Artikel di bawah ambe ambil dari ahkam.net, dari salah seorang member ahkam yg menggelarkan dirinya alitantawi. Sangat baik untuk renungan bersama.

Menamakan setiap ustaz dan ustazah sebagai ‘ulama’ adalah kebiasaan dalam masyarakat kita. Ada juga yang menggelarkan golongan ustaz sebagai ‘ahli ilmu’. Saya menyukai istilah ‘ahli ilmu’ kerana ia lebih jelas maksudnya berbanding ‘ulama’. Walaupun perkataan ‘ulama’ itu adalah berasal daripada perkataan ‘alim’ yang juga bermaksud orang berilmu, tapi saya rasa lebih selesa (tak semestinya orang lain pun selesa) dengan menggelarkan mereka ‘ahli ilmu’. Ini memberi isyarat yang jelas bahawa mereka perlu mencapai tahap ‘ilmu’ untuk melayakkan mereka digelar ahli ilmu. Semoga saya dan pembaca sekelian akan menjadi ‘ahli ilmu’ dalam erti kata sebenar.

DI ANTARA WAJAH-WAJAH ‘AHLI ILMU’

            Dari masa ke semasa, saya sering bertemu dengan golongan ‘ahli ilmu’ yang benar-benar komited dengan ilmu. Mereka mempelajarinya secara berterusan (tidak berhenti setakat ijazah semata-mata), beramal dengannya, memiliki akhlak sebagai seorang ahli ilmu, terbuka mendengar pendapat orang lain dan lain-lain lagi sifat ahli ilmu yang kita ketahui daripada riwayat hidup para salaf (golongan di zaman awal iaitu para sahabat, tabiin dan generasi selepas tabiin).

            Tapi dalam masa yang sama saya juga sering bertemu (sama ada secara fizikal atau tidak) dengan ahli ilmu yang tidak layak digelar ahli ilmu. Ilmunya tidak bertambah, memandang rendah kepada orang lain, tegas dengan pendapat sendiri yang belum pasti kebenarannya, menolak mentah-mentah apa sahaja pandangan yang tidak pernah didengarinya atau tidak dapat difahami olehnya, bersangka buruk, mempercayai apa sahaja perkara yang didengari telinganya dan sebagainya. Sifat-sifat ini tidak layak ada pada seorang yang biasa (bukan ahli ilmu tetapi berakhlak mulia), inikan pula mereka yang ingin digelar sebagai ‘ulama’! Saya ingin menyentuh satu aspek yang berkaitan ahli ilmu iaitu persoalan ‘Sikap SEBAHAGIAN pendokong Mazhab al-Syafie dan SEBAHAGIAN pendokong Sunnah’. Kedua-duanya mendakwa atau didakwa sebagai ‘ahli ilmu’. Adakah dakwaan ini tepat?

 

‘SEBAHAGIAN’ GOLONGAN YANG MEMPERTAHANKAN MAZHAB AL-SYAFIE

Imam al-Syafie adalah seorang yang amat agung dan beliau berada dalam senarai atas tokoh-tokoh Islam. Beliau hidup di zaman yang penuh keberkatan iaitu pada hujung kurun kedua Hijrah. Beliau bukan sahaja dianggap ‘imam’ dalam fiqh tetapi juga ‘imam’ dalam ilmu-ilmu yang lain. Tiada siapa dapat menafikan keilmuannya dan kehebatannya.

Tetapi, apa yang menyedihkan ialah – ada dalam kalangan mereka yang mendakwa diri sebagai pengikut mazhab al-Syafie sedangkan mereka tidak kenal bahkan tidak ambil tahu tentang sejarah hidup Imam Muhammad Ibn Idris al-Syafie. Mereka tidak ambil tahu tentang buku-buku karya al-Syafie. Mereka juga tidak kenal siapa murid-murid kanan al-Syafie yang hidup bersama beliau dan sama-sama menghidupkan mazhab al-Syafie. Amat jelas mereka tidak tahu pun apa itu fatwa-fatwa al-Syafie melainkan apa yang mereka dengar di sana dan di sini. Maka terciptalah secara tidak sedar satu rumus – apa yang kita dah buat sekian lama, itulah mazhab Syafie! Ahli ilmu yang sebenar pasti tidak akan sama sekali menuturkan ‘rumus’ ini.

Mungkin juga mereka tidak tahu kewujudan perbezaan pendapat pada sudut-sudut tertentu antara al-Syafie dan juga ulama-ulama mazhab al-Syafie yang hidup pada zaman selepas beliau yang mana mereka itu digelar al-Syafi’iyyah. Mereka menyangka bahawa pendapat al-Syafie adalah seratus peratus sama dengan pendapat murid-muridnya seperti al-Buwaithi dan al-Muzani atau al-Rabi’. Mereka berkemungkinan besar menyangka bahawa semua pendapat al-Rafi’i atau al-Nawawi adalah seratus peratus sama dengan pendapat Imam al-Syafie. Hanya ‘ahli ilmu’ yang akan tahu bahawa ada perbezaan. Walaupun tidak banyak secara keseluruhan, tapi ia wujud. Mengetahui perbezaan sebegini adalah penting dalam mengeluarkan pendapat atas nama mazhab Syafie.

Kalau anda ingin menjadi pendokong, jadilah pendokong yang berilmu dan adil, bukan semata-mata pendokong yang tak kenal pun siapa tokoh yang dipertahankan malah tidak kenal pula hasil ilmu yang dikatakan sebagai ‘mazhab al-Syafie’. Anda ibarat orang yang sibuk mempromosikan sesuatu jenama barang terkenal, tapi apabila ditanya dan disoal, diam seribu bahasa. Riuh sekampung, tapi ‘habuk pun tarak’.

Berkemungkinan besar mereka yang digelar ‘ahli ilmu’ ini mempertahankan habis-habisan mazhab al-Syafie, tetapi langsung tidak pernah membaca sampai habis (khatam) mana-mana buku fiqh mazhab al-Syafie apatah lagi buku al-Syafie sendiri. Maka bagaimanakah mereka boleh dipercayai dalam mengkelaskan ‘ini mazhab Syafie, itu bukan…itu mazhab Syafie, ini mazhab lain’? Kenapa tidak turunkan sedikit ego itu dan cuba bersikap rendah diri dan menggunakan ayat-ayat yang lebih ‘mesra’ seperti ‘menurut apa yang saya tahu, ini adalah pendapat mazhab Syafie’ atau ‘apa yang diberitahu kepada saya oleh guru saya, itu adalah pendapat mazhab lain’.

Letakkan di dalam hati satu perasaan atau satu pernyataan ‘masih banyak yang aku tidak tahu termasuklah pendapat dalam fiqh mazhab al-Syafie’. Jangan terus menyalahkan orang lain hanya kerana kita tidak pernah mendengar perkara tersebut. Telitilah diri, renungilah kemampuan ilmu di dada. Kalau ada orang yang menyebut satu hadith yang kita tidak tahu, jangan cepat menolak. Sedangkan Al-Quran itu pun ramai yang tidak hafaz, inikan pula hadith. Anda tidak dihalang untuk mengkaji bahkan itulah yang sepatutnya anda lakukan. Sebelum memberikan pendapat, sebelum mempertahankan apa yang anda telah lama buat, selidikilah terlebih dahulu.

Untuk memahami mazhab al-Syafie, anda perlu tahu buku-buku yang ada dalam mazhab al-Syafie. Paling asas ialah anda perlu tahu manakah satu buku yang ditulis oleh Imam al-Syafie sendiri (untuk mengetahu pendapat beliau) dan mana pula buku yang ditulis oleh ulama lain dalam mazhab al-Syafie. Anda perlu mengambil tahu tentang kedudukan ulama mazhab al-Syafie – bilakah mereka hidup (untuk membezakan zaman), yang mana satu menjadi tempat rujukan utama, bagaimana perbezaan pendapat mereka dengan Imam al-Syafie dan sebagainya. Kemudian, anda perlu menyusun jadual untuk kembali ‘mengkhatam’ buku-buku dalam mazhab al-Syafie. Jangan hanya satu buku yang anda khatam, lantas anda merasakan diri berada di tempat yang melayakkan anda untuk berfatwa! Dampingilah ahli ilmu yang lain, bertanyalah kepada yang lebih tahu, dan yang paling penting, hormatilah pendapat orang lain dan mazhab lain. Anda tidak dipaksa mengikut pendapat lain tapi pelajarilah sifat hormat-menghormati. Mungkin anda telah tahu bahawa Abu Hanifah (meninggal pada 150H) (mazhab Hanafi) pernah bertemu dan berbincang dengan sopan bersama Malik (179H) (mazhab Maliki). Mungkin anda juga telah tahu bahawa al-Syafie (204H) pernah berguru dengan Malik. Mungkin anda juga sedia maklum bahawa Ahmad Ibn Hanbal (241H) (mazhab Hambali) amat menyayangi gurunya al-Syafie dan begitu juga al-Syafie amat menyayanginya. Kalau anda dah tahu, janganlah buat-buat tak tahu. Itulah adab, itulah akhlak, itulah namanya ‘ahli ilmu’. Pelajarilah ilmu mereka dan pelajarilah juga akhlak mereka. Walaupun kita tidak sehebat mereka, contohilah mereka sedaya yang ada.

Saya menyedari bahawa ada dalam kalangan pendokong mazhab Syafie yang terlanjur kata bukan kerana mereka tidak beradab, cuma mungkin mereka terasa dan terguris kerana ada sebahagian anak muda yang tidak pandai berbicara lalu menghentam secara pukul rata semua pendokong mazhab. Nasihat saya, janganlah marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Dalamilah ilmu tentang mazhab al-Syafie, bacalah buku-buku fiqh yang terkemuka dalam mazhab Syafie, maka anda akan mampu memberikan hujah yang mantap dan bersabarlah dengan kerenah mereka yang kasar dan gopoh itu. Ramai lagi yang terbuka dan tidak seperti mereka.

Ya Allah, rahmatilah imam-imam kami, jadikanlah mereka contoh ikutan bagi kami.   

 

‘SEBAHAGIAN’ GOLONGAN PENDOKONG SUNNAH

            Mendokong Sunnah adalah tanggungjawab ‘ahli ilmu’. Tidak kira apa jua mazhab termasuklah mazhab al-Syafie, Sunnah adalah sumber hukum dan sumber ilmu. Kita semua adalah pendokong Sunnah dengan syarat kita memahami dan mempelajarinya, bukan semata-mata bersemangat tetapi ‘masuk angin keluar asap’. Sebahagian yang mendakwa mereka adalah pendokong Sunnah kadangkala terlalu emosi sehingga terlajak kata, bukan lagi terlajak perahu.

Contohnya, mereka memperkatakan tentang ‘haramnya taqlid’ sedangkan mereka tidak tahu apa maksud taqlid dan pembahagiannya. Sejak bila mereka menjadi ‘mujtahid mutlaq’ (tahap imam-imam mazhab) atau sekurang-kurangnya ‘mujtahid tarjih’ (tahap yang mampu memilih pendapat yang terbaik antara mazhab)? Mereka memperkatakan bahawa ‘kami ikut dalil, kamu ikut ulama’ sedangkan mereka tidak tahu bahawa ‘ulama’ itu lebih memahami dalil daripada mereka! Mereka sentiasa menyeru ke arah ‘mempertahankan Sunnah’ sedangkan mereka tidak memahami kebanyakan Sunnah malah tidak membacanya dengan teratur! Bagaimana saya dan anda ingin yakin dengan mereka yang tidak faham apa yang mereka perjuangkan?

            Seolah-olah mendokong Sunnah membawa maksud menolak mazhab. Seolah-olah al-Syafie, Malik, Ahmad Ibn Hanbal dan Abu Hanifah (4 orang imam mazhab terkenal) tidak tahu Sunnah, tidak faham Sunnah, tidak beramal dengan Sunnah?! Maka kita dapati sebahagian mereka asyik mengkritik semua amalan masyarakat sama ada dengan dalil yang jelas atau yang kabur. Mereka asyik menghentam dan membid’ahkan tapi apabila berhujah, lidah mereka kelu. Orang lain bertungkus lumus membaca rujukan dan kajian ulama, tapi ada dalam kalangan mereka yang masih belum mahir membariskan bacaan buku-buku Arab, malah ada yang ‘baca lain, terjemahnya lain’!

            Nasihat saya kepada mereka, tuntutlah ilmu. Pelajarilah Sunnah menurut urutan yang betul. Kenali sejarah perkembangan hadith, bacalah buku-buku Mustolah al-Hadith (ilmu tentang teori kajian), bacalah hadith secara konsisten dan istiqamah, bacalah huraian terhadap hadith-hadith tersebut agar maksudnya tidak disalah fahami, tanyalah kepada orang yang tahu sekiranya tidak tahu. Kenalilah sejarah hidup para salaf termasuk para imam mazhab yang sama sekali tidak pernah menolak Sunnah atau menyalahinya. Akhirnya, hormatilah orang lain dan berikanlah mereka peluang untuk memberikan pendapat. Mungkin mereka tidak terbuka, maka jangan anda pula yang tertutup. Mungkin mereka memang salah, maka berikanlah penjelasan yang kukuh. Cuba cari jalan untuk bersama dengan mereka sama ada membincangkan persoalan-persoalan yang disepakati atau cuba memberikan penjelasan dengan adab dan akhlak yang mulia dilengkapi hujah yang mantap.  

            Pelajarilah adab ulama salaf yang menghormati pendapat orang lain. Pelajarilah akhlak mereka dalam menegur kesilapan orang lain. Jangan baru setahun jagung sudah pandai membahagikan masyarakat ’ini ikut sunnah, itu tak ikut sunnah. Ini ahli sunnah, itu ahli bid’ah, yang lain ahli punah ranah’. Adakah ilmu di dada telah mencukupi untuk kita memberikan kata putus pada perkara yang masih dibincangkan ahli ilmu? Adakah dengan membaca satu dua buku tentang sunnah (itu pun tak habis sebenarnya), sudah melayakkan anda untuk mendakwa anda sebagai ahli sunnah atau ahli hadith?

HARAPAN

            Perbezaan pendapat sepatutnya menjadikan kita lebih berhati-hati untuk memberikan pendapat. Tidak kira dalam kategori apa pun kita berada, kita perlu memberikan keutamaan pada kajian dan penyelidikan sebelum memberikan keputusan. Apa yang lebih penting ialah kita perlu menjaga lidah kita daripada kata-kata yang mungkin akan kita sesalkan di akhirat nanti. Niat saya hanyalah untuk memberikan sedikit nasihat dan pendapat. Semoga Allah mengampunkan saya dan anda. Wallahu a’lam.

 

alitantawi-22 oktober 2007

Advertisements