Patung anak lembu – Sembahan Bani Israel
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

SYED Qutb dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Kisah Bani Israel membuat patung anak lembu dan menyembahnya semasa pemergian Musa a.s. untuk menepati perjanjian dengan Allah di atas Bukit Tursina itu, diceritakan dengan terperinci dalam Surah Taha yang terdahulu turunnya di Mekah.
Dalam surah ini, al-Quran hanya mengingatkan kisah itu kepada orang-orang yang memang terkenal di kalangan mereka.
Al-Quran mengingatkan mereka tentang kejatuhan (akhlak) mereka sehingga tergamak menyembah patung anak lembu sebaik sahaja Nabi mereka tiada, sedangkan Nabi mereka itulah yang telah menyelamatkan mereka dengan nama Allah daripada konco-konco Firaun yang telah menindas mereka dengan kejam. Al-Quran menerangkan hakikat kedudukan mereka dalam penyembahan patung anak lembu itu.
Selepas Allah menceritakan beberapa nikmat kurniaan-Nya kepada Bani Israel, seterusnya Allah menceritakan lagi nikmat-nikmat yang lain sebagaimana firman-Nya:
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMI BERJANJI KEPADA MUSA (UNTUK MEMBERI TAURAT KEPADANYA SESUDAH IA BERSIAP SELAMA) EMPAT PULUH MALAM. KEMUDIAN, SETELAH IA PERGI, KAMU MENYEMBAH (PATUNG) ANAK LEMBU, DAN KAMU SEBENARNYA ORANG-ORANG YANG ZALIM (TERHADAP DIRI SENDIRI).
KEMUDIAN SESUDAH ITU KAMI MAAFKAN KESALAHAN KAMU, SUPAYA KAMU BERSYUKUR. (Surah al-Baqarah ayat 51-52)
Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata: “Ingatlah nikmat-Ku ke atasmu berhubung keampunan-Ku ke atasmu, tatkala kamu menyembah anak lembu selepas Musa pergi menghadap Tuhannya.
Ayat ini bermakna, Kami telah menjanjikan penyempurnaan 40 hari atau 40 malam untuk memberi Taurat atau berkata-kata dengan Tuhan.”
Nama Musa itu mengikut ramai ahli tafsir seperti Ibn al-Jauzi, al-Baidhawi dan lain-lain berkata: “Ia merupakan nama `Ajam (bukan Arab), asalnya daripada bahasa Ibraniah’. Daripada dua kalimah iaitu (mu) yang bermaksud air dan (sya) yang bermaksud pohon kayu. Ini kerana beliau dijumpai di atas air, di celah pohon kayu, kemudian diarabkan daripada syin kepada sin ( iaitu Musya kepada Musa ).
Firman Allah: `Dan (kenangkanlah) ketika Kami berjanji kepada Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam.’ Iaitu Kami telah berjanji kepada Musa untuk mengurniakannya kitab Taurat selepas 40 malam.
Al-Imam al-Maraghi melalui tafsirnya berkata: “Ingatlah nikmat Allah ke atasmu, yang lain selepas kamu kufur dengannya dan menzalimi diri sendiri. Yang demikian itu tatkala mereka merentasi laut, mereka memohon kepada Musa supaya dikurniakan kepada mereka kitab daripada Tuhan mereka. Lantas Allah berjanji kepadanya untuk mengurniakan Taurat selepas tempoh masa yang tertentu.
Mereka berpendapat ia bermula dari awal Zulkaedah sehingga 10 Zulhijjah. Kemudian mereka merasa lambat, lantas menjadikan anak lembu yang diperbuat daripada emas yang mempunyai suara untuk diibadahkannya sebagai Tuhan. Jadilah mereka menzalimi diri mereka dengan syirik dan meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya dengan beribadat kepada anak lembu, ganti daripada beribadat kepada Tuhan Pencipta mereka.
Ia merupakan keajaiban keadaan mereka kerana janji Allah kepada Musa untuk menurunkan Taurat kepadanya merupakan nikmat dan kelebihan bagi Bani Israel. Ia ditolak dengan menerima sehina-hina jenis kekufuran dan kejahilan.
Hal ini berlaku selepas mereka selamat daripada bala Firaun dan kehancurannya.
`Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu’, iaitu kamu beribadat kepada anak lembu selepas Nabi Allah Musa pergi daripada kamu kerana memenuhi masa untuk Tuhannya.
`Dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri)’. Iaitu kamu melampau dalam beribadat kerana menyembah anak lembu dan telah menzalimi dirimu sendiri.
Syed Qutb berkata: “Tiada yang lebih zalim daripada mereka yang meninggalkan penyembahan terhadap Allah dan mengabaikan pesanan nabi mereka kerana hendak menyembah patung anak lembu. Sedangkan Allah telah menyelamatkan mereka daripada Firaun yang memuja patung-patung anak lembu itu.
“Ini kerana as-Samiri mengambil anak lembu untuk dipertuhankan kerana beliau daripada kaum yang menyembah lembu. Justeru, terdapat perasaan tersebut dalam hatinya. Inilah pendapat Ibn Abbas”.
Terdapat pendapat yang kedua berkata bahawa Bani Israel tatkala melalui kaum yang menyembah berhala merasa takjub dan tatkala mereka bertanya kepada Musa untuk menjadikan Tuhan bagi mereka, lantas Musa enggan. Kemudian as-Samiri mengeluarkan patung seperti anak lembu untuk Bani Israel semasa ketiadaan Musa kerana disangkakan baik sebagaimana pendapat Ibn Zaid.
Ulama juga menyebut bagaimana cara menjadikan anak lembu dengan dua pendapat:
Pertama: Bahawa as-Samiri sebagai tukang tempa yang handal. Digunakan kepakarannya untuk menempa dan membentuknya. Inilah pendapat Ali dan Ibn Abbas.
Kedua: Mereka menggali sebuah lubang yang besar, lantas dicampak segala perhiasan kaum Firaun sebagai tanda pembersihan daripadanya. Kemudian as-Samiri mengambil segenggam tanah, dicampak ke atas perhiasan tersebut dan bertukar menjadi anak lembu. Ini juga riwayat daripada Ibn Abbas.
Bahkan beliau menambah: “Jadilah anak lembu tersebut berjasad, berdaging dan berdarah, kemudian as-Samiri berkata kepada mereka semua: “Inilah Tuhanmu dan Tuhan Musa, sesungguhnya ia telah datang, sedangkan Musa tersilap mencarinya.” Lantas kaum Bani Israel beribadat kepadanya dan menari di sekelilingnya.”
Syeikh Abd al-Rahman as-Sa’di berkata dalam kitabnya, Taisir al-Karim bahawa kamu mengetahui kezalimanmu sekalipun dikemukakan hujah ke atasmu. Dan ia merupakan sebesar-besar dosa dan seberat-berat jenayah. Seterusnya Allah perintahkan kamu untuk bertaubat atas lisan Nabi Musa dengan cara membunuh sebahagian ke atas yang lain, lantas Allah ampunkan kamu dengan sebab demikian itu.
Walaupun begitu, `kemudian sesudah itu Kami maafkan kesalahan kamu’, iaitu Kami tidak hiraukan segala kesalahan jenayah yang kamu lakukan dengan mengampunkannya, selepas kamu menjadikan segala larangan untuk dilaksanakannya sebagai perkara yang amat hina.
Syed Qutb berkata: “Namun begitu, Allah telah memaafkan mereka dan mengurniakan kitab Taurat kepada nabi mereka, iaitu kitab suci yang mengandungi penerangan yang membezakan antara yang benar dengan yang palsu supaya mereka mendapat hidayah ke jalan kebenaran yang terang, setelah mereka tersesat jalan.”
`Supaya kamu bersyukur’. Al-Maraghi berkata: “Kemudian Kami hapuskan jenayah tersebut dengan menerima taubat dan Kami tidak segerakan ke atasmu dengan menghancurkannya. Bahkan Kami menangguhkan untukmu sehingga datang kepadamu Musa dan mengkhabarkan kepadamu cara menebus dosa untuk diterima keampunan, seterusnya sentiasa dalam kesyukuran kerana sesungguhnya kurniaan nikmat mewajibkan kesyukuran.
“Semoga kamu benar-benar mensyukuri nikmat Allah s.w.t. yang dikurniakan ke atasmu dan sentiasa selepas itu dalam ketaatan.”

Advertisements