Rabu, 16 Januari 2008


Isteri 15 tahun dirogol bergilir

Tindakan seorang isteri berusia 15 tahun berani menumpang kereta lelaki tidak dikenali untuk pergi ke rumah rakannya setelah berselisih faham dengan suaminya mendorong dia dilarikan sekumpulan lelaki sebelum dirogol secara beramai-ramai di sebuah rumah kosong, dekat Felda Ketengah Jaya, di sini, malam kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Dahlan Mohd Noor, kejadian dipercayai berlaku antara jam 9 malam hingga 2 pagi ketika mangsa yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dikatakan cuba melarikan diri dari rumah.

“Ketika sedang berjalan seorang diri di tepi jalan berhampiran Pejabat Pos Paka, wanita itu dihampiri sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan di dalamnya terdapat beberapa orang lelaki tidak dikenali bertanyakan arah tujuan mangsa sebelum mempelawanya untuk ke bandar Dungun.

“Mangsa yang secara kebetulan ingin ke Dungun tanpa bercakap panjang terus menaiki kereta tersebut. Namun, mangsa tidak dibawa ke Dungun, sebaliknya kumpulan lelaki itu melencong ke arah lain menghala ke Felda Ketengah Jaya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut Dahlan, semasa berada di dalam kereta, mangsa diarahkan supaya menundukkan kepala dan sebaik sahaja sampai di lokasi tersebut, wanita itu kemudian dibawa masuk ke dalam sebuah rumah kosong sebelum kumpulan lelaki terbabit bertindak menanggalkan pakaian mangsa lalu merogolnya secara bergilir-gilir.

Sementara itu, mangsa yang ditemui Sinar Harian berkata, semasa kumpulan lelaki itumenanggalkan pakaiannya, dia cuba meronta-ronta untuk melepaskan diri namun dihalang oleh lelaki terbabit yang bertindak menekup mulut sebelum menamparnya.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa dan semasa salah seorang daripada mereka merogol saya, rakan-rakannya yang lain turut memegang tangan saya dan menutup mulut saya di samping mengugut akan mencederakan saya sekiranya saya menjerit meminta tolong,” ujarnya.

Menurut mangsa, setelah diperkosa, dia kemudian dibawa menaiki kereta oleh kumpulan lelaki terbabit sebelum dia ditinggalkan berhampiran sebuah stesen minyak di bandar ini.

“Tidak lama kemudian, saya bertemu dengan seorang lelaki tua dan selepas menceritakan kejadian sebenar yang menimpa saya, pak cik itu membawa saya pulang bermalam di rumahnya.

“Pada keesokan hari, saya menghubungi kakak ipar untuk memaklumkan kejadian tersebut dan selepas itu kami terus pergi membuat laporan di Balai Polis Paka kira-kira jam 11.00 pagi semalam,” ujarnya.

Berikutan laporan ter­sebut, polis terus melancarkan operasi memburu suspek yang disyaki dan hasilnya kira-kira jam 7.00 petang semalam, sepasukan polis dari Cawangan Siasatan Jenayah Daerah diketuai Inspektor Som Phong berjaya menahan seorang lelaki untuk membantu siasatan.

‘Universiti Asmara’ dedah gejala seks penuntut IPT

tangkap-basah.jpg

Ibu bapa jauh di kampung membuatkan penuntut pelajar bebas bergaul hingga terjebak dalam gejala sosial

PANTAI Dalam dan Kampung Kerinchi, antara penempatan yang menjadi tumpuan penduduk Melayu di Kuala Lumpur. Hasil pembangunan pesat, kedua-dua kawasan ini dipenuhi rumah pangsa dan kondominium yang sebahagian daripadanya disewa oleh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).

Mereka tinggal menyewa beramai-ramai dan berkongsi kenderaan ke kuliah. Oleh kerana ibu bapa jauh di kampung, mereka bebas bergaul hingga ada yang terbabas kepada gejala sosial dan moral.
Masih ingat lagi insiden berasmara di tangga rumah pangsa? Di situlah kejadian ini berlaku. Malah, bukan kes itu saja, banyak lagi kes penuntut universiti berasmara di kawasan itu dilaporkan sebelum ini.

Topik Universiti Asmara ini dibincangkan dalam Keluarga Di 9 (KD9) pada Rabu lalu bersama pengacara Benjy dan tetamu termasuk Pengetua Pusat Perlindungan Remaja, Kem Bina Insan (Kewaja), Yahaya Mohamed dan Ketua Biro Ikhtisas Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Nur Izura Udzir. Turut menjadi tamu ialah pemimpin pelajar, Mohd Zaid Mohd Idrus dari Universiti Kebangsaan Malaysia UKM).

“Tak dapat tinggal di kolej atau asrama, mereka memilih untuk tinggal di Universiti Asmara!,” kata Benjy.

khalwat.jpg

gambar hiasan sahaja… 

Kisah Zara (bukan nama sebenar) menyedarkan banyak pihak mengenai kelonggaran akhlak remaja walaupun mempunyai pencapaian akademik membanggakan.

Zara berasal dari negeri pantai timur dan mengikuti pengajian kejuruteraan, tetapi disebabkan cinta yang berkobar-kobar, sanggup menyerahkan maruah diri kepada lelaki yang dicintainya.

“Cinta kami dihalang oleh ibu bapa saya kerana mahu saya menghabiskan pengajian dahulu walaupun ibu bapa lelaki itu bersetuju saya berkahwin dengannya,” kata Zara kepada wartawan KD9, Sharifah Nur Syed Ali yang menemuinya di Rumah Kewaja.

Zara kini hamil lapan bulan hasil perhubungan intimnya dengan teman lelaki yang kini tidak dapat dihubungi lagi.

Zara berkata, mereka bebas bergaul kerana dia belajar di IPT yang jauh dari kampung halaman. Apabila ibu bapanya mengetahui nasib anak mereka, Zara dihantar ke Kewaja untuk melahirkan bayi yang kemudian akan diserahkan kepada keluarga angkat.

Di Kewaja, rumah perlindungan yang dikendalikan Yahaya dan isterinya, Ruzitah Baharum, Zara dan remaja lain yang hamil daripada perhubungan luar nikah dilatih menguruskan diri dan menjalani sesi kaunseling bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar serta meneruskan kehidupan selepas melahirkan anak.

Bagi Zara, pengajaran daripada episod pahit dalam hidupnya ini akan dijadikan pedoman pada masa depan.

Sementara itu, seorang lagi remaja senasib, Intan (bukan nama sebenar) hamil selepas sebulan berkenalan dengan seorang lelaki ketika dia menuntut di sebuah politeknik di utara tanah air.

“Sejak awal berkenalan lagi, dia memang banyak kali mencuba untuk melakukan hubungan seksual, tetapi saya tidak benarkan. Bagaimanapun, pada satu malam, saya tidak sedar dia memasukkan pil khayal ke dalam makanan saya.

“Dalam keadaan separuh sedar, saya mendapati dia membawa saya ke rumahnya dan apabila saya sedar keesokan harinya, semuanya sudah terlambat,” katanya ketika ditemui di Kewaja.

Yahaya berkata, sejak beroperasi pada 2003, lebih 100 penuntut wanita IPT yang hamil luar nikah datang mendapatkan perlindungan di Kewaja.

“Kemunculan remaja hamil luar nikah di rumah Kewaja boleh dikatakan ‘bermusim’. Apabila ada perayaan, misalnya, tahun baru seperti baru-baru ini, beberapa bulan akan datang datanglah mereka ini,” katanya.

Katanya, satu punca gejala ini ialah kejutan budaya penuntut yang datang dari luar bandar. Daripada persekitaran terkongkong, mereka yang mendapat kebebasan secara tiba-tiba apabila memasuki IPT dan tinggal beramai-ramai di rumah sewa, mudah dipengaruhi fenomena cinta kampus.

Apabila terlanjur, ramai yang memilih jalan mudah dengan menggugurkan anak secara haram atau membuang bayi.

Selain mendedahkan gejala ini, KD9 mengupas isu kekosongan jiwa remaja yang tiada pengisian positif ketika mereka menuntut di IPT.

Ini berbeza dengan era 80-an yang mana ramai anak muda dipacu oleh perjuangan dan ideologi menerusi pertubuhan seperti Abim dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Satu masa dulu, lagu perjuangan seperti ‘Anak Kecil Main Api’ membakar semangat anak muda termasuk pemimpin pelajar di IPT untuk berjuang demi bangsa dan agama. “Anak muda kini seolah-olah tiada perjuangan, tiada haluan. Sebab itu ramai lebih suka merempit dan terbabit dengan gejala moral yang membimbangkan. Di manakah Abim dalam kemelut sosial ini?” kata Benjy ketika mengajukan soalan kepada Dr Nur Izura.

Dr Nur Izura berkata, Abim masih giat menjalankan pelbagai program pembangunan ummah walaupun kian kurang mendapat pendedahan media.

Katanya, jika diberi ruang yang lebih terutama di IPTA dan IPTS, Abim bersedia mengadakan kegiatan pengisian jiwa dan minda remaja.

Berperanglah di jalan Allah

FIRMAN Allah s.w.t: Dan berperanglah kamu sekalian di jalan Allah, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Baqarah: 244)

SYEIKH Sya’rawi berkata: “Selepas Allah menceritakan berkenaan dengan cubaan sebahagian daripada Bani Israel yang ingin melarikan diri daripada kematian tetapi Allah mentafsirkan mereka untuk mati kemudian menghidupkan dengan begitu mudah.

“Ini merupakan pelajaran yang amat jelas bagi orang yang beriman yang apabila datang urusan berperang pada jalan Allah, maka jangan risau hai orang yang beriman jika peperangan menyebabkan kamu menerima kematian. Ini kerana mati boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.”

Firman Allah s.w.t: Dan berperanglah kamu sekalian di jalan Allah.

Ibnu al-Arabi berkata: “Satu kumpulan ulama kami mengatakan: Ayat ini merupakan ayat yang mujmal. Akan tetapi pendapat ini salah, malah ia adalah ayat yang umum.”

Imam Malik berkata: “Jalan-jalan Allah itu banyak.”

Al-Qadhi berkata: “Tidak ada satu jalan pun dari jalan-jalan Allah melainkan ada perjuangan ke atasnya dan padanya. Jalan Allah s.w.t yang paling awal dan agung ialah Islam.

Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah wahai Muhammad. Inilah jalanku, aku dan orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. (Yusuf: 108).

Rasulullah s.a.w. bersabda sebagai menyempurnakan maksud ayat itu dengan katanya: “Barang siapa yang berperang untuk meletakkan agama Allah s.w.t. di tempat yang paling tinggi, maka dia berperang di jalan Allah s.w.t..”

Dengan itu ternyatalah apa sahaja aspek yang berkaitan dengan syariat harus berlaku peperangan kerana untuk mendapatkannya atau mempertahankannya. Dengan itu ternyatalah ayat itu difahami menurut keumumannya dan ada penegasan dari segi pengkhususan hukumnya.

Jika dikatakan: “Bagaimana dengan orang yang berperang kerana mempertahankan hartanya?

Kami menjawab: “Dia berperang di jalan Allah s.w.t. berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Barang siapa yang dibunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia mati syahid.”

Hamka berkata: “Berperang pada jalan Allah s.w.t. adalah untuk meninggikan Kalimah Allah untuk mengamankan agama daripada ancaman musuhnya untuk mempertahankan dakwahnya. Kata Sabilillah yang bermakna Jalan Allah merangkumi maksud yang sungguh luas. Mempertahankan kemerdekaan pun dikira termasuk di dalam rangka jalan Allah s.w.t..

Sebab bangsa yang dijajah dan diperkotak-katikkan oleh bangsa lain seolah mereka telah dibunuh. Maka sepakatlah ahli-ahli fiqh mengatakan bahawa apabila musuh telah masuk ke dalam negeri orang Islam, maka hukumnya menjadi fardu ain untuk berperang pada waktu itu. Semua orang wajib untuk mengerahkan tenaga bagi mempertahankan negerinya dan tidak boleh ada seorang pun yang ketinggalan sehingga semuanya bersama dalam medan peperangan itu.”

Al-Baghawi berkata: “Kebanyakan ahli tafsir berpendapat ayat ini ditujukan kepada yang dihidupkan supaya berperang pada jalan Allah s.w.t. kemudian mereka keluar dari negeri mereka lari daripada jihad. Lantas Allah s.w.t. mematikan mereka kemudian menghidupkan mereka dan memerintahkan untuk berjihad. Ada pendapat mengatakan ia dituju kepada umat ini.

Al-Sonhaji berkata: “Mengikut setengah qaul (pendapat) ulama, ayat ini ditujukan kepada kaum yang tadinya telah dimatikan oleh Allah s.w.t. kemudian dihidupkan-Nya semula, maka setelah dihidupkan, mereka telah diseru supaya berperang di jalan Allah.”

Mengikut setengah qaul ulama yang lain pula, ayat ini ditujukan kepada umat Muhammad s.a.w., yang maksudnya: “Janganlah kamu melarikan diri daripada kematian seperti pekerti segolongan kaum Bani Israel yang yang diceritakan dalam ayat 243 itu – mereka telah melarikan diri kerana takutkan mati. Perbuatan melarikan diri yang sedemikian tidaklah ada gunanya.

Maka dalam ayat ini terkandung seruan supaya orang mukmin itu hendaklah berjihad (berperang) pada jalan Allah.

Sayyid Qutub berkata: “Di sini kita dapat memahami sebahagian dari tujuan peristiwa ini, iaitu kita dapat memahami sebahagian daripada hikmah Allah s.w.t. menceritakan pengalaman ini kepada kaum Muslim dalam generasinya yang pertama dan dalam seluruh generasinya yang lain, iaitu janganlah kamu enggan berjihad di jalan Allah s.w.t. kerana cintakan kesenangan hidup dan takutkan mati, sebab mati dan hidup itu berada di tangan Allah s.w.t.. Oleh itu berperanglah kamu di jalan Allah, bukannya kerana sesuatu tujuan yang lain, dan berjuanglah kamu di bawah panji-panji yang lain. Berperanglah kerana Allah.

Firman Allah Taala: Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Sayyid Qutub berkata: “Maksudnya Allah s.w.t. mendengar segala perkataan dan mengetahui segala rahsia atau tujuan di sebaliknya. Allah mendengar segala permohonan dan memperkenankannya dan Dia mengetahui pula segala sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan dan hati mereka. Berperanglah di jalan Allah s.w.t. kerana di dalam perjuangan ini tidak ada amalan yang sia-sia di sisi Allah.

Jihad kerana Allah s.w.t. itu merupakan satu pengorbanan. Pendermaan harta dan infak kerana Allah s.w.t. biasanya digandingkan di dalam al-Quran dengan pembicaraan jihad dan peperangan, terutama di masa jihad itu merupakan amalan sukarela dan para mujahid terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.

Kadang-kadang ia tidak dapat berjihad kerana harta tidak ada, oleh sebab itulah perlu adanya galakan yang berterusan (mendesak orang ramai) mengeluarkan derma untuk memberi kemudahan kepada para mujahidin di jalan Allah s.w.t.. Oleh itu di sini (ayat yang berikut) mengemukakan seruan derma dan infak dalam bentuk yang amat menarik.

Al-Sonhaji berkata: “Allah itu Maha Mendengar akan ulasan-ulasan dan alasan-alasan orang tentang seruan berjihad itu, sama ada menyambut seruan itu dengan patuh ataupun enggan mematuhinya sambil berdalih mengemukakan berbagai alasan. Lagi mengetahui, yakni Allah Maha Mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam hati hamba-Nya, yang mana semuanya itu kelak akan diberi-Nya balasan.”

Al-Qurtubi berkata: “Allah s.w.t. mendengar ucapan kamu seperti mana mereka berkata dan mengetahui kehendak kamu dengannya.”

Iktibar Ayat:

* Imam Nasafi berkata: “Galakan supaya berjihad selepas diberitahu kerana tidak mungkin kita boleh melarikan diri daripada mati.”

* Al-Maghari berkata: “Arahan dalam ayat ini supaya kita menghiasi diri kita dengan sifat berani dan memakai seluar kekuatan supaya musuh berasa gerun dan kita menjadi golongan yang mulia dan hidup dalam kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

* Mengisbatkan sifat Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.