MERUNGKAI ISU-ISU SYARA’ DI SEBALIK DAKWAAN LIWAT TERHADAP DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

Oleh : Ustaz Zakaria Ismail

PENGENALAN

Sejak daripada timbul dakwaan liwat kali kedua terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), kita sibukkan pula dengan isu sumpah, mubahalah, kesaksian dan perkara-perkara berkaitan. Terdapat banyak juga pandangan-pandangan daripada tokoh-tokoh agama seperti TG Dato’ Nik Abdul Aziz, TG Dato’ Seri Haji Abdul Hadi, Mufti Perlis, Mufti Perak, Dato’ Hasyim Yahya dan lain-lain. Dalam akhbar-akhbar ada memuatkan pandangan pemimpin-pemimpin negara mengenai isu tersebut.

Walaupun begitu, pandangan-pandangan tersebut dipetik secara terhad oleh media massa. Oleh itu, konsep keseluruhan tentang perkara ini tidak dapat ditanggapi oleh orang ramai. Ini membuka ruang kepada salah faham dan silap tanggapan dalam menilai pandangan-pandangan tersebut. Ada yang melihatnya sebagai saling bercanggah dan tidak konsisten. Ada juga yang mencampur adukkan beberapa konsep yang berbeza dalam membuat kesimpulan.

Ada juga pandangan yang terlalu jelas membesarkan isu tentang sahnya lafaz sumpah Saiful, tetapi tidak langsung mengaitkannya dengan hukum hudud mengenai liwat dan qazaf yang menjadi punca dan sebab kenapa Saiful Bukhari Azlan bersumpah laknat di masjid Wilayah Persekutuan. Iaitu pandangan mufti Wilayah Persekutuan Dr. Wan Zahidi Wan Teh.

Artikel ini bertujuan untuk meleraikan permasalahan tersebut dengan memberikan latar belakang tentang beberapa istilah syara’ yang digunakan oleh para ulama ketika memberikan komentar terhadap isu ini. Ini akan memudahkan kita memahami istilah dan konsep yang digunakan sehingga kita mampu menanggapi konsep keseluruhan terhadap isu yang dibangkitkan. Akhir sekali disertakan sedikit pandangan dan ulasan penulis mengenai isu ini.


PERBINCANGAN MENGENAI BEBERAPA ISTILAH SYARA’.


1. Liwat.

Liwat adalah perbuatan kaum Nabi Lut a.s. yang sangat dimurkai oleh Allah. Ia adalah dosa besar yang mendapat laknat dan kutukan daripada Allah. Liwat ialah perbuatan mendatangi seseorang melalui duburnya sama ada lelaki atau perempuan.

Allah berfirman dalam surah al-A’raf, ayat 80 yang bermaksud;

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu?”

Mengikut pendapat yang sahih dalam mazhab Syafie, jenayah liwat adalah sama seperti zina pada bentuk hukuman dan syarat pembuktian yang memerlukan empat orang saksi.

Si pelaku dikenakan hukuman sebat 100 rotan dan buang daerah selama setahun jika masih belum pernah berkahwin dan dihukum rejam jika pernah berkahwin. Sementara orang yang dilakukan liwat kepadanya selain daripada isteri disebat 100 rotan dan dibuang daerah selama setahun tanpa mengira sama ada dia pernah berkahwin atau belum.

Perbuatan liwat ke atas isteri juga adalah berdosa besar dan dilaknat oleh Allah tetapi dikenakan hukuman takzir dan tidak kenakan hukuman hudud. Takzir dalam mazhab Syafie tidak boleh menyamai atau melebihi daripada hukuman hudud yang paling ringan.

Ada juga qaul dalam mazhab syafie yang menyebutkan bahawa hukuman bagi perbuatan liwat ialah dibunuh berdasarkan suatu hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi dan Imam Ibnu Majah yang bermaksud, “Sesiapa yang kamu dapati dia beramal dengan amalan kaum Nabi Lut a.s., maka bunuhlah si pelaku dan orang yang dilakukan ke atasnya.”

Cara membunuh orang yang melakukan jenayah liwat itu pula diperselisihkan oleh para ulamak, sama ada dibunuh dengan pedang, dengan rejam, dengan diruntuhkan dinding ke atasnya atau dengan dicampak daripada atas bukit. (Hasyiah al-Bujairami ‘ala al-kahtib, juzuk 12, ms 186)

Perbuatan liwat boleh disabitkan berdasarkan iqrar (pengakuan pelaku dan yang dilakukan ke atasnya) dan penyaksian oleh 4 orang saksi.

2. Qazaf.

Qazaf ialah satu kesalahan hudud iaitu menuduh seseorang melakukan zina dengan tujuan menghina dan memalukan orang yang dituduh tanpa membawa empat orang saksi. Hukuman bagi jenayah qazaf ialah hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali.

Berdasarkan pendapat yang sahih dalam mazhab Syafie, jenayah liwat adalah sama seperti zina pada bentuk hukuman dan syarat pembuktian yang memerlukan empat orang saksi. Jadi menuduh seseorang melakukan liwat adalah sama seperti menuduhnya melakukan zina.

Dalil hukum qazaf ialah firman Allah dalam surah an-Nur, ayat 4.

“Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik”

Ada lima syarat kepada orang yang menuduh iaitu baligh, beraqal, bukan asal keturunan kepada orang yang kena tuduh (seperti ibu, bapa, datuk dan lain-lain), tidak dipaksa, mengetahui tentang pengharaman perbuatannya.

Mengenai syarat dipaksa, hendaklah dipaksa dengan sesuatu yang berat sehingga tidak berdaya untuk tidak melakukannya seperti ugutan bunuh. Paksaan itu pula hendaklah ditepis sekadar terdaya, jika tidak berdaya menepis setelah berusaha maka tidak dikenakan hukuman ke atas orang yang di paksa.

Ada lima syarat juga kepada orang yang dituduh iaitu Islam, baligh, beraqal, tidak pernah disabitkan dengan tuduhan zina ke atasnya dan dia tidak memberi izin kepada si penuduh untuk membuat tuduhan terhadap dirinya.

Satu lagi fakta yang penting dalam bab ini ialah orang yang kena tuduh boleh memaafkan si penuduh jika dia mahu, kerana qazaf adalah untuk memelihara hak keluhuran maruah seseorang yang kena tuduh, maka orang yang kena tuduh itu diberikan hak untuk memaafkan si penuduh jika dia mahu.

3. Sumpah.

Sumpah ialah memperteguhkan sesuatu perkara dengan menyebut nama Allah atau mana-mana sifat Allah ta’ala dalam bentuk ungkapan yang khusus. Dengan makna yang lebih mudah jika seseorang berhasrat untuk berbuat sesuatu perkara, seperti memberi sedekah atau meninggalkan sesuatu perkara, seperti berhasrat untuk berhenti merokok. Hasratnya ini boleh diperteguhkan dengan lafaz sumpah seperti wallahi, wabillahi dan watallahi. Begitu juga, jika seseorang membawa perkhabaran atau dakwaan, dia boleh memperteguhkan perkhabaran atau dakwaan itu dengan lafaz sumpah.

Implikasi daripada bersumpah ialah seseorang yang bersumpah itu berhadapan dengan dua keadaan.

Pertama, hendaklah dia menyempurnakan sumpahnya dengan menunaikan perbuatan yang dia bersumpah unuk melakukan atau meninggalkannya. Atau jika sumpah berbentuk perkhabaran atau dakwaan, perkhabaran atau dakwaan itu mestilah benar.

Kedua, dia melanggar sumpah iaitu dengan cara dia tidak menunaikan perbuatan yang dia bersumpah untuk melakukan atau meninggalkannya. Atau jika sumpah berbentuk perkhabaran atau dakwaan, perkhabaran atau dakwaan itu adalah dusta.

Sumpah dusta inilah yang disebut di dalam hadith sebagai al-yamin al-ghamus iaitu sumpah yang akan menenggelamkan orang yang bersumpah palsu itu ke dalam neraka. Sabda baginda s.a.w dalam suatu hadith riwayat Imam al-Bukhari daripada Abdullah bin ‘Amru bin al-‘As r.a. bermaksud “Beberapa dosa besar ialah syirik kepada Allah, menderhaka kepada dua ibu bapa, membunuh dan sumpah bohong (al-yamin al-ghamus)”.

Jika melanggar sumpah, seseorang yang bersumpah itu wajib menunaikan kaffarah sumpah iaitu diberi tiga pilihan sama ada untuk membebaskan hamba, memberikan secupak makanan kepada sepuluh orang miskin atau memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin. Orang yang bersumpah palsu pun dikenakan kaffarah sumpah selain daripada laknat dan kutukan Allah.

Hukum asal bersumpah ialah makruh kerana kita tidak digalakkan menyebut nama Allah bagi memperteguhkan hasrat atau perkhabaran yang kita bawa. Sepatutnya nama Allah disebut bagi tujuan membesarkan Allah dan memuliakannya. Hukum bersumpah berubah mengikut keadaan-keadaan tertentu kepada wajib, sunat, harus dan haram.

4. Hak bersumpah dalam menghadapi sesuatu dakwaan.

Jika seseorang membuat sesuatu dakwaan di hadapan Qadhi bagi menyatakan bahawa dia berhak ke atas sesuatu hak yang berada pada tangan orang lain maka dia hendaklah membawa bukti bagi menyokong dakwaannya.

Jika tidak ada bukti, maka orang yang kena dakwa dikehendaki bersumpah bagi menafikan tuduhan itu. Dalam keadaan ini, jika orang yang kena dakwa itu bersumpah menafikan tuduhan, maka gugurlah dakwaan tersebut dan tidak ada jalan lagi bagi orang yang mendakwa itu melainkan dengan membawa bukti. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith “Beban pembuktian adalah ke atas yang mendakwa dan beban bersumpah ke atas orang yang kena dakwa bagi menafikan dakwaan”.

Maksudnya, beban bukti tidak dikenakan kepada yang didakwa dan orang yang mendakwa pula tidak ada ruang untuk bersumpah. Kecuali jika orang yang kena dakwa itu tidak mahu bersumpah menafikan dakwaan. Mengikut mazhab Syafie, dalam keadaan inilah orang yang mendakwa dikehendaki bersumpah mengaku bahawa sesuatu hak yang didakwa itu adalah haknya. Dengan itu, hak tersebut diserahkan kepadanya. Keadaan ini disebut sebagai raddul yamin.

Dalam perkara ini, Syed Sabiq dalam Fiqh Sunnah berpendapat, kaedah ini hanya terbatas kepada perkara-perkara yang melibatkan harta sahaja. Ia tidak terpakai perkara-perkara jenayah dan hudud. Telah berlaku ijma’ dalam penggunaan kaedah ini dalam urusan harta kecuali dalam bab al-qasamah.

Satu lagi pendapat, ialah kaedah ini turut terpakai dalam juga dalam perkara hudud yang pada ghalibnya merupakan hak anak Adam iaitu qazaf, qisas yang melibatkan urusan diat dan perkara berkaitan nikah dan talak.

Bersumpah dalam mahkamah adalah bentuk pembuktian yang paling lemah berbanding dengan iqrar dan penyaksian oleh saksi yang adil.

5. Li’an (Mula’anah).

Ini adalah berkenaan sumpah laknat antara suami isteri. Maksud sumpah laknat ialah setiap orang mendoakan laknat Allah ke atas dirinya jika dia berbohong dalam sumpah masing-masing.

Di mana suami mempunyai hak untuk menuduh (qazaf) isterinya berzina tanpa mendatangkan empat orang saksi tetapi dia dikehendaki bersumpah laknat. Jika dia tidak membawa empat orang saksi; di mana dia dikira seorang daripada saksi dan tidak juga mahu bersumpah laknat, maka si suami itu dikenakan hukuman qazaf. Setelah suami bersumpah laknat maka si isteri wajib bersumpah laknat juga bagi menafikan tuduhan suaminya serta bagi mengelakkan dirinya daripada dikenakan hukuman zina.

Perkara ini disebutkan dengan terperinci di dalam al-Quran dalam surah an-Nur, ayat 6 hingga 9.

Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta. Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri (yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata); Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya dari orang-orang yang benar.

6. Mubahalah.

Iaitu saling berdoa memohon laknat kepada orang yang berdusta dalam perkara yang menjadi pertikaian antara dua pihak. Ayat mubahalah diturunkan dalam peristiwa pertelingkahan kaum kristian Najran dengan Nabi Muhammad s.a.w. tentang kedudukan Nabi Isa a.s.

Kaum kristian Najran mendakwa nabi Isa a.s sebagai tuhan dan anak tuhan sementara Nabi Muhammad s.a.w. mengatakan bahawa nabi Isa a.s. adalah seorang rasul yang merupakan hamba Allah. Lalu turunlah ayat mubahalah iaitu agar masing-masing saling berdoa agar Allah melaknat orang berbohong dalam perkara tersebut dengan membawa anak-anak dan orang perempuan.

“Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh (bermubahalah), serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”. Ali Imran : 61.

Akhirnya kaum kristian Najran tidak berani bermubahalah dengan Rasulullah s.a.w. kerana mengetahui kebenaran baginda sebagai seorang rasul. Jika bermubahalah maka pastilah mereka yang akan dilaknati oleh Allah kerana Allah tidak akan melaknati rasulNya s.a.w. Mereka pun menarik diri daripada bermubahalah dan bersetuju untuk membayar jizyah.

Satu lagi peristiwa yang dinukilkan oleh para fuqaha’ berkaitan mubahalah ialah dalam bab faraid iaitu dalam keadaan seorang perempuan meninggal dunia meninggalkan suami, ibu, saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan seibu. Di mana Ibnu Abbas r.a. memberikan pendapat yang bercanggah dengan pembahagian yang dibuat oleh Khalifah Umar al-Khattab ketika hidupnya dalam masalah ‘aul. Lalu dikatakan kepadanya, “kenapa engkau tidak berkata begitu semasa Umar masih hidup?”. Ibnu Abbas menyatakan bahawa Umar adalah seorang yang mempunyai kehebatan yang tinggi dan menyebabkan beliau turut merasa gerun untuk berhadapan dengannya.

‘Atha’ bin Abi Rabah menyanggah dengan mengatakan kegerunan beliau tidak boleh jadi sandaran dalam perkara hukum. Oleh itu, pusaka dalam masalah itu hendaklah dibahagikan sebagaimana amalan orang ramai yang mengikut pembahagian yang dibuat oleh Umar.

Lalu Ibnu Abbas mengatakan “Jika orang ramai setuju, marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh (bermubahalah), serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.

Lalu masalah faraid yang diperselisihkan itu dikenali sebagai masalah mubahalah kerana tawaran Ibnu Abbas untuk bermubahalah bagi mengesahkan kebenaran kata-katanya.

Jika dilihat daripada kedua-dua peristiwa ini, tidak ada satu pun mubahalah yang benar-benar diteruskan.

7. Sumpah dalam al-Qasamah.

Al-Qasamah ialah sumpah oleh wali darah sebanyak 50 kali sumpah dalam kes pembunuhan yang berlaku antara dua kampung yang saling bermusuhan bagi membolehkan mereka mendapat hak diat. Sumpah dalam al-Qasamah dikenakan kepada yang mendakwa, bukan yang kena dakwa, iaitu pengecualian khusus bagi kaedah Beban pembuktian adalah ke atas yang mendakwa dan beban bersumpah ke atas orang yang kena dakwa bagi menafikan dakwaan”

Perbicaraan mengenai al-qasamah tidak akan dipanjangkan di sini kerana ia idak berkaitan dengan isu kita. Sekadar menunjukkan bahawa di sana ada peruntukan sumpah kepada yang mendakwa dan bukan yang kena dakwa, dan ia adalah khusus dalam bab al-qasamah yakni berkaitan pembunuhan.


Perbincangan tentang dakwaan liwat ke atas DSAI

  1. Pertuduhan liwat ke atas DSAI ialah dakwaan dalam kategori jenayah hudud. Iaitu jika sabit berlaku perbuatan liwat itu, maka DSAI wajib dikenakan hukuman rejam sampai mati kerana beliau pernah berkahwin secara sah. Maka si penuduh wajib membawa bukti dengan menghadirkan 4 orang saksi termasuk dirinya sendiri. Jika tidak, maka dia akan dihukum sebat sebanyak 80 rotan kerana melakukan jenayah qazaf.
  1. Oleh kerana Saiful Bukhari Azlan tidak dapat menghadirkan 4 orang saksi untuk mensabitkan DSAI dengan perbuatan liwat, beliau pun melakukan sumpah laknat. Sumpah laknat yang dilakukan inilah perlu dibahas.
    1. Daripada aspek sumpah, sumpah Saiful adalah sah dan cukup syarat bagi sumpah biasa. Jika ia benar dalam dakwaannya, dia telah menyempurnakan sumpah dan tidak dikenakan kaffarah sumpah ke atasnya. Tetapi jika dia berdusta, itulah al-yamin al-ghamus yang dikenakan laknat oleh Allah dan masih lagi dikehendaki melakukan kaffarah sumpah.
    1. Daripada aspek sumpah laknat, ada sedikit kemusykilan. Adakah ia li’an (mula’anah), mubahalah atau sumpah al-qasamah. Walaupun bentuk sumpah sedikit menyamai kaedah li’an daripada aspek dia meminta laknat dan ke atas dirinya sendiri jika dia berdusta. Namun, dalam li’an, bersumpah sebanyak 4 kali sumpah dan yang kelima dengan sumpah laknat, walhal Saiful hanya bersumpah sekali sahaja. Dalam li’an, kedua pihak berli’an di hadapan qadhi walhal Saiful berli’an seorang diri dihadapan Imam masjid yang tidak dilantik menjadi qadhi untuk menyelesaikan pertikaian. Dan paling penting dalam li’an ialah ia hanya disyariatkan untuk suami isteri, walhal Saiful dan DSAI bukan suami isteri.
    1. Daripada aspek ia adalah mubahalah, juga ada kemusykilan. Mubahalah adalah kedua-dua pihak yang bertelingkah sama-sama berdoa di suatu tempat tertentu dengan penuh kerendahan diri kepada Allah agar pihak yang berdusta dikenakan laknat. Perbincangan para mufassirin menyebutkan lafaz mubahalah dalam bentuk ungkapan doa kepada Allah bukan lafaz sumpah yang melaknati diri sendiri dan keturunan. Dalam mubahalah tidak ada qadhi, benar atau salah akan ditunjukkan sendiri oleh Allah. Ini adalah pilihan yang paling menggerunkan kerana ia meminta Allah menunjukkan kebenaran hakiki di dunia, walhal Allah telah menangguhkan kebenaran hakiki untuk dibicarakan di akhirat.
    1. Sumpah Saiful bukanlah sumpah al-Qasamah kerana al-Qasamah berkaitan dengan pembunuhan semata-mata.
    1. Walaupun Saiful Bukhari bersumpah laknat, namun ia tidak cukup untuk mensabitkan DSAI dengan perbuatan liwat. Ini kerana perbuatan liwat sama seperti zina, di mana ia disabitkan melalui pengakuan tuan punya badan atau membawa empat orang saksi.
    1. Oleh kerana dakwaan Saiful itu tidak disertakan dengan 4 orang saksi maka ia telah menjadi qazaf. Maka dia pula yang akan dihukum dengan 80 kali sebat.
    1. Jika sumpah Saiful itu benar sekalipun dia tetap dikenakan hukuman qazaf kerana tidak membawa bukti. Sebenarnya, tujuan hukuman jenayah qazaf adalah untuk memelihara maruah manusia agar terpelihara daripada tuduhan liar untuk memalukan dan menghina mereka. Jika seseorang yang dituduh itu benar-benar berzina atau melakukan liwat, itu adalah rahsia antara mereka dengan Allah. Manusia tidak berhak membukanya melainkan dengan syarat-syaratnya yang cukup. Itulah rahmat Allah kepada manusia, sehingga dibukakan pintu taubat yang luas, semoga dia bertaubat dan berhenti melakukan maksiat sebelum perbuatannya didedahkan oleh Allah melalui pendakwaan yang mencukupi syarat.
    1. Ada satu perkara yang ramai orang terlepas pandang mengenai sumpah Saiful. Iaitu pengakuan bahawa dia telah melakukan liwat. Pengakuan itu dikira sebagai iqrar. Jika dia tidak menarik balik iqrarnya, maka dia boleh disabitkan dengan hukuman liwat ke atas dirinya sendiri jika dilakukan dengan sukarela. Dakwaan bahawa dirinya dipaksa perlulah disiasat dahulu. Jika dipaksa dengan paksaan yang dia tidak berupaya menangkisnya, tidak dikenakan hudud ke atasnya. Jika dengan paksaan yang dia mampu menangkisnya tetapi dia membiarkannya, dia tetap dikenakan hukuman hudud.
  1. Jadi bersumpah dalam membuat pertuduhan liwat tidak disyariatkan daripada aspek untuk menyabitkan orang yang kena tuduh dengan sumpah itu. Orang yang kena tuduh pun tidak disyariatkan bersumpah menafikan tuduhan. Ini kerana pembuktian jenayah liwat adalah berdasarkan iqrar dan kesaksian 4 orang saksi yang adil. Jika yang menuduh tidak membawa 4 orang saksi, maka yang kena tuduh tidak perlu bersumpah menafikan apa-apa.
  1. Tetapi orang yang kena tuduh boleh mengadukan kepada qadhi bahawa dia telah dituduh tanpa bukti oleh seseorang tertentu jika kita menerima bahawa kaedah “Beban pembuktian adalah ke atas yang mendakwa dan beban bersumpah ke atas orang yang kena dakwa bagi menafikan dakwaan” boleh digunakan dalam perkara hudud yang membabitkan hak hamba. Dalam hal ini, yang kena tuduh menjadi pendakwa dan yang menuduh menjadi yang kena dakwa. Jika dia tidak ada bukti atas dakwaannya, maka qadhi akan meminta si penuduh bersumpah menafikan bahawa dia telah melakukan qazaf.

Kesimpulan.

  1. Jika dilihat perbicaraan ulama’ tentang jenayah liwat dan qazaf, kita ummat Islam sepatutnya merasa sangat bimbang akan kemurkaan Allah. Jika liwat berleluasa, kita seperti kaum Nabi Lut a.s. Jika qazaf berleluasa, maruah orang yang tak bersalah akan menjadi permainan di tangan golongan yang fasiq. Oleh itu, mahkamah syariah hendaklah diperkasakan untuk membicarakan kes Hudud dan Qisas mengikut ajaran Islam yang sebenar supaya orang yang tidak bersalah dapat berlindung di bawah naungannya dan orang yang dibuktikan bersalah dikenakan hukuman yang sewajarnya. Polemik isu liwat dan qazaf ini sepatutnya sudah lama diselesaikan oleh jabatan kehakiman syariah dan mahkamah syariah iaitu sejak awal-awal ia bermula kerana prinsip syariah berkenaan jenayah liwat dan qazaf adalah sangat jelas dan tegas.
  1. Dalam perkara bermubahalah, saya berpendapat ia adalah pilihan yang paling menggerunkan jika perkara yang menjadi pertikaian adalah berbentuk masalah furu’ yang terbuka kepada benar atau salah tanpa wajib menentukan hakikat kebenaran di sisi Allah. Iaitu setiap pihak berdoa dengan penuh ketundukan kepada Allah agar dikenakan laknat kepada orang yang berdusta dalam masalah yang menjadi pertikaian. Jika dilihat daripada peristiwa mubahalah antara Nabi Muhammad s.a.w. dan kaum kristian Najran, masalah yang menjadi pertikaian adalah masalah yang bersifat terlalu pokok pada dasar falsafahnya dan terlalu abstrak untuk ditentukan salah benarnya dengan mizan duniawi. Iaitu pertikaian tentang kedudukan Nabi Isa a.s., adakah dia anak tuhan, tuhan atau hamba tuhan? Dalam pertikaian ini, tidak ada mahkamah dunia yang mampu membicarakan persolan-persolan itu dan memberikan satu bentuk hukuman kepada orang yang bersalah, kerana persoalan itu adalah hakikat kenapa manusia ditaklifkan. Perbicaraan dan hukuman hakiki tentangnya hanya akan berlaku di negeri akhirat. Tetapi dalam kes ini, kedua-dua pihak memohon agar ditunjukkan kebenaran hakiki di sisi Allah dengan melaknat orang yang berbohong daripada kalangan mereka ketika mereka masih hidup di dunia sementara ini. Dalam masalah Ibnu Abbas dengan para sahabat dan tabi’in yang lain selepas kewafatan Saidina Umar r.a., perkara yang dipertikaikan berkaitan tentang adakah sumber pendapat Ibnu Abbas daripada Nabi s.a.w. atau ia hanyalah pendapat dalam agama yang tidak ada sandaran pada syara’. Ini juga tentang satu hakikat penting dalam agama, iaitu berkaitan tentang sumber syara’ mengenai hukum faraid. Jika sumber syara’ itu diragui ataupun jika ia disembunyikan maka rosaklah syariat. Ini berlainan dalam perkara perundangan dan jenayah, di mana Allah telah memberikan panduan yang jelas dalam menentukan kaedah pembuktian dan bentuk hukuman di dunia ini.
  1. Dalam perkara sumpah bohong, orang ramai cenderung untuk mengaitkan sumpah bohong dengan keadaan orang yang bersumpah bohong tadi akan dilaknat oleh Allah dengan dipanah petir. Hakikat laknat yang sebenar ialah dia akan dimasukkan ke dalam neraka kerana dia melakukan dosa yang sangat besar di sisi Allah. Mengenai laknat di dunia, kadang-kadang Allah tunjukkan tanda-tanda seseorang dilaknat, kadang-kadang tidak. Kadang-kadang tanda-tanda laknat itu dapat dikesan oleh sebahagian hamba Allah yang beriman dan tidak dapat dikesan oleh sebahagian yang lain. Ketiadaan tanda yang nyata inilah yang menyebabkan timbulnya ramai orang yang berani bersumpah palsu. Jika setiap yang bersumpah palsu akan di panah petir, tentulah tidak ada orang yang berani bersumpah bohong. Tetapi hakikatnya, orang fasiq tidak berhenti-henti bersumpah bohong ketika berjual beli, ketika mendampingi wanita dan ketika-ketika lain bagi mencapai hasrat duniawi. Bahkan orang munafik di Madinah selalu sahaja bersumpah bohong di hadapan Nabi Muhammad s.a.w.!
  1. Melihat kepada komentar para pemimpin masyarakat di dalam dada-dada akhbar mengenai isu ini, jelas menampakkan kepada kita kejahilan mereka tentang hukum syara’. Tetapi mereka tetap mengajak orang ramai mempercayai kejahilan mereka. Lebih malang lagi, apabila kebanyakan ulamak rasmi – kecuali sedikit yang dirahmati oleh Allah, yang sepatutnya memimpin dan memandu para pemimpin tersebut dalam perkara agama – hanya mengesahkan kenyataan para pemimpin tersebut. Contohnya dalam isu ini, semua mereka mengesahkan tentang hukum sah sumpah Saiful Bukhari Azlan. Apa yang mereka tidak jelaskan adakah sumpah itu boleh mensabitkan dakwaan liwat ke atas DSAI? Dan adakah Saiful secara tidak langsung patut disabitkan dengan jenayah qazaf berdasarkan kepada sumpahnya yang dibuat secara umum kerana ia berikrar melakukannya?
  1. Ruang masih terbuka kepada Saiful Bukhari Azlan untuk menarik balik pengakuannya (iqrar) bahawa dia diliwat bagi mengelakkan dikenakan hukuman hudud berkaitan liwat ke atasnya. Kerana iqrar masih boleh ditarik balik dalam mazhab Syaf’ie. Mengenai dakwaan bahawa dia dipaksa oleh seorang yang sakit belakang seperti DSAI dalam usia emas sehingga tidak mampu mempertahankan dirinya adalah amat meragukan. Mengenai qazaf ke atas DSAI, beliau masih boleh meminta maaf daripada DSAI. Jika dimaafkan, tidak ada lagi dosa qazaf dan tiada lagi hukuman hudud berkaitan dikenakan keatasnya.

  1. Dalam hal DSAI tidak mahu bersumpah, ia adalah terpulang kepadanya. Hanya qadhi yang boleh meminta seseorang bersumpah dalam pertikaian yang di bawa dihadapannya. Tapi dalam kes ini,qadhi pun tidak ada sebab untuk memanggil DSAI bersumpah sebab jenayah yang dituduh ialah liwat yang hanya disabitkan dengan iqrar atau 4 orang saksi. Tetapi DSAI boleh mengadu kepada qadhi tentang orang melakukan qazaf ke atasnya. Dan orang yang dituduh oleh DSAI boleh menafikan tuduhan bahawa dia pernah melakukan jenayah qazaf jika DSAI tidak ada dua orang saksi yang mengesahkan perbuatan qazaf.
  1. Saya berpendapat jika DSAI bersumpah, dia hanya memuaskan hati orang ramai yang tidak faham tentang hakikat bersumpah. Tidak salah DSAI bersumpah. Daripada hukum syara’, sumpah itu tidak mensabitkan apa-apa dan tidak pula melepaskannya daripada apa-apa sabitan kerana pada sudut syara’ dia belum disabitkan dengan apa-apa sabitan. Jika dia turut bersumpah dan tidak ada pihak yang panah petir, tentulah orang ramai tidak juga akan berhenti membuat spekulasi yang sensasi. Yang paling tepat ialah kita mestilah kembali kepada sistem perundangan Islam yang sebenar dalam membicarakan kes-kes jenayah hudud dan qisas.

Penutup

Marilah kita merenung beberapa potong ayat al-Quran tentang dua perkara. Pertama, dalam surah al-Mujadalah, ayat 14 hingga 16, Allah menceritakan tentang sifat kaum munafiqin yang selalu bersumpah palsu.

“Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). Allah telah menyediakan bagi mereka azab seksa yang berat; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan. Mereka menjadikan sumpahnya sebagai perisai (untuk menyelamatkan diri dan harta bendanya daripada dirampas atau dibunuh), maka dengan yang demikian dapatlah mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari jalan Allah; oleh itu mereka beroleh azab seksa yang menghina.”

Kedua, dalam surah an-Nur, ayat 13 hingga 15 tentang beratnya dosa turut serta dalam perbuatan qazaf dengan sedar dan tanpa sedar.

“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta. Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu. Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”

Advertisements