Doa Ya Amanal Khaifin Berasal Daripada Kaum Yahudi?
 
“Ya amanal khaifin aminna mimma nakhaf, Ya amanal kha’ifin sallimna mimma nakhaf, Ya amanal kha’ifin najjina mimma nakhaaf.”  

Ada beberapa persoalan ditimbulkan berhubung dengan doa tersebut.

Pertama ialah perkataan aman. Siapa itu aman, kerana sekiranya dirujuk kepada sifat-sifat Allah s.w.t, yang sembilan puluh sembilan, tiada terdapat perkataan tersebut.

Di dalam al-Quran surah al-Israk (17), ayat 110, Allah s.w.t, berfirman
yang bermaksud: “Berdoalah kamu dengan menyebut Allah atau Ar Rahman atau mana-mana Asmaaul Husna dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solat dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu.” 

Apabila dirujuk kepada Asmaaul Husna maka jelas tidak terdapat kalimat Aman. Syeikh Muhammad al Mandili, guru di Masjid al Haram, Makkah, melarang umat Islam berdoa dengan doa tersebut kerana katanya doa tersebut asalnya doa orang-orang Yahudi. Menurut Syeikh Muhammad, pengikut Nabi Musa a.s, terbahagi kepada dua golongan. Pertama golongan yang benar-benar beriman dengan Nabi Musa a.s.
Golongan satu lagi ialah golongan yang berbelah bagi kerana sungguh
pun mereka beriman dengan Nabi Musa a.s, tetapi hati mereka masih takut kepada Firaun.

Akhirnya golongan ini datang menemui Haman (Perdana Menteri Firaun) meminta perlindungan. Lalu mereka beramai-ramai merayu-merayu dengan ungkapan berikut:  

 

Ya Haman, aminna mimma nakhaf. Ya Haman, salimna mimma nakhaf. Ya Haman, najjina mimma nakhaf. 
Maksudnya: Wahai Haman tenteramkan kami, kami takut (kepada Firaun). Wahai Haman, selamatkan kami, kami takut. Wahai Haman, lepaskan kami, kami takut.
Pendita Yahudi telah membuang huruf `ha’ (abjad Arab) atau `h’, dengan tujuan untuk menyelewengkan masyarakat Islam, khususnya mereka yang tidak memahami bahasa Arab. Oleh itu, sesiapa yang tahu asal usulnya dan masih lagi mengamalkan doa tersebut, maka rosak akidahnya! Kesalahan bahasa juga boleh dikaitkan kerana “ Ya ”, adalah huruf seruan yang bermakna “wahai!” Maka selepas “ ya ” lazimnya diletakan nama atau sifat seperti “Ya Allah, ya Latif” atau kuniah yakni nama timangan seperti Ya Aba al Qasim. Sementara perkataan aman adalah kata nama terbitan yang bererti keamanan.  Keamanan tidak boleh memberi apa-apa ketentuan, kerana penentuan yang mutlak adalah Allah s.w.t.

Mengikut pandangan Datuk Mohd. Yunus, bekas mufti negeri Melaka, doa tersebut boleh dibaca dengan syarat perkataan aman digantikan dengan Ya Allah atau Ya Ar Rahman atau mana-mana Asmaaul Husna.
Para ulamak usul berpendapat, ibadah yang dipersetujui oleh semua
ulama adalah lebih baik daripada ibadah yang dipertikaikan. Doa adalah ibadah. Oleh itu, tidak logik selepas kita bersolat kerana Allah, kita menadah tangan meminta kepada yang lain! Doa tersebut juga bukan doa ma’sur, yakni doa-doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. Lagi pun dalam sebuah hadis Rasulullah memberi amaran yang bermaksud: “Barang siapa yang menunjuk jalan yang salah, maka dia akan memikul semua dosa-dosa pengikutnya!”  

Advertisements