Al-Isti’azah – Meminta perlindungan Allah

Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
BEBERAPA permasalahan:
1. Al-Makki dan al-Madani atau al-Makkiah dan al-Madaniah. Ia merujuk kepada ayat atau surah yang diturunkan di Mekah atau di Madinah. Dalam permasalahan ini terdapat dua pandangan yang kuat dari segi pembahagian ini :

Pertama: Al-Makki ialah yang diturunkan di Kota Mekah sama ada sebelum atau selepas hijrah. Sedangkan al-Madani ialah yang diturunkan di Kota Madinah sama ada sebelum atau selepas hijrah. Ia berdasarkan kepada tempat turun, bukan masa turun.

Kedua: Al-Makki ialah yang diturunkan sebelum hijrah, sedangkan al-Madani diturunkan selepas hijrah. Dengan kata lain ia berdasarkan kepada masa, bukan tempat diturunkan.

Pendapat yang rajah ialah berdasarkan masa bukan berdasarkan tempat, justeru pendapat yang kedua lebih kuat daripada pendapat yang pertama.

2. Cara mengenali Makki dan Madani : mengenali Makki dan Madani cukup penting kerana boleh mengetahui kedudukan nasakh dan mansukh dengan lebih mudah berdasarkan kepada masa diturunkan ayat. Di samping itu dapat dikenali dengan beberapa faktor antaranya :

Pertama: Setiap surah yang terdapat di dalamnya perkataan (kalla) yang bermaksud “sekali-kali jangan” merupakan surah Makkiah.

Kedua: Semua surah yang terdapat di dalamnya (as-Sajdah) ia adalah surah Madani.

Ketiga: Semua surah yang dimulai dengan huruf-huruf hijaiyah seperti alif lam mim, adalah surah Makkiah kecuali surah al_Baqarah dan Ali-Imran.

Keempat: Semua surah yang terdapat di dalamnya kisah nabi dan umat terdahulu adalah surah Makkiah kecuali al-Baqarah.

Kelima: Semua surah yang terdapat di dalamnya (Wahai manusia) adalah surah Makkiah, sedangkan yang terdapat di dalamnya (Wahai orang yang beriman) adalah Madaniah kecuali surah tertentu sahaja.

Keenam: Surah-surah pendek adalah kebiasaannya Makkiah dan surah-surah panjang adalah Madaniah.

Tafsir Al-Isti’azah:
“Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”

Firman Allah s.w.t. dalam surah an-Nahl ayat 98 :

Apabila kamu membaca al-Quran, hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk.

Makna ayat ini: Aku pohon perlindungan dengan Allah dan peliharaan-Nya daripada kejahatan syaitan yang melampau ingin menyesatkan aku dan tiada siapa yang dapat menolaknya daripadaku kecuali Allah.

Terdapat banyak tempat dan suasana yang digalakkan kita berlindung daripada syaitan. Antaranya :

Kemuncak:
1. Ketika kemuncak kemarahan seperti riwayat muttafaq alaih dengan lafaz Muslim daripada Sulaiman bin Surd.

2. Ketika masuk tandas seperti riwayat Ibn Abi Syaibah daripada Anas bin Malik.

3. Ketika masuk masjid yang bertujuan untuk menjauhi was-was syaitan seperti riwayat Abu Daud daripada Ibn Umar.

4. Ketika hendak musafir seperti riwayat at-Tirmizi daripada Abdullah bin Sirjis.

5. Ketika para musafir berhenti di satu-satu tempat seperti riwayat Muslim dan at-Tirmizi daripada Khaulah binti Hakim.

6. Berlindung daripada kejahatan syaitan dan meminta pelihara daripadanya. Seperti hadis Israk Mikraj daripada Abu Hurairah.

7. Ketika takut dalam tidur dan tidak dapat tidur seperti riwayat ashab as-sunan, Ahmad dan lain-lain daripada Amru bin Syu’aib.

8. Berlindung daripada binatang-binatang yang melata dan daripada terkena patukannya seperti riwayat at-Tirmizi dan lainnya daripada Abi Hurairah.

9. Berlindung ketika mendengar bunyi keldai atau salakan anjing seperti riwayat al-Bukhari, Muslim dan ashab as-sunan daripada Abi Hurairah.

10. Ketika bermimpi yang menakutkan seperti riwayat Muslim daripada Abi Qatadah.

Bukan sekadar itu tetapi banyak lagi suasana dan tempat yang disuruh kita berlindung daripada syaitan, iblis, jin dan juga perlakuan buruk seperti yang dinyatakan oleh Imam an-Nawawi dalam al-Azkar dan lain-lain lagi.

Apakah hukum baca al-Isti’azah?
Mengikut jumhur, hukumnya sunat sebelum membaca al-Quran sama ada dalam solat atau lainnya. Tetapi di sisi Hanafiah sunat Isti’azah pada rakaat pertama sahaja, Shafi`iah pula mempunyai dua riwayat, pertama memadai Isti’azah pada rakaat pertama seperti Hanafiah dan riwayat kedua pada tiap-tiap rakaat.

Sebahagian ulama berpendapat wajib Isti’azah, sama ada pada solat atau tidak berdasarkan zahir nas.

Hikmah disyariatkan Isti’azah ketika membaca al-Quran kerana bacaannya merupakan ibadat yang besar, yang memerlukan kepada keikhlasan dan hadir hati. Sedangkan syaitan sentiasa memperdaya manusia dengan was-was dalam ibadat. Justeru Isti’azah sebagai benteng daripada tipu daya syaitan.