Ungkit pemberian sifat yang dibenci

AL-IMAM Al-Nasafi berkata: “Allah membuktikan kekuasaan-Nya dalam menghidupkan yang mati seterusnya Allah menggesa supaya menginfak pada jalan Allah kerana pahalanya yang amat besar.”

Firman Allah Taala: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang- orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) Lagi Maha Mengetahui. Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (al-Baqarah: 261-262)

Sayyid Qutub berkata: “Perlembagaan Islam tidak dimulai dengan menyebut kewajipan dan tugas, tetapi ia dimulakan dengan pemberangsangan dan penjinakan hati. Ia memberangsangkan perasaan-perasaan dan emosi-emosi yang hidup di dalam diri manusia seluruhnya.

“Ia memaparkan satu gambaran daripada gambaran-gambaran hidup yang segar, subur dan memberi hasil, iaitu gambaran satu tanaman yang merupakan hadiah bumi dan pemberian Allah, tanaman yang memberi berganda-ganda lebih banyak daripada apa yang diambil olehnya dan tanaman yang hasilnya berganda-ganda lebih banyak daripada benihnya. Ia memaparkan gambaran yang menarik itu sebagai perbandingan bagi mereka yang menginfakkan harta mereka untuk sabilillah.”

Firman Allah SWT: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji.

Ibnu Jauzi berkata: “Yang dikehendaki dengan jalan Allah di sini ada dua pendapat:

* Pertama: Jihad

* Kedua: Semua pintu kebajikan dan kebaikan.

Sayyid Qutub berkata: “Pengertian secara mental bagi ayat ini berakhir dengan satu kiraan hisab yang menggandakan sebutir benih dengan tujuh ratus biji buah, tetapi (pengertian yang disampaikan oleh) pemandangan fizikal yang hidup yang dipaparkan oleh ayat ini adalah lebih luas dan lebih indah daripada pengertian ini lagi. Ia lebih membangkitkan perasaan dan lebih memberi kesan kepada hati nurani.

Itulah pemandangan hidup yang subur, pemandangan alam yang hidup, pemandangan tanaman yang memberi hasil. Kemudian itulah pemandangan yang menarik di alam tumbuhan- tumbuhan, iaitu pemandangan sebatang pokok gandum membawa tujuh tangkai buah dan pemandangan setangkai gandum yang mengandungi seratus biji.

Dalam angkatan hidupan tanaman yang subur dan memberi hasil itu al-Quran mengajak hati nurani manusia berkorban dan memberi, kerana (pada hakikatnya) dia tidak memberi, tetapi mengambil dan dia tidak kurang tetapi bertambah.

Kemudian gelombang pemberian dan kesuburan meneruskan perjalanannya dan menambahkan lagi perasaan ingin memberi yang dirangsangkan oleh pemandangan tanaman yang banyak memberi hasil itu. Sesungguhnya Allah memberi ganjaran yang berlipat ganda kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, iaitu ganjaran yang berlipat ganda yang tidak terhingga dan terkira.

Menyebut-nyebut

Firman Allah SWT: Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, Kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.

Sayyid Qutub berkata: “Perbuatan membangkit-bangkitkan pemberian itu adalah satu sifat yang amat dibenci dan satu perasaan yang hina dan rendah. Seseorang itu tidak akan membangkitkan pemberiannya melainkan kerana ingin menunjukkan kelebihannya yang palsu atau kerana ingin menghinakan penerimaannya atau kerana ingin menarik perhatian orang ramai.

Di sini jelaslah bahawa tujuan pemberiannya ialah kerana manusia, bukannya kerana Allah. Seluruh perasaan yang buruk ini tidak timbul di dalam hati yang baik dan tidak terlintas di dalam hati yang mukmin.

Oleh sebab itulah perbuatan membangkit-bangkitkan pemberian itu, mengubahkan sedekah menjadi pemberian yang mendatangkan kemudaratan sama ada pemberi atau kepada pemberi.

Ia mendatangkan kemudaratan kepada pemberi kerana ia menimbulkan di dalam hatinya perasaan sombong dan takbur dan kerana ia ingin melihat penerimanya hina dina di sisi-Nya dan kerana ia mengisi di dalam hatinya sikap bermuka-muka, menunjuk- nunjuk dan jauh daripada Allah.

Ia mendatangkan mudarat kepada penerima kerana ia menimbulkan di dalam hatinya perasaan kalah dan tewas dan mencetuskan reaksi dendam dan membalas dendam. Islam tidak mahu infak itu dilakukan semata-mata untuk tujuan menutup kejahatan, mengisi perut dan memenuhi keperluan.

Tidak! Sekali-kali tidak! Malah Islam mahu infak itu dilakukan untuk tujuan membersihkan akhlak dan hati pihak pemberi, iaitu merangsangkan perasaan kemanusiaannya dan pertalian dengan saudaranya yang miskin kerana Allah dan kerana kemanusiaan.

Ia juga mengingatkannya terhadap nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya dan terhadap janjinya dengan Allah dalam menggunakan nikmat-nikmat ini, iaitu janji memakannya tanpa membazir dan menunjukkan keangkuhan dan janji menginfakkan sebahagian daripadanya ke jalan Allah tanpa bakhil dan membangkit-bangkitkan pemberiannya.

Yakni ia menginfakkannya tepat seperti yang dikehendaki Allah iaitu untuk memberi kegembiraan dan mententeramkan hati penerima, untuk mengukuhkan hubungan dengan saudaranya kerana Allah dan juga untuk memenuhi keperluan seluruh kelompok muslimin agar (kehidupan kelompok ini) tegak di atas asas takaful dan saling bantu-membantu.

Perbuatan membangkitkan pemberian akan menghapuskan semua kebaikan ini dan mengubah infak itu menjadi racun dan api. Perbuatan itu adalah satu perbuatan yang mudarat walaupun tidak disertai dengan perbuatan mudarat yang lain seperti memukul dan mencaci maki.

Ia adalah salah satu perbuatan mudarat yang menghapuskan pahala infak, memecah belahkan masyarakat dan menimbulkan dendam kesumat.

Sesetengah ahli psikologi pada hari ini berpendapat bahawa reaksi tabiat jiwa manusia terhadap bantuan ihsan ialah lahirnya permusuhan di suatu hari yang akan datang. Mereka memberi sebab kerana si penerima itu merasa dirinya rendah dan kurang di hadapan si pemberi dan perasaan ini akan terus menghiriskan hatinya lalu ia berusaha mengatasi perasaan ini dengan mengambil sikap bermasam muka terhadap si pemberi dan memendam perasaan permusuhan terhadapnya.

Ini kerana pada hematnya pemberi inilah yang menyebabkan dia selalu merasa lemah dan kurang di hadapannya, juga kerana si pemberi ini mahu supaya penerima selalu merasa bahawa dia berhutang budi kepadanya. Inilah perasaan yang menambahkan kepedihan hati penerima dan akhirnya perasaan ini berubah kepada permusuhan.

Semuanya ini mungkin betul berlaku di dalam masyarakat jahiliah, iaitu masyarakat yang tidak dikuasai semangat Islam dan diperintahkan oleh Islam. Pun begitu, agama Islam telah menghadapi masalah ini dengan suatu cara yang lain. Ia menghadapinya dengan menanamkan di dalam hati manusia bahawa harta itu ialah harta Allah dan segala rezeki yang ada di dalam tangan para hartawan itu adalah rezeki Allah belaka.

Inilah satu hakikat yang tiada sesiapapun mahu mempertikaikannya kecuali si jahil yang tidak mengetahui punca-punca rezeki yang jauh dan dekat.

Seluruh punca rezeki adalah daripada limpah kurnia Allah. Tiada suatu pun dari punca rezeki itu dimiliki manusia. (Misalnya) untuk mewujudkan sebiji gandum berbagai kuasa dan tenaga alam turut bekerjasama, iaitu dimulai dari matahari kepada bumi, kepada air dan kepada udara dan seluruhnya tidak terletak di bahawa kuasa manusia.

Demikianlah juga setitis air, seurat benang pakaian dan segala benda yang lain adalah sama dengan sebiji gandum (dalam proses kewujudan).

Oleh itu apabila seseorang hartawan memberi sedikit hartanya, maka sebenarnya ia memberi harta Allah dan apabila ia meminjamkan sesuatu kepada seseorang, maka sebenarnya ia adalah pinjaman Allah yang akan membalas dengan ganjaran yang berlipat ganda. Penerima yang susah dan miskin hanya alat dan sebab sahaja untuk membolehkan pemberi itu menerima ganjaran yang berlipat ganda daripada infak yang telah diberikannya daripada harta Allah itu.

Kemudian al-Quran menerangkan peradaban-peradaban yang sedang dibicarakan sekarang untuk menguatkan konsep ini di dalam hati manusia supaya tiada seseorang pemberi pun yang merasa angkuh dan tiada seseorang penerima pun yang merasa terhina kerana kedua-duanya makan daripada rezeki Allah belaka.

Bagi para pemberi, mereka akan memperoleh ganjaran mereka daripada Allah jika mereka memberi harta Allah ke jalan Allah itu dengan menjunjung peradaban-peradaban yang digariskan oleh Allah dan mematuhi perjanjian yang dimeteraikannya dengan Allah.

Iktibar Ayat:

* Al-Maghari berkata: “Allah mengurniakan tambahan tanpa had kepada yang bersedekah pada jalan-Nya.”

* Ibnu Kathir berkata: “Allah menguji mereka yang berinfak pada jalan Allah dengan syarat tidak mengungkit apa yang dibelanjakannya.”

* Mengisbatkan sifat Allah yang Maha Kaya lagi Maha Mengetahui.

Advertisements