Biasanya ambe tidak ulas isu politik tanahair secara langsung di sini. Tapi untuk menerangkan kebenaran, maka ia perlu agar masyarakat Islam khususnya tidak terkeliru dengan isu Sumpah Saiful Bukhari Azlan dengan memegang al Qur’an baru-baru ini. Tujuan ambe bukan untuk mengatakan bahawa Saiful di pihak ang benar dan Anwar di pihak yang salah. Tapi cuma nak menegaskan bahawa SUMPAH itu sah berdasarkan penjelasan jujur oleh Mufti Wilayah Persekutuan ini.

Cuma perlu diingatkan bahawa bukan semua kandungan sumpah saiful itu betul. Ada yang perlu ditegur seperti yang disebut oleh Datuk Harun Din bahawa kenapa perlu dilibatkan keturunannya dilaknat? Itu terang-terang tidak wajar. Kalau berlaku apa-apa, biarlah tuan punya diri sahaja yang tanggung.

Mufti: Tidak bercanggah

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mempertahankan
sumpah Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15
Ogos lalu sebagai harus dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Muftinya, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, hukum harus dan tidak
bercanggah mengenai tindakan Mohd. Saiful itu boleh dilihat melalui
pendapat ulama seperti Al-Allamah Abu Bakar Othman Muhammad Syatta
al-Dimyati al-Bakri dalam kitabnya, Hasyiah l’anah al-Talibin.

Katanya, Abu Bakar dalam kitab itu menjelaskan bahawa sumpah atau
‘yamin’ terbahagi kepada dua iaitu dalam perbicaraan di mahkamah dan
kedua, di luar perbicaraan.

“Dalam bahagian kedua ini, sumpah sah dilakukan oleh seseorang yang
mukalaf dengan pilihan sendiri.

“Perkara yang menjadi objek sumpah pula ialah perkara yang lalu atau
yang akan datang, manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah
nama Allah dan sifat-sifatnya dengan didahului oleh huruf qasam iaitu
‘waw’, ‘ba’ dan ‘ta’.

“Sumpah seperti ini harus dilakukan jika difikirkan perlu, seperti untuk
menguatkan percakapan atau kenyataan,” katanya dalam satu kenyataan di
sini hari ini.

Kata Wan Zahidi, melalui penjelasan itu, sumpah Mohd. Saiful adalah sah
sebagai sumpah di luar perbicaraan atau alyamin qhairul qadhaiyah.

“Dan ia juga bukan sumpah mubahalah seperti yang terdapat dalam ayat 61
surah Al-Imran kerana mubahalah memerlukan persetujuan pihak kedua,”
katanya.

Beliau selanjutnya memberikan contoh bagaimana upacara mubahalah antara
Rasulullah SAW dengan rombongan Nasrani dari Najran tidak berlaku kerana
mereka enggan melakukannya dan meminta pilihan lain.

Kata beliau, dalam kitab yang sama menjelaskan mengenai pemberatan
sumpah atau taghliz al-yamin yang boleh dilakukan dari segi tempat atau
masa.

Hukum

Katanya, kitab itu menyatakan sumpah dapat diperkuat atau diberatkan
jika dilakukan selepas sembahyang asar hari Jumaat, dalam masjid di sisi
mimbar, meriba mushaf (al-Quran) dan meletak tangan di atasnya atau
dibacakan kepadanya ayat 77 daripada surah al-Imran.

Mengenai hukum meletak tangan atas mushaf, Wan Zahidi turut memberikan
beberapa contoh fatwa tambahan selain daripada kandungan dalam kitab
Hasyiah l’anah al-Talibin.

Katanya, Mufti Mesir, Al-Sheikh Hasanin Muhammad Makhluf (1945-1950)
dalam kitabnya, Fatwa Syariyyah ketika menjawab soalan mengenai hukum
bersumpah dengan mushaf memetik pendapat Al-Imam Al-Aini iaitu:

“Jika seseorang bersumpah dengan mushaf atau meletakkan tangan ke
atasnya, atau berkata; Demi Quran ini – maka ia adalah sumpah yang sah
mengikut pendapat Imam Syafie, Hanafi dan Hambali.”

Tambah beliau, Shaikh Muhammad Abu Zuhra dalam bukunya Fatawa al-Sheikh
Muhammad Abu Zuhra dalam jawapannya kepada soalan tentang hukum
bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan atas mushaf
menyatakan;

“Bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan ke atas mushaf
adalah sumpah yang sah.”

Justeru kata beliau, huraian yang diberikan dapat memperlihatkan dengan
jelas bahawa sumpah yang dibuat Mohd. Saiful adalah menepati ajaran
Islam dan tidak meniru Kristian.

Tambahnya, persamaan zahir terhadap apa yang dilakukan oleh Mohd. Saiful
tidak boleh dijadikan asas untuk menyamakan tindakan beliau itu sebagai
meniru cara agama Kristian.

“Misalnya paderi Kristian menyebut kalimah ‘amin’ ketika melakukan
upacara doa di gereja, namun umat Islam tidak boleh dianggap meniru
Kristian dengan menyebut kalimah ‘amin’ dalam sembahyang dan ketika
berdoa,” katanya.

Menurut Wan Zahidi, penjelasan daripada pihaknya adalah perlu
memandangkan wujud percanggahan pandangan pelbagai pihak berhubung
tindakan Mohd. Saiful itu.

Advertisements