MUQADDIMAH

Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Allah subhanahu wata’ala kerana dengan limpah kurnia ALLAH azza wa jalla, kita berjaya melaksanakan ibadah puasa Ramadhan sebulan (bagi yang puasa la kan). Dan sekarang kita berada dalam bulan Syawal. Bulan yang juga dimuliakan oleh Allah kerana padanya ada amalan berhari raya iaitu pada 1 syawal, dan padanya juga ada amalan berpuasa sunat yang amat besar ganjaran pahalanya, sebagaimana sabda Nabi sallallahu alaihi wasallam yang maksudnya,

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan , kemudian diikuti dengan 6 hari daripada Syawal, adalah seperti berpuasa setahun.”

MATEMATIK FADHILAT SETAHUN

Dikatakan bahawa ‘seperti setahun’ itu kerana 30 hari puasa Ramadhan itu bersamaan 10 bulan dan 6 hari syawal bersamaan 60 hari, maka jadilah 360 hari iaitu kira2 setahun. Setahun hijriyah bersamaan 355 hari kerana tahun hijri kurang 10 hari daripada tahun masihi yang ada 365 hari setahun.

kaedah kira2nya begini:

30 X 10 =300
6 X 10 = 60;
jadi, 300 +60= 360 HARI.

Kenapa didarab dengan 10? Ada hadis yang menyamakan 30 hari itu sama dengan 10 bulan dan 6 hari bersamaan dengan 60 hari. Juga berdasarkan kepada satu hadis yang bermaksud,

“Setiap amalan anak Adam digandakan baginya 10 (kali ganda) yang seumpamanya) hingga kepada 700 kali ganda… ..”

Jadi, kalau pakai gandaan yang paling minimum iaitu 10, maka hasilnya ialah 360 hari. BETUL TAK?

Bila Nak Mula Puasa tu?

Yang terbaik/afdhal ialah bermula 2 syawal hinggalah 7 syawal secara berturut2. Kemudian bolehlah beraya 6 pada 8 syawal.

Kalau nak puasa 1 syawal boleh ke?

Kalau serban sebesar bakul sekalipun, warak setara mana pun, alim sehebat mana sekalipun, tetap HARAM puasa pada 1 syawal. Hari tu khusus untuk kita berhari raya kerana menandakan kita sudah berjaya memfitrahkan diri kita kerana Aidil fitri itu sendiri bermaksud kita ‘KEMBALI KEPADA FITRAH’. Apa yang fitrahnya? Apabila kita dah berpuasa sebulan dengan penuh Keimanan dan Keikhlasan, mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Allah jalla wa ‘la, maka diri kita sudah dikira kembali kepada sediakala seperti waktu kita dilahirkan dahulu, iaitu dalam keadaan tiada dosa walau sebesar zarah sekalipun. Inilah HAKIKAT SEBENAR Hari Raya Aidil Fitri.

Kalau Puasa berselang seli dapat juga ke fadhilatnya?

Ya, Fadhilat puasa 6 syawal disebut dalam hadis secara umum, tidak dikhususkan dan dimestikan berturut2. Kalau berselang seli pun terhasil puasanya selagimana dalam bulan Syawal. Kalau puasa akhir syawal sekalipun, contohnya 29 syawal baru habis yang keenam, juga terhasil fadhilatnya. Cuma yang afdhalnya ialah ‘mutatabi’atan’ iaitu berturut2, tidak putus muwaalat harinya. Yang penting syarat sahnya mesti dalam BULAN SYAWAL!!

Kalau macam tu, kesian la kat pompuan yang uzur d bulan Ramadhan?Tak dapat fadhilat setahun la…

Menurut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’e, orang yang ada puasa qadha, wajib qadha puasa dahulu di bulan syawal sebelum puasa sunat. Kalau ada baki, maka bolehlah puasa sunat dalam bulan syawal. Tapi, Bagi orang yang luput sebulan Ramadhannya dan terpaksa ganti sebulan di bulan Syawal, maka dapat lagi fadhilat puasa 6 syawal kalau ia berpuasa dengan niat puasa 6 syawal di bulan Zul qaedah.

Kalau nak niat serentak puasa QADHA’ dan SUNAT SYAWAL, boleh ke??

Ulama’ berselisih pendapat dalam masalah ini. Ada yang kata boleh, ada yang kata tak boleh.
Dalam mazhab Syafi’e, setengah ulama’ mengharuskan niat serentak puasa qadha dan sunat syawal dan terhasil fadhilat puasa syawal dengan niat serentak. Setengah lagi mengatakan bahawa kalau hanya niat puasa qadha’ sahaja sekalipun, tetap dapat pahala fadhilat puasa 6 hari dalam syawal kerana umum hadis tidak menyebut sama ada puasa itu qadha ataupun puasa sunat !!

Jadi, tak payah niat serentak lah atas dasar mera’ikan kaedah ‘Khilaful Aula’, iaitu mera’ikan pandangan yang mengatakan Tidak Sah niat puasa serentak qadha’ dan sunat.

WALLAHU A’LAM.

Ibnu Abbas

Bismillahirrahmanirrahim

Tafsir Surah al Qadar.

1.Innaa anzalnahu fii lailatil qadr.

2.Wa maa adrooka maa lailatul qadr

3.Lailatul qadri khairummin alfi syahr.

4.tanazzalul malaa’ikatu warruuhu fiihaa bi iznirabbihim minkulli amr

5.saaalamun hiya hatta mathla’il fajr.

Maksudnya:

1.Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr.

2.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3.Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan

4.Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.

5.Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).

TAFSIRNYA

Lailatul Qadr juga dikenali dengan Lailatul Mubarakah sebagaimana yang disebut dalam firman Allah yang berbunyi, “Innaa anzalnahu fi lailatin mubaarakah.” yg maksudnya, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya(al Qur’an) pada malam yang penuh keberkatan”. Dan malam tersebut sudah pastinya di bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al Qur’an.” Ibn Abbas berkata: Allah telah menurunkan al Qur’an dalam jumlah yang satu(sekaligus) daripada lauh mahfuz ke baitul ‘Izzah di Langit Dunia. Kemudian ia diturunkan secara beransur-ansur berdasarkan kejadian yang berlaku sepanjang kehidupan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah selama tempoh 23 tahun.

Ayat 2 & 3-ASAL USUL SERIBU BULAN

Diriwayatkan daripada Ibnu Abi Hatim daripada Mujahid bahawa ada seorang lelaki dari Bani Israil, namanya Syam’un. beliau merupakan seorang pahlawan Islam yang berjuang di jalan Allah selama seribu bulan. Selama perjuangannya seribu bulan, beliau tidak pernah dikalahkan oleh musuhnya.

Ada pula riwayat Ibnu Jarir daripada Mujahid juga, mengatakan beliau (lelaki Bani Israil) itu pada malam harinya sentiasa mendirikan ibadah malam sehingga subuh, manakala pada siang harinya berjihad menentang musuh sehinggalah menjelang petang selama seribu bulan.

Hikayat Sham’un

Imam Al Ghazali menceritakan kisah Sham’un dengan agak terperinci. Kisahnya begini: Sham’un merupakan seorang pahlawan di kalangan Bani Israil dan beliau tidak pernah dikalahkan musuh. Suatu hari, musuh nya berbincang cara untuk menewaskan Syam’un. Lalu mereka menghantar utusan kepada Isteri Syam’un untuk memperdayakannya. Utusan tersebut membawa satu bejana ppenuh dengan emas dan meminta isteri Syam’un supaya mengikat suaminya pada malam hari. Akibat tamakkan emas, isterinya sanggup mengikat Syam’un pada malam harinya. Keesokkan paginya, apabila Syam’un bangkit dari tidur, dengan mudahnya tali yang mengikatnya terputus satu demi satu. Lalu beliau bertanya kepada isterinya kenapa beliau diikat? Jawab isterinya, dia mahu menguji kekuatan Syam’un. Apabila pihak musuh mengetahui bahawa rancangan tersebut gagal, mereka berputus asa. Kemudian Iblis datang menemui mereka dan menasihati mereka agar meminta isteri Syam’un tanya suaminya itu apakah rahsia kekuatannya? Pada malam nya, si isteri bertanyakan Syam’un tentang perkara itu. Syam’un yang pada awalnya keberatan memberitahu, akhirnya mendedahkan rahsia kekuatannya terletak pada lapan helai janggutnya yang panjangnya hingga ke tanah. Setelah Syam’un terlena, si isteri pun memotong janggut suaminya yang hanya lapan helai itu lalu diikatnya pada kaki dan tangan Syam’un. Pihak musuh datang menangkap Syam’un dan membawanya ke rumah pasung untuk diseksa. Mereka menyeksa Syam’un dengan memotong sedikit demi sedikit anggota tubuh Syam’un seperti telinga, mulut dan lain-lain. Lalu Syam’un yang berada dalam kesakitan , berdoa kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk melawan musuhnya. Tiba-tiba Allah memakbulkan doa Syam’un , dan Syam’un menarik ikatan yang mengikatnya pada tiang2 besar di rumah pasung itu hingga menyebabkannya runtuh lalu menimpa musuh2nya sehingga mati.

Sambungan Tafsir

Sufyan as Thauri berkata, “telah disampaikan kepada aku daripada Mujahid bahawa malam al qadr lebih baik daripada seribu bulan (maknanya): amalannya, puasanya, dan mendirikan malamnya adalah lebih baik dari seribu bulan. Dan daripada Mujahid, Malam al qadr lebih baik daripada seribu bulan yang tidak ada malam al qadr padanya.

Daripada Abi Hurairah radhiallahu anhu berkata bahawa Rasulullah bersabda, “ Barangsiapa yang mendirikan malam al qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keampunan dari Allah, diampunkan baginya dosanya yang telah lampau.”

Ayat 4-Malaikat Turun Bawa Rahmat dan Berkat

Malaikat-malaikat yang dimaksudkan dala ayat ialah malaikat rahmat yang membawa segala rahmat dan keberkatan pada malam itu. Banyaknya malaikat turun menandakan banyaknya keberkatan dan rahmat turun pada malam al qadr. Keadaan ini samalah ketika turunnya Malaikat kepada orang yang sedang membaca al Qur’an atau orang yang duduk dalam majlis /halaqah zikr. Mereka melingkungi orang yang berzikir serta melabuhkan sayap mereka ke atas orang2 yang menuntut ilmu kerana memuliakan penuntut ilmu.

Manakala ar Ruh pula ialah Malaikat Jibril alaihissalam.Adapun “membawa segala urusan” membawa maksud segala taqdir berkaitan ajal dan rezeki, dan ketentuan segala perkara sebagaimana disebut oleh qatadah.

Ayat 5-Sejahtera hingga Subuh

Sejahtera di sini bermaksud Syaitan tidak dibenarkan melakukan perkara 2 jahat pada malam itu. Kata Qatadah dan Ibn Zaid , Rasulullah bersabda, “ Salaamun hia” bermaksud baik seluruhnya , tidak ada padanya(malam al qadr) kejahatan hinggalah terbitnya fajr(Subuh).

Adapun antara tanda Malam al Qadr ialah berdasarkan kepada hadis2 di bawah:

Dari ‘Ubay Radhiyallahu ‘anhu, ia berkata : Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Artinya : Pagi hari malam Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan, seperti bejana hingga meninggi” [Hadits Riwayat Muslim 762]

Dari Abu Hurairah, ia berkata : Kami menyebutkan malam Lailatul Qadar di sisi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam beliau bersabda.

“Artinya : Siapa di antara kalian yang ingat ketika terbit bulan seperti syiqi jafnah” [4]

Dan dari Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, ia berkata : Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda.

“Artinya : (Malam) Lailatul Qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin, (dan) keesokan harinya cahaya sinar mataharinya melemah kemerah-merahan” [Tahayalisi 349, Ibnu Khuzaimah 3/231, Bazzar 1/486, sanadnya Hasan]

PENUTUP

Marilah kita sama2 mencari lailatul qadar pada malam2 yang ganjil sebagaimana sabda RASULULLAH yang baksudnya, “…Maka carilah ia sungguh2 pada 10 malam yang terakhir dari Ramadhan.”

Lailatul Qadr: Malam misteri yang dirindui kedatangannya

Ustaz Zainudin Hashim
Fri | Sep 28, 07 | 10:15:10 am MYT
Tazkirah Ramadan | Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.


Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr – atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: “Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan” (Surah al-Qadr, ayat 3) .

Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda baca ialah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka’ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu’awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. “Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27.”

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.”

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

Menghayati malam tersebut dengan ibadah

Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama’ cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba’diyah Isya’. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :

“Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :’Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu’ – [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :

“Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya’ berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :”Barangsiapa yang bersolat Isya’ berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami’ Saghir – 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya’, adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

“Barangsiapa yang solat Isya’ berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya’ dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama – 6342).”

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah.

Bulan Ramadhan bukan setakat bulan untuk melatih diri kita menjadi bertaqwa semata-mata. Bahkan natijah daripada Taqwa itu ialah ia membawa diri kita dan umat Islam seluruhnya ke arah kemenangan. Kalau nak menang, berperanglah dalam bulan Ramadhan kerana diri kita lebih dekat dengan ALLAH dan orang yang dekat dengan ALLAH ,sudah tentu lebih makbul doanya.

Berikut merupakan sebahagian besar catatan peristiwa penting dan bersejarah dalam bulan Ramadhan:

  1. Perang Badar yang terjadi pada tangal 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Perang Badar dianggap sebagai perang terbesar dan kemenangan terbesar yang diraih umat Islam di awal pertumbuhannya di Madinah.
  2. Fathu Makkah yang terjadi pada tahun ke lapan hijrah. Jihad ini merupakan kemenangan untuk menghancurkan tuhan-tuhan berhala dan menegakkan panji kebenaran.
  3. Pada Ramadhan tahun 9 Hijrah, Rasulullah saw. menerima utusan dari Tsaqif untuk membaiat Nabi Muhammad Saw.
  4. Pada Ramadhan tahun 15 Hijrah, terjadi perang Qadisiyyah dimana orang-orang Majusi di Persia ditumbangkan.
  5. Pada Ramadhan tahun 53 Hijrah, umat Islam memasuki pulau Rhodes di Eropah.
  6. Pada bulan Ramadhan tahun 91, umat Islam memasuki selatan Andalusia (Sepanyol sekarang)
  7. Pada Ramadhan tahun 92 H., umat Islam keluar dari Afrika dan membuka Andalus dengan komandan Thariq bin Ziyad
  8. Pada bulan Ramadhan tahun 132 H., Dinasti Umawiyah ditumbangkan dan berdirilah Daulah Abbasiyah.
  9. Pada bulan Ramadhan tahun 254 H., Mesir memisahkan diri dari daulah Abbasiyah dengan pimpinan Ahmad bin Thaulun.
  10. Pada Ramadhan tahun 361 H., dimulainya pembangunan Masjid Al-Azhar yang kelak menjadi universitas Al-Azhar di Kaherah.
  11. Pada bulan Ramadhan tahun 584 H., Sholahuddin Al-Ayyubi mulai menyerang tentara Salib di Siria dan berhasil mengusir mereka.
  12. Pada Ramadhan 658 H., Umat Islam berhasil menghancurkan tentera Tartar di perang “Ain Jalut”
  13. Pada Ramadhan tahun 675 H., Raja Bebes dan tentaranya berhasil mengusir tentara Salib secara total.
  14. Pada bulan Ramadhan 1393 tentara Mesir berhasil merebut terusan Suez dan mengusir tentara penjajah, Israel dari Sinai.

Demikianlah sebahagian peristiwa penting di bulan Ramadhan al mubarak. Kesimpulannya, Ramadhan adalah bulan KEMENANGAN, KEJAYAAN, KEGEMILANGAN, KECEMERLANGAN dan KETERBILANGAN dalam Islam.

ALLAHU AKBAR!!ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!!!