4 Disember lalu, Malaysiakini memaparkan berita seorang pengawal keselamatan mendakwa melihat kelibat ‘hantu’ Teoh Beng Hock di tingkat lima Bangunan SPRM. Dua pegawai SPRM juga mengiyakan dakwaan itu kerana pernah terserempak dengan lembaga yang menyerupai Teoh Beng Hock sekitar Oktober lalu, sekitar dua bulan selepas kematiannya.

Bukan niat penulis untuk meluaskan lagi berita yang memang sudah sensasi ini. Penulis berhasrat untuk ulas dari sudut akidah Islam kerana blog-blog melayu Islam pun ramai juga yang turut menjadi ejen secara tidak langsung menyebarkan berita tahyul ini.

Apabila berlakunya peristiwa ‘hantu teoh’ ini, persepsi umum masyarakat biasanya akan membuat kesimpulan bahawa ini kerana rohnya tidak tenteram kerana kesnya belum selesai. Mungkin juga masyarakat akan berkata ‘rohnya mahu menuntut bela’. Persepsi ini kuat disokong oleh banyak filem-filem hantu yang dihidangkan kepada masyarakat saban hari di kaca tv. Fenomena ini akan merugikan umat Islam kerana ia boleh merosakkan akidah suci yang dianuti oleh umat Islam.

ROH dan HANTU

Ada dua isu yang perlu dihuraikan di sini. Pertamanya, persoalan roh. Selepas seseorang itu mati, rohnya keluar dari jasad. Rohlah unsur yang menjadikan jasad hidup dengan izin Allah. Sebab itulah apabila bayi dalam kandungan berusia 3 bulan, ia dikira sudah sempurna kejadian kerana telah ditiup roh oleh malaikat yang diutus Allah. Haram hukumnya dan besar dosanya menggugurkan kandungan yang telah ditiup roh. Itu kisah roh mula2 bersatu dengan jasad. Yang kita mahu bicarakan ialah ke mana roh setelah mati? ke langit kah? bersama2 jasad di kubur kah? di awang-awangan kah? di syurga kah? atau di neraka?

Roh sesiapa pun yang meninggal dunia akan berpindah ke alam barzakh. Suatu alam transit sementara menunggu alam akhirat. Kita sekarang berada di alam dunia. Yang mati berada di alam barzakh. Sudah tentu lah berlainan sifatnya. Mereka yang berada di alam barzakh tidak boleh kembali ke alam dunia. Jadi tidak enar sama sekali sekiranya ada orang mendakwa mereka melihat kelibat si mati atas dunia ini. Siapa sahaja yang mati baik muslim mahupun non muslim, ia tetap di alam barzakh.

Persoalan hantu pula, ini juga sudah menjadi penyakit manusia zaman berzaman. Lebih-lebih lagi semenjak dua menjak ni, banyak longgokan cerita, drama atau filem hantu ditayangkan di pawagam dan kaca tv. Ini membentuk kepercayaan manusia dari pelbagai lapisan masyarakat. Hantu ditakuti lebih dari Tuhan. Tidak boleh berkumpul dua takut dalam hati manusia. Kalau takut hantu, nescaya orang itu tidak takutkan Tuhan. Begitulah sebaliknya. Kalau begitu, bagaimana nak diperjelaskan pengalaman pengawal keselamatan dan dua pegawai SPRM yang mendakwa nampak Teoh Beng Hock selepas kematiannya? Begitu juga dengan pengalaman manusia seluruh dunia merakamkan video dan cerita mereka bertemu dengan hantu yang pelbagai? Inilah tipu daya syaitan, Iblis, dan Jin kafir laknatullah. Mereka buat konspirasi peringkat antarabangsa untuk sesatkan umat manusia daripada menyembah Allah. Mereka diizinkan Allah untuk sesatkan umat manusia hingga ke hari kiamat. Mereka boleh menjelma di alam dunia ini dalam bentuk manusia yang telah mati untuk takutkan manusia , seterusnya sesatkan mereka. Media yang memang tabiatnya sukakan sensasi, bantu iblis dan syaitan menyesatkan manusia. justeru, mereka yang menggerakkan media layak digelar syaitan juga kerana sesatkan sesama manusia.

Dalam ilmu aqidah, kepercayaan roh si mati memasuki tubuh manusia hidup dipanggil tanasukh al arwah atau lebih dikenali dengan istilah ‘reincarnation’ dalam dunia ‘supernatural’. Kepercayaan ini ditolak oleh ahli sunnah wal jamaah. Orang yang mempercayainya dikira terkeluar dari akidah Islam yang suci. Murtad!!!Na’uzubillah…
Apa yang sebenarnya berlaku ialah Jin atau syaitan memasuki tubuh anak adam untuk menyusahkannya dan menyesatkannya. Tidak berlaku sama sekali roh si mati memasuki tubuh seseorang di dunia fana’ ini.

QARIN

Mungkin juga yang dilihat itu ialah Qarin, sejenis jin yang berdamping dengan manusia. Penulis memetik jawapan Tuan Guru Haron Din berkait kemusykilan dalam laman web darus syifa’ apabila seorang pembaca bertanyakan adakah mungkin roh si mati kembali ke rumah keluarganya selepas kematian dan mendakwa telah bercakap dengan si mati?

Dalam Surah Fussilat, ayat 25 (mafhumnya),”Dan kami tetapkan bagi mereka teman-teman (Qareen) yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan (hukuman) asal, pada umat-umat yang terdahulu sebelum mereka dari jin dan manusia bahawa sesungguhnya mereka adalah golongan yang rugi.”

Ayat ini merujuk kepada adanya, makhluk halus yang dipanggil Qareen atau Quranah (jin yang menjadi sahabat baik kepada manusia).

Dalam Surah an-Nisa, ayat 38 (mafhumnya),”….Dan sesiapa yang menjadikan syaitan itu kawan setianya, maka dia mendapat kawan setia yang amat jahat.”

Pada Hari Kiamat bila insan dibangkitkan, dan mendapati dirinya termasuk dalam golongan yang derhaka terhadap Allah S.W.T, mereka saling menyalahkan antara satu sama lain, terutamanya menyalahkan Qareennya (syaitan yang menjadi kawan mereka). Seperti yang disebut dalam Surah Qaaf, ayat 27 (mafhumnya),”Berkatalah (syaitan yang menjadi kawan baik manusia), ‘Wahai Tuhan kami! aku tidak menzaliminya, akan tetapi dia sendirilah yang melakukan kesesatan yang amat jauh (terhadap-Mu).”

Banyak ayat-ayat yang berkenaan Qareen seperti Surah as-Saffaat (51), Surah Zukhruf (38), Surah Qaaf (23) dan ayat-ayat lain.

Qareen berbeza istilahnya daripada ifrit, jin, syaitan dan sebagainya, kerana Qareen ini dirujuk sebagai makhluk halus yang berdampingan dengan manusia sehingga menjadi kawan rapat yang boleh bantu membantu.

Malah Allah memberi penjelasan bahawa manusia berlindung dengan jin seperti disebut dalam Surah Jin ayat 6 (mafhumnya),”Dan bahawa sesungguhnya ada kalangan laki-laki manusia, berlindung dengan laki-laki daripada jin, maka bertambah-tambahlah kejahatan syaitan ke atas manusia.”

Ayat ini merujuk kepada persahabatan yang begitu rapat antara manusia dengan jin, sehingga menganggap jin ada kuasa, ada kebolehan untuk melindungi manusia, mereka berlindung dengan jin, mereka tidak berlindung dengan Allah.

Ini adalah Qareen, sehingga sesudah mati manusia itu pun, jin ini boleh menyerupai seperti mereka untuk menyesatkan manusia dan mencederakan aqidah manusia, wallahu a’lam.