Oktober 2007


27 dan 28 baru2 ni ambe ke Kota Bharu kerana memenuhi jemputan ke Persidangan NGO2 ISLAM Kebangsaan yang dianjurkan secara bersama Sekretariat Kongres Umat Islam Malaysia(SKIMA) dengan Kerajaan Negeri Kelantan. Di bawah ini disertakan Deklarasi yang dicapai hasil daripada Persidangan tersebut.

Deklarasi ‘Pemuafakatan Serambi Makkah’

Oleh Mohd Azmi Abdul Hamid

‘Dengan nama Allah Yang Pemurah dan Penyayang’

Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang yang berjuang di jalannya dalam barisan yang teratur umpama bangunan yang tersusun:kukuh (Ash-Shaff:4)

Sesungguhnya (agama Tauhid) Ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, Maka sembahlah Aku. ( Al-Anbiyaa’: 92)

Dengan ini; Persidangan Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia di Kota Bharu , Kelantan pada 15-16 Syawal 1428/27-28 hb Oktober 2007 yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim dan Sekretariat Kongres Umat Islam Malaysia (SKIMA) dan disertai 500 orang perwakilan dari 78 Pertubuhan-Pertubuhan Islam peringkat Negeri dan Kebangsaan telah bermuafakat bahawa:

Menyedari bahawa seluruh pendokong Pertubuhan-Pertubuhan Islam sebagai golongan yang lebih dipertanggungjawabkan untuk membela agama Allah. Oleh itu sewajarnya kita terus memikul tanggungjawab memandu, memimpin serta membimbing umat agar jelas dengan visi dan misi untuk membangun bersama Islam dan menghayatinya dalam kehidupan yang diredhoi oleh Allah.

Memahami bahawa tugas Pertubuhan-Pertubuhan Islam amat berat terutama dalam keadaan cabaran semakin bertambah. Para aktivis Pertubuhan-Pertubuhan Islam perlu bersedia dan melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan siasah kepimpinan yang diperlukan disamping banyak memahami dan menganalisis permasalahan umat semasa. Pertubuhan-Pertubuhan Islam perlu bijaksana dalam merancang, menjana program tindakan untuk dilaksanakan.

Menginsafi bahawa umat sedang menghadapi berbagai masalah dan cabaran sama ada berbentuk lokal atau global. Sikap ulama dan umat haruslah terus positif bahawa tiada masalah yang tidak dapat ditangani dan diatasi asalkan semangat berjihad dan berkorabn untuk Islam disuburkan . Sikap pertama yang harus dipupuk ialah melihat masalah itu sebagai peluang dan cabaran, bukan penghalang.

Mengingati bahawa dalam Pertubuhan-Pertubuhan Islam masih wujud kelemahan dan kekangan yang perlu diatasi segera, kelemahan tersebut termasuk kekurangan menterjemahkan potensi dan meningkatkan kemahiran beroganisasi, keengganan berjuang dalam wadah Ulama kerana kepentingan masing-masing. Akibatnya berlaku pengabaian usaha membasmi kejahilan umat. Ulama berpecah, umat sengsara dan parah.

Mewaspadai taktik dan rancangan golongan yang memusuhi Islam melalui pelbagai cara sama ada secara terang atau tersembunyi, bersikap lokal, nasional atau global. Maka, para Pertubuhan-Pertubuhan Islam perlu bangkit, bertindak, menyatukan barisan dan menguatkan perpaduan dan intergriti serta berusaha secara jama’i menghadapi tantangan musuh dengan strategi yang lebih berkesan.

Mengambil perhatian bahawa ukuran kejayaan sesuatu usaha Pertubuhan-Pertubuhan Islam bukan terletak kepada semangat dan laungan semata-mata, bukan hanya menghasilkan resolusi demi resolusi tanpa tindakan yang berkesan. Para aktivis, Pertubuhan-Pertubuhan Islam dan pendokong mereka seharusnya berganjak ke suatu paradigma baru yang menekankan strategi bertindak secara rapi , perlaksanaan secara konsisten , mendepani seteru Islam secara berani dan yakin dan membina barisan amilin secara berterusan.

Meneliti bahawa perkembangan muktakhir umat Islam di rantau Palestin, Iraq dan Afganistan terus bergolak angkara tindakan musuh Islam dan kuasa penjajahan disamping kelemahan dalaman umat. Umat Islam seluruh dunia perlu bertindak membantu dan membebaskan saudaranya yang dizalimi.

Mengingati usaha untuk memperkasakan Ummah perlu komitmen berterusan dan dan meningkat. Para aktivis Pertubuhan-Pertubuhan Islam dan anggota mereka serta Ulama dan Umarak perlu membantu dan bekerjasama dalam bidang yang boleh disepakati dan mengelakkan perselisihan yang merugikan umat.

Menginsafi bahawa usaha untuk mencerdaskan umat perlu bermula dengan pendidikan dari peringkat paling dasar hingga ke tahap yang tertinggi, membangun intelektual, membina budaya ilmu, budaya Iqra dan menghayatinya dalam kehidupan.

Memahami bahawa status umat masa kini dilihat dari perspektif nasional dan global belum menampakkan kesatuan yang kukuh dan mempunyai kekuatan dari segi rohani, spiritual, dan intelektual Maka usaha berterusan perlu digandakan untuk membantu keadaan yang masih gawat.

Menghayati bahawa tugas murni para aktivis dan pendokong Pertubuhan-Pertubuhan Islam sejak dulu, kini dan selamanya sentiasa berusaha mencerdaskan diri dan umat, menambah ilmu, menegak dan menghayati syariah dan akhlak Islami, melaksanakan amanah Allah serta ikhlas membangun umat secara jama’i.

Maka Kami dari Pertubuhan-pertubuhan Islam Beriltizam dan Bermuafakat:

1. Meningkatkan keberkesanan gerakkerja Pertubuhan-Pertubuhan Islam masing-masing demi menyumbang kepada usaha mendaulatkan Islam di negara ini khususnya dan dunia ini amnya.

2.Menggabungkan seluruh kekuatan antara pertubuhan-pertubuhan Islam dalam suatu saf gertakerja yang lebih tersusun dan berkesan untuk mengangkat martabat umat dalam seluruh bidang kehidupan.

3. Menjadikan pertubuhan-pertubuhan Islam sebagai wadah pemersatu ummat dan benteng mempertahankan izzah serta kesucian Islam dari segala ancaman musuh.

4. Mengikis segala sikap dan amalan yang merugikan ummah dalam mendaulatkan Islam dikalangan wadah-wadah Islam samada dalam tindakan individu atau kumpulan. Seluruh anggota aktivis dan kepimpinan organisasi Islam perlu saling menghormati ,mengukuh dan meningkatkan kerjasama yang efektif demi kecemerlangan Islam.

5. Sentiasa berwaspada dalam menghadapi strategi musuh untuk mengadu domba dan melemahkan organisasi Islam. Semua kepimpinan Islam perlu mengukuhkan persepakatan dalam mengenali gerak geri musuh.

6. Membina suatu imej yang sentiasa menjadikan pertubuhan-pertubuhan Islam sebagai pembawa mesej penyayang, penegak keadilan dalam sosial dan hak demokrasi kepada segenap masyarakat sama ada Islam dan bukan Islam.

7. Sentiasa memberi keutamaan kepada pembinaan syaksiah dan nilai hidup muslim yang sejati melalui pendekatan tarbiyah dan dakwah berkesan kearah mewujudkan model-model masyarakat Islam yang dapat dicontohi.

8. Sentiasa menggerakan usaha untuk menjadi pembela kepada hak masyarakat yang tertindas dan terpinggir dari proses pembangunan demi mengembalikan kesejahteraan dan kesaksamaan sosial.

9. Membina jaringan dan penggabungan sumber tenaga dan material untuk membenteras gejala sosial sehingga ke akar umbi.

10. Mengusahakan gerakerja yang dapat memurnikan kepimpinan politik negara melalui pendidikan awam berkaitan prinsip dan kewajipan politik di dalam Islam.

11. Sentiasa bergabung tenaga dalam mengarus perdanakan proses menggangkat kepimpinan ulama dalam proses pembinaan negara.

12. Menggiatkan usaha yang lebih tersusun, terancang dan berkesan dalam mengukuhkan status dan kekuatan ekonomi ummat dalam seluruh bidang termasuk pertanian, perkhidmatan, perindustrian dan pengeluaran demi melahirkan masyarakat Islam yang mandiri.

13. Sentiasa meningkatkan pengembelengan usaha untuk gerak kempen pembasmian rasuah dan penyalahgunaan kuasa dari segenap peringkat.

Allahu Akbar.

Sekian.

Pengarah,
Persidangan Pertubuhan-pertubuhan Islam MALAYSIA (selanjutnya…)

Artikel di bawah ambe ambil dari ahkam.net, dari salah seorang member ahkam yg menggelarkan dirinya alitantawi. Sangat baik untuk renungan bersama.

(selanjutnya…)

Kufur besar – Boleh terkeluar daripada Islam

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI


IBN Jarir at-Thobari menyatakan, tiada sesuatu yang lebih besar daripada bertembung dengan kematian dan selepasnya. Kemudian diamankan mereka daripadanya. Dan Allah s.w.t. berfirman pada ayat seterusnya berhubung orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan rasul-rasul-Nya. Seterusnya dinyatakan balasan mereka pada ayat berikut:

DAN ORANG-ORANG YANG KAFIR DAN MENDUSTAKAN AYAT-AYAT KAMI, MEREKA ITU PENGHUNI NERAKA, MEREKA KEKAL DI DALAMNYA. (Surah al-Baqarah ayat 39)

Firman Allah s.w.t.: `Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, iaitu mereka yang ingkar dengan apa yang Aku turunkan dan dengan apa yang Aku utuskan. Syeikh as-Syarbaji melalui tafsirnya, Tafsir al-Bashair berkata: “Mereka yang derhaka dan ingkar wahdaniyah Allah serta syirik dengan-Nya, di samping mereka ingkar dan mendustakan ayat-ayat Kami pada segala kitab yang Kami turunkannya kepada mereka.” Ibn Jauzi berkata di dalam tafsirnya, Zad al-Masir, pada `ayat-ayat Kami’ di atas terdapat tiga pandangan ulama:

i. Bermaksud sebagai tanda. Justeru makna `ayat’ ialah tanda pemisahan kalam yang sebelum dengan yang selepasnya. Inilah pilihan Abi Ubaid.

ii. Bahawa dinamakan `ayat’ kerana ia himpunan huruf-huruf daripada al-Quran.

iii. Bahawa dinamakan `ayat’ kerana ia amat ajaib, seperti mana yang dinyatakan Ibn al-Anbari.

Dikehendaki dengan `ayat-ayat’ di sini dengan empat pendapat:

i. Segala ayat dalam kitab-kitab yang dibaca.

ii. Segala mukjizat nabi-nabi.

iii. Al-Quran.

iv. Tanda-tanda kuasa Allah pada segala perbuatannya.

Ulama Usuluddin atau akidah membincangkan permasalahan kufur dalam kitab masing-masing.

Kufur pada bahasa adalah tutup, kerana hati orang kafir tertutup atau terkunci mati daripada mendapat hidayah Allah.

Sedangkan kufur menurut istilah syarak ialah lawan daripada iman, iaitu tidak beriman kepada Allah dan Rasul-Nya sama ada kekufurannya itu diikuti dengan mendustakan Allah dan Rasul-Nya ataupun tidak diikuti dengan pendustaan.

Malahan seseorang telah dihukumkan kufur jika syak atau ragu-ragu atau berpaling atau takabbur terhadap kebenaran, atau menurut hawa nafsu sehingga enggan mengikuti ajaran Rasulullah s.a.w.

Kufur terbahagi kepada dua bahagian:

1. Kufur Akbar (kufur besar).

2. Kufur Asghar (kufur kecil).

Kufur

Kufur Akbar boleh mengeluarkan seseorang daripada agama Islam. Kufur jenis ini ada lima bahagian:

1. Kufur Takzib, iaitu mendustakan ayat-ayat Allah atau hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

2. Kufur Iba’wa Istikbar, iaitu kufur kerana enggan dan takabbur terhadap kebenaran, walaupun ia mengakui kebenaran tersebut. Di antara contohnya ialah seperti keengganan dan kesombongan Iblis ketika disuruh sujud oleh Allah kepada Adam a.s.

3. Kufur Syak atau Kufur Zann iaitu kufur ragu terhadap Hari Kiamat. Ini seperti ucapan orang kafir yang Allah kisahkan di dalam Surah al-Kahfi ayat 35 hingga 37.

4. Kufur I`rad, iaitu kufur kerana berpaling daripada peringatan Allah. Di antara dalilnya ialah firman Allah di dalam Surah al-Ahqaf ayat 3.

5. Kufur Nifaq, iaitu kufur kerana menzahirkan keIslamannya dengan lisan tetapi tidak melaksanakan ajaran Islamnya dengan hati dan amalan.

Kufur Nifaq terbahagi kepada dua jenis:

a. Nifaq I`tiqadi, iaitu munafiq I`tiqad. Jenis nifaq ini tempatnya di bahagian neraka paling bawah (Ahl ad-Dark al-Asfali min an-Nar). Kufur ini terbahagi kepada enam bahagian:

i. Mendustakan apa yang datang daripada Allah.

ii. Mendustakan sebahagian daripada apa yang datang daripada Allah.

iii. Mendustakan Rasulullah s.a.w. atau apa yang datang daripadanya.

iv. Mendustakan sebahagian daripada apa yang datang daripada Rasulullah s.a.w.

v. Benci terhadap kejayaan dan kemenangan Islam.

vi. Gembira dengan kemunduran Islam.

b. Nifaq `Amali, iaitu munafik amalan. Nifaq jenis ini tidaklah sampai mengeluarkan orang yang berkenaan daripada agama Islam. Dan nifaq ini terbahagi kepada lima bahagian:

i. Jika bercakap ia berbohong.

ii. Jika berjanji ia mungkir.

iii. Jika diberi amanah ia mengkhianatinya.

iv. Jika ia berkelahi ia berdendam.

v. Jika bersumpah ia menipu.

Sementara kufur asghar pula, contohnya ialah :

1. Kufur Nikmat, iaitu kufur kerana tidak mensyukuri nikmat Allah, dalilnya di dalam Surah an-Nahl ayat 112.

2. Kufur kerana membunuh orang Muslim, Seperti riwayat Bukhari dan Muslim.

3. Kufur kerana bersumpah dengan selain nama Allah. Seperti riwayat Tirmizi dan Sahih mengikut al-Hakim.

Hakikat

`Mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya’, iaitu mereka yang kekal dalam neraka jahim.

Bagi menjelaskan lagi hakikat neraka, dinaqalkan di sini kenyataan Abu Laith as-Samarqandi melalui kitabnya, Tanbihul Ghafilin, berhubung dengan bab sifat api neraka dan sifat ahlinya:

i. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Api neraka dinyalakan selama seribu tahun sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian dilanjutkan seribu tahun lagi sehingga hitam gelap, bagaikan malam yang kelam.”

ii. Abdullah bin Jubair meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bahawa di dalam neraka ada ular-ular sebesar leher unta, jika ia menggigit, rasa pedihnya biasanya tetap terasa hingga empat puluh tahun. Juga di dalam neraka ada kala jengking sebesar keldai, jika ia menggigit, akan merasa pedih biasanya selama empat puluh tahun.

iii. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya seringan-ringan seksaan ahli neraka iaitu seorang yang berdiri kedua-dua belah kakinya di dalam neraka, dan mendidih otaknya, seolah-olah di telinganya ada api, dan giginya berapi dan bibirnya ada wap api, dan keluar ususnya dari bawah kakinya, bahkan ia merasa bahawa dialah yang terberat seksanya daripada semua ahli neraka, padahal sangat ringan seksanya daripada semua ahli neraka.

iv. Daripada Abu Hurairah r.a. berkata, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Allah memanggil Malaikat Jibril dan menyuruhnya melihat syurga dengan segala persiapan untuk ahlinya, maka ketika kembali, Jibril berkata: Demi kemuliaan-Mu tiada seorang yang mendengarnya melainkan ia akan masuk ke dalamnya, maka ia akan diliputi dengan serba kesukaran, dan menyuruh Jibril kembali melihatnya, maka Jibril kembali melihatnya dan ia berkata, Demi kemulian-Mu saya khuatir kalau-kalau tiada seorang pun yang masuk ke dalamnya. Kemudian disuruh melihat neraka dan semua yang disediakan bagi ahlinya, maka kembali Jibril dan berkata, Demi kemuliaan-Mu tidak akan masuk ke dalamnya orang yang telah mendengarnya, kemudian diliputi dengan kepuasan syahwatnya, dan diperintah supaya kembali melihatnya kemudian setelah dilihatnya kembali, Jibril berkata, Saya khuatir kalau tiada seorangpun melainkan akan masuk ke dalamnya.

v. Daripada Abdullah bin Amr r.a. berkata: Orang-orang neraka memanggil Malaikat Malik, tetapi tidak dijawabnya selama empat puluh tahun, kemudian ia menjawab: Bahawa kamu tetap tinggal dalam neraka. Kemudian mereka berdoa (memanggil) Tuhan: Ya Tuhan keluarkanlah kami dari neraka ini, maka apabila kami mengulangi perbuatan-perbuatan kami yang lalu itu, bererti kami zalim, maka tidak dijawab selama umur dunia ini dua kali, kemudian dijawab: Hina kamu di dalam neraka dan jangan berkata-kata. Demi Allah setelah itu tidak ada yang dapat berkata-kata walau satu kalimat, sedang yang terdengar hanya nafas keluhan dan tangis rintihan yang suara mereka hampir menyamai suara himar (keldai).

vi. Seorang pujangga berkata: Dalam usia tua itu cukup pengalaman untuk mencegah orang yang tenang daripada sifat keanak-anakan, apabila telah menyala api di rambutnya (beruban). Saya melihat seseorang itu ingin hidup tenang apabila dahan pokok yang menguning sesudahnya hijau. Jauhilah kawan yang jahat, dan berhati-hatilah jangan menghubunginya, tetapi apabila tidak dapat, maka ambil hati-hatinya. Dan berkawanlah pada orang yang jujur, tetapi jangan suka membantah padanya, engkau pasti akan disukai selama kamu tidak membantah kepadanya. Berkawanlah dengan orang bangsawan dan berakhlak, baik budinya. Maka sesiapa yang berbuat baik pada orang yang tidak berbudi, bererti ia telah membuang budi itu dalam laut. Dan Allah mempunyai syurga yang sebesar langit, tetapi diliputi dengan kesukaran-kesukaran.


Talak boleh dirujuk hanya dua kali

AL-MARAGHI berkata: Orang Arab jahiliah talak dan idah bagi perempuan. Begitu rujuk dalam masa idah, sedangkan tiada di sana tempoh talak dan bilangannya. Selepas datangnya Islam ia membaiki hubungan masyarakat yang berkaitan dengan institusi kekeluargaan seperti talak dan rujuk.

Hukum yang berikut ialah mengenai bilangan talak, mengenai hak perempuan yang dicerai dalam pemilikan mas kahwin, mengenai haram mengambil sesuatu daripada mas kahwin ketika bercerai kecuali dalam kes sahaja, iaitu kes perempuan yang bencikan suaminya dan takut melakukan maksiat jika ia terus terikat dengan perkahwinan yang tidak disukainya itu. Inilah kes khuluk atau tebusan talak, di mana isteri membeli kebebasan dirinya dengan membayar tebusan.

Firman Allah, Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 229)

Firman Allah: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.

Al-Baghawi berkata: Yakni talak yang boleh dirujuk hanya dua kali. Apabila berlaku tiga kali maka tidak dibolehkan.

Sayid Qutub: Bilangan talak yang boleh dimulakan semula kehidupan suami isteri ialah dua kali. Apabila talak itu melebihi dua kali, maka tidak ada jalan lagi untuk kembali kecuali dengan syarat yang telah dinaskan oleh ayat selanjutnya, iaitu perempuan itu berkahwin dengan orang lain kemudian suami yang baru ini menceraikannya dengan talak biasa kerana sesuatu sebab yang tertentu dan tidak merujukkannya hingga ia terpisah darinya.

Di waktu inilah sahaja harus bagi suaminya yang pertama berkahwin semula dengannya jika perempuan itu reda menerimanya sebagai suami yang baru.

Ibnu al-Arabi berkata: Ayat ini menyebut perkataan talak secara makrifah (iaitu disebut dengan al). Timbul perbezaan pendapat tentang apakah maksud penyebutan secara makrifah. Dalam hal ini ada empat pendapat:

* Ia bererti talak yang disyariatkan itu ialah dua kali. Justeru, talak yang bukan begini caranya tidak disyariatkan. Diriwayatkan daripada al-Hajjaj bin Arta’ah dan sekumpulan mazhab Rafidah, mereka mengatakan: Hal ini kerana Nabi Muhammad s.a.w diutuskan dengan tujuan untuk memberi penerangan tentang syarak. Justeru, sebarang perkara yang tidak mengikut ketetapan syarak, maka ia tidak disyariatkan.

* Ia bererti talak yang boleh dirujuk itu dua kali. Hal ini kerana orang jahiliah melakukan talak dan rujuk tanpa had. Lalu Allah s.w.t. menerangkan bahawa rujuk itu hanya boleh dilakukan pada dua kali talak sahaja.

* Ia bererti talak yang disunnahkan itu hanya dua kali. Inilah pendapat Imam Malik.

* Ia bererti talak yang harus itu hanya dua kali seperti pendapat Abu Hanifah.

Bagi mereka yang mengatakan, ia bererti talak yang disyariatkan, maka kenyataan ini adalah betul. Akan tetapi, dalam syarak itu ada hukum fardu, sunat, harus dan haram. Justeru apabila dikatakan ia talak yang disyariatkan maka ia membawa erti salah satu bahagian yang disyariatkan iaitu talak yang sunah. Kami telah menyebutkan bahawa selain itu ia tidak disyariatkan.

Namun terdapat banyak hadis dan athar serta ijmak menyatakan bahawa orang yang menceraikan isterinya talak dua atau tiga maka talak itu berlaku.

Firman Allah: Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu)

Al-Mawardi berkata: Mas kahwin sedangkan al-Alusi pula berkata daripada sedekah.

Firman Allah: kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.

Al-Maraghi pula berkata: Hudud Allah dengan maksud segala hukumnya yang disyariatkan bagi suami isteri daripada baiknya hubungan dan tolong menolong dalam urusan rumah tangga serta mentarbiah anak.

Ada hadis yang datang mengenai sebab nuzul syarat ini, iaitu talak di permulaan Islam tidak dihadkan dengan bilangan kali yang tertentu. Seorang lelaki bebas merujukkan isteri yang diceraikannya dalam masa idah, kemudian menceraikannya semula dan merujukkannya balik. Demikianlah dia berbuat sesuka hatinya. Kemudian ada seorang Ansar berselisih faham dengan isterinya lalu dia menaruh dendam terhadapnya dan berkata: Demi Allah, aku tidak akan tinggal bersama awak, tetapi tidak pula berpisah dengan awak. Isterinya bertanya: Bagaimana? Jawabnya: Aku akan ceraikan awak dan apabila idah awak hampir habis aku akan rujukkan awak. Lalu perempuan itu menceritakan perkara ini kepada Rasulullah s.a.w., maka Allah menurunkan ayat ini.

Firman Allah: Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).

Kebijaksanaan agama Allah yang dipegang oleh kaum Muslimin terus menerus menurunkan hukum-hukum apabila timbul keadaan yang memerlukan kepada hukum-hukum itu sehingga seluruh dasar agama itu lengkap dan sempurna dan tidak ada lagi yang tinggal kecuali membuat tafri’-tafri’ (mengeluarkan hukum-hukum dari dasar yang am) bagi kes-kes yang baru dan mengadakan jawapan-jawapan baginya yang diambil dari dasar yang am itu.

Firman Allah: Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Terdapat dua pendapat tentang ayat ini:

Pertama: dikatakan ayat ini berkaitan dengan perkahwinan secara khusus. Ia merupakan pendapat jumhur.

Kedua: Ia membawa maksud ketaatan. Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan selainnya. Iaitu pendapat yang paling sahih. Hal ini kerana apabila salah seorang suami isteri tidak mentaati Allah dan tidak mentaati temannya kerana Allah, maka tidak ada kebaikan lagi mereka hidup bersama. Inilah pendapat yang dipilih oleh Ibnu al-Arabi.

Iktibar Ayat

* Ibnu al-Arabi berkata: Perkataan talak disebut dengan (al) iaitu makrifah dengan maksud yang tertentu, antaranya jenis talak yang disyariatkan dan disunnahkan.

* Berinteraksi dengan baik walaupun ketika berlakunya perceraian.

* Imam al-Syafie berkata: Perkataan ‘sarah’ yang bermaksud melepaskan termasuk dalam lafaz talak yang jelas.

Perang Dunia Kedua sudah lama berkubur tetapi luka yang amat besar takkan dilupakan dengan begitu mudah. Bagi sesetengah pengkaji, perang yang akan datang akan muncul dalam bentuk Perang antara agama. Pengkaji daripada Israel sendiri meramalkan bahawa Perang Dunia Ketiga merupakan Perang yang berasaskan Ramalan kitab suci tentang kemunculan Ya’juj dan Ma’juj.

Mereka percaya bahawa ancaman nuklear  daripada Iran mampu mencetuskan perang dunia ketiga yang dimaksudkan. Sebelah pihak terdiri daripada Russia, Iran, China, Syria dan Korea Utara; manakala sebelah pihak lagi terdiri daripada blok Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan German. Presiden Bush sendiri dalam ucapan sidang akhbarnya mendakwa bahawa keghairahan Iran dalam mempertingkatkan keupayaan senjata nuklear nya akan menaikkan risiko tercetusnya perang dunia ketiga. Ini sebahagian petikan ucapan Bush dalam kempen menentang Ahmadenijad;

“If Iran had a nuclear weapon, it’d be a dangerous threat to world peace,” Bush said. “So I told people that if you’re interested in avoiding World War III, it seems like you ought to be interested [in preventing a nuclear Iran]…I take the threat of Iran with a nuclear weapon very seriously.”

Sudah menjadi skrip tetap Presiden US apabila ada negara musuh ketatnya membangunkan nuklear, ia kaitkan dengan keganasan dan perang. Yang selamat jaga senjata nuklear hanyalah US dan Israel sahaja!!Seolah-olah mereka sahaja yang tidak mengancam keselamatan dunia.

Yahudi juga percaya sebagaimana kita percaya dari sumber-sumber hadis nabi bahawa suatu ketika nanti Ya’juj dan Ma’juj akan keluar memerangi manusia seluruhnya sehinggalah mereka menuju ke Tanah Suci umat Islam di Palestine, Baitul Maqdis.

Ya Allah, kalaulah kami sempat berada di zaman fitnah besar Ya’juj dan Ma’juj, Engkau kukuhkan hati kami dalam ketaatan kepadaMu dan keelokan beribadah kepada Mu. Jadikan kami golongan yang berjihad di jalanMu ya Allah…Ya arhamarraahimiin.

Ni sebahagian suasana aidilfitri famili ambe.keluargaku01.jpg

MUQADDIMAH

Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Allah subhanahu wata’ala kerana dengan limpah kurnia ALLAH azza wa jalla, kita berjaya melaksanakan ibadah puasa Ramadhan sebulan (bagi yang puasa la kan). Dan sekarang kita berada dalam bulan Syawal. Bulan yang juga dimuliakan oleh Allah kerana padanya ada amalan berhari raya iaitu pada 1 syawal, dan padanya juga ada amalan berpuasa sunat yang amat besar ganjaran pahalanya, sebagaimana sabda Nabi sallallahu alaihi wasallam yang maksudnya,

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan , kemudian diikuti dengan 6 hari daripada Syawal, adalah seperti berpuasa setahun.”

MATEMATIK FADHILAT SETAHUN

Dikatakan bahawa ‘seperti setahun’ itu kerana 30 hari puasa Ramadhan itu bersamaan 10 bulan dan 6 hari syawal bersamaan 60 hari, maka jadilah 360 hari iaitu kira2 setahun. Setahun hijriyah bersamaan 355 hari kerana tahun hijri kurang 10 hari daripada tahun masihi yang ada 365 hari setahun.

kaedah kira2nya begini:

30 X 10 =300
6 X 10 = 60;
jadi, 300 +60= 360 HARI.

Kenapa didarab dengan 10? Ada hadis yang menyamakan 30 hari itu sama dengan 10 bulan dan 6 hari bersamaan dengan 60 hari. Juga berdasarkan kepada satu hadis yang bermaksud,

“Setiap amalan anak Adam digandakan baginya 10 (kali ganda) yang seumpamanya) hingga kepada 700 kali ganda… ..”

Jadi, kalau pakai gandaan yang paling minimum iaitu 10, maka hasilnya ialah 360 hari. BETUL TAK?

Bila Nak Mula Puasa tu?

Yang terbaik/afdhal ialah bermula 2 syawal hinggalah 7 syawal secara berturut2. Kemudian bolehlah beraya 6 pada 8 syawal.

Kalau nak puasa 1 syawal boleh ke?

Kalau serban sebesar bakul sekalipun, warak setara mana pun, alim sehebat mana sekalipun, tetap HARAM puasa pada 1 syawal. Hari tu khusus untuk kita berhari raya kerana menandakan kita sudah berjaya memfitrahkan diri kita kerana Aidil fitri itu sendiri bermaksud kita ‘KEMBALI KEPADA FITRAH’. Apa yang fitrahnya? Apabila kita dah berpuasa sebulan dengan penuh Keimanan dan Keikhlasan, mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Allah jalla wa ‘la, maka diri kita sudah dikira kembali kepada sediakala seperti waktu kita dilahirkan dahulu, iaitu dalam keadaan tiada dosa walau sebesar zarah sekalipun. Inilah HAKIKAT SEBENAR Hari Raya Aidil Fitri.

Kalau Puasa berselang seli dapat juga ke fadhilatnya?

Ya, Fadhilat puasa 6 syawal disebut dalam hadis secara umum, tidak dikhususkan dan dimestikan berturut2. Kalau berselang seli pun terhasil puasanya selagimana dalam bulan Syawal. Kalau puasa akhir syawal sekalipun, contohnya 29 syawal baru habis yang keenam, juga terhasil fadhilatnya. Cuma yang afdhalnya ialah ‘mutatabi’atan’ iaitu berturut2, tidak putus muwaalat harinya. Yang penting syarat sahnya mesti dalam BULAN SYAWAL!!

Kalau macam tu, kesian la kat pompuan yang uzur d bulan Ramadhan?Tak dapat fadhilat setahun la…

Menurut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’e, orang yang ada puasa qadha, wajib qadha puasa dahulu di bulan syawal sebelum puasa sunat. Kalau ada baki, maka bolehlah puasa sunat dalam bulan syawal. Tapi, Bagi orang yang luput sebulan Ramadhannya dan terpaksa ganti sebulan di bulan Syawal, maka dapat lagi fadhilat puasa 6 syawal kalau ia berpuasa dengan niat puasa 6 syawal di bulan Zul qaedah.

Kalau nak niat serentak puasa QADHA’ dan SUNAT SYAWAL, boleh ke??

Ulama’ berselisih pendapat dalam masalah ini. Ada yang kata boleh, ada yang kata tak boleh.
Dalam mazhab Syafi’e, setengah ulama’ mengharuskan niat serentak puasa qadha dan sunat syawal dan terhasil fadhilat puasa syawal dengan niat serentak. Setengah lagi mengatakan bahawa kalau hanya niat puasa qadha’ sahaja sekalipun, tetap dapat pahala fadhilat puasa 6 hari dalam syawal kerana umum hadis tidak menyebut sama ada puasa itu qadha ataupun puasa sunat !!

Jadi, tak payah niat serentak lah atas dasar mera’ikan kaedah ‘Khilaful Aula’, iaitu mera’ikan pandangan yang mengatakan Tidak Sah niat puasa serentak qadha’ dan sunat.

WALLAHU A’LAM.

Ibnu Abbas

Dalam perjalanan ke tempat kerja hari ni, ambe terdengar siaran IKIM.FM. Perbincangan pagi ni berkisar masalah solat oleh angkasawan Malaysia di angkasa. Ambe terkejut apabila jemputan yang bercakap menyebut bahawa ada pendapat yang mengatakan di angkasa tak payah solat sebab mana ada waktu macam di bumi. ada siang dan malam.

Dulu orang meremehkan solat ketika Datuk Maidin menyeberangi Selat Inggeris. Sekarang ni solat di angkasa pulak.   Bukankah ada satu hadis yang menceritakan kisah akhir zaman di mana apabila muncul Dajjal, siang hari menjadi amat panjang. Lalu para sahabat bertanya bagaimana mereka nak solat? Lalu Nabi sallallahu alaihi wasallam menjawab solatlah berdasarkan kiraan waktu sebagaimana biasa sebelum berlakunya zaman dajjal itu. maknanya solat dalam siang hari yang panjang itu akan jadi banyak kali. Ambe tak ingat dan tak jumpe setakat ni matan hadis tu.nanti cari semula.

Pokoknya, pemimpin negara lebih suka orang lihat kita ni hebat dari sudut melakukan perkara2 yang dunia ketiga dan negara sedang membangun tak pernah buat sebelum ni.

Tidakkah kita sedar bahawa kekuatan sebenar yang ditakuti musuh ialah apabila kita menjunjung tinggi konsep jihad. Mulianya umaty Islam apabila Jihad menjadi mercutanda umat. Hinanya Islam bukan kerana msikin ekonomi tetapi kerana jihad ditinggalkan atau diabaikan, dikesampingkan.

WALLAHU A’LAM

kaabah-apple.jpg

Pada yang saudara seagama denganku, pasti saja melenting apabila mekah dilawankan dengan apple mekah yang terdapat di New York.Betapa kurang ajarnya negara POLIS DUNIA itu tanpa mengambil kira senstiviti masyarakat beragama ISLAM. Dan betapa dayusnya masyarakat beragama ISLAM seandainya tidak mempertahankan hak mereka apabila diinjak-injak begitu.

Kali ini, model Baitullah dibina di New York. Tapi bangunan berbentuk segi empat dan berwarna hitam itu bukan sekadar model. Sebaliknya, bangunan yang dikenali sebagai Apple Mecca ini sebenarnya adalah sebuah night club.

Denganperbandingan gambar kaabah dan juga objek yang diberi nama apple mecca ini jelas menunjukkan sikap tidak prihatin yang ada pada masyarakat Amerika yang kononnya melaungkan hak kebebasan manusia.

Hak kebebasan manusia dan hak kebebasan bersuara inilah yang menyebabkan mereka secara membuta-tuli dan sesuka hatinya menyakiti hati masyarakat beragama Islam di seluruh dunia dengan menyentuh sensitiviti masyarakat Islam. Apatah lagi baitullah yang ada di tanah haram adalah rumah Allah yang dikunjungi oleh umat Islam di seluruh dunia saban tahun.

Apa sahaja ya, dendam mereka yang belum usai pada masyarakat Islam? Apa sahaja ya yang membuatkan mereka begitu membenci umat Islam? Cuba merosak dan menjatuhkan umat Islam?

Ternyata janji Allah itu memang benar… umat Islam akan sentiasa cuba dijatuhkan oleh mereka yang dilaknat ALLAH ini.

SEDEKAH yang diberikan dalam bulan Ramadan dapat menampal segala kebocoran-kebocoran dan kekurangan-kekurangan yang berlaku pada ibadah puasa itu. Allah telah mewajibkan mengeluarkan zakat fitrah dengan tujuan menyucikan orang-orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan pekerjaan keji yang telah mereka lakukan dalam sebulan berpuasa itu. Oleh itu, zakat fitrah dianggap sebagai pembersih diri.

Menurut Hassan Al-Basri, zakat fitrah bagi puasa bagaikan sujud sahwi bagi sembahyang. Sebagaimana sujud sahwi harus dilaksanakannya kerana peristiwa tertentu yang terjadi dalam sembahyang. Begitu juga dengan puasa disertai dengan melaksanakan zakat fitarah untuk menampung dan melengkapkan kecacatan yang berlaku di sepanjang melakukan ibadah puasa. Zakat fitrah wajib dikeluarkan hanya sekali setahun untuk setiap individu dan saat terbaiknya adalah sebelum sembahyang sunat ‘Id. walaubagaimanapun Imam Syafie membenarkan zakat fitrah tersebut dibayar, sejak bermula bulan Ramadan lagi.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Barangsiapa menunaikan sebelum sembahyang ‘Id maka itulah zakat yang diterima. Dan barangsiapa menunaikannya sesudah sembahyang, maka itu suatu sedekah biasa”

Lain-lain kelebihan terdapat pada zakat fitrah ada tersebut dalam Hadis yang pernah disabdakan : “Barangsiapa yang memberi zakat fitrah, dia akan mendapat sepuluh perkara :

mar_purp.gif (138 bytes) Badannya bersih dari dosa-dosa.
mar_purp.gif (138 bytes) Dibebaskan dari api neraka.
mar_purp.gif (138 bytes) Puasanya diterima.
mar_purp.gif (138 bytes) Pasti memperoleh Syurga.
mar_purp.gif (138 bytes) Keluar dari kubur dalam keadaan aman.
mar_purp.gif (138 bytes) Semua kebaikan yang dia lakukan pada akhir tahun itu diterima.
mar_purp.gif (138 bytes) Dia pasti mendapat syafaatku pada Hari Kiamat.
mar_purp.gif (138 bytes) Dia akan melintas di atas Sirat bagaikan kilat yang menyambar.
mar_purp.gif (138 bytes) Mizannya akan berat dan penuh dengan kebaikan.
mar_purp.gif (138 bytes)

Allah Taala akan menghapuskan namanya dari daftar orang-orang celaka.”

HADIAH ALLAH

Ramadan adalah bulan ujian. Seluruh umat Islam akan menempuh ujian di bulan tersebut. Hari Raya Aidil Fitri dirayakan kerana meraikan kejayaan orang yang telah berjaya berhadapan dengan bulan Ramadan. Dengan kejayaan tersebut, mereka layak menerima anugerah daripada Allah swt.

Di antara janji-janji yang disediakan kepada para mukmin dan muttaqin hasil dari berjihad nafsu di bulan Ramadan adalah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah :

“Usahakanlah pada hari raya untuk dapat berzikir dan melakukan amal-amal kebajikan dan kebajikan seperti sembahyang, zakat, bertasbih, dan bertahlil. Kerana sesungguhnya hari raya ialah di mana Allah Taala mengampuni dosa-dosa kamu sekalian dan memperkenankan doamu sekalian dan memandang kamu sekalian dengan rahmat”.

Kita boleh senaraikan tanda-tanda lahiriah orang-orangyang layak menerima anugerah tersebut. Di antara tanda-tanda tersebut adalah :

  1. Fikirannya telah dibersihkan oleh Al-Quran dari sebarang khurafat, tahyul, isme dan ideologi yang diakal-akalkan oleh manusia. Fahaman kebendaan dan kepentingan diri turut terhapus.
  2. Nafsu-nafsu mereka telah terdidik hingga mudah melaksanakan segala perintah dari Allah dan Rasul-Nya.
  3. Memiliki sifat-sifat mahmudah, sama ada dengan Allah dan juga sesama manusia seperti pemurah, sabar, reda, tawakal, kasih sayang, sopan santun dan lain-lain lagi.
  4. Melalui latihan di bulan Ramadan akan menjadikan mereka sabar dan tabah berhadapan dengan sebarang ujian selepas bulan tersebut.

CARA MELAHIRKAN KESYUKURAN

Bagaimanakah cara sebenar untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah swt di hari raya?

Ajaran Islam menuntut agar majlis tersebut diraikan seperti yang telah diatur dan ditentukan oleh syariat. Program-program ini apabila dilaksanakan tepat menurut ajaran Islam, maka akan lahirlah syiar-syiar Allah. Orang yang berjaya melahirkan syiar Allah, bermakna mereka telah berjaya mengagungkan kebesaran Alllah. Di sisi Allah, layaklah mereka mendapat gelaran “orang yang mempunyai hati yang bertaqwa”. Firman Allah di dalam surah Al-Haj ayat 32 yang bermaksud :

“Barang siapa yang membesarkan syiar Allah maka sesungguhnya itu (yakni membesarkan syiar Allah) lahir daripada hati yang bertaqwa”

Apakah yang dikatakan syiar Allah? Bagaimana caranya untuk melahirkan syiar Allah di dalam kehidupan sebagai tanda bersyukur kepada Allah swt pada setiap kali menyambut hari raya? Untuk melahirkan dan membesarkan syiar Allah, umat Islam patut mengadakan majlis atau program hari raya seperti berikut :

  1. Bertakbir dan bertahmid beramai-ramai sejak malam hari raya sehingga menjelang sembahyang sunat hari raya. Digalakkan juga memperbanyakkan doa dan memohon ampun daripada Allah swt.
  2. Mengeluarkan zakat fitrah sebelum sembahyang sunat hari raya. Ibnu Uyainah berkata dalam tafsirnya, bahawasanya Ikrimah berkata : “Hendaklah seseorang memberi zakatnya pada pagi hari raya fitri sebelum sembahyang. Kerana sesungguhnya Allah berfirman ; “Sesungguhnya telah berkembanglah orang-orang yang bersuci (orang yang mengeluarkan zakat ), menyebut nama Tuhannya dan bersembahyang.
  3. Sembahyang sunat dua rakaat berjemaah serta mendengar khutbah. Paling baik di kawasan padang yang luas. Supaya wanita-wanita yang berkeuzuran dapat bersama-sama menyambut dan memeriahkannya.
  4. Selepas mendengar khutbah, tanpa memilih kedudukan, jawatan dan pangkat, umat Islam bermaaf-maafan, bermesra dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Jubair Ibnu Nufair berkata : “Adalah sahabat Rasulullah saw apabila berjumpa satu sama lain di Hari ‘Id mereka mengucapkan “Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu”.
  5. Menjamu tetamu termasuk golongan fakir miskin, dengan makanan-makanan yang lazat. Sabda Rasulullah saw : “Berikanlah kepada fakir miskin kecukupan (hindarkanlah mereka dari meminta-minta) pada hari itu”.
  6. Ziarah-menziarahi di antara satu sama lain untuk mengeratkan tali silaturrahim, terutama menziarahi kedua ibu bapa serta kaum keluarga, guru-guru dan para pemimpin masyarakat Islam.
  7. Memberi sedekah kepada fakir miskin dengan tujuan menghiburkan hati mereka agar mereka turut rasa terhibur di hari raya.
  8. Mengadakan majlis perjumpaan hari raya untuk dapat bertemu dengan kaum Muslimin yang lain.. Di majlis itu dihiasi dengan ceramah-ceramah, kuliah-kuliah ringkas, zikir-zikir dan nasyid-nasyid yang bercorak Islam. Selepas majlis, menjamu tetamu-tetamu yang hadir bersama-sama fakir miskin agar mereka tidak terasa tersisih dari masyarakat umum. Tujuannya supaya sifat rendah diri yang ada dalam diri mereka itu akan hilang.

APAKAH YANG PATUT DIKOREKSI?

Satu Syawal yang dirayakan oleh seluruh umat Islam di dunia hari ini sesungguhnya bukan hari untuk berfoya-foya. Ia juga bukan hari membuat dosa, hari membalas dendam di atas sebulan lamanya kerana mengekang hawa nafsu dengan berpuasa di siangnya dan di malamnya dipenuhi dengan ibadah-ibadah sunat.

Hari raya yang dituntut oleh Allah adalah hari tafakur, atau hari koreksi diri. Apakah yang dimaksudkan hari tafakur, hari berfikir atau hari koreksi diri? Apakah yang hendak ditafakur, difikir dan dikoreksi?

Hari raya dalah hari mengajak kita bertafakur dengan amalan-amalan yang telah dilakukan selama sebulan Ramadan itu, apakah sudah diterima oleh Allah atau tidak? Ia mengajak kita berfikir selama sebulan berpuasa di siangnya dan malamnya dihiasi dengan ibadah-ibadah sunat, apakah kita telah mendapat keredhaan Allah? Ia mengajak kita mengkoreksi setiap amal ibadah yang dilakukan itu, apakah benar-benar berjaya membersihkan hawa nafsu daripada sifat-sifat mazmumah? Ia mengajak kita memikirkan apakah ibadah yang dilakuan itu berjaya meneguhkan dan menambahkan iman atau berlaku sebaliknya? Ia mengajak kita bertafakur apakah ibadah-ibadah tersebut boleh memberi kekuatan dan menambahkan kebaikan serta kebajkan di bula-bulan yang seterusnya.

Di bulan Ramadan, banyak kebaikan dan amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam mendapat pahala yang berganda. Sekurang-kurangnya, ada tiga ibadah utama yang patut difikir dan dikoreksi setelah menempuh ujian sepanjang sebulan Ramadan.

  1. Membaca Al-Quran – apakah kita sudah berjaya dididik oleh Al-Quran agar menjadi insan yang menyintainya setiap masa selepas Ramadan berlalu ?
  2. Kekuatan Jiwa – apakah kita sudah punyai kekuatan jiwa menentang segala perkara maksiat sebagaimana kita mempunyai kekuatan menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara yang membatalkan puasa di bulan Ramadan ?
  3. Ibadah Sunat – apakah ibadah –ibadah sunat seperti bersedekah, berwitir dan bertasbih menjadi amalan selepas Ramadan tinggalkan kita ?

Inilah antara soalan- soalan yang perlu ditanya kepada diri kita agar kita dapat membina kelangsungan ibadah dan ternyata keberkesanan puasa itu kepada diri kita.

CARA MUKMIN BERHIBUR

Hari raya adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap umat Islam. Sesetengahnya, sebelum tiba bulan Ramadan lagi, telah ghairah membuat berbagai persiapan untuk memeriahkan hari raya. Demikianlah kedatangan hari raya begitu dinanti-nantikan kerana dianggap hari berhibur dan bersuka ria. Sesungguhnya fitrah manusia memang suka kepada hiburan dan bersuka-sukaan. Namun begitu, terdapat dua bentuk perasaan yang melanda hati umat Islam sewaktu menjelangnya hari raya. Ia adalah :

  1. Hati yang terasa sedih kerana bulan ibadah telah berlalu bulan Ramadhan Al-Mubarak itu.
  2. Hati terasa gembira kerana hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Di mana hari bergembira, bersuka ria dan berhibur-hibur.

Islam membenarkan umatnya berhibur tetapi hendaklah melalui saluran hiburan yang dituntut dan dibenarkan oleh Allah dan Rasul Nya. Hiburan corak ini adalah hiburan yang tinggi nilainya, yang suci murni, yang bersih dan indah serta memberi kebahagiaan yang hakiki. Tetapi malangnya hiburan seumpama ini, berbeza sifatnya dengan apa yang difaham dan dipraktikkan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Umum umat Islam bergelumang dengan hiburan yang bercampur aduk dengan budaya orang-orang yang bukan Islam.

Laman Berikutnya »