1. Ulul Amri – Firman Allah bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (An-Nisa’ ayat 59) Ayat ini menunjukkan bahawa dalam Islam mesti ada kerajaan, di mana ada rakyat untuk mentaati perintah dan ada pemerintah untuk ditaati. Dalam sejarah Islam, ummat Islam sentiasa ada khalifah yang memerintah sesuatu kerajan atau khilafah. Selepas khulafa’ ar-rasyidin ada khilafah umawiyyah, selepas itu, abbasiyyah, umawiyyah di Sepanyol dan seterusnya khalifah di negara-negara kecil sampailah kepada khilafah Ayyubiyyah dan lain-lain sehinggalah yang terakhir iaitu khilafah Uthmaniyyah yang jatuh pada tahun 1924. Selepas itu, ummat Islam tidak ada khilafah lagi. Yang ada negara-negara ummat Islam yang dibahagikan oleh penjajah mengikut negara bangsa. Kata Muhammad Qutb, kefahaman ummat Islam tentang pemerintahan dan politik menyaksikan ummat Islam tidak pernah lekang mempunyai kuasa politik pemerintahan kecuali setelah kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Islam.

2. Ayat tersebut juga menyebutkan perkataan athi’u bermaksud taatlah kamu sebanyak dua kali, walhal pihak yang mesti ditaati ada tiga pihak iaitu Allah, Rasul dan Pemerintah. Perintah taatlah kamu secara langsung hanya digunakan oleh Allah sebanyak dua kali iaitu kepada Allah dan kepada Rasulullah SAW. Taat kepada pemerintah hanya berpada dengan makna ayat tanpa disebutkan lafaz taat secara khusus. Para mufassirin iaitu ahli tafsir menyatakan, ini menunjukkan bahawa taat kepada pemerintah mestilah dalam batasan selama mana mereka taat kepada Allah dan Rasulullah SAW. Bila mereka tidak lagi taat kepada Allah Allah dan kepada Rasulullah SAW, tidak wajib lagi taat kepada mereka kerana mereka sebenarnya sedang tidak taat dan berlaku derhaka kepada Allah. Sebagaimana sabda baginda Rasulullah SAW, “Tiada ketaatan yang perlu diberikan kepada mahkluk dalam perkara yang menderhakai al-Khaliq iaitu Tuhan Yang MahaPencipta.” Jadi taat kepada pemerintah tidak boleh difahami dengan makna taat yang mutlak seperti wajib taat kepada Allah dan Rasul secara mutlak.

3. Ayat tersebut juga dengan jelas menyebut, jika ada perbantahan antara ummat Islam termasuk antara rakyat dengan ulil Amri tentang sesuatu perkara, hendaklah dirujuk kepada Allah dan Rasul.

4. Daripada aspek sejarah. Khulafa’ ar-Rasyidin selama 30 tahun memerintah berdasarkan sepenuhnya kepada corak dan prinsip pemerintahan Nabi SAW, terutama dalam aspek pemilihan khalifah secara syura. Sama ada secara langsung atau tidak langsung. Selepas majlis tahkim, kali pertama ummat Islam mempunyai dua orang khalfah secara teknikalnya iaitu khalifah sebenar Saidina Ali dan khalifah daripada tahkim iaitu saidina Mu’awiyah. Apabila Saidina Ali dibunuh oleh Abdul Rahman bin Muljim daripada khawarij, anaknya Hassan dibai’ahkan sebagai pengganti saidina Ali. Pada tahun 40 hijrah, Saidina Hassan melihat ummat Islam tidak patut berpecah kepada dua orang khalifah, lalu beliau berjumpa dengan Mu’awiyah dan menyerahkan urusan khilafah ummat Islam kepada Saidina Mu’awiyah. Tahun 40 hijrah itu dinamakan sebagai ‘tahun perpaduan’ atau ‘amul jama’ah.

5. Apabila Saidina Mu’awiyah mengisytiharkan Yazid sebagai putera mahkota, itulah permulaan kepada penukaran sistem pemerintahan Islam daripada syura kepada monarki. Abdullah bin Zubair mula memberontak di Mekah dan disokong oleh ramai para sahabat, antaranya Abdullah bin Abbas. Abdullah bin Zubair hanya dapat ditewaskan pada zaman Abdul Malik bin Marwan di bawah gabenor Hajjaj bin Yusuf ath-Thaqafi yang kejam dan zalim sehingga sanggup menyerang habis-habisan sampai kaabah pun terbakar. Daripada peristiwa ini kita dapat melihat ada sahabat yang bersama-sama Abdullah bin Zubair menentang kemungkaran kerajaan Umayyah yang menukar sistem pemilihan khalifah dengan tidak lagi berdasarkan kepada syura. Ada juga sahabat yang memandangnya sebagai satu kemungkaran tetapi tidaklah sampai kepada tahap kufur, maka mereka memberi ketaatan dalam perkara yang tidak berlanggar dengan hukum syara’ dan tidak keluar membuat penentangan bersenjata.

6. Ayat dan Hadith mengenai taat kepada pemerintah telah sampai kepada Abdullah bin Zubair dan Ibnu Abbas tetapi mereka masih menentang kerajaan Yazid, Marwan dan Abdul Malik secara bersenjata. Adakah dua sahabat besar ini terdiri daripada kalangan khawarij juga? wal’iyazu billah. Ini menunjukkan hukum asal ialah kemungkaran pemerintah wajib ditegah di mana kemungkaran itu ialah satu bentuk penderhakaan kepada Allah. Lebih daripada itu, pendapat dua sahabat ini, kefasikan yang dilakukan pemerintah secara nyata dan terang-terangan membelakangi hukum Allah iaitu perintah syura dan keadilan, menggugurkan kelayakan mereka sebagai khalifah.

7. Terdapat beberapa pemberontakan lain menentang kerajaan Umayyah selepas itu termasuk pemberontakan pihak ‘alawiyyin yang dipimpin oleh Imam Zaid. Antara pemberontakan yang terkenal oleh ahlus sunnah ialah pemberontakan Abdul Rahman bin al-Asy’ath yang bermula di Sijistan telah disokong oleh ramai ulama’ tetapi akhirnya telah ditewaskan oleh Hajjaj bin Yusuf juga dan ramai tenteranya dibunuh secara beramai-ramai dengan kejam.

8. Selepas beberapa peristiwa penentangan bersenjata yang memakan begitu ramai jumlah korban, para ulama’ ahlus sunnah bersepakat dan berlaku ijma’ tentang perkara tersebut, iaitu keluar menentang pemerintah yang fasiq secara bersenjata adalah haram selama mana pemerintah itu tidak melakukan pekara-perkara kufur yang nyata dan terang (al-kufru al-bawwah) seperti menghalalkan arak dan babi. Sebabnya berdasarkan kaedah fiqh, iaitu dalam memilih antara dua mudharat yang mesti dilakukan, hendaklah mengambil mudharat yang lebih ringan. Walaupun kemungkaran telah berlaku, tetapi jalan mencegah kemungkaran itu lebih tinggi kadar mudharatnya berbanding dengan mudharat kemungkaran yang hendak dicegah, iaitu akan mengakibatkan kematian ribuan nyawa manusia tidak bersalah termasuk orang yang alim dan soleh semasa peperangan sedang berlangsung dan setelah tewas akibat tindak balas atau balas dendam pemerintah yang memenangi perang. Bukan saja pihak yang adil tidak dapat menghilangkan mudharat kefasikan, bahkan pihak yang fasiq bertambah fasiq dalam mengekalkan kuasa.

9. Oleh kerana ilmu Allah yang maha luas dan meliputi, Rasulullah SAW telah pun memberikan gambaran takdir ummat Islam setelah ketiadaan baginda. Pemerintah Islam sepatutnya adil dan taat kepada hukum Allah mengikut ajaran Islam, tetapi Allah menguji ummat Islam dengan khalifah yang zalim tetapi masih menjalankan hukum Islam dalam pemerintahan negara. Hadith-hadith Rasulullah SAW memberikan panduan kepada kita bagaimana untuk menghadapi keadaan tersebut. Antaranya hadith menyuruh bersabar di atas kezaliman pemerintah yang fasiq tetapi masih menjalankan undang-undang Islam dan mempertahankan maruah ummat Islam. Antaranya, hadith yang kelebihan berkata benar di hadapan Sultan yang zalim, hadith orang yang menegur pemerintah yang zalim sehingga dibunuh diberi gelaran penghulu para syuhada’ seperti Saidina Hamzah, hadith menyertai jamaah muslimin dan jika tidak ada jamaah muslimin hendaklah beruzlah sekalipun terpaksa memakan akar kayu, hadith pejuang kebenaran akhirnya akan sentiasa mengatasi pelaku kezaliman, hadith bumi yang dipenuhi kezaliman nanti akan disinari dengan keadilan diseluruh muka bumi, hadith pemerintah yang menipu rakyat diharamkan daripadanya syurga, hadith mencegah kemungkaran dengan tangan, lidah atau hati dan lain-lain hadith terutamanya dalam bab al-fitan dalam kitab-kitab hadith.

10. Dengan memahami semua nas berkaitan pemerintah dan rakyat, kesimpulan berikut dapat dirumuskan;

a. Memang benar ahlus sunnah bersepakat mengharamkan perbuatan keluar menentang kerajaan yang fasiq dan zalim selama mana mereka tidak melakukan kekufuran yang nyata berdasarkan kepada kaedah maslahah dan dharuriyaat yang lima atau enam mengikut sebahagian ulama’ setelah meneliti pengalaman sejarah yang sangat berdarah untuk menurunkan mereka daripada takhta. Walaupun pada asalnya wajib mencegah kemungkaran berbentuk fasik dan zalim di kalangan pemerintah sebagaimana yang telah diterangkan.
b. Sebab utama yang ditimbang oleh ahlus Sunnah ialah kehilangan nyawa yang tidak berdosa dan semakin sedikit golongan yang mempertahankan kebenaran.
c. Perbuatan keluar menentang pemerintah ini atau khuruj dalam bahasa arab bermaksud keluar menentang secara bersenjata dengan mempunyai ketua, angkatan perang, persenjataan dan alatan perang yang akan berperang secara langsung dengan angkatan bersenjata di bawah khalifah.
d. Adapun melaksanakan amar makruf dan nahi munkar tidak terhalang. Tidak dapat dengan kuasa, hendaklah dengan lidah secara nasihat. Inilah yang dibuat oleh Imam Malik bin Anas, menegur pemerintah Khalifah al-Mansur yang mengenakan bai’ah ke atas pemerintah dengan ta’liq jika melanggar bai’ah taat setia kepada kerajaan Abbasiyyah, nescaya jatuhlah talak isterinya. Imam Malik telah dipukul teruk kerana fatwanya yang mengatakan lafaz talak oleh orang yang dipaksa tidak jatuh. Demikian juga Imam Ahmad bin Hanbal dan para ulama’ lain seperti al-Buwaiti, murid kanan Imam asy-Syafie telah menegur kerajaan yang berpegang kepada pendapat mu’tazilah bahawa al-Quran yang merupakan kalam Allah itu adalah makhluk. Kedua-duanya telah diseksa di mana al-Buwaiti syahid dalam penjara mempertahankan kebenaran dan Imam Ahmad disebat oleh beberapa orang khalifah, namun bertegas, “Jika orang alim diam, sedangkan orang jahil dalam keadaan diselubungi kejahilan, maka bilakah kebenaran akan menjadi nyata dan terserlah”. Dan ramai lagi para ulama’ yang menegur pemerintah dan diseksa dan dizalimi sepanjang sejarah Islam sehingga ada buku yang khusus mengenainya.
e. Para ulama’ ini menjalankan amar makruf nahi munkar, bukannya keluar menentang pemerintah. Oleh itu mudharat yang menimpa hanya terhad kepada individu-individu tertentu yang berjiwa besar dan berani itu, dan tidak meliputi seluruh orang awam. Kerana itulah mereka mendapat kelebihan yang besar di sisi Allah.
f. Dalam hadith-hadith fitnah akhir zaman, disebutkan supaya bersabar. Bukan disebut supaya redha. Sabar berbeza dengan redha. Redha dengan kekufuran adalah kufur dan redha dengan maksiat adalah maksiat juga. Sabar bermakna tidak redha dengan keadaan yang tidak diredhai oleh Allah dan Rasul serta mencari jalan untuk mengatasinya dengan berdakwah, nasihat dan menunggu masa yang sesuai untuk mengubah keadaan. Ramai orang salah faham dengan menyangka, bahawa kita wajib redha dengan kezaliman dan kefasikan pemerintah, dan ummat Islam hanya perlu menyerah dan pasrah menerima sahaja dan tidak ada cara syar’ie untuk mengatasinya.
g. Batasan kekufuran yang nyata, kurang diperhalusi oleh golongan yang lebih cenderung untuk pasrah menerima kezaliman.

11. Ulul Amri pada zaman kita – Setelah kita memahami asas perbincangan tentang ketaatan kepada ulil amri mengikut pandangan ahlus sunnah, mari kita melihat kepada zaman kita. Selepas kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah, negara-negara ummat Islam dipecahkan oleh penjajah sebagai negara bangsa berasaskan semangat nasionalisme dan berteraskan fahaman sekularisme yang memisahkan politik dangan agama. Bekas Mufti Kerajaan Uthmaniyyah, Syeikh Mustafa Sabri mengeluarkan fatwa, orang yang menganut fahaman sekularisme adalah murtad dan keluar daripada agama Islam. Yang lebih pelik negara-negara ummat Islam yang baru merdeka mengambil perlembagaan dan undang-undang negara yang menjajah mereka sebagai perlembagaan dan undang-undang negara.

12. Semasa era penjajahan para ulama’ dan para pengikut mereka telah berjihad menentang penjajah dengan gagah berani walapun kurang kelengkapan. Nama-nama seperti Syeikh Abdul hamid bin Badis, Badi’uz Zaman Said Nursi, gerakan al-Mahdi, gerakan as-Sanusiyyah dan lain-lain telah mengemukakan jutaan syahid dalam memperjuangkan kemerdekaan untuk Islam. Walhal raja-raja boneka telah dipegang oleh penjajah dan diberi kuasa dalam hal ehwal agama yang terbatas seperti lantikan qadhi nikah cerai, penentuan masjid, mengisytiharkan hari raya dan seumpamanya. Urusan ekonomi, pertahanan an hasil mahsul negara dikawal oleh penjajah. Penjajah menggunakan para ulama’ yang mencari makan dengan berhujjah, haram keluar menentang ulil amri mengikut akidah ahlus Sunnah. Dan ini bukanlah satu isu baru yang ditimbulkan oleh orang yang tak sukakan gerakan tajdid oleh pemimpin dan gerakan Islam di seluruh dunia.

13. Demikian juga dalam negara kita, semasa era penjajahan, British menghadkan kuasa Sultan iaitu Ulil Amri bagi setiap negeri kepada bidang ibadah dan undang-undang keluarga sahaja. Undang-undang Mal hanya sekadar berkaitan zakat fitrah sahaja. Yang benar-benar mentadbir negara ialah British melalui residen-residen. Para ulama’ dan pejuang kemerdekaan terus berjuang kerana tahu bahawa sultan telah dirampas kuasanya oleh British yan telah memerintah dengan undang-undang penjajah. Mereka tidak redha untuk taat secara membabi buta.

14. Bila kita merdeka, ulil amri dalam urusan pentadbiran agama ialah sultan-sultan setiap negeri dan SPB Yang Di Pertuan Agung bagi Persekutuan dan negeri-negeri tanpa Sultan. Kuasa Sultan dalam pentadbiran agama adalah mengikut tafsiran agama secara terhad sebagaimana yang diamalkan semasa penjajahan. Bila Malaysia memilih untuk merdeka, Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan dan semua sultan-sultan bersetuju untuk meletakkan diri-diri baginda di bawah perlembagaan. Ini menjadikan sultan-sultan di Malaysia adalah raja berperlembagaan. Bila para sultan sudah menandatangani perjanjian kemerdekaan, mereka telah rela untuk berada dalam lingkungan perlembagaan.

15. Dalam perlembagaan negara pula, membenarkan rakyat untuk menubuhkan parti-parti bagi menjana sokongan rakyat. Di mana ketua-ketua parti yang paling banyak mendapat sokongan dalam pilihanraya DUN atau Parlimen akan dipanggil oleh Ulil Amri untuk membentuk kerajaan di peringkat negeri atau pun di peringkat persekutuan. Dan setiap 5 tahun, rakyat diberi peluang untuk memilih semula parti yang telah memerintah atau parti lain untuk menjadi kerajaan baru pula.

16. Jadi PAS menyertai pilihanraya tidak bermaksud menentang ulil amri, kerana ulil amri telah memberi keizinan dan persetujuan tentang kaedah pemilihan dan perlantikan kerajaan. Begitu juga orang yang menyokong pembangkang tidak bermaksud menentang ulil amri, kerana SPB Yang di Pertuan Agung dan Sultan-Sultan telah memberi izin untuk mereka membuat pemilihan.

17. Perlembagaan pula lebih besar kuasanya daripada Ulil Amri sendiri. Contohnya undang-undang hudud telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Terengganu dan telah diperkenankan oleh Sultan Terengganu. Tetapi Kerajaan Pusat mengatakan undang-undang jenayah berada di bawah kuasa kerajaan pusat yang hanya boleh dipinda di parlimen dan bukan di DUN. Walaupun Sultan Terengganu telah menjadi SPB Yang Di Pertuan Agung, baginda Tuanku Mizan tidak boleh memaksa perlembagaan persekutuan ditukarkan begitu sahaja, kerana perlembagaan memperuntukkan hanya sokongan 2/3 ahli parlimen sahajalah yang boleh meminda perlembagaan.

18. PAS menyertai pilihanraya untuk mencapai sokongan 2/3 di parlimen bagi membolehkan hukum Islam kembali berdaulat di negara kita. Adakah ummat Islam tidak mahu memberikan sokongan kepada hasrat murni dan tuntutan syariat ini. Pilihanraya syar’ie atau tidak? Ini satu persoalan lain yang saya tidak akan bincangkan di sini, tetapi telah diterangkan oleh ramai sahabat-sahabat ang lain.

19. PAS tidak menentang SPB Yang di Pertuan Agung atau Kerajaan Malaysia. PAS setia dengan SPB Yang Di Pertuan Agung dan Kerajaan Malaysia. PAS bergerak mengikut perlembagaan dan undang-undang negara. Penyokong PAS membayar cukai, bekerja dan membayar saman kepada kerajaan. PAS tidak ada tentera dan polis sendiri. Tapi PAS menjalankan kewajibannya sebagai warga negara Malaysia yang baik dengan menjalankan amar makruf nahi munkar, menuntut kerajaan berlaku adil, mengelakkan amalan rasuah, pemerintahan yang lebih transparen dan mengenengahkan isu-isu rakyat dan negara mengikut neraca Islam di samping mencari sokongan rakyat untuk memilih mereka dalam pilihanraya aka datang sebagai ganti kerajaan sedia ada dalam lingkungan demokrasi berparlimen.

20. Jika PAS atau Pakatan Rakyat berjaya meraih lebih banyak sokongan di parlimen dan DUN-DUN, Ulil Amri akan memanggil PAS atau Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan di peringkat pusat dan negeri-negeri. Jika ada sokongan 2/3, perlembagaan pun boleh ditukarkan.

21. Menentang kerajaan sedia ada dalam sistem demokrasi ialah melalui undi. Proses mengundi tidak melibatkan kehilangan nyawa yang menjadi sebab kepada hukum haram menentang kerajaanIslam yang zalim mengikut pandangan ahlus Sunnah. Bila sebab pengharaman sudah hilang, maka hukum asal iaitu wajib mencegah kezaliman pemerintah menjadi wajib ke atas orang yang mampu mengundi melalui kertas undi.

22. Mengenai PAS mengangkat senjata. Asasnya ialah perlembagaan negara adalah bedasarkan sistem sekular yang difatwakan murtad oleh Syeikh Mustafa Sabri dan para ulama’ Azhar dan lainnya ketika berhadapan dengan kes Syeikh Abdul Raziq. Kalau perlembagaan menghalalkan judi berlesen, berzina dengan rela hati, riba dalam urus niaga, itulah yang disebutkan oleh para ulama’ ahlus Sunnah sebagai al-kufr al-Bawwah atau kufur yang nyata. Mengikut hukum asal, wajib keluar menentang kerajaan sebegini.

23. Tetapi PAS memilih untuk mengambil kaedah yang aman melalui sistem demokrasi berpilihanraya. Masih ada cara untuk mengubah sistem negara kepada negara Islam melalui undi 2/3 di parlimen. Demokrasi juga memberi ruang kepada PAS untuk berdakwah dan menjelaskan matlamat perjuangannya tanpa pelu mengangkat senjata. SPB Yang di Pertuan Agung juga bersedia untuk menukarkan perlembagaan jika terdapat sokongan 2/3 itu. Inilah antara sebab-sebab yang dijadikan asas kepada ijtihad Majlis Syura Ulama’ PAS untuk menyertai pilihanraya selain daripada dalil-dalil syara’ yang lain.

24. Penentangan bersenjata adalah langkah terakhir, bila pintu demokrasi telah tertutup rapat dan tak ada cara lain untuk mengubah kerajaan yang berada di puncak kezaliman. PAS tidak lagi merasakan langkah ini perlu diambil buat masa ini kerana masih ada terlalu banyak ruang-ruang untuk dakwah dan membuat perubahan secara aman yang belum digunakan sepenuhnya. Pertimbangan untuk membuat penentangan bersenjata memerlukan beberapa neraca usul fiqh untuk dipertimbangkan.Tuan Guru Haji Hadi membuat kenyataan itu sebagai memberi ingatan kepada kerajaan supaya tidak mencemarkan ruang berpolitik secara adil dalam sistem demokrasi dan mencetuskan kesiap-siagaan kepada para pejuang Islam, bahawa perjuangan Islam pada satu tahap tertentu mungkin memerlukan korban jiwa raga sebagaimana disebut oleh banyak ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW.

25. Sebagai ummat Islam, kitalah yang paling patut sensitif dengan kezaliman yang berlaku kerana ayat al-Quran dan hadith berkaitan pekara ini amat banyak. Kita jugalah yang paling patut memilih pemerintah yang adil kerana banyaknya suruhan Allah dan Rasul berkaitan perkara tersebut. Yang malangnya kita memilih untuk redha dengan kezaliman yang mencengkam ummat dan tidak mahu membuat sebarang perubahan kerana salah faham yang sangat tersasar daripada kehendak al-Quran dan hadith Rasulullah SAW. Sedang orang kafir berusaha memilih pemimpin yang bersih dan amanah dan memecat pemimpin yang rasuah dan pecah amanah, kita ummat Islam pula redha dengan pemimpin yang zalim dan korup walaupun seperti Presiden Mubarak dan Zainal Abidin bin Ali yang merompak berbilion dollar duit rakyat dan kerajaan. Ini adalah amat malang.

26. Kita tidak boleh berputus asa untuk berjuang mendapatkan khilafah dan khalifah yang baik kerana Allah telah berjanji dalam surah an-Nur ayat 55, “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”

27. Akhirnya marilah kita merenung satu hadith dalam riwayat imam Ahmad, daripada Huzaifah ra, Rasulullah SAW telah bersabda, “Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu, maka berlakulah Zaman Kenabian sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki. Kemudian belakulah zaman khilifah (Khulafa’ ar-Rasyidin) yang berjalan sepertimana Zaman Kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan beraja yang mengigit. Berlakulah zaman itu seperti yang Allah kehendaki. Kemudian Allah mengangkatnya pula. Kemudian berlakulah zaman pemerintahan kuku besi dan berlakulah zaman itu seperti mana yang Allah kehendaki. Kemudian berlakulah pula zaman khilafah yang berjalan sebagaimana Zaman Kenabian.”

Kemudian Rasulullah SAW pun diam….

Sekian. Harap dapat membantu.
Wassalam.

Zakaria Ismail
UIAM ‘99

Advertisements