Mutaah kepada isteri yang diceraikan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah s.w.t: Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mutaah menurut yang makruf, sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa.

Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum-Nya) supaya kamu memahaminya. (al-Baqarah: 241-242)

Syeikh Sya’rawi berkata: “Kami telah mengetahui daripada ayat-ayat terdahulu berkenaan dengan perkara yang ajaib dan Allah s.w.t ketika memberi peringatan kepada akal untuk menerima hukum dengan pemikiran.

“Justeru jadilah akal semata-mata kalau ditaujihkan fikrahnya kepada kajian sebab-sebab tajuk ini maka tiadalah berkesudahan kecuali kepada hukum ini. Yang demikian didapati bahawa Allah meninggalkan sebahagian perkara dalam urusan perhubungan dan juga kesannya ketika pergaduhan supaya keluar daripada hukum yang disyariatkan Allah pada perkara mana-mana yang terdahulu kemudian dikenakan kepada masyarakat perkara yang lebih buruk daripada pertelingkahan. Justeru menguatkan lagi hikmah kenapa Allah mensyariatkannya”.

Firman Allah s.w.t: Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mutaah menurut yang makruf, sebagai suatu kewajipan bagi orang-orang yang bertakwa.

Ibnu Kathir meriwayatkan: Daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam katanya: “Apabila Allah menurunkan ayat 236 daripada surah al-Baqarah yang berkenaan dengan “hendaklah kamu memberi mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka yang diceraikan itu iaitu suami yang senang menurut ukuran kemampuannya.” Lantas lelaki berkata: “Jika aku mahu aku berihsan dan melakukan kebaikan dan jika aku mahu aku tidak melakukannya.” Lantas turunnya ayat ini.

Al-Baghawi berkata: “Sesungguhnya Allah menyebut dengan mengulangi kalimah mutaah di sini untuk menambahkan lagi makna. Yang demikian itu pada yang lainnya menerangkan hukum bagi perempuan yang tidak disentuh. Dalam ayat ini menerangkan hukum semua perempuan yang diceraikan berhak mendapat mutaah”.

Sayyid Qutub berkata: “Ayat yang pertama menjelaskan bahawa perempuan yang kematian suaminya itu berhak mendapat wasiat daripada suaminya dan membolehkannya tinggal di rumah suaminya dan hidup dengan perbelanjaan selama setahun genap, tanpa keluar dan tanpa berkahwin jika ia dapati perasaannya dan keadaan-keadaan di sekelilingnya membolehkannya tinggal selama masa itu.

Namun demikian ia bebas keluar dari rumah suaminya selepas empat bulan 10 hari seperti yang telah diterangkan oleh ayat yang silam.

“Menjalani idah itu suatu kefarduan yang diwajibkan ke atasnya dan kemudahan tinggal di rumah suami selama setahun itu merupakan suatu hak baginya. Setengah ulama berpendapat bahawa ayat ini telah dimansuhkan dengan ayat tadi.

“Tetapi sebenarnya tidak perlu kepada andaian bahawa ayat ini mansuh kerana kedua-keduanya mempunyai tujuan yang berlainan mengikut pendapat kami. Ayat ini bertujuan menjelaskan hak yang diberi kepadanya dan andainya ia suka ia boleh menggunakannya, dan ayat yang silam bertujuan menjelaskan kewajipan yang diwajibkan ke atasnya dan tidak boleh dielakkan olehnya.”

Al-Maghari berkata: “Kesimpulannya perempuan yang diceraikan dibahagikan kepada empat bahagian:

* Perempuan yang diceraikan dan telah bersama dengannya maka dia berhak mendapat mas kahwin yang penuh.

* Perempuan yang diceraikan tanpa bersama dengannya dan tidak ditentukan maharnya, maka suami hanya wajib memberi mutaah atau saguhati mengikut kemampuannya dan tidak perlu kepada mahar.

* Perempuan yang diceraikan yang ditentukan maharnya dan belum lagi bersama dengannya, maka perempuan ini berhak mendapat separuh mahar dan tanpa idah.

* Perempuan yang diceraikan yang telah bersama dengannya tetapi belum ditentukan maharnya, maka hendaklah diberikan mahar secara mithil atau seumpama mahar kerabatnya dan keluarganya.

Sayyid Qutub berkata: “Sesetengah ulama berpendapat ayat ini (al-Baqarah: 241) juga telah dimansuhkan dengan hukum-hukum yang telah lalu, sedangkan sebenarnya tidak perlu ayat-ayat itu diandaikan sebagai masuk kerana bayaran saguhati berlainan daripada bayaran nafkah.

“Di antara penjelasan yang selaras dengan saranan-saranan al-Quran ialah penjelasan mengenai bayaran saguhati kepada setiap perempuan yang ditalak sama ada yang telah disetubuhi atau belum. Sama ada yang ditentukan kadar mas kahwinnya atau belum. Ini kerana bayaran saguhati itu dapat membasahkan suasana talak yang kering itu dan dapat menyukakan hati yang kesunyian kerana bercerai.

“Ayat ini merangsangkan kesedaran takwa dan menghubungkan persoalan ini dengan takwa dan takwalah satu-satunya jaminan yang kuat.”

Ibnu Kathir berkata: “Ayat ini menjadi dalil sebahagian ulama berkenaan wajibnya mutaah bagi setiap perempuan yang diceraikan sama ada diserahkannya atau difardukannya atau yang diceraikan sebelum disentuh atau sesudah itu.”

Inilah pendapat Imam Syafi’e juga Sa’id bin Jubair dan sebahagian ulama salaf dan inilah yang dipilih oleh Ibnu Jurair.

Firman Allah s.w.t, Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum-Nya) supaya kamu memahaminya.

Imam Nasafi berkata: “Dikehendaki dengan mutaah di sini iaitu bagi yang tidak dicerai yang telah disebut dengan cara sunat.”

Sayyid Qutub berkata: “Demikianlah penjelasan hukum-hukum yang telah silam, iaitu penjelasan yang kemas, halus dan membawa saranan-saranan yang berkesan.

“Demikianlah Allah menghuraikan ayat-ayat-Nya kepada kamu untuk membimbing kamu supaya kamu fikir dan meneliti ayat itu, juga memikirkan hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik ayat itu dan seterusnya supaya kamu berfikir tentang nikmat yang nampak jelas dalam ayat itu, iaitu nikmat kemudahan dan toleransi tetapi tegas dan nikmat kesejahteraan yang melimpah ke atas kehidupan mereka.”

Sekiranya manusia berfikir dan merenung agama Allah dengan teliti tentulah mereka memilih sikap yang lain terhadapnya iaitu sikap taat, menyerah, reda serta menerima dan tentulah mereka mendapat kesejahteraan yang melimpah di dalam roh dan akal mereka.

Al-Sonhaji berkata: “Apa yang menjadi kewajipan suami terhadap isteri dan segala hukum-hukum Allah telah diterangkan-Nya dengan perantaraan Muhammad s.a.w sebagai keterangan dan bukti di dalam kitab-Nya. Mudah-mudahan kamu fikirkan keterangan-keterangan tersebut, kerana ia mengandungi kemaslahatan kamu dan keselamatan agama kamu.”

Hamka berkata: “Kesempatan pada kita sekarang ialah memikirkan ayat-ayat Allah ini, iaitu peraturan yang telah diturunkan terutama hubungan suami-isteri dalam rumahtangga yang mana ditanam benih yang akan melahirkan umat yang baik, yang akan menjadi tauladan dalam beribadat kepada Allah.

“Sia-sialah pergaulan suami-isteri sekiranya rumah tangga dan hubungan mereka hanya kerana ingin berkahwin sahaja, kalau bercerai hanya asal cerai sahaja. Demikian jugalah sesudah suami meninggal sehingga setahun Islam mewasiatkan agar keluarga memelihara jandanya dengan sebaik mungkin.”

Maka sekiranya suatu masa berlaku kacau bilau dalam masyarakat Islam, sehingga hancur keperibadiannya sehingga dia dipijak oleh bangsa lain, pasti akan bertemu salah satunya iaitu kerana tidak mempedulikan ayat-ayat Allah dalam memelihara pembangunan institusi sebuah keluarga.

Seperti apa yang pernah dikata oleh Sayid Jamaluddin al-Afghani: “Kemajuan bangsa lain ialah setelah mereka tinggalkan peraturan agamanya. Dan kemudian kaum Muslimin ialah setelah mereka meninggalkan peraturan agamanya”.

Iktibar Ayat:

– Bagi perempuan yang diceraikan mempunyai banyak jenis dan bahagiannya di mana setiap jenis mempunyai hukum yang tersendiri.

– Allah menerangkan ayat-ayatnya supaya manusia berfikir dan mengamalinya.

– Kelebihan orang yang berakal boleh memahami ayat-ayat Allah seterusnya menjadi hamba-Nya.

Advertisements