Allah menghidupkan yang mati

SYEIKH Al-Maghari berkata: “Ayat ini merupakan perumpamaan yang lain bagi menunjukkan adanya hari kebangkitan. Di samping itu, ia juga menunjukkan kuasa Allah kepada orang yang beriman dengan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.

Diulangkan perbandingan untuk mengisbatkan hari bangkit dan tidak disebut kecuali satu perbandingan sahaja bagi mengisbatkan Rububiyah kerana yang mengingkari hari bangkit kebanyakannya yang mengingkari Uluhiyyah Tuhan.”

Firman Allah Taala: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati. Allah berfirman: Belum yakinkah kamu? Ibrahim menjawab: Aku telah menyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: (Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, Kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera. Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 260)

Firman Allah s.w.t.: Allah berfirman: Belum yakinkah kamu? Ibrahim menjawab: Aku telah meyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: (Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu.

Ibnu Jauzi berkata: “Sebab Ibrahim bertanya terdapat empat pandangan ulama:

Pertama: Kerana ia melihat bangkai yang telah dkoyakkan oleh binatang buas dan serangga. Lantas ditanya. Inilah pendapat Ibnu Abbas, al-Hasan, Qatadah, Ad-Dhohak, ‘Ata’ al-Kharasani, Ibnu Juraij dan Muqatil. Apakah yang mati itu? Ini mempunyai tiga pendapat:

* Seorang lelaki yang mati. Inilah pendapat Ibnu Abbas.

* Bangkai keldai seperti kata Ibnu Juraij dan Muqatil.

* Ikan yang mati. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Zaid.

Kedua: Apabila Allah memberi berita gembira dengan melantiknya menjadi khalil lantas ditanya bagi mengetahui kebenaran berita itu. Inilah yang dinyatakan oleh As-Suddi daripada Ibnu Mas‘ud dan Ibnu Abbas.

Ketiga: Bahawa beliau bertanya demikian itu untuk menghilangkan segala rintangan was-was seperti pendapat ‘Ata’ bin Abi Rabah.

Keempat: Apabila Namruz membangkangnya berkenaan dengan menghidupkan yang mati lantas bertanya demikian itu untuk melihat apa yang Allah khabarkannya. Inilah pendapat Mahammad bin Ishak.

Sayyid Qutub berkata: “Yakni Allah menyuruh Ibrahim a.s. memilih empat ekor burung supaya beliau mendekati dan menjinakkan burung-burung itu kepadanya agar beliau dapat mengenal pasti sifat masing-masing tanpa tersalah, kemudian hendaklah beliau menyembelih burung-burung itu dan mencincang badannya setelah itu hendaklah beliau bahagikan cincangan-cincangan badan burung itu di atas bukit-bukau yang ada di sekelilingnya kemudian hendaklah beliau memanggil burung (yang mati dicincang) itu nescaya seluruh bahagian badannya yang dicincang itu akan berkumpul sekali lagi dan akan hidup kembali dan akan pulang kepadanya dengan segera. Dan beginilah apa yang telah berlaku.

Kini Ibrahim telah melihat rahsia Ilahi berlaku di hadapan matanya, dan itulah rahsia yang berlaku pada setiap saat tetapi tidak dilihat oleh manusia kecuali kesan-kesannya sahaja setelah ia berlaku dengan sempurna. Itulah rahsia pengurniaan hayat, iaitu hayat yang datang pertama kali, sedangkan sebelum ini ia tidak wujud dan itulah hayat yang tercetus berkali-kali yang tidak terhingga pada setiap makhluk hidup yang baru.

Kini Ibrahim telah melihat rahsia itu berlaku di hadapan matanya. Beberapa ekor burung telah mati dan cincangan-cincangan tubuh badannya telah dibahagi-bahagikan di tempat-tempat yang jauh. Kemudian burung-burung yang dicincang itu sekali lagi hidup kembali dan pulang mendapatkan beliau.

Bagaimana? Inilah satu rahsia yang di luar kemampuan kejadian manusia memahaminya. Mereka mungkin melihat rahsia ini sebagaimana dilihat oleh Ibrahim dan mereka mungkin mempercayainya sebagaimana dipercayai oleh setiap mukmin, tetapi mereka tidak dapat memahami hakikat rahsia ini dan dapat mengetahui caranya, kerana rahsia ini adalah daripada urusan Ilahi, sedangkan manusia tidak mengetahui sesuatu daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki oleh-Nya. Malah Allah tidak menghendaki manusia mengetahui rahsia ini kerana ia lebih besar daripada mereka, kerana tabiat rahsia ini berlainan daripada tabiat mereka dan kerana rahsia ini tidak diperlukan mereka di dalam pentadbiran mereka.

Rahsia ini adalah urusan khas Ilahi yang tidak mampu dijenguk oleh para makhluk dan andainya mereka menjenguk juga untuk melihatnya, maka tiada apa yang dapat dilihat mereka selain daripada tirai yang menutupi rahsia itu. Segala usaha mereka sia-sia sahaja. Itulah usaha orang-orang yang tidak mahu menyerahkan urusan ghaib yang tersembunyi itu kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib.

Firman Allah Taala: (Allah berfirman): Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, Kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera.

Berkenaan dengan empat jenis burung terdapat tujuh pandangan:

Pertama: Burung merpati, ayam jantan, kurki (burung Jenjang) dan merak. Seperti riwayat Abdullah bin Hubairah daripada Ibnu Abbas.

Kedua: Burung merak, ayam jantan, ayam betina dan angsa. Inilah riwayat Ad-dhohak daripada Ibnu Abbas.

Ketiga: Empat ekor burung Sya‘nah. Inilah riwayat Abu Soleh daripada Ibnu Abbas.

Keempat: Burung merak, helang, gagak dan ayam jantan. Dinaqalkan daripada Ibnu Abbas juga.

Kelima: Ayam jantan, burung merak, gagak dan merpati. Inilah pendapat Ikrimah ,Mujahid, ‘Ata’, Ibnu Juraij dan Ibnu Zaid.

Keenam: Ayam jantan, gagak, itik dan burung merak. Inilah riwayat Laith daripada Mujahid.

Ketujuh: Ayam jantan, itik, gagak dan merpati. Inilah pendapat Muqatil.

Ibnu Kathir berkata: “Walaupun begitu lebih baik tidak ditentukan kerana kalau ia amat penting nescaya dinaskan oleh al-Quran berkenaan dengan binatang tersebut. Seterusnya disuruh untuk memotongnya dan mencincangnya.” Inilah pendapat Ibnu Abbas, Ikrimah, Sa‘id bin Jubair, Abu al-Aswad al-Duali dan lain-lain.

Firman Allah Taala: dan Ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Iaitu Allah bersifat Maha Perkasa tiada bandingan dan tandingan serta tiada sesiapa pun yang dapat menegahnya dan Maha bijaksana dalam perbuatan, perkataan, syariat dan kudratnya.

Advertisements