Tajuk :
Dua Perkara Yang Mendatangkan Azab
Hadith :
Ibnu Abbas menceritakan :“Nabi SAW berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau di Mekah. Lalu kedengaran oleh baginda suara dua orang sedang disiksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah SAW :”Keduanya disiksa bukanlah kerana dosa besar.” Kemudian baginda melanjutkan perkataannya, :”Yang seorang disiksa kerana kencing di tempat terbuka) dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan.” Sesudah itu baginda menyuruh supaya mengambil pelepah tamar lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua kubur itu masing-masing satu pelepah. Seseorang pun bertanya:”Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu?” Jawab baginda “Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering.”

(Bukhari)

Huraian
Sebagai seorang Muslim, aspek kebersihan hendaklah dititik beratkan termasuklah perkara-perkara asas seperti qadha’ hajat (buang air kecil atau besar). Islam selaku agama yang sempurna telah menyediakan tata tertib yang sepatutnya untuk diikuti demi menjamin kesihatan umatnya. Demikian juga dengan bersuci di mana tabiat tidak bersuci sesudah kencing oleh sesetengah orang yang dianggap perkara biasa sebenarnya mendatangkan azab yang amat besar di akhirat kelak sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atas kerana membuang air tanpa bersuci atau membuang air di tempat-tempat terbuka (di tepi-tepi jalan tanpa bersuci) dilarang oleh Islam kerana ia mencerminkan adab yang kurang sopan selain mendedahkan seseorang itu kepada jangkitan penyakit.
Pohonlah Keampunan Dan Kemaafan Sebelum Terlambat
Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: ” Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.”

Riwayat Bukhari

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Setiap umat Islam adalah dituntut menyelesaikan segala kesalahan, hutang-piutang dan sebagainya di dunia ini sebelum berpindah ke alam akhirat di mana jika ada apa-apa hak orang lain padanya maka mestilah ia mengembalikannya dan jika tidak dapat dikembalikan hendaklah ia meminta perlepasan daripada pemiliknya.
ii) Termasuk juga hak-hak Allah S.W.T hendaklah diselesaikan seperti mengqadha’kan amal-amal fardu yang pernah ditinggalkan dahulu dan sebagainya.
iii) Sesungguhnya sesuatu perbuatan yang menyakiti hati orang atau makhluk lain akan menyebabkan dosa. Oleh itu kita diseru supaya segera meminta maaf dan bertaubat memohon keampunan selagi ada kesempatan (sebelum ajal mendatang). Jika tidak penyesalan yang amat besar akan ditanggung di akhirat kelak.
Advertisements