Hukum Qada’ Solat Yang Tertinggal


Written by al-Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri
Saturday, 25 August 2007
Apa hukum orang yang terlepas waktu solat kerana tertidur? 

Ulama sepakat orang yang meninggalkan solat kerana uzur seperti yang terlupa atau tertidur wajib menqadak solat.

Ia berdasarkan hadis riwayat Abu Qatadah radiyallahu `anhu katanya; Para sahabat menceritakan kepada nabi SAW, mereka tertidur sehingga luput waktu solat. Baginda ( s.a.w ) bersabda:

 إنه ليس في النوم تفريط إنما التفريط في اليقظة فإذا نسي أحدكم صلاة أو نام عنها فليصلها إذا ذكرها

 

Maksudnya: ”Tidak ada pada tidur itu sebarang kecuaian. Tetapi kecuaian berlaku dalam suasana jaga. Justeru, apabila seseorang kamu terlupa solat atau tertidur maka hendaklah dia melakukannya apabila dia mengingatinya.

(hadis hasan Sahih Riwayat Tirmizi dalam Kitab al-Solat Bab Tertidur hingga terluput solat) 

Apakah menqada solat itu dimestikan segera atau boleh ditangguhkan? Zahir hadis mengarahkan agar dilakukan solat sebaik mengingatinya. Arahan itu adalah berbentuk sunat. Justeru, tidak mengapa melambat-lambatkan qada solat yang tertinggal kerana uzur.

Berbeza dengan solat yang sengaja ditinggalkan. Ia perlu diqada’ segera. Sekiranya dia melengah-lengahkan dia menanggung dosa sepanjang masa sehinggalah dia menunaikannya.