MASALAH KHILAF

Masalah khilaf antara ulama’ muta’akhirin dalam menetapkan hukum terhadap orang muafiq adalah seperti berikut:

Pertama:

Seorang muafiq solat berjamaah bersama imamnya tiba-tiba ia tertidur di tasyahhud awal dengan tetap papan punggungnya di tempat duduk, dia terus tidur sehingga semasa imam turun rukuk atau berada di akhir qiam, baru dia terjaga dari tidurnya, hukumnya khilaf antara Syeikh Ramli dan Syeikh Ibnu Hajar.

Kata Syeikh Ramli orang itu termasuk dalam hukum orang muafiq juga. Hukumnya dia dimaafkan ketinggalan sekadar tiga rukun daripada imam. Tetapi Syeikh Ibnu Hajar berpendapat bahawa ma’mum itu sudah termasuk dalam golongan masbuq, hukumnya tidak boleh ketinggalan tiga rukun daripada imam. Bahkan ia hanya perlu membaca al fatihah sekadar yang sempat dan wajib ia terus mengikut imamnya rukuk. Jika ia rukuk sempat mempunyai tamakminah sebelum imamnya bangkit daripada rukuk maka dia dapat rakaat itu.

Kedua:

Seorang muafiq solat berjamaah bersama imamnya, apabila imamnya bertakbir untuk qiam disangkanya takbir itu untuk duduk tasyahhud awal, dia pun duduk tasyahhud awal. Kemudian dia mendengar imam takbir untuk rukuk , tapi disangka takbir itu untuk berdiri daripada tasyahhud awal. Selepas itu barulah ma’mum itu sedar bahawa sebenarnya takbir itu untuk rukuk. Dalam masalah ini, hukumnya juga khilaf antara Syeikh Ramli dan Ibnu Hajar. Kata Syeikh Ramli orang itu termasuk dalam bab orang muafiq dan hukumnya dimaafkan ketinggalan tiga rukun daripada imam. Manakala Syeikh Ibnu Hajar berkata bahawa orang itu sudah termasuk dalam bab masbuq, maka dia tidak boleh ketinggalan tiga rukun daripada imamnya, bahkan ia hendaklah membaca fatihah sekadar yang dapat dan wajib mengikut imamnya rukuk. Jika ma’mum itu sempat rukuk dengan imamnya sekadar ada tamakninah sebelum imamnya bangkit daripada rukuk, maka ia mendapat rakaat itu.

Ketiga:

Seorang muafiq sedang berjamaah dengan imamnya bersama-sama membaca tasyahhud awal, apabila imamnya berdiri daripada tasyahhud awal, ma’mum itu masih lagi belum selesai membaca tasyahhudnya. Tatkala ma’mum itu berdiri tegak, didapati imamnya sudah rukuk atau hampir rukuk.

Dalam masalah ini, kata Syeikh Ramli, ia termasuk dalam bab orang muafiq juga di mana ia dimaafkan ketinggalan tiga rukun sebagaimana hukum di atas. Kata Syeikh ibnu Hajar masalah itu tidak termasuk dalam bab orang muafiq dan tidak dimaafkan ketinggalan tiga rukun daripada imamnya kerana dia meninggalkan bacaan dengan sengaja, hukumnya jika ma’mum itu dapat menyempurnakan bacaan fatihahnya dan sempat rukuk sebelum imamnya turun kepada sujud bahawa ia mendapat rakaat itu, jika ia tidak sempat menghabiskan bacaan fatihahnya sebelum imam turun kepada sujud hendaklah ia niat mufaraqah dan hendaklah ia meneruskan solat seorang diri dengan mengikuti peraturan-peraturan solat. Jika ia menyalahi ketetapan hukum ini, maka solatnya menjadi batal.

Begitu juga khilaf antara Syeikh Ramli dan Syeikh Ibnu Hajar jika seorang muafiq sedang solat berjamaah dengan imamnya, tiba-tiba ia lupa bahawa ia mengikut imam.semasa dalam sujud baharu ia teringat bahawa sedang mengikut imam. Sebelum ia sempat berdiri daripada sujud, didapati imamnya telah rukuk atau hampir rukuk.

Kata Syeikh Ramli bahawa ia seperti hukum orang muafiq di mana dia wajib membaca fatihah dan dimaafkan ketinggalan tiga rukun daripada imam. Tetapi kata Syeikh Ibnu Hajar bahawa masalah itu seperti hukum orang masbuq. Kalau ma’mum itu dapat rukuk bersama imam dengan mempunyai tamakninah, maka dia mendapat rakaat itu. Jika ia tidak sempat rukuk bersama imam, maka dia wajib menambahkan satu rakaat lagi selepas salam imamnya.

Advertisements