Sangkakala – Tanduk daripada cahaya
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

AL-IMAM al-Maraghi berkata di dalam tafsirnya: “Allah mengulangi sebutan terhadap nikmat-nikmat yang dikurniakan ke atas mereka kerana kelalaian mereka. Sepatutnya mereka bersyukur kepada Allah atas segala nikmat-Nya. Peringatan yang dikemukakan dalam bentuk ancaman dan celaan menunjukkan betapa kerasnya hati mereka sehingga mereka hanyut dalam kelalaian yang merasakan dirinya berkuasa dan tidak mungkin mereka dikenakan sebarang kotoran berbanding yang lain. Justeru, Allah Taala mengingatkan mereka melalui dua ayat ini sebagaimana firman Allah Taala.
WAHAI BANI ISRAEL! KENANGKANLAH NIKMAT-NIKMAT-KUYANG AKU TELAH KURNIAKAN KEPADA KAMU, DAN (INGATLAH) BAHAWASANYA AKU TELAH MELEBIHKAN (NENEK-MOYANG) KAMU (YANG TAAT DAHULU) ATAS ORANG-ORANG (YANG ADA PADA ZAMANNYA).
DAN PELIHARALAH DIRI KAMU DARIPADA (AZAB SENGSARA) HARI (AKHIRAT), YANG PADANYA SESEORANG TIDAK DAPAT MELEPASKAN ORANG LAIN (YANG BERDOSA) SEDIKITPUN (DARIPADA BALASAN AZAB), DAN TIDAK DITERIMA SYAFAAT DARIPADANYA, DAN TIDAK PULA DIAMBIL DARIPADANYA SEBARANG TEBUSAN; DAN MEREKA (YANG BERSALAH ITU) TIDAK AKAN DIBERI SEBARANG PERTOLONGAN. (Surah al-Baqarah ayat 47 dan 48)
Firman Allah Taala `Wahai Bani Israel! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu’. Ayat ini menyamai ayat 40 daripada Surah al-Baqarah kecuali pada akhirnya terdapat sedikit kelainan.
Ibn al-Jauzi melalui tafsirnya, Zad al-Masir menaqalkan pendapat az-Zajjaj, katanya: “Adalah orang-orang Yahudi menyangka bahawa nenek moyang mereka yang menjadi nabi-nabi boleh memberi syafaat kepada mereka pada Hari Kiamat. Lantas Allah menjadikan mereka putus asa dengan ayat ini.”
Al-Imam an-Nasafi berkata di dalam kitabnya, Madarik at-Tanzil: “Pengulangan di sini sebagai tanda penguat dan penyokong.”
Seterusnya, Allah menyebut `Dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).’ Dimaksudkan dengan al-`Alamin ialah jumlah manusia yang ramai. Dan dikatakan, Aku kurniakan kepadamu kelebihan dan anugerah berbanding selain kamu di kalangan umat-umat dan manusia di mana kamu mempunyai tamadun dan hadharah mengatasi mereka yang lain seperti penduduk Mesir dan penduduk di Baitul Maqdis.
Al-Maraghi berkata: “Allah menyeru mereka dengan menyebut nama bapa mereka kerana daripadanya muncul segala kemegahan mereka dan sumber kemuliaan mereka. Disandarkan di sini nikmat dan fadilat kepada mereka semata-mata kerana kesyumulan dan kesempurnaan kedua-duanya.
Kelebihan
Kelebihan di sini didatangkan kepada mereka supaya mereka sentiasa berpegang dengan kelebihan dan akhlak yang mulia, di samping meninggalkan segala kehinaan dan akhlak yang keji kerana sesiapa yang melihat dirinya mempunyai kemuliaan dan kelebihan, sudah pasti akan diangkat segala sifat rendah dan hina dina. Dan sebenarnya kelebihan satu-satu golongan atau umat bukan semata-mata berdasarkan harta benda dan kekuasaan. Tetapi yang sebenarnya mereka yang hampir dengan Allah dengan mengikut segala syariat-Nya yang mana mereka beristiqamah dalam mengikut nabi-nabi dan rasul-rasul di kalangan mereka.”
Al-Imam al-Baghawi berkata: “Manusia-manusia yang sezaman dengan mereka sahaja. Yang demikian itu merupakan kelebihan sekalipun hak kelebihan untuk bapa tetapi terhasil dengannya kemuliaan untuk anak.”
Ibn Jarir at-Tabari berkata: “Ta’wil dan tafsir ayat ini sama seperti ta’wil dan tafsir ayat 40 Surah al-Baqarah.”
Seterusnya Allah Taala menyebut `Dan peliharalah diri kamu daripada (azab sengsara) Hari (Akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (daripada balasan azab)’, iaitu takutlah pada hari yang begitu menakutkan di mana seseorang itu tidak dapat melepaskan diri daripada segala tanggungjawab.
Kemudian `Dan tidak diterima syafaat daripadanya’, iaitu orang kafir tidak menerima sebarang syafaat daripada Allah selama-lamanya.
Seterusnya disebut: `Dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan’, iaitu tidak diterima daripadanya sebarang tebusan dan Allah menutup dengan kenyataan-Nya.
Terdapat empat pendapat di kalangan ulama pada tafsiran sarfun dan `adlun (tebusan):
1. Sarfun bermakna amal, sedangkan `adlun bermakna fidyah. Inilah pendapat al-Hasan al-Basri.
2. Sarfun bermakna diat (tebusan), sedangkan `adlun ialah seorang lelaki yang mempunyai kedudukan. Inilah pendapat al-Kalbi.
3. Sarfun bermakna tatawwu’ (ibadat sunat), sedangkan `adlun bermakna faridhah ( ibadat wajib). Inilah pendapat al-Asmu`ie.
4. Sarfun bermakna helah, sedangkan `adlun bermakna fidyah. Inilah pendapat Abu `Ubaidah.
`Dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.’ As-Samarqandi berkata dalam tafsirnya, Bahr al-`Ulum: “Dan sekali-kali mereka tidak ditegah daripada terkena azab hukuman Tuhan.
Mafhum daripada ayat 48 ini ialah manusia disuruh takut dan benar-benar mengambil iktibar untuk menghadapi Hari Kiamat atau pembalasan kerana pada hari tersebut mempunyai beberapa ciri yang menakutkan:
l Seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (daripada balasan azab).
l Tidak diterima syafaat daripadanya.
l Tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan.
l Mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan.
Abu al-Laith as-Samarqandi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Aisyah r.a. yang menceritakan bahawa saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Apakah cinta itu ialah ingat akan kekasihnya pada Hari Kiamat?” Jawab Nabi s.a.w.: “Ada tiga tempat (masa) ia tidak akan ingat; 1. Ketika ditimbang amal sehingga diketahui apakah ringan atau berat. 2. Ketika menerima lembaran catatan amal (suhuf), sehingga ia menerimanya, sama ada dari kanan atau dari kiri. 3. Ketika ular naga keluar dari neraka, lalu mengepung mereka dan berkata: “Kepadaku diserahkan tiga perkara: Orang yang menyekutukan Allah dengan tuhan yang lain, orang yang kejam, penentang dan zalim serta orang yang tidak percaya pada Hari Kiamat (hisab), maka dikumpulkan semua orang tersebut, lalu dilemparkan semuanya dalam neraka jahanam dan di atas neraka jahanam itu ada jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang. Sedangkan di kanan kirinya ia dipukul dan penuh dengan duri-duri. Orang-orang yang berjalan di atasnya ada yang bagaikan kilat, dan bagaikan angin yang kencang, maka ada yang selamat, dan ada yang luka terkena tusukan duri dan ada yang terjerumus masuk ke dalam neraka.”
Abu al-Laith as-Samarqandi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Antara dua kali tiupan sangkakala itu jaraknya adalah empat puluh tahun (tiupan untuk mematikan dan membangkitkan kembali). Kemudian Allah menurunkan hujan bagaikan air mani lelaki, maka timbullah orang-orang mati bagaikan timbulnya tanaman sayuran.”
Abu al-Laith juga meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketika Allah telah selesai menjadikan langit dan bumi, Allah menjadikan sangkakala dan diserahkan kepada Malaikat Israfil, maka ia meletakkannya pada mulutnya ke `Arasy, menanti bilakah ia diperintah meniupkannya.” Aku bertanya: “Ya Rasulullah, apakah sur (sangkakala) itu?” Jawabnya: “Bagaikan tanduk daripada cahaya.” Aku bertanya: “Bagaimana besarnya?” Jawabnya: “Sangat besar bulatannya. Demi Allah yang mengutusku sebagai Nabi, besar bulatannya itu seluas langit dengan bumi, dan akan ditiup sehingga tiga kali. 1. Nafkhatu al-Faza’ (untuk menakutkan). 2. Nafkhatu as-Sa`aq (untuk mematikan). 3. Nafkhatu al-Ba`ath (untuk menghidupkan kembali atau membangkitkan).”
Dalam riwayat Ka`ab hanya dua kali tiupan, iaitu mematikan dan membangkitkan.
Mu`az bin Jabal r.a. bercerita bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak dapat bergerak kaki seorang hamba sehingga ditanya tentang empat perkara; Umurnya digunakan untuk apa sampai binasa, badannya apa yang dirosakkannya, ilmunya apa yang digunakannya (diamalkannya) dan hartanya dari mana ia perolehi dan ke mana ia belanjakan.”
Ikrimah berkata: “Seorang ayah akan memegang anaknya pada Hari Kiamat dan berkata: “Saya ayahmu ketika di dunia.” Maka anak itu memuji kebaikannya, lalu ayah itu berkata: “Hai anak, kini saya berhajat kepada kebaikanmu yang sekecil zarah, mudah-mudahan saya dapat selamat dengannya daripada apa yang kamu lihat ini.” Jawab anaknya: “Saya juga takut pada apa yang kamu takutkan itu, kerana itu saya tidak dapat memberikan kepadamu sedikitpun.” Lalu kepada isterinya dia berkata kepadanya: “Saya dahulu suamimu di dunia”, maka isterinya memujinya. Lalu dia berkata: “Saya ingin meminta kepadamu satu kebaikan, mudah-mudahan saya boleh selamat daripada apa yang kamu lihat ini.” Jawab isterinya: “Saya juga takut seperti kamu.”
Ibn Mas`ud bercerita bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Orang kafir akan tenggelam dalam peluhnya kerana lamanya hari itu sehingga ia berdoa: “Ya Tuhan, kasihanilah aku meskipun aku masuk dalam neraka.”

Advertisements