“Dua golongan , sekiranya baik, maka baiklah rakyat. apabila rosak, maka rosaklah rakyat. Dua golongan ini ialah Umara’ dan Ulama’.”(AL HADITH)

tokgurunik-aziz.jpgtokgurunik-aziz.jpgtokgurunik-aziz.jpg

Ulama’ merupakan ahli ilmu yang arif tentang agama. Agama pula dalam Islam membicarakan seluruh aspek kehidupan. Justeru, kira-kiranya ulama’ lah golongan yang paling berhak bercakap soal dunia dan akhirat. Namun begitu, tidak semua ulama’ yang menepati idealism di atas. Amat sukar untuk kita ketemu ulama’ yang mampu menguasai illmu dunia dan akhirat secara komprehensif. Mana mungkin sekarang ini kita ketemu orang seperti Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Dialah Ulama’, dialah Ketua Negara, dialah pakar ekonomi , dialah juga Ketua Turus Tentera.

Dengan kelemahan umat Islam hari ini. Maka, dua golongan iaitu ulama’ dan umara’ amat penting untuk kesejahteraan umat. Mereka harus bergabung tenaga dan fikiran untuk membangunkan umat dalam arus globalisasi sekarang ini. Mereka juga harus bergabung tenaga untuk memerdekakan umat daripada pemikiran materialism, hedonism, sekularism dan pelbagai ism-ism yang meracuni akal manusia hari ini. Ingatlah kata-kata Umar al Khattab yang bermaksud,

KITA MERUPAKAN SUATU BANGSA YANG ALLAH MULIAKAN DENGAN ISLAM. ANDAINYA KITA MENCARI KEMULIAAN DENGAN SELAIN DARI APA YANG ALLAH MULIAKAN, NESCAYA ALLAH AKAN MENJADIKAN KITA HINA.”

Apa yang disebutkan oleh Umar al Khattab itu merupakan fakta sebenar dan pengalaman hakiki generasi silam dalam memperjuangkan Islam. Lalu, sesuai dengan fakta tersebut, pembebasan umat harus diisi dengan usaha pembangunan insan dengan nilai al ‘izzah, mendidik mereka dengan erti maruah diri(‘irdhun) sebagai harta yang sangat bernilai, mengajar mereka agar merasakan hidup tidak bererti lagi tanpa maruah dan harga diri. Mereka juga harus dididik agar memahami bahawa suatu bangsa itu mulia dengan Islam. bukan dengan wang ringgit, kuasa politik ala machiavelli dan sebagainya. Bangsa itu hina di sisi Allah tanpa Islam. Orang yang bermaruah sudah tentu ada perasaaan malunya. Bak kata pepatah, “KALAU LEBAH ADA MADUNYA, MANUSIA ADA MALUNYA”.
Sifat malu yang ada pada manusia menjadi salah satu faktor kawalan tindakan sama ada perbuatan seseorang itu diterima masyarakat atau sebaliknya. Kalau pun seseorang penguasa sekalipun melakukan perkara yang memalukan, ia akan menyembunyikannya. Lalu ia dipanggil skandal. Apabila skandal terdedah dan diketahui oleh umum, pemimpin yang ada malu dan maruah akan mengambil tindakan meletakkan jawatannya dalam pemerintahan dan politik. Ini berlaku di Jepun. Tetapi di negara kita tidak. Bawalah skandal rasuah ke, penyelewengan ke, salahlaku seks ke, ia tidak akan menjadi penyebab kepada perletakan jawatan seorang ahli politik tanahair. SEMUA INI KERANA TIADA MARUAH DAN MALU.

Mendapatkan ‘izzah daripada ALLAH dapat juga diertikan sebagai perjuangan mengangkat umat berdasarkan petunjuk Ilahi. Dalam surah al Mujadalah ayat 11, Allah menjanjikan ketinggian darjat bagi orang yang beriman dan menuntut Ilmu sebagaimana maksud firman ALLAH tersebut,

“ALLAH MENGANGKAT ORANG-ORANG YANG BERIMAN DI KALANGAN KAMU DAN YANG MENUNTUT ILMU BEBERAPA DARJAT.”

Nilai Iman dan Ilmu yang disebutkan dalam ayat di atas itu jika digabungkan, maka ia merujuk kepada Ulama’ yang beramal dengan ilmunya. Maka Ulama’ perlu berperanan menasihati golongan Umara’ atau Penguasa agar tunduk kepada titah perintah Penguasa kepada segala Penguasa iaitu ALLAH, Rabb sekalian alam.

Umara’ atau penguasa hendaklah biarlah dari kalangan orang yang takutkan ALLAH jalla wa ‘ala. Memandangkan sukar untuk ketemu dengan umara’ yang ulama’, maka ciri TAKUTKAN ALLAH merupakan pra syarat bagi pemimpin umat manusia agar mereka diuruskan selari dengan kehendak Al Qur’an dan Sunnah nabi junjungan sallallahu alaihi wasallam. Apabila takutkan ALLAH, maka secara automatiknya seorang penguasa akan merujuk kepada ulama’ untuk mengambil tindakan besar seperti menentukan dasar -dasar negara. Lainlah kalau penguasa itu lah juga ahli ilmu(ulama’), maka urusan menetapkan dasar-dasar dan keputusan-keputusan kerajaan menjadi mudah.

Realiti ulama’ yang ada di masa kini ialah suatu golongan yang tahu kebenaran tetapi tidak berani menyatakannya di hadapan pemerintah atau penguasa. Ingatlah pesanan Rasulullah yang bermaksud, ” Sebaik-baik jihad ialah mengucapkan perkataan yang benar di hadapan Penguasa yang zalim.”
Yang berlaku kepada ulama’ sekarang ialah, “BENAR PUN TAK BERANI, SALAH PUN TAK TAKUT.”

Budaya, suasana dan amalan yang ada sekarang sebenarnya melahirkan golongan ulama’ yang PENAKUT , bukannya ulama’ yang TAKUTKAN ALLAH. Ulama’ umpama pelita. Hilangnya ulama’ matinya ulama’ seumpama padamnya pelita. Menjadi suatu perkara yang pelik apabila PELITA TAKUTKAN KEGELAPAN sedangkan dialah yang menerangi gelap. Begitu juga alangkah peliknya Ulama’ yang merupakan cahay kepada masyarakat takutkan kegelapan. Nabi sallallahu alaihi wasallam pernah menyebutkan bahawa KEZALIMAN MERUPAKAN KEGELAPAN DI HARI QIAMAT. Istilah zulumat itu sendiri asalnya daripada kalimah zulmun yang ertinya kezaliman. esej di sini ialah seorang ulama’ tidak perlu takut kepada kegelapan atau kezaliman kerana dia sendiri merupakan pelita yang memberi cahaya kepada sama ada penguasa atau rakyat. Inilah budaya yang disematkan dalam hati kita zaman berzaman oleh penjajah, ‘BUDAYA TAKUT DAN HAMBA’. Kalau takutkan itu takutkan ALLAH dan hamba itu hamba kepada ALLAH tidak mengapa. Masalahnya ialah yang ditakutkan itu ialah manusia serupa ulama’ juga. Siapa yang tidak tonton filem Labu Labi lakonan P.Ramlee yang diagong-agongkan oleh ramai penggiat seni. Lihatlah adegan-adegannya yang penuh sinis sebenarnya. Si labu labi merupakan manifestasi sifat mengHAMBAkan diri kepada manusia. sehinggakan nak bawa secawan air pun terketar-ketar sampai tertumpah dan pecah cawan yang dibawa. Takutnya si labu/labi kepada tuannya(bukan Tuhannya). akhirnya, didenda macam budak-budak pun ditaatinya.

Kata pujangga, “KEBERGANTUNGAN MENYEBABKAN HILANGNYA KEBERANIAN.” Siapa yang bergantung? Ulama’ yang makan gaji lah……. Sebab itu kita lihat sepanjang sejarah ulama’ silam, kita akan bertemu dengan nama-nama agong seperti Imam Malik dan yang seangkatan dengannya , menolak jawatan yang ditawarkan kerajaan ketika itu. Sehinggakan beliau diseksa sehingga meninggal dunia kerana mempertahankan pendiriannya dalam kebenaran. Imam al Ghazali pun pernah berpesan kepada salah seorang muridnya bahawa janganlah biasakan diri menerima hadiah dari penguasa. Ulama’ yang bebas dari menerima upah atau gaji atau kebendaan dari penguasa mampu memberikan pendapat yang jujur tanpa ada rasa takut.

Akhirnya hayatilah kata-kata Umar al Khattab kepada sekumpulan Arab Badwi ketika zaman pemerintahannya,

” Tiada kebaikan pada kamu sekiranya kamu tidak menyatakannya (apa yang terbuku di hati), dan tiada kebaikan pada kami sekiranya kami tidak mahu mendengarnya(aduan kamu).”

Advertisements