ORANG RUGI –

MENUKAR PETUNJUK DENGAN KESESATAN

Oleh DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI


ALLAH menyebut beberapa sifat orang-orang fasiq dengan firman-Nya: “IAITU ORANG-ORANG YANG MELANGGAR PERJANJIAN ALLAH SESUDAH PERJANJIAN ITU TEGUH, DAN MEMUTUSKAN APA YANG DIPERINTAHKAN ALLAH KEPADA MEREKA UNTUK MENGHUBUNGKANNYA DAN MEMBUAT KEROSAKAN DI MUKA BUMI. MEREKA ITULAH ORANG-ORANG YANG RUGI.” (Al-Baqarah ayat 27)

Di antara sifat tersebut, iaitu orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, yakni mereka yang melanggar apa yang dijanjikan kepada mereka oleh kitab-kitab samawi daripada beriman dengan Muhammad s.a.w. atau memutuskan segala perjanjian yang kukuh daripada beriman dengan Allah, membenarkan Rasul-Nya dan beramal dengan syariat.

Ibn Jauzi berkata, “Ada tiga pendapat ulama mengenai maksud perjanjian itu, iaitu :

i. Apa yang dijanjikan kepada ahli kitab berhubung sifat Muhammad s.a.w. dan wasiat supaya mengikutinya. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.

ii. Apa yang dijanjikan kepada mereka tentang al-Quran. Mereka mengakuinya, kemudian mereka kufur dan melanggar perjanjian itu. Inilah pendapat as-Suddi.

iii. Iaitu perjanjian semenjak dikeluarkan zuriat Adam daripadanya lagi. Inilah pendapat az-Zajjaj.

Kemudian Allah menerangkan sifatnya lagi dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah kepada mereka untuk menghubungkannya, iaitu daripada hubungan silaturahim dan kerabat.

Lafaz ini adalah umum pada setiap keputusan yang Allah tidak meredhai-Nya, seperti memutuskan hubungan antara nabi-nabi, memutuskan hubungan kaum-kerabat dan meninggalkan kasih-sayang serta hormat terhadap orang-orang yang beriman.

As-Samarqandi menaqalkan di dalam tafsirnya, Bahr Al-Ulum, riwayat ad-Dahhak dan Ata’ daripada Ibn Abbas katanya, “Sesungguhnya mereka disuruh beriman dengan semua nabi. Malangnya mereka beriman dengan sebahagian dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain.” Inilah makna dan maksud firman tersebut.

Sebaliknya mereka melakukan perbuatan yang keji, sebagaimana firman Allah tersebut dan membuat kerosakan di muka bumi.

Di antara kerosakan tersebut ialah melakukan banyak maksiat, membuat pelbagai fitnah, menegah orang daripada beriman kepada Allah dan menyebar-luaskan segala syubhat tentang al-Quran.

Ibn Jauzi berkata, “Ulama berselisih pendapat mengenai maksud kerosakan yang mereka lakukan di bumi kepada tiga:

i. Seruan mereka kepada manusia ke arah kekufuran. Inilah pendapat Ibn Abbas

ii. Amalan maksiat yang mereka lakukan. Inilah pendapat as-Suddi dan Muqatil.

iii. Mereka menyekat orang yang berhijrah kepada nabi bagi menghalang mereka memeluk Islam.

Sebenarnya, merekalah golongan yang disifatkan Allah sebagai `mereka itulah orang-orang yang rugi’ kerana mereka yang bersifat demikian termasuk dalam golongan yang benar-benar rugi, disebabkan mereka menukar petunjuk dengan kesesatan dan pengampunan dengan azab.

Justeru itu, neraka adalah tempat yang paling layak bagi mereka.

Ibn Kathir berkata, “Allah berfirman dengan berhujah mengenai kewujudan-Nya dan kekuasaan-Nya. Juga Allahlah yang Maha Pencipta kepada sekalian hamba-Nya.”

Allah mengemukakan persoalan sebagaimana firman-Nya yang berikut:

* “MENGAPA KAMU KAFIR KEPADA ALLAH PADAHAL KAMU TADINYA MATI, LALU ALLAH MENGHIDUPKAN KAMU, KEMUDIAN KAMU DIMATIKAN DAN DIHIDUPKAN-NYA KEMBALI, KEMUDIAN KEPADA-NYA LAH KAMU DIKEMBALIKAN?” (Al-Baqarah ayat 28)

Persoalan ini dimulakan dengan pertanyaan, `mengapa kamu kafir kepada Allah’ yang menunjukkan kehinaan dan keingkaran mereka.

Pandangan

Ibn Jauzi mengatakan bahawa ada dua pandangan ulama berhubung dengan persoalan ini, iaitu:

i. Soalan itu bermakna takjub dan hairan bagi orang yang beriman dengan maksud hairan daripada kalangan mereka bagaimana mereka boleh bersikap kufur, sedangkan telah sabit hujah Allah atas mereka. Inilah pendapat Ibn Qutaibah dan az-Zajjaj

ii. Soalan yang keluar daripada bentuk pengakuan kepada celaan dengan maksud celaka kamu. Mengapa kamu kufur dengan Allah? Inilah pendapat al-Ajjaj.

Seterusnya, mengapa kamu menentang dan derhaka kepada Pencipta dan kamu mengingkari-Nya, sedangkan padahal kamu tadinya mati, yakni daripada tiada hinggalah dibentuk air mani pada sulbi ayah dan rahim ibumu, kemudian melalui proses Allah hidupkan kamu, iaitu dengan dikeluarkan kamu daripada kandungan ibu lahir ke dunia.

Tetapi ingatlah akan kesudahannya, iaitu kemudian kamu dimatikan Apabila sampai ajal, kamu akan dimatikan dengan apa jua keadaan, sekalipun sebagai hukum dan sunah alam ini.

Seterusnya `dan dihidupkan-Nya kembali’, iaitu dibangkitkan dari kubur selepas berada di alam kubur atau barzakh beberapa ketika dan berlakunya kiamat.

Akhirnya, `kemudian kepada-Nyalah kamu dikembalikan’ yang tujuannya adalah untuk memberi pembalasan yang setimpal.

Bagi orang yang baik, diberi balasan baik dan sebaliknya orang yang derhaka, diberi balasan azab. As-Samarqandi berkata, “Iaitu di akhirat, kamu akan diberi pahala dengan amalan kamu.”

Al-Maghari berkata, “Selepas Allah menyebut beberapa tanda kekuasaan-Nya pada diri manusia dengan menyatakan permulaan dan kesudahan hidup, Dia menyebut juga beberapa tanda kekuasaan-Nya pada ufuk yang menunjukkan tanda kekuasaan-Nya dengan segala sesuatu dan nikmatnya yang melimpah-ruah kepada hamba-hamba-Nya, dengan menjadikan segala apa yang di bumi sebagai tempat persediaan hidup untuk mendapat manfaat.”

As-Samarqandi menaqalkan daripada al-Kalbi, “Tatkala dinyatakan masalah kebangkitan selepas mati, orang Yahudi hanya berdiam diri kerana memahaminya, sedangkan orang-orang musyrikin pula berterusan mengingkarinya seraya bertanya, “Siapa yang mampu menghidupkan kami selepas berlakunya kematian?”

Lantas Allah menurunkan firman-Nya:

* “DIALAH ALLAH YANG MENJADIKAN SEGALA APA YANG ADA DI BUMI UNTUK KAMU DAN DIA BERKEHENDAK (MENUJU) LANGIT LALU DIJADIKAN-NYA TUJUH LANGIT DAN DIA MAHA MENGETAHUI SEGALA SESUATU.” (Al-Baqarah ayat 29)

Kemudian Allah menambahkan lagi keterangan bukti kebangkitan. “Dialah Allah yang menjadikan segala apa yang ada di bumi untuk kamu’, yang bermaksud Allah menciptakan bumi dan segala apa yang ada di dalamnya supaya manusia dapat mengambil manfaat dengannya serta iktibar bahawa Allah bersifat Maha Pencipta lagi Pemberi Rezeki.

Dan `Dia berkehendak menuju langit’, iaitu Allah berkehendak dengan iradah-Nya menuju ke langit.

An-Nasafi berkata, “Istawa di sini ialah dengan maksud iktidal dan istiqamah, iaitu qasad atau menuju, juga menghadap.”

Syeikh Abdul Rahman as-Sa’di berkata, “ Terdapat tiga makna istawa, iaitu:

i. Kesempurnaan dan lengkap.

ii. Tinggi dan atas.

iii. Menuju.

Seterusnya, `lalu dijadikan-Nya tujuh langit’ yang bermaksud Allah mencipta langit sebanyak tujuh lapis dengan penuh kehebatan dan kekuatan. Yang demikian, menjadi dalil kekuasaan yang amat nyata bagi Allah.

Justeru, Allah bersifat `Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu’, yakni dengan kata lain, jika segala yang besar pun mampu Allah cipta, apakah untuk menghidupkan manusia kembali, suatu perkara yang susah? Sudah tentu tidak, kerana Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu..

GLOSARI

* Menaqalkan : memindahkan pendapat.

Advertisements