Kebejatan melampau – Firaun dan pengikut-pengikutnya
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYEIKH al-Maraghi berkata: “Ayat ini menjelaskan nikmat kurniaan Allah kepada kaum yang besar ini. Dinyatakan padanya azab dan sengsara yang dibalakan ke atas mereka sebagai balasan terhadap tindakan mereka melakukan jenayah dan dosa-dosa.
“Kemudian, dengan kasih sayang dan rahmat Allah kepada mereka, diangkatkan bala dan sengsara tersebut supaya mereka bertaubat dan kembali kepada Allah, selain mengenali kadar nikmat-Nya terhadap mereka.”
Firman Allah Taala:
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI SELAMATKAN KAMU DARIPADA FIRAUN DAN ORANG-ORANGNYA, YANG SENTIASA MENYEKSA KAMU DENGAN SEKSAAN YANG SEBURUK-BURUKNYA; MEREKA MENYEMBELIH ANAK-ANAK LELAKI KAMU DAN MEMBIARKAN HIDUP ANAK-ANAK PEREMPUAN KAMU; SEDANGKAN KEJADIAN YANG DEMIKIAN ITU MENGANDUNGI BALA BENCANA DAN CUBAAN YANG BESAR DARIPADA TUHAN KAMU. (Surah al-Baqarah ayat 49)
Allah mengingatkan mereka dengan `Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu’, iaitu ingatlah wahai Bani Israel akan kurniaan nikmat-Ku kepada kamu ketika Aku selamatkan nenek moyangmu’.
Ibn al-Jauzi menyebut: “Tafsirnya ialah, dan ingatlah ketika Kami selamatkan kamu, dan ini merupakan nikmat-nikmat kepada nenek moyang kamu.
`Daripada Firaun dan orang-orangnya’, iaitu daripada kebejatan Firaun serta kezaliman pengikut-pengikutnya yang melampau.
Ayat ini ditujukan kepada orang-orang Yahudi yang sezaman dengan Nabi s.a.w. kecuali kaedah yang menyebut bahawa nikmat terhadap ibu bapa, sebenarnya nikmat terhadap anak-anak.
Al-Imam al-Mawardi melalui tafsirnya, an-Nukat wa al-`Uyun berkata: “Maksud al dan ahl ialah:
i: Kedua-duanya bermakna sama.
ii: Iaitu pendapat al-Kisaie bahawa dikatakan ( al ) lelaki apabila disebut namanya dan jika dikunniyah padanya dikatakan ( ahli ) nya. Dan tidak dikatakan ( al ) nya. Seperti dikatakan ahli ilmu, ahli basrah dan tidak dikatakan al-ilmu dan al-basrah.”
Ibn al-Jauzi dalam kitabnya, Zad al-Masir berkata: “Maksud al-Firaun dengan tiga pendapat:
i. Mereka ialah Ahli Mesir sebagaimana kata Muqatil.
ii. Mereka ialah ahli keluarganya sahaja sebagaimana kata Abu `Ubaidah.
iii. Pengikut-pengikutnya yang mengikut agamanya sebagaimana kata az-Zajjaj.
Seterusnya, Firaun dikatakan nama seseorang lelaki yang khusus.
Ada pendapat mengatakan ia merupakan nama setiap raja daripada Raja-raja `Amaliqah, seperti Maharaja Rom digelar Kaisar dan sebahagian mereka menggelar diri sebagai Herocle, Maharaja Parsi digelar Kisra, Raja-raja Yaman digelar at-Tababi`ah.
Adapun nama Firaun pada zaman Musa itu ialah Al-Walid bin Mus`ab. Inilah juga yang disebut oleh Muhammad bin Ishaq, bahawa telah sampai kepadanya nama tersebut.
As-Syaukani berkata: “Nama Firaun ialah Qabus mengikut pendapat Ahli Kitab.” Sedangkan Wahab bin Munabbih berkata: “Namanya ialah Al-Walid bin Mus`ab bin ar-Rayyan.” Muqatil berpendapat, namanya ialah Faitus. Sebahagian ulama tafsir yang lain mengatakan namanya Mughith.
Al-Mas`udi pula berkata: “Tidak dikenali bagi Firaun sebarang tafsiran dalam bahasa Arab.”
Melampau
Al-Jauhari pula menyebut: “Sesungguhnya setiap orang yang melampau dipanggil Firaun, iaitu yang menipu dan membuta helah.” Sedangkan di dalam Tafsir al-Kasyaf menyebut: “Ia memberi makna melampau lagi takabur dan samseng.”
Penulis berpendapat, Firaun dimajhulkan namanya kerana bukan zat seseorang yang dibahaskan tetapi watak dan sikap yang menjadi perbahasan. Dengan sebab itu, terdapat ulama mentakrifkan Firaun dengan takrifan yang umum.
`Yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksaan yang seburuk-buruknya’. Iaitu mereka menimpakan kamu pelbagai warna azab dan seksaan dengan seteruk-teruknya.
Al-Imam al-Baghawi berkata: “Sedahsyat-dahsyat azab dan sehebat-hebat penyeksaan. Dan dikatakan, mereka memalingkan kamu pada hukuman seperti unta ternakan di padang pasir. Yang demikian itu kerana Firaun menjadikan kaum Bani Israel sebagai pekerja dan buruh.
“Sebahagian mereka bekerja dalam lapangan binaan. Sebahagian yang lain pertanian dan perladangan. Yang lain pula berkhidmat untuk Firaun. Dan sesiapa yang tidak bekerja dikenakan ke atasnya jizyah.”
Kata Wahab: “Mereka dipelbagaikan dalam melaksanakan pekerjaan untuk Firaun. Mereka yang mempunyai kekuatan disuruh memahat batu-bata dari bukit dan gunung. Sehingga leher dan belakang mereka letih dibebani batu-bata yang dipindahkan.
Begitulah kumpulan yang lain mengangkut dan menyusun batu-bata di samping membakar. Ada di kalangan mereka yang menjadi tukang kayu dan tukang besi.
Sedangkan mereka yang daif dan tidak mampu, dikenakan cukai sehingga terpaksa membayar setiap hari. Maka sesiapa yang tidak mampu membayar, akan diikat tangan kanannya ke lehernya selama sebulan. Sedangkan wanita-wanita disuruh untuk bertenun dan menganyam.
Firman-Nya: `Mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu’. Anak-anak lelaki yang baru lahir disembelih hidup-hidup tanpa belas ihsan, sedangkan `Dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu’, mereka tidak membunuh anak-anak perempuan kerana mereka harus berkhidmat untuk mereka.
Al-Imam an-Nasafi melalui tafsirnya, Madarik at-Tanzil berkata: “Mereka meninggalkan anak-anak perempuan kamu untuk terus hidup kerana kepentingan untuk berkhidmat kepada mereka.
“Dan sesungguhnya mereka lakukan demikian itu kerana ahli nujum telah memberi peringatan dan amaran kepada Firaun bahawa akan lahir seorang anak lelaki yang dapat menghilangkan kerajaannya. Ia sebagaimana peringatan yang diberikan kepada Raja Numrud.
Berlaku
“Sesungguhnya apa yang dikehendaki Allah pasti berlaku. Lebih hebat daripada itu sehingga Firaun sendiri memelihara Musa dan dibesarkan di dalam istananya, di samping itu diberikan pula kepada keluarga Musa hadiah atau upah kerana menyusukan Musa.
Firman-Nya `Sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar daripada Tuhan kamu’.
Ia merupakan azab dan seksaan yang cukup hina lagi sengsara lebih daripada menyembelih anak lelaki dan menghidupkan anak-anak perempuan dengan membiarkannya.
Ia merupakan ujian dan tribulasi yang besar bagi kamu daripada Tuhan. Mereka dapat mengalahkanmu supaya dapat membezakan antara yang baik dengan jahat.
Al-Imam as-Samarqandi melalui tafsirnya, Bahr al-`Ulum berkata: “Iaitu nikmat daripada Tuhan kamu yang besar dan bala, kadang-kadang diibaratkan daripada nikmat dan diibaratkan juga daripada bala dan kesusahan. Sedangkan asalnya ialah ujian dan percubaan yang berlaku untuk kedua-duanya (bala dan nikmat).”

Advertisements