Soalan; Seorang bapa sebelum ia meninggal telah memberi hibah (hadiah) sebahagian hartanya kepada anak yang dikasihinya sedangkan ia mempunyai anak-anak yang lain. Apa pandangan Syarak tentang fenomena yang selalu berlaku ini?

Jawapan;

Sikap pilih kasih di antara anak-anak dalam pemberian (yakni sama ada memberi kepada anak tertentu sahaja atau melebihkan sebahagian ke atas sebahagian yang lain) adalah dilarang oleh Syarak. Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam sebuah hadis;

اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ اِعْدِلُوْا بَيْنَ أَبْنَائِكُمْ
“Berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu, berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu, berlaku adillah di antara sesama anak-anak kamu”. (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan an-Nasai dari an-Nu’man bin Basyir r.a.. Menurut asy-Syaukani; para perawi hadis ini adalah tsiqah kecuali al-Mufadhdhal bin al-Mihlab di mana ia adalah shaduq. Lihat; Nailul-Autar)

An-Nu’man bin Basyir r.a. menceritakan; bapanya telah membawanya bertemu Rasulullah s.a.w. dan berkata kepada baginda; “Sesungguhnya aku telah menghadiahkan anakku ini seorang hamba milikku”. Lalu Rasulullah bertanya kepadanya; “Apakah kepada semua anak kamu kamu beri hadiah serupa?”. Jawabnya; “Tidak”. Lalu Rasulullah bersabda kepadanya; “Ambillah kembali hadiah itu”.
(Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Ada ulamak mentafsirkan larangan di dalam hadis di atas sebagai haram, antaranya Imam Tawus, as-Sauri, Ahmad, Ishaq dan sebahagian ulamak mazhab Maliki. Bagi mereka menyama-ratakan antara anak-anak dalam hibah atau pemberian adalah wajib. Tidak harus mengkhusus sebahagian mereka dari sebahagian yang lain atau melebihkan sebahagian atas sebahagian yang lain. Ada juga ulamak yang mentafsirkannya sebagai larangan makruh sahaja antaranya Imam Syafi’ie, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Kesimpulannya, bersikap pilih kasih dalam pemberian kepada anak-anak sekurang-kurang hukumnya adalah makruh iaitu dibenci oleh agama. Hal ini telah menjadi ijmak para ulamak.

Jika perbuatan tersebut telah dilakukan, apakah wajib ditarik balik hibah/pemberian yang telah diberikan kepada sebahagian anak itu? Menurut Imam Ahmad; wajib ditarik balik hibah atau pemberian itu (yakni di sisi Imam Ahmad; hibah tersebut adalah batal). Namun Imam Abu Hanifah, Syafi’ie dan Malik berpandangan; tidak wajib ditarik balik. (Rahmatul-Ummah Fi Ihktilaf al-Aimmah).

Wallahu A’lam.
Rujukan;

1. Nailul-Authar, Juz. 6, Kitab al-Hibah Wa al-Hadiyyah.
2. Rahmatul-Ummah Fi Ihktilaf al-Aimmah, Muhammad Ibn Abdirrahman ad-Dimasyqi asy-Syafi’ie, hlm. 194.