Februari 2010


Menyembah patung anak lembu – Menganiaya diri sendiri
Oleh DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

SYED Qutb dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Ayat yang berikut menjelaskan betapa perlu adanya satu langkah pembersihan yang serius kerana tabiat yang merosakkan ini tidak dapat diperbetulkan, melainkan dengan tebusan dosa yang berat dan hukuman yang keras, sama ada dari segi cara perlaksanaan atau dari segi hakikat.
Allah s.w.t. meneruskan lagi berhubung kurniaan nikmat terhadap Bani Israel sebagaimana firman-Nya dalam ayat berikut:
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI TURUNKAN KEPADA NABI MUSA KITAB (TAURAT) DAN KETERANGAN-KETERANGAN (YANG TERKANDUNG DI DALAMNYA, YANG MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH), SUPAYA KAMU MENDAPAT PETUNJUK.
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA NABI MUSA BERKATA KEPADA KAUMNYA: “WAHAI KAUMKU! SESUNGGUHNYA KAMU TELAH MENGANIAYA DIRI KAMU SENDIRI DENGAN SEBAB KAMU MENYEMBAH PATUNG ANAK LEMBU ITU, MAKA BERTAUBATLAH KAMU KEPADA ALLAH YANG MENJADIKAN KAMU; IAITU BUNUHLAH DIRI KAMU. YANG DEMIKIAN ITU LEBIH BAIK BAGI KAMU DI SISI ALLAH YANG MENJADIKAN KAMU, SUPAYA ALLAH MENERIMA TAUBAT KAMU ITU. SESUNGGUHNYA DIA LAH YANG MAHA PENGAMPUN (PENERIMA TAUBAT), LAGI MAHA MENGASIHANI. (Surah al-Baqarah ayat 53-54)
Firman Allah: `Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah)’, iaitu ingatlah nikmat-Ku, juga ketika Aku kurniakan kepada Musa, Kitab Taurat yang menjadi pemisah antara kebenaran dengan kebatilan, dan Aku perkuatkannya dengan mukjizat. `Ataf di sini pada firman Allah Taala, (al-Kitab dan al-Furqan) dikenali sebagai `ataf sifat, sebahagiannya atas sebahagiannya. Ini kerana, kitab ialah Taurat dan Furqan, ia merupakan Taurat juga dan baiknya `ataf di sini kerana maknanya bahawa Allah mengurniakan kepada Musa yang menghimpunkan antara Kitab yang di turunkan dan Furqan ( pembeza ) yang membezakan antara kebatilan dengan kebenaran. Inilah pendapat al-Zajjaj dan al-Zamakhsyari.
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti melalui kitabnya, Adhwa’ al-Bayan berkata: “Zahir pada maknanya ialah bahawa Furqan itu ialah kitab yang dikurniakan kepada Musa dan sesungguhnya di`atafkan atas dirinya sebagai penurunan untuk berlainan sifat, mengambil tempat berlainan zat kerana kitab itu ialah Taurat, disifatkan dengan dua perkara:
1. Bahawa ia termaktub, Allah menulisnya bagi nabi-Nya, Musa a.s.
2. Bahawa ia pembeza antara kebenaran dengan kebatilan. Justeru, `ataf Furqan ke atas kitab bahawa ia bermaskud yang sama kerana melihat berlainan dua sifat. Ini kerana orang Arab biasa meng`atafkan sesuatu atas dirinya sendiri, sedangkan berlainan lafaz semata-mata.”
Di dalam Zad al-Masir, karangan Ibn al-Jauzi, beliau mengemukakan lima pendapat pada maksud al-Furqan:
1. Bahawa ia bermaksud kemenangan. Inilah pendapat Ibn `Abbas dan Ibn Zaid.
2. Bahawa apa yang ada pada Taurat mengenai perbezaan antara kebenaran dengan kebatilan. Maka ia dianggap Furqan yang menjadi sifat bagi Taurat. Inilah pendapat Ibn `Aliyah.
3. Bahawa ia adalah al-Kitab dan diulangkannya dengan lafaz yang berbeza. Inilah pandapat Mujahid dan dipilih oleh al-Farra’ dan al-Zajjaj.
4. Bahawa ia membelah laut untuk mereka. Inilah pendapat al-Farra’, al-Zajjaj dan Ibn al-Qasim.
5. Bahawa ia adalah al-Quran. Justeru, makna kalam ini, sesungguhnya Kami datangkan kepada Musa al-Kitab dan Muhammad dengan al-Furqan. Inilah yang disebut al-Farra’ dan ia merupakan pendapat Qutrub.
`Supaya kamu mendapat petunjuk’. Iaitu supaya kamu mendapat petunjuk dengan mentadabbur padanya dan beramal dengannya segala hukum-hakam. Kemudian Allah menerangkan cara bagaimana keampunan berlaku berdasarkan kepada ayat berikut, `Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “ Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri’. Iaitu ingatlah bagaimana Musa berkata kepada kaumnya selepas pulang daripada berjanji dengan Tuhannya, kemudian dia melihat mereka telah menyembah anak lembu seraya berkata: `Hai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menzalimi diri kamu’.
Ini kerana, dengan menyembah patung anak lembu itu, iaitu dengan cara kamu menyembah kepada lembu sebagai tuhan kamu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu, iaitu bertaubat kepada Pencipta kamu yang selamat daripada sebarang aib dan kekurangan.
Kejahilan
Abu as-Su`ud berkata: “Dengan menyebut Tuhan yang menciptakan untuk menggambarkan perasaan bahawa mereka telah sampai ke tahap kejahilan yang memuncak dan kesesatan yang paling hujung. Kerana itulah mereka meninggalkan ibadat kepada Allah yang bersifat Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, yang menciptakan mereka dengan penuh kasih sayang. Beribadat dengan lembu diumpamakannya betapa dungunya mereka. Para `arifin bersepakat mengatakan bahawa taubat adalah permulaan `maqam’. Mereka juga bersependapat bahawa taubat juga adalah asas di dalam perjalanan kesufian. Tiada sebarang amal dalam dunia tanpa melalui proses taubat terlebih dahulu.
Taubat mempunyai tiga syarat:
1. Menyesali segala dosa yang telah dilakukan.
2. Meninggalkan terus segala dosa-dosa yang lain.
3. Berazam bersungguh-sungguh tidak akan kembali melakukan dosa-dosa yang telah lalu. Bagi mereka yang bertaubat, zauq yang mereka kecapi adalah berbeza-beza.
Abu Ali al-Daqqaq berkata: “Taubat terbahagi kepada tiga jenis:
1. Taubat.
2. `Inabah.
3. `Aubah.
Imam al-Qusyairi pula menyebut dalam kitabnya, Risalah al-Qusyairiyyah: “Seseorang yang bertaubat kerana takut kepada balasan Allah dinamakan taubat. Orang yang bertaubat kerana mengharapkan pahala daripada Allah dinamakan `inabah. Bertaubat kerana menyahut perintah Allah bukan kerana mengharap pahala atau takut pada seksa Allah, dinamakan `Aubah”.
Ada pendapat yang mengatakan, taubat adalah sifat orang yang beriman berdalilkan firman Allah dalam Surah an-Nur Ayat 31 yang bermaksud, Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. `Inabah adalah sifat auliya’ al-muqarrabin. Firman Allah dalam Surah Qaf Ayat 33 yang bermaksud, Iaitu orang yang takut (melanggar perintah Tuhan ) yang amat pemurah dalam keadaan ia tidak dilihat orang dan dalam keadaan ia tidak melihat azab Tuhan, serta ia datang ( kepada Tuhannya ) dengan hati yang tunduk taat.
`Aubah adalah sifat para nabi dan rasul. Firman Allah dalam Surah Sad ayat 44 yang bermaksud, Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar, ia adalah sebaik-baik hamba, sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada kami dengan ibadatnya).
Dzu an-Nun al-Misri berkata: “Taubat orang awam ialah bertaubat daripada segala dosa. Taubat para Khawwas pula ialah bertaubat daripada segala kelalaian.” Ibn Ata`illah as-Sakandari berkata: “Taubat itu terbahagi dua:
1. Taubat al-`Inabah, iaitu seseorang hamba itu bertaubat kerana takut kepada balasan azab daripada Allah.
2. Taubat al-Istihyaiyyah, iaitu seseorang itu bertaubat kerana malu kepada kemuliaan Allah Taala.”
Membunuh
`Bunuhlah diri kamu’. Iaitu orang yang tidak menyembah berhala di kalanganmu hendaklah membunuh orang yang menderhaka dengan cara menyembah berhala. Ulama telah khilaf, kepada siapakah arahan ini dengan tiga pendapat:
1. Ditujukan kepada semua seperti kenyataan as-Suddi daripada guru-gurunya.
2. Ucapan ini kepada sesiapa yang tidak menyembah anak lembu untuk membunuh sesiapa yang menyembahnya. Inilah pendapat Muqatil.
3. Ucapan ini ditujukan kepada penyembah sahaja, dengan cara mereka diperintahkan supaya membunuh antara satu sama lain. Inilah pandapat Abu Sulaiman ad-Dimasyqi.
Syed Qutb berkata: “Bunuhlah diri kamu” yakni hendaklah yang taat membunuh yang derhaka untuk membersihkan diri masing-masing. Demikianlah menurut riwayat-riwayat mengenai tebusan dosa yang amat berat itu. Memanglah satu tugas yang amat sukar dan berat apabila seseorang itu diperintah membunuh saudaranya, kerana ini bererti seolah-olah membunuh diri sendiri dengan kerelaannya, di samping merupakan hukuman tebusan dosa, ia juga merupakan suatu pendidikan untuk membetulkan tabiat mereka yang begitu rendah dan kosong, iaitu tabiat yang tidak dapat melarang dan menahan satu sama lain daripada kejahatan dan kemungkaran. Andainya mereka dapat menahan satu sama lain daripada kemungkaran semasa pemergian Musa, tentulah mereka tidak menyembah patung anak lembu. Dan oleh kerana mereka tidak dapat menahan satu sama lain dengan perkataan, maka hendaklah mereka menahan satu sama lain dengan mata pedang, dan hendaklah mereka membayar balasan yang berat itu yang akan memberi manfaat dan didikan kepada mereka.
Ibn Abbas sebagaimana yang dinaqalkan oleh al-Mawardi dalam kitabnya, al-Nukat wa al-`Uyun berkata: “Telah duduk mereka yang menyembah anak lembu, dan mereka yang tidak menyembah berdiri dengan mengambil pisau sabit. Dan ketika itu berlaku kegelapan sehingga menjadikan sebahagian mereka membunuh sebahagian yang lain, sehingga apabila hilangnya kegelapan, didapati 70,000 orang telah dibunuh pada satu ketika pada hari tersebut. Dan mereka menyeru pada ketika itu: “Semoga Allah merahmati hamba yang bersabar sehingga Allah sampaikan keredhaan-Nya”. Musa dan Bani Israel merasa sedih atas pembunuhan tersebut, lantas Allah Azza Wajalla mewahyukan kepada Musa seraya berkata: “Jangan bersedih. Adapun siapa yang dibunuh di kalangan kamu, maka sebenarnya mereka hidup di sisiku dan diberi rezeki. Dan adapun yang masih hidup pasti diterima taubatnya.” Justeru, bergembiralah Bani Israel dengan berita tersebut.
Yang demikian itu, iaitu dengan cara membunuh sudah tentu, lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, iaitu Allah meredhaimu dengan hukuman Allah, dan kamu turun serta patuh arahannya adalah lebih baik bagimu di sisi Tuhan yang bersifat sebagai Pencipta yang Maha Besar, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Iaitu Allah menerima taubat kamu. `Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani’. Iaitu Allah bersifat amat besar keampunan dan amat luas taubah-Nya.

Patung anak lembu – Sembahan Bani Israel
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYED Qutb dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Kisah Bani Israel membuat patung anak lembu dan menyembahnya semasa pemergian Musa a.s. untuk menepati perjanjian dengan Allah di atas Bukit Tursina itu, diceritakan dengan terperinci dalam Surah Taha yang terdahulu turunnya di Mekah.
Dalam surah ini, al-Quran hanya mengingatkan kisah itu kepada orang-orang yang memang terkenal di kalangan mereka.
Al-Quran mengingatkan mereka tentang kejatuhan (akhlak) mereka sehingga tergamak menyembah patung anak lembu sebaik sahaja Nabi mereka tiada, sedangkan Nabi mereka itulah yang telah menyelamatkan mereka dengan nama Allah daripada konco-konco Firaun yang telah menindas mereka dengan kejam. Al-Quran menerangkan hakikat kedudukan mereka dalam penyembahan patung anak lembu itu.
Selepas Allah menceritakan beberapa nikmat kurniaan-Nya kepada Bani Israel, seterusnya Allah menceritakan lagi nikmat-nikmat yang lain sebagaimana firman-Nya:
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI BERJANJI KEPADA MUSA (UNTUK MEMBERI TAURAT KEPADANYA SESUDAH IA BERSIAP SELAMA) EMPAT PULUH MALAM. KEMUDIAN, SETELAH IA PERGI, KAMU MENYEMBAH (PATUNG) ANAK LEMBU, DAN KAMU SEBENARNYA ORANG-ORANG YANG ZALIM (TERHADAP DIRI SENDIRI).
KEMUDIAN SESUDAH ITU KAMI MAAFKAN KESALAHAN KAMU, SUPAYA KAMU BERSYUKUR. (Surah al-Baqarah ayat 51-52)
Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata: “Ingatlah nikmat-Ku ke atasmu berhubung keampunan-Ku ke atasmu, tatkala kamu menyembah anak lembu selepas Musa pergi menghadap Tuhannya.
Ayat ini bermakna, Kami telah menjanjikan penyempurnaan 40 hari atau 40 malam untuk memberi Taurat atau berkata-kata dengan Tuhan.”
Nama Musa itu mengikut ramai ahli tafsir seperti Ibn al-Jauzi, al-Baidhawi dan lain-lain berkata: “Ia merupakan nama `Ajam (bukan Arab), asalnya daripada bahasa Ibraniah’. Daripada dua kalimah iaitu (mu) yang bermaksud air dan (sya) yang bermaksud pohon kayu. Ini kerana beliau dijumpai di atas air, di celah pohon kayu, kemudian diarabkan daripada syin kepada sin ( iaitu Musya kepada Musa ).
Firman Allah: `Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam.’ Iaitu Kami telah berjanji kepada Musa untuk mengurniakannya kitab Taurat selepas 40 malam.
Al-Imam al-Maraghi melalui tafsirnya berkata: “Ingatlah nikmat Allah ke atasmu, yang lain selepas kamu kufur dengannya dan menzalimi diri sendiri. Yang demikian itu tatkala mereka merentasi laut, mereka memohon kepada Musa supaya dikurniakan kepada mereka kitab daripada Tuhan mereka. Lantas Allah berjanji kepadanya untuk mengurniakan Taurat selepas tempoh masa yang tertentu.
Mereka berpendapat ia bermula dari awal Zulkaedah sehingga 10 Zulhijjah. Kemudian mereka merasa lambat, lantas menjadikan anak lembu yang diperbuat daripada emas yang mempunyai suara untuk diibadahkannya sebagai Tuhan. Jadilah mereka menzalimi diri mereka dengan syirik dan meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya dengan beribadat kepada anak lembu, ganti daripada beribadat kepada Tuhan Pencipta mereka.
Ia merupakan keajaiban keadaan mereka kerana janji Allah kepada Musa untuk menurunkan Taurat kepadanya merupakan nikmat dan kelebihan bagi Bani Israel. Ia ditolak dengan menerima sehina-hina jenis kekufuran dan kejahilan.
Hal ini berlaku selepas mereka selamat daripada bala Firaun dan kehancurannya.
`Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu’, iaitu kamu beribadat kepada anak lembu selepas Nabi Allah Musa pergi daripada kamu kerana memenuhi masa untuk Tuhannya.
`Dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri)’. Iaitu kamu melampau dalam beribadat kerana menyembah anak lembu dan telah menzalimi dirimu sendiri.
Syed Qutb berkata: “Tiada yang lebih zalim daripada mereka yang meninggalkan penyembahan terhadap Allah dan mengabaikan pesanan nabi mereka kerana hendak menyembah patung anak lembu. Sedangkan Allah telah menyelamatkan mereka daripada Firaun yang memuja patung-patung anak lembu itu.
“Ini kerana as-Samiri mengambil anak lembu untuk dipertuhankan kerana beliau daripada kaum yang menyembah lembu. Justeru, terdapat perasaan tersebut dalam hatinya. Inilah pendapat Ibn Abbas”.
Terdapat pendapat yang kedua berkata bahawa Bani Israel tatkala melalui kaum yang menyembah berhala merasa takjub dan tatkala mereka bertanya kepada Musa untuk menjadikan Tuhan bagi mereka, lantas Musa enggan. Kemudian as-Samiri mengeluarkan patung seperti anak lembu untuk Bani Israel semasa ketiadaan Musa kerana disangkakan baik sebagaimana pendapat Ibn Zaid.
Ulama juga menyebut bagaimana cara menjadikan anak lembu dengan dua pendapat:
Pertama: Bahawa as-Samiri sebagai tukang tempa yang handal. Digunakan kepakarannya untuk menempa dan membentuknya. Inilah pendapat Ali dan Ibn Abbas.
Kedua: Mereka menggali sebuah lubang yang besar, lantas dicampak segala perhiasan kaum Firaun sebagai tanda pembersihan daripadanya. Kemudian as-Samiri mengambil segenggam tanah, dicampak ke atas perhiasan tersebut dan bertukar menjadi anak lembu. Ini juga riwayat daripada Ibn Abbas.
Bahkan beliau menambah: “Jadilah anak lembu tersebut berjasad, berdaging dan berdarah, kemudian as-Samiri berkata kepada mereka semua: “Inilah Tuhanmu dan Tuhan Musa, sesungguhnya ia telah datang, sedangkan Musa tersilap mencarinya.” Lantas kaum Bani Israel beribadat kepadanya dan menari di sekelilingnya.”
Syeikh Abd al-Rahman as-Sa’di berkata dalam kitabnya, Taisir al-Karim bahawa kamu mengetahui kezalimanmu sekalipun dikemukakan hujah ke atasmu. Dan ia merupakan sebesar-besar dosa dan seberat-berat jenayah. Seterusnya Allah perintahkan kamu untuk bertaubat atas lisan Nabi Musa dengan cara membunuh sebahagian ke atas yang lain, lantas Allah ampunkan kamu dengan sebab demikian itu.
Walaupun begitu, `kemudian sesudah itu Kami maafkan kesalahan kamu’, iaitu Kami tidak hiraukan segala kesalahan jenayah yang kamu lakukan dengan mengampunkannya, selepas kamu menjadikan segala larangan untuk dilaksanakannya sebagai perkara yang amat hina.
Syed Qutb berkata: “Namun begitu, Allah telah memaafkan mereka dan mengurniakan kitab Taurat kepada nabi mereka, iaitu kitab suci yang mengandungi penerangan yang membezakan antara yang benar dengan yang palsu supaya mereka mendapat hidayah ke jalan kebenaran yang terang, setelah mereka tersesat jalan.”
`Supaya kamu bersyukur’. Al-Maraghi berkata: “Kemudian Kami hapuskan jenayah tersebut dengan menerima taubat dan Kami tidak segerakan ke atasmu dengan menghancurkannya. Bahkan Kami menangguhkan untukmu sehingga datang kepadamu Musa dan mengkhabarkan kepadamu cara menebus dosa untuk diterima keampunan, seterusnya sentiasa dalam kesyukuran kerana sesungguhnya kurniaan nikmat mewajibkan kesyukuran.
“Semoga kamu benar-benar mensyukuri nikmat Allah s.w.t. yang dikurniakan ke atasmu dan sentiasa selepas itu dalam ketaatan.”

Kebejatan melampau – Firaun dan pengikut-pengikutnya
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYEIKH al-Maraghi berkata: “Ayat ini menjelaskan nikmat kurniaan Allah kepada kaum yang besar ini. Dinyatakan padanya azab dan sengsara yang dibalakan ke atas mereka sebagai balasan terhadap tindakan mereka melakukan jenayah dan dosa-dosa.
“Kemudian, dengan kasih sayang dan rahmat Allah kepada mereka, diangkatkan bala dan sengsara tersebut supaya mereka bertaubat dan kembali kepada Allah, selain mengenali kadar nikmat-Nya terhadap mereka.”
Firman Allah Taala:
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI SELAMATKAN KAMU DARIPADA FIRAUN DAN ORANG-ORANGNYA, YANG SENTIASA MENYEKSA KAMU DENGAN SEKSAAN YANG SEBURUK-BURUKNYA; MEREKA MENYEMBELIH ANAK-ANAK LELAKI KAMU DAN MEMBIARKAN HIDUP ANAK-ANAK PEREMPUAN KAMU; SEDANGKAN KEJADIAN YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI BALA BENCANA DAN CUBAAN YANG BESAR DARIPADA TUHAN KAMU. (Surah al-Baqarah ayat 49)
Allah mengingatkan mereka dengan `Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu’, iaitu ingatlah wahai Bani Israel akan kurniaan nikmat-Ku kepada kamu ketika Aku selamatkan nenek moyangmu’.
Ibn al-Jauzi menyebut: “Tafsirnya ialah, dan ingatlah ketika Kami selamatkan kamu, dan ini merupakan nikmat-nikmat kepada nenek moyang kamu.
`Daripada Firaun dan orang-orangnya’, iaitu daripada kebejatan Firaun serta kezaliman pengikut-pengikutnya yang melampau.
Ayat ini ditujukan kepada orang-orang Yahudi yang sezaman dengan Nabi s.a.w. kecuali kaedah yang menyebut bahawa nikmat terhadap ibu bapa, sebenarnya nikmat terhadap anak-anak.
Al-Imam al-Mawardi melalui tafsirnya, an-Nukat wa al-`Uyun berkata: “Maksud al dan ahl ialah:
i: Kedua-duanya bermakna sama.
ii: Iaitu pendapat al-Kisaie bahawa dikatakan ( al ) lelaki apabila disebut namanya dan jika dikunniyah padanya dikatakan ( ahli ) nya. Dan tidak dikatakan ( al ) nya. Seperti dikatakan ahli ilmu, ahli basrah dan tidak dikatakan al-ilmu dan al-basrah.”
Ibn al-Jauzi dalam kitabnya, Zad al-Masir berkata: “Maksud al-Firaun dengan tiga pendapat:
i. Mereka ialah Ahli Mesir sebagaimana kata Muqatil.
ii. Mereka ialah ahli keluarganya sahaja sebagaimana kata Abu `Ubaidah.
iii. Pengikut-pengikutnya yang mengikut agamanya sebagaimana kata az-Zajjaj.
Seterusnya, Firaun dikatakan nama seseorang lelaki yang khusus.
Ada pendapat mengatakan ia merupakan nama setiap raja daripada Raja-raja `Amaliqah, seperti Maharaja Rom digelar Kaisar dan sebahagian mereka menggelar diri sebagai Herocle, Maharaja Parsi digelar Kisra, Raja-raja Yaman digelar at-Tababi`ah.
Adapun nama Firaun pada zaman Musa itu ialah Al-Walid bin Mus`ab. Inilah juga yang disebut oleh Muhammad bin Ishaq, bahawa telah sampai kepadanya nama tersebut.
As-Syaukani berkata: “Nama Firaun ialah Qabus mengikut pendapat Ahli Kitab.” Sedangkan Wahab bin Munabbih berkata: “Namanya ialah Al-Walid bin Mus`ab bin ar-Rayyan.” Muqatil berpendapat, namanya ialah Faitus. Sebahagian ulama tafsir yang lain mengatakan namanya Mughith.
Al-Mas`udi pula berkata: “Tidak dikenali bagi Firaun sebarang tafsiran dalam bahasa Arab.”
Melampau
Al-Jauhari pula menyebut: “Sesungguhnya setiap orang yang melampau dipanggil Firaun, iaitu yang menipu dan membuta helah.” Sedangkan di dalam Tafsir al-Kasyaf menyebut: “Ia memberi makna melampau lagi takabur dan samseng.”
Penulis berpendapat, Firaun dimajhulkan namanya kerana bukan zat seseorang yang dibahaskan tetapi watak dan sikap yang menjadi perbahasan. Dengan sebab itu, terdapat ulama mentakrifkan Firaun dengan takrifan yang umum.
`Yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksaan yang seburuk-buruknya’. Iaitu mereka menimpakan kamu pelbagai warna azab dan seksaan dengan seteruk-teruknya.
Al-Imam al-Baghawi berkata: “Sedahsyat-dahsyat azab dan sehebat-hebat penyeksaan. Dan dikatakan, mereka memalingkan kamu pada hukuman seperti unta ternakan di padang pasir. Yang demikian itu kerana Firaun menjadikan kaum Bani Israel sebagai pekerja dan buruh.
“Sebahagian mereka bekerja dalam lapangan binaan. Sebahagian yang lain pertanian dan perladangan. Yang lain pula berkhidmat untuk Firaun. Dan sesiapa yang tidak bekerja dikenakan ke atasnya jizyah.”
Kata Wahab: “Mereka dipelbagaikan dalam melaksanakan pekerjaan untuk Firaun. Mereka yang mempunyai kekuatan disuruh memahat batu-bata dari bukit dan gunung. Sehingga leher dan belakang mereka letih dibebani batu-bata yang dipindahkan.
Begitulah kumpulan yang lain mengangkut dan menyusun batu-bata di samping membakar. Ada di kalangan mereka yang menjadi tukang kayu dan tukang besi.
Sedangkan mereka yang daif dan tidak mampu, dikenakan cukai sehingga terpaksa membayar setiap hari. Maka sesiapa yang tidak mampu membayar, akan diikat tangan kanannya ke lehernya selama sebulan. Sedangkan wanita-wanita disuruh untuk bertenun dan menganyam.
Firman-Nya: `Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu’. Anak-anak lelaki yang baru lahir disembelih hidup-hidup tanpa belas ihsan, sedangkan `Dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu’, mereka tidak membunuh anak-anak perempuan kerana mereka harus berkhidmat untuk mereka.
Al-Imam an-Nasafi melalui tafsirnya, Madarik at-Tanzil berkata: “Mereka meninggalkan anak-anak perempuan kamu untuk terus hidup kerana kepentingan untuk berkhidmat kepada mereka.
“Dan sesungguhnya mereka lakukan demikian itu kerana ahli nujum telah memberi peringatan dan amaran kepada Firaun bahawa akan lahir seorang anak lelaki yang dapat menghilangkan kerajaannya. Ia sebagaimana peringatan yang diberikan kepada Raja Numrud.
Berlaku
“Sesungguhnya apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku. Lebih hebat daripada itu sehingga Firaun sendiri memelihara Musa dan dibesarkan di dalam istananya, di samping itu diberikan pula kepada keluarga Musa hadiah atau upah kerana menyusukan Musa.
Firman-Nya `Sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar daripada Tuhan kamu’.
Ia merupakan azab dan seksaan yang cukup hina lagi sengsara lebih daripada menyembelih anak lelaki dan menghidupkan anak-anak perempuan dengan membiarkannya.
Ia merupakan ujian dan tribulasi yang besar bagi kamu daripada Tuhan. Mereka dapat mengalahkanmu supaya dapat membezakan antara yang baik dengan jahat.
Al-Imam as-Samarqandi melalui tafsirnya, Bahr al-`Ulum berkata: “Iaitu nikmat daripada Tuhan kamu yang besar dan bala, kadang-kadang diibaratkan daripada nikmat dan diibaratkan juga daripada bala dan kesusahan. Sedangkan asalnya ialah ujian dan percubaan yang berlaku untuk kedua-duanya (bala dan nikmat).”

Sangkakala – Tanduk daripada cahaya
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

AL-IMAM al-Maraghi berkata di dalam tafsirnya: “Allah mengulangi sebutan terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan ke atas mereka kerana kelalaian mereka. Sepatutnya mereka bersyukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya. Peringatan yang dikemukakan dalam bentuk ancaman dan celaan menunjukkan betapa kerasnya hati mereka sehingga mereka hanyut dalam kelalaian yang merasakan dirinya berkuasa dan tidak mungkin mereka dikenakan sebarang kotoran berbanding yang lain. Justeru, Allah Taala mengingatkan mereka melalui dua ayat ini sebagaimana firman Allah Taala.
WAHAI BANI ISRAEL! KENANGKANLAH NIKMAT-NIKMAT-KUYANG AKU TELAH KURNIAKAN KEPADA KAMU, DAN (INGATLAH) BAHAWASANYA AKU TELAH MELEBIHKAN (NENEK-MOYANG) KAMU (YANG TAAT DAHULU) ATAS ORANG-ORANG (YANG ADA PADA ZAMANNYA).
DAN PELIHARALAH DIRI KAMU DARIPADA (AZAB SENGSARA) HARI (AKHIRAT), YANG PADANYA SESEORANG TIDAK DAPAT MELEPASKAN ORANG LAIN (YANG BERDOSA) SEDIKITPUN (DARIPADA BALASAN AZAB), DAN TIDAK DITERIMA SYAFAAT DARIPADANYA, DAN TIDAK PULA DIAMBIL DARIPADANYA SEBARANG TEBUSAN; DAN MEREKA (YANG BERSALAH ITU) TIDAK AKAN DIBERI SEBARANG PERTOLONGAN. (Surah al-Baqarah ayat 47 dan 48)
Firman Allah Taala `Wahai Bani Israel! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu’. Ayat ini menyamai ayat 40 daripada Surah al-Baqarah kecuali pada akhirnya terdapat sedikit kelainan.
Ibn al-Jauzi melalui tafsirnya, Zad al-Masir menaqalkan pendapat az-Zajjaj, katanya: “Adalah orang-orang Yahudi menyangka bahawa nenek moyang mereka yang menjadi nabi-nabi boleh memberi syafaat kepada mereka pada Hari Kiamat. Lantas Allah menjadikan mereka putus asa dengan ayat ini.”
Al-Imam an-Nasafi berkata di dalam kitabnya, Madarik at-Tanzil: “Pengulangan di sini sebagai tanda penguat dan penyokong.”
Seterusnya, Allah menyebut `Dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).’ Dimaksudkan dengan al-`Alamin ialah jumlah manusia yang ramai. Dan dikatakan, Aku kurniakan kepadamu kelebihan dan anugerah berbanding selain kamu di kalangan umat-umat dan manusia di mana kamu mempunyai tamadun dan hadharah mengatasi mereka yang lain seperti penduduk Mesir dan penduduk di Baitul Maqdis.
Al-Maraghi berkata: “Allah menyeru mereka dengan menyebut nama bapa mereka kerana daripadanya muncul segala kemegahan mereka dan sumber kemuliaan mereka. Disandarkan di sini nikmat dan fadilat kepada mereka semata-mata kerana kesyumulan dan kesempurnaan kedua-duanya.
Kelebihan
Kelebihan di sini didatangkan kepada mereka supaya mereka sentiasa berpegang dengan kelebihan dan akhlak yang mulia, di samping meninggalkan segala kehinaan dan akhlak yang keji kerana sesiapa yang melihat dirinya mempunyai kemuliaan dan kelebihan, sudah pasti akan diangkat segala sifat rendah dan hina dina. Dan sebenarnya kelebihan satu-satu golongan atau umat bukan semata-mata berdasarkan harta benda dan kekuasaan. Tetapi yang sebenarnya mereka yang hampir dengan Allah dengan mengikut segala syariat-Nya yang mana mereka beristiqamah dalam mengikut nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan mereka.”
Al-Imam al-Baghawi berkata: “Manusia-manusia yang sezaman dengan mereka sahaja. Yang demikian itu merupakan kelebihan sekalipun hak kelebihan untuk bapa tetapi terhasil dengannya kemuliaan untuk anak.”
Ibn Jarir at-Tabari berkata: “Ta’wil dan tafsir ayat ini sama seperti ta’wil dan tafsir ayat 40 Surah al-Baqarah.”
Seterusnya Allah Taala menyebut `Dan peliharalah diri kamu daripada (azab sengsara) Hari (Akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (daripada balasan azab)’, iaitu takutlah pada hari yang begitu menakutkan di mana seseorang itu tidak dapat melepaskan diri daripada segala tanggungjawab.
Kemudian `Dan tidak diterima syafaat daripadanya’, iaitu orang kafir tidak menerima sebarang syafaat daripada Allah selama-lamanya.
Seterusnya disebut: `Dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan’, iaitu tidak diterima daripadanya sebarang tebusan dan Allah menutup dengan kenyataan-Nya.
Terdapat empat pendapat di kalangan ulama pada tafsiran sarfun dan `adlun (tebusan):
1. Sarfun bermakna amal, sedangkan `adlun bermakna fidyah. Inilah pendapat al-Hasan al-Basri.
2. Sarfun bermakna diat (tebusan), sedangkan `adlun ialah seorang lelaki yang mempunyai kedudukan. Inilah pendapat al-Kalbi.
3. Sarfun bermakna tatawwu’ (ibadat sunat), sedangkan `adlun bermakna faridhah ( ibadat wajib). Inilah pendapat al-Asmu`ie.
4. Sarfun bermakna helah, sedangkan `adlun bermakna fidyah. Inilah pendapat Abu `Ubaidah.
`Dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.’ As-Samarqandi berkata dalam tafsirnya, Bahr al-`Ulum: “Dan sekali-kali mereka tidak ditegah daripada terkena azab hukuman Tuhan.
Mafhum daripada ayat 48 ini ialah manusia disuruh takut dan benar-benar mengambil iktibar untuk menghadapi Hari Kiamat atau pembalasan kerana pada hari tersebut mempunyai beberapa ciri yang menakutkan:
l Seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (daripada balasan azab).
l Tidak diterima syafaat daripadanya.
l Tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan.
l Mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.
Abu al-Laith as-Samarqandi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Aisyah r.a. yang menceritakan bahawa saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Apakah cinta itu ialah ingat akan kekasihnya pada Hari Kiamat?” Jawab Nabi s.a.w.: “Ada tiga tempat (masa) ia tidak akan ingat; 1. Ketika ditimbang amal sehingga diketahui apakah ringan atau berat. 2. Ketika menerima lembaran catatan amal (suhuf), sehingga ia menerimanya, sama ada dari kanan atau dari kiri. 3. Ketika ular naga keluar dari neraka, lalu mengepung mereka dan berkata: “Kepadaku diserahkan tiga perkara: Orang yang menyekutukan Allah dengan tuhan yang lain, orang yang kejam, penentang dan zalim serta orang yang tidak percaya pada Hari Kiamat (hisab), maka dikumpulkan semua orang tersebut, lalu dilemparkan semuanya dalam neraka jahanam dan di atas neraka jahanam itu ada jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang. Sedangkan di kanan kirinya ia dipukul dan penuh dengan duri-duri. Orang-orang yang berjalan di atasnya ada yang bagaikan kilat, dan bagaikan angin yang kencang, maka ada yang selamat, dan ada yang luka terkena tusukan duri dan ada yang terjerumus masuk ke dalam neraka.”
Abu al-Laith as-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Antara dua kali tiupan sangkakala itu jaraknya adalah empat puluh tahun (tiupan untuk mematikan dan membangkitkan kembali). Kemudian Allah menurunkan hujan bagaikan air mani lelaki, maka timbullah orang-orang mati bagaikan timbulnya tanaman sayuran.”
Abu al-Laith juga meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketika Allah telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah menjadikan sangkakala dan diserahkan kepada Malaikat Israfil, maka ia meletakkannya pada mulutnya ke `Arasy, menanti bilakah ia diperintah meniupkannya.” Aku bertanya: “Ya Rasulullah, apakah sur (sangkakala) itu?” Jawabnya: “Bagaikan tanduk daripada cahaya.” Aku bertanya: “Bagaimana besarnya?” Jawabnya: “Sangat besar bulatannya. Demi Allah yang mengutusku sebagai Nabi, besar bulatannya itu seluas langit dengan bumi, dan akan ditiup sehingga tiga kali. 1. Nafkhatu al-Faza’ (untuk menakutkan). 2. Nafkhatu as-Sa`aq (untuk mematikan). 3. Nafkhatu al-Ba`ath (untuk menghidupkan kembali atau membangkitkan).”
Dalam riwayat Ka`ab hanya dua kali tiupan, iaitu mematikan dan membangkitkan.
Mu`az bin Jabal r.a. bercerita bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak dapat bergerak kaki seorang hamba sehingga ditanya tentang empat perkara; Umurnya digunakan untuk apa sampai binasa, badannya apa yang dirosakkannya, ilmunya apa yang digunakannya (diamalkannya) dan hartanya dari mana ia perolehi dan ke mana ia belanjakan.”
Ikrimah berkata: “Seorang ayah akan memegang anaknya pada Hari Kiamat dan berkata: “Saya ayahmu ketika di dunia.” Maka anak itu memuji kebaikannya, lalu ayah itu berkata: “Hai anak, kini saya berhajat kepada kebaikanmu yang sekecil zarah, mudah-mudahan saya dapat selamat dengannya daripada apa yang kamu lihat ini.” Jawab anaknya: “Saya juga takut pada apa yang kamu takutkan itu, kerana itu saya tidak dapat memberikan kepadamu sedikitpun.” Lalu kepada isterinya dia berkata kepadanya: “Saya dahulu suamimu di dunia”, maka isterinya memujinya. Lalu dia berkata: “Saya ingin meminta kepadamu satu kebaikan, mudah-mudahan saya boleh selamat daripada apa yang kamu lihat ini.” Jawab isterinya: “Saya juga takut seperti kamu.”
Ibn Mas`ud bercerita bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Orang kafir akan tenggelam dalam peluhnya kerana lamanya hari itu sehingga ia berdoa: “Ya Tuhan, kasihanilah aku meskipun aku masuk dalam neraka.”

Kembali kepada-Nya – Janji Tuhan terhadap makhluk-Nya
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

IBN Jarir at-Tabari melalui tafsirnya, Jami’ al-Bayan menerangkan maksud ayat supaya meminta pertolongan dengan sabar dan solat kepada orang-orang Yahudi dan Kristian dari kalangan ahli kitab yang dianggap sebagai pendita. Mereka dianjurkan supaya bersabar dalam ketaatan kepada Allah, di samping mengawal diri daripada terjerumus ke lembah maksiat dengan mendirikan solat yang berfungsi sebagai pencegah daripada kemungkaran dan keburukan akhlak, selain mendekatkan diri untuk mencapai segala keredhaan Allah.
Sebenarnya, solat merupakan satu perkara yang sukar kecuali mereka yang benar-benar tawaduk, khusyuk dan rendah diri kepada Allah. Seterusnya diterangkan lagi sifat-sifat orang yang khusyuk ini sebagaimana firman-Nya.
(IAITU) MEREKA YANG PERCAYA DENGAN YAKIN BAHAWA MEREKA AKAN MENEMUI TUHAN MEREKA, DAN BAHAWA MEREKA AKAN KEMBALI KEPADANYA. (Surah al-Baqarah ayat 46).
Firman Allah Taala `(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin’, yang beriktikad dengan sesungguhnya tanpa sebarang syak. Ibn Kathir di dalam tafsirnya berkata: “Ayat ini sebagai pelengkap kepada ayat yang sebelumnya. Dan sesungguhnya solat amat berat untuk dilaksanakan kecuali orang yang benar-benar khusyuk, yang yakin akan bertemu dengan Tuhan mereka dan dikumpulkannya pada Hari Kiamat, dibawa dan kembali kepada-Nya. Segala urusan mereka akan kembali mengikut kehendak-Nya kerana Allah sahaja yang berhak menghukum sesiapa yang dikehendaki dengan keadilan-Nya.
“Justeru, tatkala mereka yakin dengan janji, akhirat dan balasannya, sudah pasti mudah ke atas mereka yang bersifat demikian melakukan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Ibn Jarir mengemukakan soalan bagaimana mungkin Allah mengkhabarkan tentang manusia yang bersifat khusyuk dalam ketaatan dengan mengungkap kalimah yang zan untuk bertemunya, sedangkan zan sebahagian daripada syak. Tidakkah orang yang syak dalam pertemuan dengan Allah dianggap kufur?
“Dijawab dalam masalah ini, sesungguhnya orang Arab kadang-kadang membahasakan yakin dengan perkataan zan, sebagaimana mereka menamakan kegelapan dengan perkataan sudfah. Begitu juga cahaya dengan sudfah yang termasuk dengan perkataan-perkataan yang mempunyai dua makna yang berlawanan.
“Justeru, dimaksudkan dengan zan di sini adalah yakin dan dalilnya terlalu banyak sama ada daripada al-Quran, hadis atau syair-syair Arab. Di antara ulama tafsir yang menafsirkan zan dengan makna yakin di sini ialah Ibn Zaid, Ibn Juraij, as-Suddi, Mujahid, dan Abu al-`Aliah sehingga Mujahid berkata:
“Setiap zan yang diungkap dalam al-Quran bermaksud yakin.” Begitu juga daripada Ibn Abi Nujaih daripada Mujahid beliau berkata: “Setiap zan di dalam al-Quran sebenarnya bermaksud ilmu.”
`Bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka’, iaitu mereka akan bertemu dengan Tuhan mereka pada Hari Kiamat, kemudian dihisabkan segala amalan mereka.
Al-Imam al-Mawardi melalui tafsirnya, an-Nukat wa al-`Uyun berkata: “Terdapat dua ta’wilan berhubung maksud ayat ini:
Dosa
Pertama: Mereka menyangka bahawa mereka bertemu Tuhan mereka dengan segala dosa kerana sayangnya mereka kepada maksiat yang telah sebati dengan mereka.
Kedua: Iaitu pendapat jumhur bahawa zan di sini dengan makna yakin seolah-olah ia berkata: Mereka yang yakin untuk bertemu dengan Tuhan mereka.”
`Dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya’, iaitu tempat kesudahan mereka kepada Allah pada Hari Kiamat. Al-Imam al-Mawardi menaqalkan tiga pendapat berhubung maksud `mereka kembali’:
Pertama: Bahawa dikehendaki dengan kembali ialah kematian.
Kedua: Bahawa mereka kembali dimaksudkan kembali pada Hari Akhirat. Inilah pendapat Abu al-`Aliah.
Ketiga: Mereka kembali kepada-Nya, iaitu tiadalah seseorang itu mendapatkan sebarang mudarat dan manfaat selain daripada Allah, sebagaimana keadaan mereka pada awal kejadian.
Syeikh al-Maraghi berkata: “Diibaratkan dengan zan sebagai isyarat bahawa sesiapa yang zan bertemu dengan Allah, sudah pasti tidak merasa keberatan atasnya untuk melaksanakan ibadat solat. Justeru, apa pandanganmu terhadap sesiapa yang mempunyai sifat yakin.
“Dari sini, cukup dengan kalimah zan sebagai kesungguhan yang lebih bagi menempelak mereka, seolah-olah mereka yang menyuruh manusia berbuat baik, sedangkan melupakan diri sendiri, sudah pasti iman tidak sampai kepada mereka ke tahap zan yang diambil oleh tuannya dengan jalan ihtiyati (cermat dan berhati-hati) pada amalannya.”
Mengikut satu riwayat hadis yang sahih bahawa Allah Taala berfirman kepada hamba-Nya pada Hari Kiamat: “Tidakkah Aku kahwinkanmu, tidakkah Aku muliakanmu, tidakkah Aku kurniakan kepadamu penguasaan kepada kuda dan unta dan Aku tinggalkan kamu sebagai ketua dan bebas?” Jawabnya: Bahkan ya Tuhanku.” Lantas firman Allah: “Adakah kamu zan bahawa kamu akan bertemu dengan-Ku?” Lantas katanya: “Tidak.” Kemudian Allah berfirman: “Pada hari ini Aku lupakan kamu sebagaimana kamu telah lupa kepada-Ku.”
Di sini menunjukkan betapa pentingnya mengingati kematian dan bersedia dengan amalan-amalan yang soleh. Dinyatakan di sini ucapan Saidina Umar Ibn al-Khattab dalam khutbahnya:
“Hisablah dirimu sebelum dihisab, dan adakan perhitungan bagi dirimu sebelum diperhitungkan (dipersoalkan), dan bersiap sedialah kamu untuk menghadapi perhitungan yang besar, pada saat itu tidak akan tersembunyi daripadamu sesuatu yang sangat samar.”
Seorang ahli hikmah ketika melihat orang-orang mendoakan semoga diberi rahmat seorang yang telah meninggal dunia, ia berkata: “Andaikan kamu berdoa supaya mendapat rahmat untuk dirimu, nescaya itu lebih baik, sebab orang yang mati itu telah selamat daripada tiga bahaya:
1. Melihat malaikat maut.
2. Sakit dan pedihnya mati.
3. Kekhuatiran daripada Su`ul Khatimah.”
Abu Darda r.a. ketika menghantar jenazah mendengar ada orang bertanya: “Siapakah yang mati ini?” Jawab Abu Darda: “Itu kamu, bila kamu tidak mahu, maka saya.” Yakni sama-sama akan mati. Firman Allah dalam Surah az-Zumar Ayat 30 yang bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.”
Al-Hasan al-Basri ketika melihat orang ramai makan di atas kubur, berkata : “Itu orang munafik, maut itu di depan matanya, dan dia masih ingin makan.”
Ajaib
Al-Hasan al-Basri juga berkata: “Alangkah teramat ajaib suatu kaum yang diperintahkan untuk mempersiapkan bekalan, kemudian akan dipindahkan ke alam baqa, tiba-tiba masing-masing duduk bermain-main, padahal mereka semua mengetahuinya.” Al-Hasan al-Basri setiap kali melihat mayat, ia menjadi pucat dan sedih, seolah-olah baru menanam jenazah ibu kandungnya sendiri.
Ibrahim at-Taimi berkata: “Siapa yang merasa aman dan tidak merasa sedih atau takut, dikhuatiri tidak akan masuk syurga, sebab penghuni syurga apabila ditanya, maka jawab mereka: “Sesungguhnya kami dahulu, semasa berada dalam kalangan keluarga kami – selalu merasa cemas takut (daripada berlaku derhaka kepada Allah).” (Surah al-Thur: 26).
Ibn Mas`ud r.a. berkata: “Seharusnya seorang yang mengerti al-Quran dikenal waktu malamnya ketika orang-orang sedang tidur. Dan waktu siangnya ketika orang-orang tidak berpuasa dan sedihnya ketika orang-orang sedang bergembira, dan tangisnya pada waktu orang-orang sedang tertawa, dan diamnya pada waktu orang-orang berbicara dan khusyuk pada waktu orang-orang berbangga. Seharusnya juga, seorang yang mengerti al-Quran itu bersifat tenang, lemah-lembut dan prihatin dan tidak boleh menjadi seorang yang keras, kejam, lalai dan bersuara keras dan kasar.”
Syaqiq bin Ibrahim berkata: “Tidak ada kawan yang lebih bagi seseorang, lebih daripada risau memikirkan dosa-dosanya yang lampau, dan takut terhadap apa yang akan datang, yang belum diketahui apakah yang akan menimpanya.”
Bimbang
Seorang ahli hikmah berkata: “Siapa yang bimbang bukan kerana tiga perkara, maka ia tidak mengenal bimbang dan senang. Iaitu bimbang tentang iman apakah ia akan dibawa terus hingga mati atau tidak?
Kedua, bimbang terhadap perintah-perintah Allah, apakah ia akan dapat melaksanakan dengan sebaik-baiknya atau tidak?
Ketiga, bimbang orang yang akan menuntut pada-Nya kelak, apakah ia akan dapat selamat daripada mereka atau tidak?”
Akhirnya, penulis menaqalkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah, al-Hakim, al-Qudhaie dan al-Askari. Semuanya daripada hadis Syadda’ bin `Auz, sabda Rasulullah s.a.w: “Orang yang cerdik lagi berakal ialah orang yang merendahkan dirinya dengan sifat tawaduk, di samping menghisabkannya dan beramal untuk selepas mati. Sedangkan orang yang lemah, ialah orang yang mengikut nafsunya dan bercita-cita kepada Allah beberapa cita-cita (angan-angan).”
Semoga Allah golongkan kita daripada golongan yang benar-benar bersedia dengan amalan yang salih untuk hari esok. Amin.