Azab bagi pemakan riba

AL-MAGHAGHI berkata: Kalam Allah sebelum ini berkenaan dengan ayat sedekah begitu juga orang yang bersedekah tanpa mengharapkan balasan tetapi hanya mencari keredaan Allah seterusnya di sini membincangkan berkenaan dengan riba.

Firman Allah: Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila.

Sayyid Qutub berkata: “Tidak ada ancaman mental yang sampai ke hati sehebat ancaman yang disampaikan dalam bentuk gambaran fizikal yang hidup dan bergerak ini iaitu gambaran orang yang rebah kerana dirasuk syaitan.

“Ini satu gambaran yang biasa dilihat orang ramai. Al-Quran membawa gambaran ini untuk memberi saranan yang menakutkan hati dan menyedarkan perasaan para pemakan riba serta menggerakkan mereka dengan kuat agar mereka meninggalkan adat kebiasaan mereka (yang buruk) di dalam sistem ekonomi mereka. Dan meninggalkan tamak haloba mereka untuk mendapat faedah riba itu”.

Gambaran ini merupakan satu cara memberi kesan didikan yang berjaya di tempat-tempatnya yang sesuai. Pada waktu yang sama ia juga menggambarkan hakikat yang berlaku di dalam kenyataan. Di masa yang silam kebanyakan tafsir menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan gambaran berdiri yang menakutkan itu ialah gambaran berdiri pada hari manusia dibangkitkan dari kubur kelak, tetapi sebenarnya gambaran berdiri seperti ini juga – menurut pendapat kami – telah berlaku dalam kehidupan manusia di dunia ini.

Ini adalah sesuai dengan keterangan ayat selepas ini yang menyatakan perisytiharan perang dari Allah dan rasul-Nya. Kita dapat melihat bahawa peperangan ini sedang berlaku sekarang dan sedang dilancarkan ke atas manusia sesat yang terhuyung-hayang jatuh seperti orang yang dirasuk hantu yang tersepit dalam tindasan sistem riba.

Sebelum memberi huraian yang terperinci untuk membuktikan kebenaran hakikat ini dalam realiti manusia pada hari ini, eloklah dimulakan dengan membentangkan gambaran muamalah riba yang dihadapi oleh al-Quran di semenanjung Tanah Arab dan fikiran-fikiran ahli jahiliah mengenai muamalah itu.

Riba sangat terkenal pada zaman jahiliah. Diturunkan ayat-ayat ini dan yang lain adalah bertujuan untuk menghapuskan riba. Ia mempunyai dua bentuk iaitu riba tangguh bayaran (riba nasi’ah) dan riba lebih tukaran (riba al-fadhl).

Adapun riba tangguh bayaran, Qatadah menjelaskan: “Riba ahli jahiliah ialah seorang penjual menjual sesuatu jualan dengan bayaran yang ditangguhkan kepada suatu masa yang tertentu. Dan apabila tempoh itu sampai sedangkan pembelinya tidak dapat menjelaskannya, maka ia akan menambahkan lagi bayaran itu ke atas pembeli dan memberi tempoh yang baru kepadanya”.

Kata Mujahid pula: “Mereka di zaman jahiliah dahulu apabila seorang berhutang kepada seseorang yang lain ia akan berkata kepadanya: Saya akan membayar kepada awak sekian-sekian dan awak tempohkan saya sekian masa, lalu ia diberikan tempoh”.

Ujar Abu Bakar al-Jassas: “Adalah dimaklumi umum bahawa riba jahiliah itu ialah berupa hutang yang ditangguhkan bayarannya dengan dikenakan bayaran lebih yang disyaratkan. Bayaran lebih itu ialah sebagai ganti tangguhan bayaran. Oleh sebab itu Allah hapuskan riba ini.”

Ujar al-Imam al-Razi dalam tafsirnya: “Riba tangguh bayaran (riba nasi’ah) itulah yang masyhur di zaman jahiliah, kerana seorang dari mereka memberi hutang kepada seseorang yang lain dengan bayaran yang bertangguh dengan syarat ia mengambil faedah sebanyak yang tertentu daripada orang itu pada setiap bulan sedangkan pokok hutang kekal tidak terjejas apa-apa.

“Apabila sampai tempoh ia akan menuntut si yang berhutang itu menjelaskan pokok hutangnya dan apabila ia tidak dapat menjelaskannya, maka si pemberi hutang akan menambahkan bayaran dan melanjutkan tempohnya.”

Firman Allah: Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat) sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), Maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah.

Al-Sya’rawi berkata: Bahasa yang digunakan al-Quran daripada kalimah syaitan, penyakit gila dan lain-lain menggambarkan ketidakseragaman dan stabil begitulah dengan bandingan orang yang makan riba kerana menyamakan yang halal dan yang haram.

Firman Allah: Orang yang kembali (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.

Sayyid Qutub berkata: “Ancaman dengan hakikat azab di akhirat itu menguatkan lagi sifat-sifat metodologi pendidikan al-Quran yang telah kami sebutkan sebelum ini dan mendalamkan tunjangnya di dalam hati.

“Namun mungkin ramai yang tertipu dengan kelambatan masa kedatangan kiamat dan dengan waktu kedatangannya yang tidak diketahui itu. oleh sebab itulah mereka ketepikan akhirat daripada perhitungan mereka.

“Kini al-Quran mengancam mereka pula dengan kemusnahan di dunia dan di akhirat dan menjelaskan bahawa hanya sedekah-sedekah, bukannya riba, yang subur badan bertambah kebaikan dan kebajikannya. Kemudian al-Quran mengecap orang yang tidak menyambut pengharaman riba itu sebagai orang yang kafir dan berdosa serta menyarankan kepada mereka bahawa Allah amat benci kepada orang-orang yang kafir yang berdosa”.

Firman Allah: “Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa”.

Sayyid Qutub berkata: “Apa yang diancam dan dijanjikan Allah adalah tepat dan benar. Kini kita dapat melihat tidak ada masyarakat yang bermuamalat dengan riba yang dapat hidup dengan keberkatan, kemewahan, kebahagiaan atau keamanan atau ketenteraman, kerana Allah menghapuskan kebaikan riba.

“Oleh itu, mana-mana masyarakat yang mengamalkan sistem kotor ini, maka Allah tidak akan melimpahkan ke atasnya melainkan keadaan yang kemarau dan celaka. Mungkin yang dilihat mata pada lahirnya masyarakat itu mewah, penuh dengan pengeluaran dan cukup dengan sumber-sumber ekonomi. Tetapi keberkatan itu bukannya terletak pada sejauh mana ia dapat dinikmati dengan baik dan aman tenteram.

“Sebelum ini telah disentuh tentang penderitaan batin yang malang yang mengongkong hati manusia di negeri-negeri yang kaya-raya dengan sumber-sumber ekonomi, juga tentang kegelisahan jiwa mereka yang tidak dapat ditolak dengan kekayaan malah menambahkannya lagi. Dan dari negeri-negeri yang kaya inilah, melimpahnya kegelisahan, ketakutan dan kekacauan ke atas seluruh dunia pada hari ini, di mana umat manusia sentiasa hidup dalam ancaman perang yang membawa kemusnahan.

“Orang yang tidak melihat hakikat ini dalam realiti umat manusia sekarang itulah orang yang sengaja tidak mahu melihat kerana nafsu mereka tidak ingin melihat atau itulah orang yang mempunyai mata yang telah diselaputi oleh kesesatan dan kekeliruan yang ditaburkan dengan sengaja oleh pihak-pihak yang berkepentingan dalam menegakkan sistem riba yang terkutuk itu. Dan kerana inilah mereka lemah untuk melihat hakikat ini.”

Firman Allah: Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa.

Al-Baghawi berkata: “Allah tidak suka kepada setiap yang kufur dengan itu diharamkan riba dan juga yang berdosa dengan sebab memakan riba.

Sayyid Qutub berkata: Kenyataan ini cukup jelas dan tegas menanggapkan orang yang terus berdegil bermuamalat dengan riba selepas diharamkan oleh Allah SWT sebagai orang yang tergolong di dalam golongan kafir yang berdosa yang tidak disukai Allah”.

Tidak syak lagi mereka yang menghalalkan perkara yang diharamkan Allah itu termasuk di dalam golongan orang kafir dan berdosa walaupun dia telah mengucap dua kalimah syahadah 1,000 kali dengan lidah mereka, kerana Islam itu bukannya kata-kata yang diucapkan dengan lidah. Malah ia adalah satu sistem hidup dan satu cara beramal. Menolak sebahagian sistem Islam bererti menolak seluruh sistem itu, maka itu adalah perbuatan yang kafir dan berdosa. Wal’iyazubillah!”