SEDEKAH yang diberikan dalam bulan Ramadan dapat menampal segala kebocoran-kebocoran dan kekurangan-kekurangan yang berlaku pada ibadah puasa itu. Allah telah mewajibkan mengeluarkan zakat fitrah dengan tujuan menyucikan orang-orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan pekerjaan keji yang telah mereka lakukan dalam sebulan berpuasa itu. Oleh itu, zakat fitrah dianggap sebagai pembersih diri.

Menurut Hassan Al-Basri, zakat fitrah bagi puasa bagaikan sujud sahwi bagi sembahyang. Sebagaimana sujud sahwi harus dilaksanakannya kerana peristiwa tertentu yang terjadi dalam sembahyang. Begitu juga dengan puasa disertai dengan melaksanakan zakat fitarah untuk menampung dan melengkapkan kecacatan yang berlaku di sepanjang melakukan ibadah puasa. Zakat fitrah wajib dikeluarkan hanya sekali setahun untuk setiap individu dan saat terbaiknya adalah sebelum sembahyang sunat ‘Id. walaubagaimanapun Imam Syafie membenarkan zakat fitrah tersebut dibayar, sejak bermula bulan Ramadan lagi.

Rasulullah bersabda maksudnya : “Barangsiapa menunaikan sebelum sembahyang ‘Id maka itulah zakat yang diterima. Dan barangsiapa menunaikannya sesudah sembahyang, maka itu suatu sedekah biasa”

Lain-lain kelebihan terdapat pada zakat fitrah ada tersebut dalam Hadis yang pernah disabdakan : “Barangsiapa yang memberi zakat fitrah, dia akan mendapat sepuluh perkara :

mar_purp.gif (138 bytes) Badannya bersih dari dosa-dosa.
mar_purp.gif (138 bytes) Dibebaskan dari api neraka.
mar_purp.gif (138 bytes) Puasanya diterima.
mar_purp.gif (138 bytes) Pasti memperoleh Syurga.
mar_purp.gif (138 bytes) Keluar dari kubur dalam keadaan aman.
mar_purp.gif (138 bytes) Semua kebaikan yang dia lakukan pada akhir tahun itu diterima.
mar_purp.gif (138 bytes) Dia pasti mendapat syafaatku pada Hari Kiamat.
mar_purp.gif (138 bytes) Dia akan melintas di atas Sirat bagaikan kilat yang menyambar.
mar_purp.gif (138 bytes) Mizannya akan berat dan penuh dengan kebaikan.
mar_purp.gif (138 bytes)

Allah Taala akan menghapuskan namanya dari daftar orang-orang celaka.”

HADIAH ALLAH

Ramadan adalah bulan ujian. Seluruh umat Islam akan menempuh ujian di bulan tersebut. Hari Raya Aidil Fitri dirayakan kerana meraikan kejayaan orang yang telah berjaya berhadapan dengan bulan Ramadan. Dengan kejayaan tersebut, mereka layak menerima anugerah daripada Allah swt.

Di antara janji-janji yang disediakan kepada para mukmin dan muttaqin hasil dari berjihad nafsu di bulan Ramadan adalah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah :

“Usahakanlah pada hari raya untuk dapat berzikir dan melakukan amal-amal kebajikan dan kebajikan seperti sembahyang, zakat, bertasbih, dan bertahlil. Kerana sesungguhnya hari raya ialah di mana Allah Taala mengampuni dosa-dosa kamu sekalian dan memperkenankan doamu sekalian dan memandang kamu sekalian dengan rahmat”.

Kita boleh senaraikan tanda-tanda lahiriah orang-orangyang layak menerima anugerah tersebut. Di antara tanda-tanda tersebut adalah :

  1. Fikirannya telah dibersihkan oleh Al-Quran dari sebarang khurafat, tahyul, isme dan ideologi yang diakal-akalkan oleh manusia. Fahaman kebendaan dan kepentingan diri turut terhapus.
  2. Nafsu-nafsu mereka telah terdidik hingga mudah melaksanakan segala perintah dari Allah dan Rasul-Nya.
  3. Memiliki sifat-sifat mahmudah, sama ada dengan Allah dan juga sesama manusia seperti pemurah, sabar, reda, tawakal, kasih sayang, sopan santun dan lain-lain lagi.
  4. Melalui latihan di bulan Ramadan akan menjadikan mereka sabar dan tabah berhadapan dengan sebarang ujian selepas bulan tersebut.

CARA MELAHIRKAN KESYUKURAN

Bagaimanakah cara sebenar untuk melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah swt di hari raya?

Ajaran Islam menuntut agar majlis tersebut diraikan seperti yang telah diatur dan ditentukan oleh syariat. Program-program ini apabila dilaksanakan tepat menurut ajaran Islam, maka akan lahirlah syiar-syiar Allah. Orang yang berjaya melahirkan syiar Allah, bermakna mereka telah berjaya mengagungkan kebesaran Alllah. Di sisi Allah, layaklah mereka mendapat gelaran “orang yang mempunyai hati yang bertaqwa”. Firman Allah di dalam surah Al-Haj ayat 32 yang bermaksud :

“Barang siapa yang membesarkan syiar Allah maka sesungguhnya itu (yakni membesarkan syiar Allah) lahir daripada hati yang bertaqwa”

Apakah yang dikatakan syiar Allah? Bagaimana caranya untuk melahirkan syiar Allah di dalam kehidupan sebagai tanda bersyukur kepada Allah swt pada setiap kali menyambut hari raya? Untuk melahirkan dan membesarkan syiar Allah, umat Islam patut mengadakan majlis atau program hari raya seperti berikut :

  1. Bertakbir dan bertahmid beramai-ramai sejak malam hari raya sehingga menjelang sembahyang sunat hari raya. Digalakkan juga memperbanyakkan doa dan memohon ampun daripada Allah swt.
  2. Mengeluarkan zakat fitrah sebelum sembahyang sunat hari raya. Ibnu Uyainah berkata dalam tafsirnya, bahawasanya Ikrimah berkata : “Hendaklah seseorang memberi zakatnya pada pagi hari raya fitri sebelum sembahyang. Kerana sesungguhnya Allah berfirman ; “Sesungguhnya telah berkembanglah orang-orang yang bersuci (orang yang mengeluarkan zakat ), menyebut nama Tuhannya dan bersembahyang.
  3. Sembahyang sunat dua rakaat berjemaah serta mendengar khutbah. Paling baik di kawasan padang yang luas. Supaya wanita-wanita yang berkeuzuran dapat bersama-sama menyambut dan memeriahkannya.
  4. Selepas mendengar khutbah, tanpa memilih kedudukan, jawatan dan pangkat, umat Islam bermaaf-maafan, bermesra dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Jubair Ibnu Nufair berkata : “Adalah sahabat Rasulullah saw apabila berjumpa satu sama lain di Hari ‘Id mereka mengucapkan “Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu”.
  5. Menjamu tetamu termasuk golongan fakir miskin, dengan makanan-makanan yang lazat. Sabda Rasulullah saw : “Berikanlah kepada fakir miskin kecukupan (hindarkanlah mereka dari meminta-minta) pada hari itu”.
  6. Ziarah-menziarahi di antara satu sama lain untuk mengeratkan tali silaturrahim, terutama menziarahi kedua ibu bapa serta kaum keluarga, guru-guru dan para pemimpin masyarakat Islam.
  7. Memberi sedekah kepada fakir miskin dengan tujuan menghiburkan hati mereka agar mereka turut rasa terhibur di hari raya.
  8. Mengadakan majlis perjumpaan hari raya untuk dapat bertemu dengan kaum Muslimin yang lain.. Di majlis itu dihiasi dengan ceramah-ceramah, kuliah-kuliah ringkas, zikir-zikir dan nasyid-nasyid yang bercorak Islam. Selepas majlis, menjamu tetamu-tetamu yang hadir bersama-sama fakir miskin agar mereka tidak terasa tersisih dari masyarakat umum. Tujuannya supaya sifat rendah diri yang ada dalam diri mereka itu akan hilang.

APAKAH YANG PATUT DIKOREKSI?

Satu Syawal yang dirayakan oleh seluruh umat Islam di dunia hari ini sesungguhnya bukan hari untuk berfoya-foya. Ia juga bukan hari membuat dosa, hari membalas dendam di atas sebulan lamanya kerana mengekang hawa nafsu dengan berpuasa di siangnya dan di malamnya dipenuhi dengan ibadah-ibadah sunat.

Hari raya yang dituntut oleh Allah adalah hari tafakur, atau hari koreksi diri. Apakah yang dimaksudkan hari tafakur, hari berfikir atau hari koreksi diri? Apakah yang hendak ditafakur, difikir dan dikoreksi?

Hari raya dalah hari mengajak kita bertafakur dengan amalan-amalan yang telah dilakukan selama sebulan Ramadan itu, apakah sudah diterima oleh Allah atau tidak? Ia mengajak kita berfikir selama sebulan berpuasa di siangnya dan malamnya dihiasi dengan ibadah-ibadah sunat, apakah kita telah mendapat keredhaan Allah? Ia mengajak kita mengkoreksi setiap amal ibadah yang dilakukan itu, apakah benar-benar berjaya membersihkan hawa nafsu daripada sifat-sifat mazmumah? Ia mengajak kita memikirkan apakah ibadah yang dilakuan itu berjaya meneguhkan dan menambahkan iman atau berlaku sebaliknya? Ia mengajak kita bertafakur apakah ibadah-ibadah tersebut boleh memberi kekuatan dan menambahkan kebaikan serta kebajkan di bula-bulan yang seterusnya.

Di bulan Ramadan, banyak kebaikan dan amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam mendapat pahala yang berganda. Sekurang-kurangnya, ada tiga ibadah utama yang patut difikir dan dikoreksi setelah menempuh ujian sepanjang sebulan Ramadan.

  1. Membaca Al-Quran – apakah kita sudah berjaya dididik oleh Al-Quran agar menjadi insan yang menyintainya setiap masa selepas Ramadan berlalu ?
  2. Kekuatan Jiwa – apakah kita sudah punyai kekuatan jiwa menentang segala perkara maksiat sebagaimana kita mempunyai kekuatan menahan diri dari lapar dan dahaga serta perkara yang membatalkan puasa di bulan Ramadan ?
  3. Ibadah Sunat – apakah ibadah –ibadah sunat seperti bersedekah, berwitir dan bertasbih menjadi amalan selepas Ramadan tinggalkan kita ?

Inilah antara soalan- soalan yang perlu ditanya kepada diri kita agar kita dapat membina kelangsungan ibadah dan ternyata keberkesanan puasa itu kepada diri kita.

CARA MUKMIN BERHIBUR

Hari raya adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap umat Islam. Sesetengahnya, sebelum tiba bulan Ramadan lagi, telah ghairah membuat berbagai persiapan untuk memeriahkan hari raya. Demikianlah kedatangan hari raya begitu dinanti-nantikan kerana dianggap hari berhibur dan bersuka ria. Sesungguhnya fitrah manusia memang suka kepada hiburan dan bersuka-sukaan. Namun begitu, terdapat dua bentuk perasaan yang melanda hati umat Islam sewaktu menjelangnya hari raya. Ia adalah :

  1. Hati yang terasa sedih kerana bulan ibadah telah berlalu bulan Ramadhan Al-Mubarak itu.
  2. Hati terasa gembira kerana hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Di mana hari bergembira, bersuka ria dan berhibur-hibur.

Islam membenarkan umatnya berhibur tetapi hendaklah melalui saluran hiburan yang dituntut dan dibenarkan oleh Allah dan Rasul Nya. Hiburan corak ini adalah hiburan yang tinggi nilainya, yang suci murni, yang bersih dan indah serta memberi kebahagiaan yang hakiki. Tetapi malangnya hiburan seumpama ini, berbeza sifatnya dengan apa yang difaham dan dipraktikkan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Umum umat Islam bergelumang dengan hiburan yang bercampur aduk dengan budaya orang-orang yang bukan Islam.