Pelbagai pandangan tentang solat wusta

PELIHARALAH kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk. (al-Baqarah: 238)

SYEIKH al-Maraghi berkata: Dua ayat terdahulu membahaskan berkenaan dengan hukum, sebahagiannya berkaitan ibadat dan sebahagian yang lain berkaitan muamalat. Kedua-duanya berakhir dengan penerangan daripada jalan atau cara yang utuh dan teguh dalam bermuamalah antara suami isteri. Telah menjadi sunah al-Quran bahawa diikuti hukum dengan perintah supaya bertakwa kepada Allah.

Memberi peringatan dengan ilmunya berkenaan dengan hal hamba-hambanya dan apa yang disediakan bagi mereka daripada balasan atas amalan sehingga penguasaan agama ke atas nafsu dan melahirkan keikhlasan.

Namun, tabiat nafsu kadang-kadang lalai daripada peringatan dengan kesibukan hidup atau mendapat nikmat kelazatan yang menyebabkan mereka menyimpang daripada jalan kebenaran petunjuk sehingga akhirnya berpecah.

Daripadai sini amat perlu kepada pemberi peringatan membentuk roh sehingga membuang sifat kebendaan atau material semata-mata.

Seterusnya dihadapkan supaya bermuraqabah kepada Allah dengan cara membersihkan daripada segala najis dan kotoran sehingga terangkat daripada perlakuan yang tidak baik dan cenderung kepada keadilan dan ihsan. Peringatan tersebut ialah solat yang dapat mencegah sebarang kemungkaran dan percakapan buruk.

Firman Allah s.w.t: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu.

Ibn al-Arabi berkata: perkataan muhafazah bermaksud berterusan dan tekun melakukan sesuatu iaitu dengan cara bersungguh-sungguh melakukannya serta berhati-hati agar tidak mempersiakan keseluruhan atau sebahagiannya. Memelihara sesuatu bererti memelihara seluruh juzuk dan sifatnya.

Contohnya surat yang ditulis oleh Umar: Barang siapa yang menyimpannya dan memeliharanya bererti dia telah menjaga agamanya.

Sayid Qutub berkata: Dalam ayat ini diperintahkan supaya dipeliharakan semua solat, iaitu mendirikannya di dalam waktu-waktunya masing-masing dan menyempurnakan segala rukun dan segala syaratnya.

Firman Allah: khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar). Adapun solat wusta maka mengikut pendapat yang rajih yang dipilih dari pelbagai riwayat ialah solat asar kerana Rasulullah s.a.w bersabda pada hari peperangan al-Ahzab: Mereka telah menghalangi kita daripada solat wusta, iaitu solat Asar. Allah penuhkan hati dan rumah mereka dengan api neraka! (riwayat Muslim)

Tujuan beliau menyebut solat asar secara khusus mungkin kerana waktunya datang selepas tidur tengah hari yang mungkin terluput dikerjakan oleh seseorang.

Suka dinyatakan kenapa dinamakan solat wusta?

Ibn al-Arabi mengemukakan tiga andaian:

– Ia diambil daripada perkataan al-wasat yang bermaksud saksama, terbaik dan mempunyai kelebihan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 143 yang bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan kamu (wahai Muhammad) satu umat pilihan lagi adil.

Dan firman Allah lagi dalam surah al-Qalam, ayat 28 yang bermaksud: Bukankah aku telah katakan kepada kamu (semasa hendak menghampakan orang kafir miskin daripada habuannya): Amatlah elok kiranya kamu mengingati Allah s.w.t (serta membatalkan rancangan kamu yang jahat itu)?

Dalam kedua-dua ayat ini, perkataan tersebut merujuk kepada makna ‘yang terbaik’.

– Ia bermaksud pertengahan dari segi bilangan kerana ia adalah solat yang berada di tengah-tengah antara solat lima waktu.

– Ia bermaksud pertengahan waktu.

Ibn al-Qasim berkata, Malik berkata: Solat subuh ialah solat wusta kerana solat zuhur dan asar pada waktu siang dan solat maghrib dan isyak pada waktu malam, sedangkan subuh berada antaranya dan ia solat yang paling sikit kadarnya.

Solat zuhur dan asar boleh dijamakkan, begitu juga maghrib dan isyak boleh dijamakkan sedangkan solat subuh tidak boleh dijamakkan dengan mana-mana solat pun. Ia juga solat yang ramai orang terluput kerana tertidur.

Pandangan yang sama disebut oleh Zaid bin Aslam. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas bahawa solat subuh ialah solat wusta kerana dikerjakan antara kegelapan malam dan kecerahan siang. Di samping itu kerap kali manusia terluput mengerjakannya. Ibn Abbas juga berkata: Setelah membaca qunut dalam solat subuh, inilah solat wusta.

Secara ringkasnya dinukilkan tujuh pendapat tentang apakah solat yang terbaik itu:

– Pertama: Solat zuhur seperti pendapat Zaid bin Thabit.

– Kedua: Solat asar seperti pendapat Ali dalam satu riwayatnya.

– Ketiga: Solat maghrib seperti kata al-Barra’.

– Keempat: Solat isyak.

– Kelima: Solat subuh seperti pendapat Ibn Abbas, Ibn Umar, Abu Umamah dan riwayat yang sahih daripada Ali.

– Keenam: Solat jumaat.

– Ketujuh: Ia adalah solat yang tidak ditentukan.

Firman Allah: …dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

Mungkin pendapat yang rajih bahawa yang dimaksudkan dengan qanitina dalam ayat ini ialah khusyuk dan menumpukan ingatan kepada Allah di dalam solat. Kerana dahulu mereka pernah bercakap-cakap di dalam solat apabila mereka menghadapi keperluan-keperluan yang mendadak sehingga turun ayat ini barulah mereka faham darinya bahawa tidak boleh dilakukan kerja yang lain di dalam solat melainkan zikir Allah, khusyuk dan menumpukan ingatan kepadanya.

Suka dinyatakan perkataan qanitin sebenarnya mempunyai banyak makna yang utamanya ialah empat makna:

– Pertama: taat seperti pendapat Ibn Abbas.

– Kedua: berdiri seperti pendapat Ibn Umar.

– Ketiga: diam seperti pendapat Mujahid.

– Keempat: khusyuk.

Kesemua pendapat tersebut ada kemungkinan benar kerana tidak ada percanggahan kecuali pengertian berdiri disebabkan tidak sesuai untuk dipadankan dengan firman Allah yang bermaksud: Dan berdirilah kerana Allah secara qanitin.

Yang sahih ialah riwayat Zaid bin Arqam kerana ia menunjukkan nas yang terang daripada Nabi s.a.w. Oleh itu tidak perlu dirujuk kepada pengertian yang lain yang masih di peringkat andaian.

Iktibar Ayat

– Berkenaan dengan faedah ayat ini, Ibn al-Arabi berkata: Sebahagian ulama kami mengatakan ada satu pada faedah pada ayat ini iaitu menolak pandangan Abu Hanifah yang berpendapat solat witir adalah wajib kerana solat wusta dikira termasuk dalam solat witir supaya solat yang mengepungnya dari dua arah ialah bilangan yang genap. Apabila dihitung solat yang wajib itu ada enam, maka tentulah solat itu tidak menjadi solat wusta.

– Kelebihan solat wusta.

– Kewajipan memelihara solat fardu secara berjemaah dan khusyuk.

Ibu difardukan menyusu anak

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: Hukum yang berikut ialah hukum yang berhubung dengan penyusuan kanak-kanak selepas talak.

Undang-undang keluarga pastilah mengandungi penjelasan mengenai hubungan yang tidak dapat diputuskan di antara suami dan isteri selepas talak, iaitu hubungan anak yang telah disumbangkan oleh mereka berdua. Dan si anak inilah yang mengikatkan mereka berdua.

Apabila ayah dan ibu tidak dapat hidup bersama lagi, maka si anak yang masih mentah itu pastilah mendapat jaminan-jaminan yang hemat dan terperinci yang meliputi segala keadaan.

Firman Allah: Dan ibu-ibu itu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu-ibu itu mengikut cara yang baik. Tidaklah ditaklifkan seseorang itu melainkan sekadar kemampuannya. Janganlah seseorang ibu dijadikan menderita dengan sebab anaknya dan janganlah seorang bapa dijadikan menderita sebab anaknya. Dan waris juga menanggung kewajipan yang seperti itu (jika tiada bapa) kemudian apabila keduanya (bapa dan ibu) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan dan rundingan dari keduanya, maka tiadalah menjadi apa-apa kesalahan kepada keduanya. Dan jika kamu mahu mengadakan penyusu kepada anak-anak kamu, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan kepada kamu jika kamu serahkan upah yang diberikan kamu dengan pertimbangan yang baik. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah melihat segala apa yang kamu kerjakan. (al-Baqarah: 233)

Firman Allah s.w.t.: Dan ibu-ibu itu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu

Al-Mawardi berkata: Perkataan haul di sini bermaksud tahun pada asalnya mempunyai dua pendapat:

Pertama: Dengan maksud perubahan dari waktu pertama.

Kedua: Dengan maksud perubahan dari tempat iaitu perpindahan ke tampat yang lain.

Si ibu yang dicerai mempunyai kewajipan terhadap anaknya yang masih menyusu, iaitu kewajipan yang difardukan Allah ke atasnya. Allah tidak membiarkan si ibu itu dalam menghadapi perkara ini kepada fitrah dan emosinya yang mungkin dirosakkan oleh perbalahan-perbalahan suami isteri dan menyebabkan si anak yang kecil itu menanggung penderitaan.

Oleh itu Allah sendiri yang memelihara si anak dan memfardukan kewajipan itu ke atas leher ibunya, kerana Allah lebih melindungi manusia daripada mereka melindungi diri sendiri, kerana Allah lebih berbakti darpada mereka dan lebih kasihan daripada ibu bapa mereka. Allah memfardukan ke atas si ibu menyusukan anaknya selama dua tahun genap kerana Allah s.w.t mengetahui bahawa tempoh yang paling penting dari segi kesihatan dan kejiwaan seseorang kanak-kanak.

Firman Allah s.w.t, …dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu-ibu itu mengikut cara yang baik.

Menurut hasil kajian kesihatan dan kejiwaan pada hari ini ternyata bahawa tempoh dua tahun adalah satu tempoh yang perlu untuk membolehkan kanak-kanak itu subur dengan kesuburan yang sihat dari segi kesihatan dan kewajipan, tetapi nikmat Allah kepada kaum Muslimin tidak menunggu mereka mengetahui hakikat ini daripada hasil ujian mereka.

Tabung simpanan insaniah yang mengandungi perbendaharaan pengalaman zaman kanak-kanak tidak pernah ditinggalkan hingga dimakan oleh kejahilan selama masa yang panjang ini kerana Allah Maha Pengasih terhadap para hamba-Nya terutama terhadap kanak-kanak yang kecil yang memerlukan kepada kasih sayang dan belaan.

Dan bagi si ibu pula telah diwajibkan ke atas bapa si anak, sebagai balasan terhadap kewajipan yang difardukan Allah kepadanya, supaya memberi kepada si ibu perbelanjaan makan dan minum dan pakaian mengikut pertimbangan yang baik kerana kedua-duanya berkongsi dalam tanggungjawab itu. Kedua-duanya bertanggungjawab terhadap bayi yang masih menyusu itu.

Si ibu membantu dengan susu dan jagaan dan si bapa pula membantu dengan makanan dan pakaian untuk membelanya. Kedua-duanya menunaikan kewajipan masing-masing dalam batas kemampuannya.

Firman Allah s.w.t.: Tidaklah ditaklifkan seseorang itu melainkan sekadar kemampuannya.

Syeikh al-Maraghi berkata: Tidaklah membebankan seseorang kecuali mengikut kemampuannya.

Sonhaji berkata: Si ayah tidaklah diberati dengan nafkah anak dan ibu tadi, melainkan sekadar yang termampu oleh ayah atau sekadar yang ada, jangan sampai ibu dan anak itu menuntut yang berlebihan sehingga terkeluar dari batas kesanggupannya.

Firman Allah s.w.t.: Janganlah seseorang ibu dijadikan menderita dengan sebab anaknya dan janganlah seorang bapa dijadikan menderita sebab anaknya. Dan waris juga menanggung kewajipan yang seperti itu (jika tiada bapa).

Sonhaji berkata: Ibu yang bersedia menyusukan anaknya, janganlah anaknya itu diambil untuk disusui oleh perempuan lain, kerana yang demikian itu menyusahkannya. Atau ibu itu terpaksa menyusukan supaya menjadi beban dan kesusahan kepadanya. Padahal ia tidak sanggup menyusukannya. Dalam pada itu, menyusukan anak itu tiadalah wajib baginya.

Begitulah pula ayah anak itu, janganlah dibebankan dengan meletakkan anaknya kepadanya, padahal anak itu perlu disusui oleh ibunya sehingga menyusahkan ke atas dirinya dan iri kanak-kanak itu.

Walhasil salah seorang darpadai kedua-dua ibu bapa itu janganlah saling sakit menyakiti dan susah menyusahkan, disebabkan adanya kanak-kanak tadi. Jangan pula keduanya menyusahkan anak mereka, bahkan hendaklah keduanya bertanggungjawab ke atas kehidupannya.

Selain kedua-duanya bertanggungjawab, waris kanak-kanak itu pun ikut bertanggungjawab pula – manakala bapanya meninggal dunia – misalnya waris tersebut datuk, abang, bapa saudara dan seumpamanya daripada ahli waris sebelah lelaki. Mereka hendaklah menanggung mana-mana yang patut tentang nafkahnya. Dan ahli waris pula, janganlah mendatangkan kesusahan kepada kanak-kanak tersebut.

Firman Allah s.w.t.: Kemudian apabila keduanya (bapa dan ibu) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan dan rundingan dari keduanya, maka tiadalah menjadi apa-apa kesalahan kepada keduanya.

Sonhaji berkata: Ayat ini menjelaskan bahawa ibu bapa tidak berdosa menceraikan susu anaknya sebelum anak itu berumur dua tahun, iaitu sekiranya tiada mendatangkan mudarat kepada anak-anak tersebut.

Firman Allah s.w.t: Dan jika kamu mahu mengadakan penyusu kepada anak-anak kamu, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan kepada kamu jika kamu serahkan upah yang diberikan kamu dengan pertimbangan yang baik.

Al-Baghawi berkata: Bagi anak-anak kamu ada penyusu-penyusu selain ibu mereka jika ibu mereka enggan menyusukannya ataupun dengan sebab sakit dan tiada susu. Maka bolehlah dicarikan ibu susuan untuk menyusukan kanak-kanak tersebut, asal dibayar upahnya. Atau mengupah kepada ibu kanak-kanak itu sendiri. Perbuatan demikian tiadalah berdosa.

Firman Allah s.w.t.: Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah melihat segala apa yang dilakukan kamu.

Nyata takwa merupakan puncak kepada segala kebaikan dan kebajikan. Dengan sebab itu manusia akan mematuhi segala arahan Allah dan menjauhi segala larangannya.

Sonhaji berkata: Tiadalah sekali-kali tersembunyi di sisi Allah segala perbuatan yang kamu lakukan.

Iktibar Ayat

– Pensyariatan penyusuan bagi ibu-ibu kepada anak-anaknya.

– Nafkah yang diberikan mengikut kadar kemampuan seseorang bapa.

– Hak hadanah berdasarkan ayat di atas adalah milik ibu.

Talak boleh dirujuk hanya dua kali

AL-MARAGHI berkata: Orang Arab jahiliah talak dan idah bagi perempuan. Begitu rujuk dalam masa idah, sedangkan tiada di sana tempoh talak dan bilangannya. Selepas datangnya Islam ia membaiki hubungan masyarakat yang berkaitan dengan institusi kekeluargaan seperti talak dan rujuk.

Hukum yang berikut ialah mengenai bilangan talak, mengenai hak perempuan yang dicerai dalam pemilikan mas kahwin, mengenai haram mengambil sesuatu daripada mas kahwin ketika bercerai kecuali dalam kes sahaja, iaitu kes perempuan yang bencikan suaminya dan takut melakukan maksiat jika ia terus terikat dengan perkahwinan yang tidak disukainya itu. Inilah kes khuluk atau tebusan talak, di mana isteri membeli kebebasan dirinya dengan membayar tebusan.

Firman Allah, Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 229)

Firman Allah: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.

Al-Baghawi berkata: Yakni talak yang boleh dirujuk hanya dua kali. Apabila berlaku tiga kali maka tidak dibolehkan.

Sayid Qutub: Bilangan talak yang boleh dimulakan semula kehidupan suami isteri ialah dua kali. Apabila talak itu melebihi dua kali, maka tidak ada jalan lagi untuk kembali kecuali dengan syarat yang telah dinaskan oleh ayat selanjutnya, iaitu perempuan itu berkahwin dengan orang lain kemudian suami yang baru ini menceraikannya dengan talak biasa kerana sesuatu sebab yang tertentu dan tidak merujukkannya hingga ia terpisah darinya.

Di waktu inilah sahaja harus bagi suaminya yang pertama berkahwin semula dengannya jika perempuan itu reda menerimanya sebagai suami yang baru.

Ibnu al-Arabi berkata: Ayat ini menyebut perkataan talak secara makrifah (iaitu disebut dengan al). Timbul perbezaan pendapat tentang apakah maksud penyebutan secara makrifah. Dalam hal ini ada empat pendapat:

* Ia bererti talak yang disyariatkan itu ialah dua kali. Justeru, talak yang bukan begini caranya tidak disyariatkan. Diriwayatkan daripada al-Hajjaj bin Arta’ah dan sekumpulan mazhab Rafidah, mereka mengatakan: Hal ini kerana Nabi Muhammad s.a.w diutuskan dengan tujuan untuk memberi penerangan tentang syarak. Justeru, sebarang perkara yang tidak mengikut ketetapan syarak, maka ia tidak disyariatkan.

* Ia bererti talak yang boleh dirujuk itu dua kali. Hal ini kerana orang jahiliah melakukan talak dan rujuk tanpa had. Lalu Allah s.w.t. menerangkan bahawa rujuk itu hanya boleh dilakukan pada dua kali talak sahaja.

* Ia bererti talak yang disunnahkan itu hanya dua kali. Inilah pendapat Imam Malik.

* Ia bererti talak yang harus itu hanya dua kali seperti pendapat Abu Hanifah.

Bagi mereka yang mengatakan, ia bererti talak yang disyariatkan, maka kenyataan ini adalah betul. Akan tetapi, dalam syarak itu ada hukum fardu, sunat, harus dan haram. Justeru apabila dikatakan ia talak yang disyariatkan maka ia membawa erti salah satu bahagian yang disyariatkan iaitu talak yang sunah. Kami telah menyebutkan bahawa selain itu ia tidak disyariatkan.

Namun terdapat banyak hadis dan athar serta ijmak menyatakan bahawa orang yang menceraikan isterinya talak dua atau tiga maka talak itu berlaku.

Firman Allah: Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu)

Al-Mawardi berkata: Mas kahwin sedangkan al-Alusi pula berkata daripada sedekah.

Firman Allah: kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah.

Al-Maraghi pula berkata: Hudud Allah dengan maksud segala hukumnya yang disyariatkan bagi suami isteri daripada baiknya hubungan dan tolong menolong dalam urusan rumah tangga serta mentarbiah anak.

Ada hadis yang datang mengenai sebab nuzul syarat ini, iaitu talak di permulaan Islam tidak dihadkan dengan bilangan kali yang tertentu. Seorang lelaki bebas merujukkan isteri yang diceraikannya dalam masa idah, kemudian menceraikannya semula dan merujukkannya balik. Demikianlah dia berbuat sesuka hatinya. Kemudian ada seorang Ansar berselisih faham dengan isterinya lalu dia menaruh dendam terhadapnya dan berkata: Demi Allah, aku tidak akan tinggal bersama awak, tetapi tidak pula berpisah dengan awak. Isterinya bertanya: Bagaimana? Jawabnya: Aku akan ceraikan awak dan apabila idah awak hampir habis aku akan rujukkan awak. Lalu perempuan itu menceritakan perkara ini kepada Rasulullah s.a.w., maka Allah menurunkan ayat ini.

Firman Allah: Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu).

Kebijaksanaan agama Allah yang dipegang oleh kaum Muslimin terus menerus menurunkan hukum-hukum apabila timbul keadaan yang memerlukan kepada hukum-hukum itu sehingga seluruh dasar agama itu lengkap dan sempurna dan tidak ada lagi yang tinggal kecuali membuat tafri’-tafri’ (mengeluarkan hukum-hukum dari dasar yang am) bagi kes-kes yang baru dan mengadakan jawapan-jawapan baginya yang diambil dari dasar yang am itu.

Firman Allah: Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

Terdapat dua pendapat tentang ayat ini:

Pertama: dikatakan ayat ini berkaitan dengan perkahwinan secara khusus. Ia merupakan pendapat jumhur.

Kedua: Ia membawa maksud ketaatan. Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibnu Abbas dan selainnya. Iaitu pendapat yang paling sahih. Hal ini kerana apabila salah seorang suami isteri tidak mentaati Allah dan tidak mentaati temannya kerana Allah, maka tidak ada kebaikan lagi mereka hidup bersama. Inilah pendapat yang dipilih oleh Ibnu al-Arabi.

Iktibar Ayat

* Ibnu al-Arabi berkata: Perkataan talak disebut dengan (al) iaitu makrifah dengan maksud yang tertentu, antaranya jenis talak yang disyariatkan dan disunnahkan.

* Berinteraksi dengan baik walaupun ketika berlakunya perceraian.

* Imam al-Syafie berkata: Perkataan ‘sarah’ yang bermaksud melepaskan termasuk dalam lafaz talak yang jelas.