Riak hapus pahala sedekah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SYEIKH Sya’rawi berkata: “Allah SWT telah mengehadkan perkara dalam ayat ini berkenaan dengan ucapan dan hal yang baik.”Firman Allah Taala: Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekah mu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun daripada apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. (al-Baqarah: 263-264)

Firman Allah SWT: Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.

Al-Maghari berkata: “Iaitu percakapan yang baik dan menjawab dengan baik di samping menolak daripada meminta-minta kepada manusia. Begitu juga melakukan kebaikan dengan bersedekah tetapi mempunyai kejian dan hinaan kepada penerimanya boleh membawa kepada tidak baik. Sebaliknya hanya percakapan yang baik jauh lebih baik dari sedekah tersebut. Ayat ini juga seolah-olah menunjukkan kelebihan umat ini yang diasaskan atas dasar tolong-menolong.”

Sayyid Qutub berkata: “Di sini Allah menjelaskan bahawa sedekah yang diikuti dengan sesuatu yang menyakiti hati itu adalah tidak diperlukan, malah lebih baik dari sedekah yang seperti ini ialah kata-kata yang baik dan perasaan yang memberi kemaafan, iaitu kata-kata yang baik yang boleh mengubati hati yang luka dan memenuhkannya dengan rasa kerelaan dan kegembiraan, dan pemberi kemaafan yang dapat mencuci perasaan dendam di dalam hati dan menggantikannya dengan perasaan persaudaraan dan setiakawan. Perkataan yang baik dan pemberi kemaafan dalam keadaan seperti ini kedua-duanya dapat melaksanakan tugas utama sedekah iaitu membersihkan jiwa dan menjinakkan hati.”

Firman Allah SWT: Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.

Al-Nasafi berkata: “Dengan menangguhkan hukuman dan ia merupakan janji yang tegas terhadap yang tidak ikhlas dan mengungkit-ungkit dalam bersedekah.”

Sayyid Qutub berkata: “Yakni Allah Maha Kaya daripada sedekah yang menyakitkan hati. Maha Sabar, iaitu Allah mengurniakan rezeki kepada para hamba-Nya, tetapi mereka tidak bersyukur. Namun demikian, Allah tidak bertindak segera menghukumkan mereka dan tidak mengambil daya utama menyeksakan mereka. Allah lah yang mengurniakan segala-galanya kepada mereka dan Dialah yang mengurniakan kewujudan kepada diri mereka sebelum mengurniakan sesuatu yang lain kepada mereka.

Oleh sebab itu manusia hendaklah belajar daripada kesabaran Allah SWT terhadap mereka. Oleh itu mereka seharusnya jangan gopoh melakukan sesuatu perbuatan yang menyakiti hati dan menunjukkan kemarahan kepada orang yang mereka telah berikan sebahagian daripada rezeki yang telah dikurniakan Allah kepada mereka apabila orang-orang ini menunjukkan kelakuan yang tidak menyenangkan mereka atau tidak berterima kasih kepada mereka.

Al-Quran sentiasa mengingatkan manusia dengan sifat-sifat Allah SWT supaya mereka mengambil adab sopan mereka dari sifat-sifat itu sekadar yang terdaya oleh mereka. Peradaban seseorang Muslim juga sentiasa melihat (dan mencari contoh) pada sifat-sifat Allah. Dia berusaha mendaki anak-anak tangganya hingga berjaya mencapai sebahagian daripadanya yang telah ditentukan kepadanya mengikut kemampuan tabiatnya.

Apabila keterharuan perasaan batin telah mencapai matlamatnya setelah ditayangkan pemandangan tanaman yang subur dan memberi hasil itu sebagai contoh perbandingan bagi orang-orang yang menginfakkan harta mereka ke jalan Allah tanpa diiringi dengan perbuatan membangkit-bangkitkan pemberian dan perkataan yang menyakiti hati, dan setelah diperingatkan bahawa Allah itu Maha Kaya dari sedekah-sedekah yang menyakiti hati dan bahawa Dialah Pengurnia rezeki (yang sabar) dan tidak cepat marah dan menghukum, maka al-Quran tujukan perintahnya kepada orang-orang yang beriman supaya mereka jangan menghapuskan pahala sedekah mereka dengan perbuatan membangkit-bangkitkan pemberian dan perkataan yang menyakiti hati itu.

Ia melukiskan satu pemandangan yang menarik atau dua pemandangan yang menarik yang selari dengan pemandangan yang pertama, iaitu pemandangan tanaman dan hasilnya yang subur. Kedua-dua pemandangan itu menggambarkan sifat infak yang ikhlas kepada Allah dan sifat infak yang bercampur dengan perbuatan membangkit-bangkitkan pemberian dan perkataan yang menyakitkan hati mengikut cara penggambaran yang seni di dalam al-Quran, di mana sesuatu konsep itu ditayangkan dalam bentuk gambaran dan kesannya ditayangkan dalam bentuk harakat dan seluruh keadaan itu ditayangkan dalam bentuk pemandangan yang tersergam di dalam daya khayal.

Firman Allah SWT: Seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian.

Sayyid Qutub berkata: “Yakni dia belum merasa kelembutan dan kemanisan iman, tetapi dia menutup kekerasan hatinya dengan selimut riak. Hati yang keras yang ditutup dengan selimut riak ini dilambangkan dengan batu licin.”

Firman Allah SWT: “Batu licin yang di atasnya ada tanah.”

Perumpamaan ini seperti kata Ibnu Jauzi: “Memberi makna tiada sesuatu pun yang kekal bagi orang yang menunjuk-nunjuk dalam nafkahnya. Bahkan dia tidak mendapat pahala apa-apa pun daripada sedekahnya.”

Sayyid Qutub berkata: “Iaitu batu yang tidak boleh ditanam dengan apa-apa tanaman dan keras tidak lembut. Ia ditutupi tanah yang tipis yang melindungi kekerasannya daripada penglihatan mata sebagaimana riak melindungi kekerasan hati yang kosong daripada iman.”

Firman Allah SWT: Kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah).

Sayyid Qutub berkata: “Yakni air hujan yang lebat itu telah menghapuskan tanah yang tipis (yang menutupi batu itu), lalu terdedahlah batu itu dengan segala kekerasan dan kepejalannya. Ia tidak pernah menumbuhkan apa-apa tanaman dan tidak pernah menghasilkan apa-apa buah.

Demikianlah juga hati orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah kerana riak atau menunjuk-nunjuk kepada manusia tidak pernah menghasilkan kebajikan dan tidak pernah diberi pahala.”