jemaah perempuan, saf paling utama adalah saf paling akhir sekali. Ia sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :
Sebaik-baik saf barisan lelaki yang paling depan, dan yang terburuk ialah yang paling belakang, dan sebaik-baik barisan perempuan yang terakhir, dan yang terburuk ialah yang paling depan. (Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan Abu Hurairah: Andaikata manusia mengetahui apa yang ada di dalam panggilan azan dan memenuhi saf paling depan, kemudian mereka tidak berjaya mendapatkannya (saf paling depan itu) kecuali jika mereka berlumba untuk mendapatkannya, pasti mereka akan berlumba. (Riwayat Bukhari).
Disebut juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. bahawa saf di sebelah kanan mempunyai lebih keutamaan berbanding saf di sebelah kiri. Daripada Aishah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat terhadap orang yang berada di saf sebelah kanan. (Riwayat Ibnu Majah)
Di antara fadilat solat di saf pertama:
1) Menjaga kesempurnaan saf pertama sama seperti safnya para malaikat. Riwayat Jabir bin Samurah yang berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Tidakkah kamu berbaris sebagaimana saf para malaikat di sisi Tuhan-Nya?” Kami bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimanakah saf mereka di depan Tuhan?” Jawab Nabi: “Menyempurnakan barisan pertama dan rapat benar dalam barisan.” (Riwayat Muslim)
Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa mereka yang memenuhi saf paling depan ketika solat adalah sama dengan saf para malaikat yang sentiasa menjaga kesempurnaan saf mereka dan saf para malaikat ini hampir dengan Allah s.w.t. Dari sini boleh kita katakan bahawa mereka yang berada di saf paling hadapan adalah orang yang paling hampir dengan Allah dan lebih mudah memperoleh rahmat-Nya.
2) Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada mereka yang berada di saf-saf paling hadapan. Daripada Abu Umamah berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua.” Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama.” Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan saf kedua.” Rasulullah menjawab: “Ya, juga saf kedua.” (Riwayat Ahmad).
Selawat
Menurut Dr. Fadhal Ilahi, makna selawat Allah atas mereka (yang berada di saf pertama) adalah seperti yang dikatakan oleh Imam ar-Raghib al-Asfahani, iaitu: “Tazkiyah (Penyucian daripada dosa-dosa) terhadap mereka.” Selawatnya para malaikat pula: “Iaitu berbentuk doa dan permohonan keampunan.” Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapat tazkiyah daripada Allah dan doa pengampunan daripada para malaikat.
3) Rasulullah memohon keampunan buat mereka di saf pertama sebanyak tiga kali. Daripada ‘Irbadh bin Sariyah bahawa Rasulullah memohon keampunan bagi mereka yang berada di saf pertama tiga kali dan untuk saf kedua hanya sekali.
(Riwayat Ibnu Majah). Alangkah bahagia sekiranya orang yang paling mulia di atas muka bumi ini memohon keampunan untuk kita.
Demikianlah beberapa keutamaan saf paling hadapan di dalam solat berjemaah. Yang amat dikesalkan terdapat ramai di antara kita yang tidak lagi memberi perhatian terhadap keutamaan-keutamaan ini. Umat Islam di Malaysia seakan-akan tidak ghairah merebut saf pertama.
Mereka lebih memilih untuk mendapatkan tempat yang membolehkan mereka bersandar dengan selesa seperti di tiang-tiang atau di dinding masjid, berdekatan dengan kipas dan pintu supaya dapat cepat keluar setelah selesai bersolat.
Ada pula yang datang awal ke masjid tetapi berborak dahulu di luar masjid sambil menghisap rokok. Alangkah ruginya mereka ini. Sesungguhnya Rasulullah menyatakan bahawa sesiapa yang secara sengaja memenuhi saf belakang, maka Allah akan membelakangkan mereka.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah melihat ada sebahagian sahabatnya yang tidak mahu maju ke saf pertama, maka baginda bersabda: Majulah dan ikutilah saya, sedangkan orang-orang di belakang harus mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang selalu suka di belakang, tentu akan dibelakangkan pula oleh Allah. (Riwayat Muslim).
Adakah kerugian yang lebih besar daripada kerugian dibelakangkan oleh Allah? Oleh itu datanglah awal ke masjid untuk solat berjemaah dan rebutlah saf pertama.
PERANAN IMAM
Rasulullah sebelum memulakan solat, akan memastikan makmum di belakangnya meluruskan saf terlebih dahulu. Anas bin Malik berkata, ketika telah iqamah untuk solat, Rasulullah menghadap kepada kami dengan wajahnya seraya bersabda: Luruskan saf dan rapatkanlah kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku. (Riwayat Bukhari)
Kebiasaan yang kita lihat di masjid-masjid, para imam hanya melaungkan “luruskan saf”, “luruskan saf” tanpa melihat jemaah di belakang sama ada mereka mematuhi perintahnya atau tidak.
Mereka seperti hanya melepaskan batuk di tangga. Sedangkan Rasulullah akan menghadap para makmum dan memastikan arahan meluruskan saf benar-benar dilaksanakan oleh para sahabat. Malah ada riwayat yang menyatakan Baginda pergi ke setiap barisan untuk melihat sama ada saf benar-benar telah lurus sebelum memulakan solat.
Daripada Albara’ bin ‘Aazib berkata: Adalah Rasulullah memasuki celah-celah barisan (saf) sambil mengusap dada dan bahu kami. (Riwayat Abu Daud).
Pada zaman Umar al-Khattab pula, beliau mewakilkan tugas meluruskan saf kepada seseorang. Beliau tidak akan bertakbir (memulakan solat) sehingga orang yang membantunya dalam meluruskan saf itu memberitahu bahawa saf telah benar-benar lurus. Begitu juga dengan Uthman al-Affan dan Ali bin Abu Talib, mereka berdua bersepakat melakukan apa yang telah dilakukan oleh Umar. Dulu, Ali selalu mengatakan: “Maju wahai si fulan! Mundur sedikit wahai si fulan!”
Penulis menyarankan para imam masjid-masjid di Malaysia agar memerhatikan perkara ini dengan penuh teliti supaya amalan mereka selari dengan sunah Nabi dan Khulafa’ ar-Rasyidin.
CARA MELURUSKAN SAF
Meluruskan saf dalam solat berjemaah merupakan sunah Nabi s.a.w. Malah ada ulama yang memandang penyempurnaan saf dalam solat adalah wajib. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddeen al-Albani: ”Mendirikan dan meluruskan saf hukumnya wajib kerana terdapat perintah yang berasal daripada Rasulullah. Kalimat perintah itu pada asalnya bererti wajib, kecuali ada qarinah (petunjuk lain) yang mengalihkan daripada pengertian wajib tersebut.
Namun, terlalu sedikit di kalangan masyarakat kita yang mengamalkannya. Pada tanggapan mereka kesempurnaan saf hanyalah dengan mempastikan barisan solat itu lurus. Sebenarnya ada beberapa perkara lain yang juga telah diperintahkan oleh Rasulullah berkaitan kesempurnaan saf:
1. Merapatkan bahu dengan bahu orang yang solat bersebelahan dengannya.
2. Merapatkan lutut dengan lutut orang yang solat bersebelahan dengannya.
3. Merapatkan buku lali dengan buku lali orang yang solat bersebelahan dengannya.
Hanya dengan mempraktikkan perkara-perkara di atas barulah tercapai kesempurnaan saf dalam solat berjemaah dalam erti kata sebenar. Hadis-hadis berkaitan dengan perkara di atas adalah seperti berikut:
* Daripada Nu’man bin Bashir berkata: “Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan melekatkan mata kakinya (buku lali) dengan mata kaki saudaranya.” (Riwayat Abu Daud).
* Daripada Anas bin Malik daripada Nabi s.a.w. bersabda:
(Pada waktu solat) setiap kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya (buku lali) dengan telapak kaki saudaranya. (Riwayat Bukhari).
Sunah Nabi s.a.w. ini seakan-akan sudah lenyap dari masjid-masjid di Malaysia.
Penulis pernah cuba mempraktikkan sunah ini dalam solat berjemaah di beberapa masjid, namun hasilnya amat mengecewakan.
Ramai dari kalangan jemaah akan menjauhkan buku lali dan lutut masing-masing ketika penulis cuba merapatkan saf tersebut.
Mereka seolah-olah tidak selesa merapatkan dan meluruskan saf dengan cara begini.
Namun begitu kita sebenarnya tidak boleh menyalahkan mereka kerana sunah ini memang tidak disebarkan secara meluas di Malaysia, apalagi untuk dipraktikkan.
Penulis yakin sekiranya sunah ini diajar secara meluas di dalam kelas-kelas atau kitab-kitab fardu ain nescaya ia akan diamalkan di seluruh masjid di Malaysia.
HIKMAH MERAPATKAN SAF
1. Ia merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kesempurnaan solat. Sabda Rasulullah: Luruskan saf kamu, kerana meluruskan saf merupakan sebahagian kesempurnaan solat. (Riwayat Muslim).
2. Ia adalah faktor yang boleh menyatukan hati umat Islam. Sabda Rasulullah: Luruskan saf solat kamu dan janganlah kamu bercerai-berai (dalam mendirikan saf), akan tercera-berai hati kamu. (Riwayat Muslim). Sabda Baginda lagi: Tegakkanlah saf-saf kamu sekalian sebanyak tiga kali, demi Allah (kamu diperintah agar) merapatkan/meluruskan saf-saf kamu, atau Allah akan mencerai-beraikan hati kamu. (Riwayat Abu Daud).
Menurut Syaikh Abu Ubaidah
Masyhur:
”Dalam perintah meluruskan dan merapatkan saf merupakan unsur pendekat jiwa yang akan menjalinkan hubungan persaudaraan dan keinginan saling menolong. Bagaimana tidak! Bukankah bahu si miskin berhimpitan dengan bahu si konglomerat, kaki si kuat melekat dengan kaki si lemah. Dan semuanya berada dalam satu saf, bagaikan bangunan yang tersusun sangat rapat.
3. Ia dapat menghindari gangguan syaitan ke atas orang yang bersolat. Sabda Rasulullah:
Rapatkanlah saf kamu sekalian, dekatkanlah antara saf, tegakkanlah tengkuk kamu. Demi Zat yang jiwaku berada dalam genggaman Tangan-Nya, sesungguhnya aku melihat syaitan menyusup di celah-celah saf seperti anak kambing. (Riwayat Abu Daud).
4. Allah mencintai mereka yang menyempurnakan saf. Sabda Rasulullah:
Tidak ada suatu langkah yang sangat dicintai oleh Allah daripada langkah seseorang hamba untuk menyambung (menyempurnakan) saf (dalam solat). (Riwayat Abu Daud).
5. Ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang menyempurnakan saf di dalam solatnya. Rasulullah bersabda:
Orang yang paling baik di antara kalian adalah seseorang yang paling lembut bahunya di dalam solat, tidak ada suatu langkah yang pahalanya lebih besar daripada langkah seseorang yang melangkah untuk menutup celah dalam saf. (Riwayat Thabrani).
6. Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada mereka yang menyempurnakan saf dalam solat.
Sabda Rasulullah : Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada orang-orang yang berada di saf pertama. Para sahabat bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimana dengan yang kedua.” Rasulullah menjawab: Ya, juga bagi saf kedua. (Riwayat Ahmad).
Sayang sekali sunah-sunah berkaitan dengan saf ini telah dilalaikan dan diambil mudah oleh masyarakat Islam bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.
Apa yang ingin penulis sarankan di sini adalah agar sunah meluruskan dan merapatkan saf ini dihidupkan semula, terutamanya oleh para imam di masjid-masjid seluruh Malaysia.
Para imam hendaklah bersungguh-sungguh mengerjakan sunah ini dan mengajak mereka yang bersolat di belakang melaksanakannya.
Sabda Rasulullah s.a.w mengingatkan:
Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat. (Riwayat Bukhari).

SLOGAN & MOTO
Barangkali inilah lagu yang sesuai utk gambarkan umno yg sebenarnya. Kata MB Trg yg tersayang, “Kita Buat,Bukan Cakap”. Yang sbenarnya, slogannya,”KITA CAKAP AJE NAK ISLAM, TAPI TAK BUAT.” Banyak lagi slogan2 yg bombastik dan menarik hati orang awam barangkali, tapi yg sebenarnya ialah umno buat sebaliknya.

“TIADA HALANGAN HANYA PELUANG”, memberi erti Tiada halangan lagi utk menipu, buat apa saja terhadap rakyat, bahagi kekayaan negeri kpd kroni,dll. Hanya Peluang utk jadi kaya sekaya2nya shj yg wujud depan mata..

MEMAHAT SEJARAH , MENCIPTA TAMADUN pula memberi maksud, umno pahat sejarah merombak masjid,rumah rakyat,dll serta cipta tamadun kebendaan sehingga mendapat kemurkaan Allah!!!

Teringat pula salah seorang Ustaz tunggangan umno berceramah bulan lalu; dia berhujah kita rombak sebuah masjid tapi kita buat berpuluh2 masjid lain. lalu dia bertanya mana baik orang yang buat masjid dengan orang yang pergi solat di masjid hok dibuat tu? tanpa segan silunya dia jawab sendiri, “orang yang buat masjid la dapat banyak pahala(kerajaan).” Lalu dia tambah lagi dgn beri contoh SAMY vELLU buat lebuhraya menyebabkan rakyat dapt lalu, sAmy vellu dapat PAHALA!!! nAPOKNYE lalut sangat doh org agama dalam umno ni……

umno SESAT DULU, KINI & SELAMANYA…….