Berikut merupakan Deklarasi yang dibuat hasil daripada program Sidang Rakyat: Menangani Musibah Kenaikan Harga Barang di Masjid Pengadang Baru 24 November 2007 yang dianjurkan oleh Lestari Resources and Consultancy.

DEKLARASI  SIDANG RAKYAT  NEGERI TERENGGANU 2007

 

A.PENYATAAN SIKAP

 

1.Menyedari bahawa kerajaan sekarang telah memungkiri janji dan mengecewakan rakyat Terengganu.

 

2.Menyedari bahawa kenaikan harga barang masakini tanpa kawalan kerajaan adalah tidak munasabah dan amat menyusahkan rakyat.

 

3.Rakyat amat kesal terhadap salahurus ekonomi negeri Terengganu mengakibatkan berlakunya monopoli, ketirisan dalam pengurusan projek, pilihkasih, rasuah dan pelbagai bentuk penyelewengan. Akibatnya, Rakyat Terengganu tidak benar-benar menikmati limpahan ekonomi negeri.

 

4.Menyedari ketidakseriusan kerajaan mengawal dan melaksanakan penguatkuasaan harga barang malah kerajaan terlibat sama dalam menaikkan harga barang dan sikap kerajaan yang terlalu memperdagangkan sumber asas rakyat.

 

5. Menyedari pelaksanaan penyampaian subsidi atau bantuan tidak sampai ke kumpulan sasaran.

 

6. Menyedari bahawa kerajaan mengabaikan kebajikan rakyat dan mengutamakan projek-projek mega untuk kepentingan peribadi.

 

B.PENYATAAN TUNTUTAN

 

1.Menggerakkan semua NGO di Terengganu agar bersatu menyuarakan penderitaan rakyat melalui kenyataan memorandum bersama.

 

2. Menyeru Pengeluar, pengedar, peruncit, peniaga dan pengguna dapat mengumpul maklumat yang jelas kenapakah bahan asas perlu dinaikkan harga supaya tidak wujud fenomena bangau oh bangau(saling salah menyalahkan).

 

3. Menuntut agar AP tidak diberikan kepada orang-orang tertentu sahaja.Justeru, kita mendesak agar kerajaan menghapuskan AP terhadap bahan makanan import.

 

 

 

 

C.PELAN TINDAKAN

 

SOSIAL

 

1.Menubuhkan Majlis Permuafakatan Rakyat Negeri Terengganu(Mampat)

2.Melaksana dan memperluaskan kempen kesedaran terhadap musibah kenaikan barang dan pendidikan kepenggunaan.

 

EKONOMI

 

1.Mengaturkan gerakan bagi merangsang kepenggunaan barangan tempatan kepada peniaga dan pengguna.

2.Memberi sokongan dan dokongan terhadap syarikat-syarikat yang mempunyai keupayaan untuk memproses keluaran barangan tempatan dan menggalakkan industri hiliran agar rakyat dapat menikmati sama limpahan rezeki negeri.

 

POLITIK

 

1.Bersepakat memilih kerajaan yang bijaksana dan berupaya untuk mengurus kerajaan.

2. Bersepakat memilih kerajaan yang bersih dan berkebajikan.

3.Bersepakat memilih wakil-wakil rakyat yang mesra dan berkebajikan.

 

Sabtu,24 November 2007

Masjid Jamek Kampung Pengadang Baru

Kuala Terengganu