Memahami konsep kepimpinan menurut al-Quran dan as-Sunnah (Bahagian 1)

Ustaz Zainudin Hashim
Fri | Nov 30, 07 | 8:21:13 am
Tazkirah Jumaat | Aspek kepimpinan dalam Islam merupakan satu pendekatan bagi merealisasikan segala tuntutan Allah SWT yang termaktub dalam al-Quran dan ajaran baginda Rasulullah s.a.w yang terdapat dalam hadis atau sunnahnya.Pelaksanaan kepimpinan menurut tuntutan al-Quran dan ajaran Sunnah baginda Rasulullah s.a.w disifatkan sebagai antara perkara utama yang mesti dilakukan oleh setiap insan bernama muslim, kerana tanpanya segala tuntutan kedua-dua sumber syariat itu tidak akan terlaksana dengan sempurna.

Sehubungan itu, baginda Rasulullah ada menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud daripada Abu Said dan Abu Hurairah : “Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah mereka memilih salah seorang menjadi ketua (pemimpin).” Hadis riwayat Abu Daud dengan sanadnya yang Hasan.

Jelas daripada apa yang ditegaskan dalam hadis di atas, menunjukkan kalau orang Islam yang berada dalam keadaan musafir pun perlu memilih ketua bagi menghalakan perjalanan yang betul dan diredai Allah, apatah lagi mereka berada dalam keadaan bermukim dalam satu negara, daerah atau kawasan, sudah tentu memilih ketua (pemimpin) itu adalah menjadi lebih wajib bagi menentukan hala tuju rakyat dengan pelaksanaan hukum-hukum syariat Islam.

Ia tidak lain adalah untuk menjalankan segala amanah Allah seperti undang-undang Hudud, Qisas dan Ta’zir yang tersedia ada dalam al-Quran, kerana matlamat utama penciptaan manusia di muka bumi ini adalah menjalankan amanah tersebut.

Allah SWT menegaskan perkara ini menerusi ayat 72 surah al-Ahzab yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah(tugas atau urusan keagamaan) kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, akhirnya ia dipikul oleh (makhluk yang bernama) manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim lagi amat bodoh.”

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah, baginda Rasulullah s.a.w bersabda : “Jika amanah (urusan dan tugas keagamaan itu) hilang (kerana tidak dilaksanakan), maka tunggulah akan berlakunya kiamat, salah seorang sahabat bertanya – Bagaimana amanah itu boleh hilang (kerana tidak dilaksanakan)? Rasulullah menegaskan: “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah akan berlakunya kiamat.” Hadis riwayat Imam Bukhari dengan sanad yang sohih.

Apabila terdapat pemimpin umat Islam yang dipilih oleh rakyat, mengabaikan tanggungjawab serta tugas untuk mendaulatkan Syariat dan hukum-hukum Allah dengan mengenengahkan peraturan ciptaan manusia seperti Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme dan sebagainya, maka umat seluruhnya terseret kepada satu hala tuju hidup yang tidak berpaksikan kebenaran Islam yang akhirnya mengundang mereka kepada satu keadaan yang hina di sisi Allah SWT.

Justeru, tidak ada alasan kepada manusia muslim untuk tidak menjalankan amanah tersebut, kerana di atas pundak merekalah Allah menyerahkan tugas pelaksanaan urusan keagamaan, keengganan mereka untuk berbuat demikian akan menerima akibat yang buruk pada hari Kiamat, ini kerana Allah SWT telah membekalkan kepada mereka rujukan utama iaitu al-Quran yang menjadi mukjizat hingga berlakunya hari pembalasan.

Negara terbentuk dengan acuan yang disediakan para pemimpin

Apabila terdapat pemimpin yang cenderung kepada pendekatan fahaman selain Islam seperti yang dijelaskan di atas, maka mereka berusaha untuk menjadikan rakyatnya juga pengikut setia kepada pendekatan fahaman mereka walaupun ia tersasar jauh daripada kebenaran Islam.

Ia dapat dilihat jika pemimpin yang mentadbir negara merupakan pengamal kuat kepada fahaman Sekularisme yang memisahkan antara agama dan negara, maka mereka akan berusaha untuk mencorak dan menjadikan negara yang ditadbir itu beraliran fahaman tersebut, jika ia Sekularisme, maka akan disekularkan semua termasuk segala perancangan bagi membangun negara, tidak kurang juga rakyat dipalitkan sama agar percaya, menganut dan berpegang teguh kepada Sekularisme.

Perlu dinukilkan penjelasan di sini, berhubung satu riwayat yang dipetik oleh Imam at-Tabari dalam kitabnya ‘Tarikh at-Tabari’, kata-kata yang dipetik daripada salah seorang Nabi yang berbunyi : Pegangan agama rakyat (orang ramai) bergantung kepada pegangan para pemimpin mereka.

Selanjutnya Imam at-Tabari membuat perbandingan perbezaan pentadbiran negara yang pernah berlangsung di zaman pemerintahan Umawiyah, iaitu dari khalifah yang keenam al-Walid Bin Abdul Malik, khalifah yang ketujuh, Sulaiman Bin Abdul Malik dan khalifah yang kelapan iaitu Saidina Omar bin Abdul Aziz.

Ia menggambarkan bagaimana terdapat perbezaan yang ketara di antara corak pemerintahan ketiga-tiga khalifah di atas, di zaman khalifah al-Walid, beliau amat menitik-beratkan persoalan pembangunan kebendaan, maka rakyatnya turut terpalit dengan banyak bertanya dan bercakap tentang pembangunan, apabila tampuk pemerintahan beralih tangan kepada khalifah Sulaiman, beliau lebih suka memperkata soal keseronokan dan makan minum, maka rakyatnya diheret sama memperkata tentang keseronokan apabila bertemu di antara sama lain.

Berbeza dengan saidina Omar Bin Abdul Aziz, beliau mempunyai agenda serta wawasan yang tidak serupa dengan khalifah-khalifah sebelumnya yang kurang bercakap tentang aspek keagamaan, beliau amat menitik-beratkan persoalan agama dari segenap sudut, hingga rakyat yang dipimpinnya saling bertanya antara satu sama lain mengenai tentang Islam, al-Quran, penghafalan hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w, ibadat fardu dan sunat dan sebagainya.

Beliau turut terpanggil untuk menyeru para pemimpin dari pelbagai bangsa di dunia untuk menerima islam dengan baik, kerana beliau merasakan ia adalah menjadi tanggungjawabnya yang akan ditanya di hadapan Allah SWT.

Bagaimana pula dengan para pemimpin negara, yang kita sama-sama dapat saksikan saban hari dengan pelbagai tindakan yang mungkin menyebabkan ramai di kalangan penganut agama lain tidak berminat untuk berjinak apatah lagi memeluk Islam?

Tidakkah mereka merasa berdosa dengan tidak menunjukkan contoh teladan yang pernah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w agar ramai di kalangan rakyat negara ini menerima Islam dengan baik?

Apakah mereka masih mahu mengekalkan pangkat dan jawatan, sedangkan apa yang mereka lakukan itu tidak menepati Sirah Rasulullah s.a.w?

Persoalan pemimpin wanita yang tidak bertudung kepala (hijab) dianggap kecil dosanya, para menteri yang terlibat dengan mengaut kekayaan sepanjang bergelar menteri, penglibatan meluluskan premis-premis judi yang keterlaluan, amalan rasuah atau politik wang, jatuh menjatuh antara satu sama lain menjadi perkara biasa, sedangkan perkara itu mempunyai impak yang besar kepada rakyat jelata yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan pegangan agama.

Larangan meminang wanita dalam idah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma’ani: Wahai lelaki yang ingin berkahwin, sama ada dengan cara jelas kenyataannya atau secara sindiran, apatah lagi yang membabitkan perempuan yang dalam keadaan idah, maka di sana ada hukum yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t.

Alah berfirman: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).

Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan.

Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (al-Baqarah: 235)

Firman Allah: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).

Sonhaji berkata: Jika seseorang itu hendak meminang janda yang masih dalam idahnya, janganlah pinangan itu dikemukakan kepadanya secara berterus-terang.

Namun, hendaklah dengan sindiran, bayangan ataupun isyarat sahaja, misalnya ia berkata: “Puan ini seorang yang cantik rupanya dan solehah pula orangnya, sedang saya berazam benar hendak berumahtangga, semoga Allah memudahkan saya memperoleh perempuan yang solehah.”

Lain-lain misal ialah menggunakan gaya bahasa yang tidak tepat tetapi sopan. Ataupun dengan menyembunyikan hasrat yang ada dalam hati – tiada dilahirkannya dengan rangkaian kata-kata – hanya dilakukan misalnya dengan melawat-lawat ke rumahnya, atau memberi salam ataupun memberikan suatu hadiah kepadanya.

Ibn al-Arabi berkata: Tafsiran sindiran itu boleh dibahagikan kepada dua bahagian pokok iaitu:

* Menyebutkan kepada wali dengan kata: “Janganlah kamu dahuluiku terhadapnya.”

* Menyebutkan perkara itu kepada wanita tersebut tanpa orang tengah. Jika perkara itu disebutkan sendiri kepada wanita tersebut, maka ada tujuh bentuk kata-kata yang diucapkan :

Lelaki berkata kepada wanita itu: Aku ingin berkahwin.

“Jangan dahulukan dirimu daripadaku.” Dikatakan oleh Ibn Abbas,

“Kamu ini cantik dan saya memang perlukan wanita, dan Allah meletakkan kebaikan kepada anda.

“Kamu memang laris.” Dikatakan oleh Ibn al-Qasim.

“Aku ada hajat, terimalah berita gembira bahawa kamu ini laris.” Wanita itu boleh menjawab: “Aku telah dengar apa yang kamu katakan. Dia tidak boleh menambah sesuatu selain itu.” Dikatakan oleh Atta’.

Diberikan hadiah kepada wanita itu. Dikatakan oleh Ibrahim, jika biasanya lelaki itu memberikan hadiah.

Diberikan hadiah tetapi jangan diambil janjinya. Dikatakan oleh al-Sya’bi.

Firman Allah: Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu.

Sonhaji berkata: Allah mengetahui akan hasrat hati seorang terhadap perempuan yang hendak dipinangnya, tiadalah ia menjadi larangan. Yang dilarang ialah berjanji kepada perempuan itu hendak mengahwininya, kecuali jika membahasakan dengan cara yang patut iaitu dengan memberitahukan walinya, dan mengemukakan pinangannya itu setelah selesai idahnya.

Maksud rahsia atau sulit yang disebut oleh ayat ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn al-Arabi: Kamu dilarang daripada berterus terang untuk berkahwin dan melakukan akad nikah, tetapi kamu dibenarkan menyebutnya secara sindiran. Oleh itu, apabila kamu menyebutkannya secara sindiran, maka jaga-jagalah jangan sampai kamu membuat janji untuk berkahwin semasa waktu kamu dilarang melakukan akad kahwin dengan mereka.

Para ulama berselisih pendapat tentang rahsia/ sulit yang disebutkan dalam ayat ini. Ada tiga pendapat tentangnya:

* Ia bermaksud zina.

* Ia bermaksud persetubuhan.

* Ia bermaksud menyatakan secara terus terang.

Al-Tabarani memilih pendapat yang mengatakan ia bermaksud zina berdasarkan kata-kata A’sya yang bermaksud:

Jangan kamu hampiri si gadis kerana rahsianya haram ke atas kamu, maka kahwinilah dia atau pencilkan diri.

Perkataan al-Sir (rahsia / sulit) dari sudut bahasa mempunyai banyak pengertian.

Bicara yang diucapkan secara rahsia dan disembunyikan apa yang terselindung.

* Sir al-Wadi (tebing lembah).

* Sir al-Syai’ (yang terbaik).

* Zina.

* Persetubuhan.

* Faraj wanita.

* Sir al-Shahr (malam-malam yang tidak kelihatan bulan sabit)

Kesemua pengertian ini ada yang boleh dipadankan antara satu sama lain, di mana maksud yang merangkumi semua pengertian itu ialah ‘tersembunyi’. Maksud ini adakalanya umum kepada sesuatu dan adakalanya khusus kepada yang lain.

Perhatikan perkataan yang bermaksud yang terbaik kerana ia tersembunyi dan terpelihara. Perkataan yang bermaksud tebing lembah kerana tebing itulah yang paling elok, kerana keindahan lembah itu hanya dapat dinikmati apabila kita duduk di atas tebingnya bukan di dalam lembahnya. Kerana itulah dinamakan Surriyyah (perempuan simpanan/khadam wanita) kerana dia diambil untuk tujuan persetubuhan.

Perkataan khadam (bagi wanita) digunakan untuk mereka yang diambil untuk bekerja dan disetubuhi. Wanita yang diambil untuk tujuan disetubuhi dipanggil surriyyah yang berakar kata daripada perkataan surur (seronok). Kerana itulah juga faraj wanita dinamakan sir kerana ia adalah tempat untuk berseronok.

Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud: Jangan kamu membuat janji kepada mereka untuk bernikah atau bersetubuh, kerana ia merupakan janji yang diharamkan kepada kamu semasa dalam idah, disebabkan mereka diharamkan berkahwin semasa dalam idah sampai waktu tertentu, maka diharamkan juga membuat janji semasa dalam idah itu.

Firman Allah: Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun, yakni tiada menyegerakan seksa-Nya kepada orang yang derhaka kepada-Nya, bahkan dengan adanya sifat penyantun itu, ditutupi-Nya kesalahan hamba-Nya.

Iktibar Ayat

– Tidak boleh meminang seseorang perempuan dalam idah.

– Berkahwin semasa idah kemudian bersekedudukan hendaklah difasakh dan tidak berkahwin selamanya. Inilah pendapat Malik, Ahmad dan al-Sya’bi.

– Islam menggalakkan perkahwinan tetapi mengikut adab dan syarat-syaratnya.

ambe siarkan artikel menarik drp Ust Abdul Ghani Shamsuddin sempena peristiwa BERSIH H100K baru2 ni.

(selanjutnya…)

 Sempena Bulan Syawal yang mulia ini marilah bersama menghayati sirah Rasulullah SAW dalam peperangan Ahzab.
Tanggal 7 Syawal 5 Hijrah menyaksikan peristiwa Perang Ahzab berlaku setelah kesedihan menimpa kaum Muslimin, akibat keguguran ramai para syuhada didalam Peperangan Uhud.

Kaum Quraisy ingin menumpaskan kesemua kaum Muslimin. Mereka menubuhkan satu pasukan perang yang besar. Ribuan pasukan yang terdiri dari puak Quraisy dan sekutunya yang terdiri daripada kaum Quraisy, Bani Asad, bani Kilab, bani Syaiban, bani Ghatfan dan hampir seluruh kabilah yang sepakat akan menyerang kaum muslimin di kala itu.

Mereka semua berjumlah tidak kurang daripada 10 ribu orang sedangkan di pihak Islam berjumlah 3000 orang sahaja. Mereka berkumpul dan mengepung dari Utara Madinah. Sementara itu, pakatan Kaum Yahudi Madinah daripada Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah menyaksikan penyatuan golongan yang membenci agama Allah ini dalam memerangi Rasulullah SAW dan Islam yang diperjuangkan oleh mereka.

Setelah peristiwa pembunuhan Kaab bin Asyraf, seorang yahudi yang menghina Nabi SAW dan Islam pada tahun 4 Hijrah, kebencian golongan Yahudi ini membuak buak sehinggakan mereka sanggup menyatakan bahawa agama sesat golongan quraisy Mekah adalah lebih baik daripada Islam sedangkan mereka merupakan golongan yang mengetahui Al Kitab dan beriman dengan Nabi Allah Musa A.S.

Dengan pimpinan Kaab bin Asad yang dihasut oleh Huyayy bin Akhtab, kedua dua pemimpin yahudi laknat ini telah berpakat sesama mereka dan bersatu dengan musyrikin Makkah untuk menyerang Madinah. Salman al farisi telah mencadangkan kepada Nabi SAW supaya dibuat parit yang mengelilingi Madinah supaya serangan tentera Ahzab tidak dapat menembusi Madinah. Lalu Rasulullah SAW bersama para sahabat dengan iman yang kental memulakan pembinaan parit tersebut untuk mempertahankan Islam.

Pada saat kedatangan tentera Ahzab ini, kaum Yahudi menyerang kaum muslimim dari belakang dan tentera musyrikin menyerang dari arah hadapan.Tentera bersekutu Ahzab kuffar seramai 10,000 orang yang tiba ke tempat peperangan terkejut apabila mendapati parit digali tentera Islam. Ia adalah pengalaman strategi berperang yang baru kepada mereka.

Rasullulah SAW telah berdoa sebagaimana riwayat dari Abdullah bin Abu Aufa r.a katanya, Rasulullah s.a.w di hari perang Ahzab mengucapkan:”Ya Allah, yang menurunkan kitab dan cepat membuat perhitungan! Kalahkanlah kaum Ahzab dan goncangkanlah pendirian mereka.”

Tentera Islam yang hanya berjumlah 3,000 orang mampu bertahan. Pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini. Enam tentera Islam syahid, manakala 10 Musyrikin dibunuh.Akhirnya, Allah mendatangkan kemenangan dengan ribut pasir, menyebabkan tentera musuh berundur, dengan pertolongan Allah S.W.T bala tentera yang ramai itu dapat dikalahkan oleh kaum tentera muslimin yang sedikit.

Allah S.W.T menggambarkan situasi ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepada kalian ketika datang kepada kalian pasukan, lalu Kami mengirimkan kepada mereka angin taufan dan pasukan yang tidak dapat kamu lihat. (al-Ahzab: 9-11).

Berlaku juga kacau-bilau antara mereka apabila pengintip yang dihantar Rasulullah berjaya melonggarkan kepercayaan antara tentera Ahzab. Allah SWT telah menewaskan tentera Ahzab dengan keesaanNya.

Pengajaran perang Ahzab menunjukkan kepada kita bahawa perjuangan Islam pasti akan menghadapi pakatan kuffar untuk menghancurkan Islam dengan apa cara sekalipun. Golongan yang menegakkan agama Allah SWT sentiasa akan diuji dengan serangan yang dilakukan oleh pakatan Ahzab moden yang sangat membenci Islam.

Dunia hari ini memperlihatkan golongan kuffar bersepakat dalam melakukan serangan yang dilakukan kepada Negara ummat Islam. Islam, syariat Islam, serta golongan yang memperjuangkan Islam sentiasa menjadi sasaran mereka.

Tidak banyak bezanya dengan apa yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan orang orang beriman dizaman dahulu. Jika dahulu Madinah diserang daripada segenap arah, maka kita hari ini juga diserang dari pelbagai arah. Daripada serangan fizikal hinggalah kepada serangan pemikiran, politik, ekonomi, budaya, kebencian golongan kuffar terhadap agama Allah SWT sangat membuak buak dan mereka sentiasa bersedia untuk menghancurkan Islam dan ummatnya pada hari ini.

Tetapi mereka mesti ingat, Allah menjanjikan pertolongan bagi orang-orang beriman dan mengazab musuh-musuhnya. Ini adalah janji yang tidak mungkin diingkari.

Selain dalam peperangan Ahzab, Allah S.W.T juga telah menolong kaum muslimin dalam peperangan-peperangan yang lain seperti yang berlaku didalam peperangan Badar, Uhud dan Khaibar. Sesungguhnya al- Maunah (pertolongan Allah) pasti datang apabila kita ikhlas dalam perjuangan Islam.


 

MUQADDIMAH

Alhamdulillah syukur kita ke hadrat Allah subhanahu wata’ala kerana dengan limpah kurnia ALLAH azza wa jalla, kita berjaya melaksanakan ibadah puasa Ramadhan sebulan (bagi yang puasa la kan). Dan sekarang kita berada dalam bulan Syawal. Bulan yang juga dimuliakan oleh Allah kerana padanya ada amalan berhari raya iaitu pada 1 syawal, dan padanya juga ada amalan berpuasa sunat yang amat besar ganjaran pahalanya, sebagaimana sabda Nabi sallallahu alaihi wasallam yang maksudnya,

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan , kemudian diikuti dengan 6 hari daripada Syawal, adalah seperti berpuasa setahun.”

MATEMATIK FADHILAT SETAHUN

Dikatakan bahawa ‘seperti setahun’ itu kerana 30 hari puasa Ramadhan itu bersamaan 10 bulan dan 6 hari syawal bersamaan 60 hari, maka jadilah 360 hari iaitu kira2 setahun. Setahun hijriyah bersamaan 355 hari kerana tahun hijri kurang 10 hari daripada tahun masihi yang ada 365 hari setahun.

kaedah kira2nya begini:

30 X 10 =300
6 X 10 = 60;
jadi, 300 +60= 360 HARI.

Kenapa didarab dengan 10? Ada hadis yang menyamakan 30 hari itu sama dengan 10 bulan dan 6 hari bersamaan dengan 60 hari. Juga berdasarkan kepada satu hadis yang bermaksud,

“Setiap amalan anak Adam digandakan baginya 10 (kali ganda) yang seumpamanya) hingga kepada 700 kali ganda… ..”

Jadi, kalau pakai gandaan yang paling minimum iaitu 10, maka hasilnya ialah 360 hari. BETUL TAK?

Bila Nak Mula Puasa tu?

Yang terbaik/afdhal ialah bermula 2 syawal hinggalah 7 syawal secara berturut2. Kemudian bolehlah beraya 6 pada 8 syawal.

Kalau nak puasa 1 syawal boleh ke?

Kalau serban sebesar bakul sekalipun, warak setara mana pun, alim sehebat mana sekalipun, tetap HARAM puasa pada 1 syawal. Hari tu khusus untuk kita berhari raya kerana menandakan kita sudah berjaya memfitrahkan diri kita kerana Aidil fitri itu sendiri bermaksud kita ‘KEMBALI KEPADA FITRAH’. Apa yang fitrahnya? Apabila kita dah berpuasa sebulan dengan penuh Keimanan dan Keikhlasan, mengharapkan keampunan dan ganjaran daripada Allah jalla wa ‘la, maka diri kita sudah dikira kembali kepada sediakala seperti waktu kita dilahirkan dahulu, iaitu dalam keadaan tiada dosa walau sebesar zarah sekalipun. Inilah HAKIKAT SEBENAR Hari Raya Aidil Fitri.

Kalau Puasa berselang seli dapat juga ke fadhilatnya?

Ya, Fadhilat puasa 6 syawal disebut dalam hadis secara umum, tidak dikhususkan dan dimestikan berturut2. Kalau berselang seli pun terhasil puasanya selagimana dalam bulan Syawal. Kalau puasa akhir syawal sekalipun, contohnya 29 syawal baru habis yang keenam, juga terhasil fadhilatnya. Cuma yang afdhalnya ialah ‘mutatabi’atan’ iaitu berturut2, tidak putus muwaalat harinya. Yang penting syarat sahnya mesti dalam BULAN SYAWAL!!

Kalau macam tu, kesian la kat pompuan yang uzur d bulan Ramadhan?Tak dapat fadhilat setahun la…

Menurut pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’e, orang yang ada puasa qadha, wajib qadha puasa dahulu di bulan syawal sebelum puasa sunat. Kalau ada baki, maka bolehlah puasa sunat dalam bulan syawal. Tapi, Bagi orang yang luput sebulan Ramadhannya dan terpaksa ganti sebulan di bulan Syawal, maka dapat lagi fadhilat puasa 6 syawal kalau ia berpuasa dengan niat puasa 6 syawal di bulan Zul qaedah.

Kalau nak niat serentak puasa QADHA’ dan SUNAT SYAWAL, boleh ke??

Ulama’ berselisih pendapat dalam masalah ini. Ada yang kata boleh, ada yang kata tak boleh.
Dalam mazhab Syafi’e, setengah ulama’ mengharuskan niat serentak puasa qadha dan sunat syawal dan terhasil fadhilat puasa syawal dengan niat serentak. Setengah lagi mengatakan bahawa kalau hanya niat puasa qadha’ sahaja sekalipun, tetap dapat pahala fadhilat puasa 6 hari dalam syawal kerana umum hadis tidak menyebut sama ada puasa itu qadha ataupun puasa sunat !!

Jadi, tak payah niat serentak lah atas dasar mera’ikan kaedah ‘Khilaful Aula’, iaitu mera’ikan pandangan yang mengatakan Tidak Sah niat puasa serentak qadha’ dan sunat.

WALLAHU A’LAM.

Ibnu Abbas

Tazkirah Ramadan

Setelah penghijrahan baginda Nabi s.a.w ke Madinah, permusuhan kaum kafir Quraish terhadap umat Islam masih belum reda.

Penyiksaan dan gangguan mereka kepada kaum muslimin yang masih berada di Mekah dan tidak dapat keluar dari kota itu semakin menjadi-jadi.

Pada sudut yang lain pula harta benda yang ditinggalkan oleh mereka yang telah berhijrah ke Madinah dirampas oleh Quraish.

Hal inilah yang menjadi dasar bagi baginda Rasulullah s.a.w untuk menyekat kafilah dagang Quraish yang melintas dekat Madinah dalam perjalanan perniagaan menuju Syam atau dari Syam menuju Mekah.

Tahun kedua hijrah, Rasulullah s.a.w bersama 313 sahabatnya bergerak menuju Badar untuk menyekat kafilah Quraish yang membawa harta berlimpah hasil dari perniagaan di Syam.

Setelah mendengar berita itu, Abu Sufyan, yang memimpin kafilah ini, mengirimkan utusannya ke Mekah untuk meminta bantuan tentara Quraish dalam menghadapi ancaman ini.

Bagi Quraish, sekatan kafilahnya oleh kaum muslimin tidak bererti kerugian harta tetapi apa yang paling penting baginya ialah kehormatan suku besar di Mekah ini.

Untuk itu, Abu Jahl yang merupakan salah seorang bangsawan terkemuka Quraish bersama seribu orang lengkap dengan peralatan perang meninggalkan kota Mekah dan bergerak menuju Badr.

Sementara kafilah pimpinan Abu Sufyan dengan melintasi jalan alternatif berjaya meloloskan dari sekatan kaum muslimin.

Abu Sufyan mengirimkan utusannya untuk meminta Abu Jahl kembali ke Mekah kerana baginya dia telah berjaya melepaskan diri daripada sekatan bahaya itu.

Namun pesanan itu ditolak oleh Abu Jahl beliau segera bersiap untuk berperang bagi menghadapi pasukan Islam Madinah.

Di Badar, pasukan muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w telah bersiap siaga sepenuhnya. Pasukan kecil berjumlah 313 orang dan peralatan yang ala kadarnya, siap menghadapi seribu orang di barisan Quraish yang lengkap bersenjata.

Namun keimanan yang dimiliki oleh umat Islam menjadi sandaran dan pendorong mereka untuk tegar dan siap menanti kematian di jalan Allah yang basalannya adalah syurga.

Tepat pada tarikh 17 Ramadan tahun kedua hijrah, perang di Badar berkecamuk setelah dimulai dengan konfrantasi iaitu satu lawan satu antara tiga pihak dari dua barisan perang.

Satu demi satu wakil musuh terkorban. Darah bersimbah di sana sini. Tak lama, berita tersebar bahwa Abu Jahl yang pernah disebut Rasulullah sebagai Firaun di tengah umat ini tewas di tangan pasukan muslimin.

Dengan terbunuhnya Abu Jahl dan beberapa pemuka Quraish di medan perang Badar menjadi pukulan hebat bagi pasukan Mekah yang akhirnya memilih untuk melarikan diri.

Dalam perang Badar, pasukan Quraish menderita kerugian tujuh puluh tewas dan tujuh puluh yang lain menjadi tawanan.

Sementara barang rampasan perang yang ditinggalkan bukanlah jumlah yang sedikit, dianggarkan sebanyak 150 unta, sepuluh kuda, sejumlah kulit dan kain, serta peralatan perang ditinggalkan oleh pasukan Mekah yang lari tunggang langgang menyelamatkan diri.

Suasana pada malam tercetusnya perang di Badar

Malam itu terjadi beberapa keajaiban, perasaan takut dan tertekan yang ada pada kaum Muslimin tiba-tiba hilang, pasukan Islam menikmati malam itu dengan senang dan tenang, dan akhirnya tertidur dengan puas.

Hujan pun turun, membasahi pasir padang Badar sehingga menjadi padat dan lembut apabila dipijak (pasir dalam keadaan kering, seperti pasir pantai, membuat susah berjalan). Inilah seperti yang dijanjikan Allah dalam Al Anfaal (surat kedelapan) ayat 8:

“(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu ketenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan setan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki (mu).”

Subuh hari, Abu Bakar “menganggu” ibadah Rasul karena kafir Quraish sudah semakin hampir mendekati umat Islam.

Pasukan Islam dengan segera membuat persiapan, ketika pasukan kafir Quraish sudah kelihatan jelas oleh Rasul, Rasul memanjatkan doa, “Ya Allah! Kaum kafir Quraish yang enggan untuk menyembahMu dan mendustai utusanMu sudah berada di sini. Ya Allah, kami menunggu dan megharapkan daripadaMu kemenangan yang Engkau janjikan kepadaku dan sahabat-sahabatku. Kami memohon kepadaMu, ya Allah, untuk mengalahkan mereka.”

Rasulullah minta pendapat sahabat sebelum berangkat ke Badar

Sebaliknya pihak Muslimin, yang sudah kehilangan kesempatan mendapatkan harta rampasan, sudah sepakat akan bertahan terhadap musuh bila diserang.

Oleh karena itu merekapun segera berangkat ke tempat mata air di Badar itu, dan perjalanan ini lebih mudah lagi karena waktu itu hujan turun.

Setelah mereka sudah mendekati mata air, Rasulullah berhenti. Ada seseorang yang bernama Hubab bin Munzir bin Jamuh, orang yang paling mengetahui atau disifatkan sebagai seorang pakar tentang mengenal tempat itu, setelah melihat Nabi turun di tempat tersebut, dia bertanya: “Rasulullah, bagaimana pendapat tuan untuk berhenti di tempat ini? Kalau ini sudah wahyu Tuhan, kita takkan maju atau mundur setapakpun dari tempat ini. Ataukah ini sekadar pendapat tuan sendiri, suatu taktik perang belaka?”

“Sekadar pendapat saya dan sebagai taktik perang,” jawab Rasulullah.

“Rasulullah,” katanya lagi. “Kalau begitu, tidak tepat kita berhenti di tempat ini. Mari kita pindah sampai ke tempat mata air terdekat yang tahu tempat itu dengan penuh yakin, lalu telaga-telaga kering yang di belakang itu kita timbun setelah diambil airnya. Selanjutnya kita membuat kolam, kita isi sepenuhnya. Barulah kita hadapi mereka berperang. Kita akan mendapat air minum, mereka tidak.”

Melihat saran Hubab yang begitu tepat itu, Nabi Muhammad dan rombongannya segera pula bersiap-siap dan mengikut pendapat temannya itu, sambil mengatakan kepada sahabat-sahabatnya bahawa dia juga manusia seperti mereka, dan bahawa sesuatu pendapat itu dapat dimusyawarahkan bersama-sama dan dia tidak akan menggunakan pendapat sendiri di luar mereka. Dia perlu sekali mendapat konsultasi yang baik dari sesama mereka sendiri.

Selesai kolam itu dibuat, Sa’d b. Mu’az memberikan usulnya: “Rasulullah,” katanya, “kami akan membuatkan sebuah dangau buat tempat Tuan tinggal, kenderaan Tuan kami sediakan. Kemudian biarlah kami yang menghadapi musuh. Kalau Tuhan memberi kemenangan kepada kita atas musuh kita, itulah yang kita harapkan.

“Tetapi kalau pun sebaliknya yang terjadi; dengan kenderaan itu Tuan dapat menyusul teman-teman yang ada di belakang kita. Rasulullah, masih banyak sahabat-sahabat kita yang tinggal di belakang, dan cinta mereka kepada tuan tidak kurang dari cinta kami ini kepada tuan.

“Sekiranya mereka dapat menduga bahawa tuan akan dihadapkan pada perang, nescaya mereka tidak akan berpisah dari tuan. Bagi mereka Tuhan menjaga tuan. Mereka benar-benar ikhlas kepada tuan, berjuang bersama tuan.”

Nabi Muhammad s.a.w sangat menghargai dan menerima baik saranan Sa’d itu. Sebuah dangau buat Nabi lalu dibangunkan. Jadi bila nanti kemenangan bukan di tangan Muslimin, ia takkan jatuh ke tangan musuh, dan masih akan dapat bergabung dengan sahabat-sahabatnya di Yathrib.

Di sini orang perlu berhenti sejenak dengan penuh kekaguman, kagum melihat kesetiaan Muslimin yang begitu dalam, rasa kecintaan mereka yang begitu besar kepada Rasulullah, serta dengan kepercayaan penuh kepada ajarannya.

Semua mereka mengetahui, bahawa kekuatan Quraish jauh lebih besar dari kekuatan mereka, jumlahnya tiga lipat ganda banyaknya. Tetapi, sungguhpun begitu, mereka sanggup menghadapi, mereka sanggup melawan.

Dan mereka inilah yang sudah kehilangan kesempatan mendapatkan harta rampasan. Tetapi sungguhpun begitu karena bukan pengaruh kebendaan itu yang mendorong mereka bertempur, mereka selalu siap disamping Nabi, memberikan dukungan, memberikan kekuatan.

Dan mereka inilah yang juga sangsi, antara harapan akan menang, dan kecemasan akan kalah. Tetapi, sungguhpun begitu, fikiran mereka selalu hendak melindungi Nabi, hendak menyelamatkannya dari tangan musuh. Mereka menyiapkan jalan baginya untuk menghubungi orang-orang yang masih tinggal di Medinah.

Suasana yang bagaimana lagi yang lebih patut dikagumi daripada ini? Iman mana lagi yang lebih menjamin akan memberikan kemenangan seperti iman yang ada ini?

Menentukan nasib 70 orang tawanan

Baginda Rasulullah s.a.w mencari kesempatan dan ruang ada untuk bertemu dua sahabat terdekatnya bagi meminta pandangan mereka berdua berhubung isu tawanan.

Abu Bakar menyatakan bahawa setiap seorang daripada mereka mengajar sepuluh anak orang Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, agar kesemua mereka hingga berjumlah 700 anak orang-orang Islam menjadi pandai dan celik ilmu, inilah juga pandangan peribadi Rasulullah s.a.w.

Walau bagaimanapun, Omar tidak bersetuju dengan pandangan itu, beliau mencadangkan agar setiap mereka itu dibunuh sahaja, kerana merekalah penyebab kepada masalah syirik dan penentangan terhadap ajaran-ajaran baginda Rasulullah kalau masih mahu mereka terus hidup.

Rasulullah tidak dapat berkata apa-apa terhadap dua pandangan yang sama sekali bercanggah antara satu sama lain, namun pada malam itu baginda menerima turunnya wahyu Ilahi agar kesemua tawanan itu dihapuskan dari muka bumi ini, kisah itu dirakan menerusi ayat 67 surah al-Anfal : “Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai (menyimpan) tawanan sebelim ia dapat melumpuhkan musushnya di muka bumi. Kamu mengharapkan harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat untukmu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Keesokan harinya, baginda bertemu semula dengan dua orang sahabat karibnya bagi menyatakan ketegasan Allah mengenai masalah tawanan, sambil baginda menyifatkan sikap Abu Bakr seperti Nabi Nuh dan Isa dan menyifatkan sikap Omar seperti Nabi Ibrahim dan Musa yang sentiasa tegas dalam segenap tandak-tanduknya.

Akhirnya baginda Rasulullah s.a.w menyatakan arahan Allah supaya kesemua tawanan itu perlu dihapuskan daripada muaka bumi ini dengan segera sebelum berbagai-bagai tindakan lain muncul bagi melemahkan Islam dan umatnya.

Mengapa perang ini begitu istimewa?

Pertama, karena Perang ini Rasulullah beserta pasukannya mengalami kemenangan meskipun hanya berjumlah 313 orang sahabat (terdiri dari 82 Muhajirin, 61 dari suku Aus dan 170 dari suku Kharaj) serta pasukan kaum muslimin hanya memiliki dua ekor kuda dan 70 ekor unta, bahkan satu ekor dinaiki sampai dua tiga orang.

Kedua, baginda mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum berangkat ke Badr, sesungguhnya tindakan baginda itu tidak sedikitpun mengurangkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin tertinggi umat Islam dan perkara bagi menentukan nasib para tawanan yang berjumlah seramai 70 orang, baginda meminta pandangan dua orang sahabatnya yang terdekat iaitu Saidina Abu Bakr dan Saidina Omar Bin al-Khattab untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Ketiga, peranan doa yang diajarkan oleh baginda menjadi teras dan pemangkin sebelum sesuatu tindakan dibuat, ia bertujuan untuk mendapatkan keredaan dan restu Allah.

Keempat, walaupun menghadapi suasana getir dalam peperangan, ia sedikitpun tidak mengalang umat Islam daripada terus berpuasa, apatah lagi ia merupakan arahan Rasulullah dan pelengkap kepada rukun Islam yang lima.

Kelima, jumlah yang sedikit bukan ukuran untuk mudah dikalahkan, yang penting kesungguhan, keutuhan jati diri, kerjasama dan perancangan yang hebat menjadi penentu kepada sesuatu kejayaan.

Keenam, kepatuhan kepada arahan pimpinan yang tidak berbelah bagi dalam perkara yang tidak menyanggah agama, menjadi faktor utama keberhasilan mendapatkan kejayaan.

Ketujuh, mengetahui sumber peralatan perang pihak musuh seperti pengetahuan Nabi terhadap bilangan unta yang dimiliki tentera Quraish boleh membantu melancarkan strategi peperangan.

Kelapan, menghantar wakil bertemu pihak musuh dari kalangan individu yang hebat seperti Saidina Hamzah, Saidina Ali boleh menggerunkan pihak musuh, kerana mereka beranggapan bahawa pihak umat Islam memiliki pasukan perang terkuat yang sukar dikalahkan.

Kesembilan, menghalakan niat dan matlamat perang menghadapi musuh adalah kerana Allah dan meninggikan syiar-syiar agama-Nya, bukan atas tujuan meraih harta dan habuan dunia yang melalaikan.

Kesepuluh, cara berfikir yang bernas patut dilontarkan ketika mengadakan sesuatu perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian seperti yang dilakukan oleh Abu Bakr dan Omar bagi menyelesaikan isu tawanan perang. Kesebelas, sebagai seorang Nabi, baginda tidak sedkitpun rasa malu untuk menerima pandangan dari sahabatnya yang bukan bertaraf Nabi atau Rasul dalam isu-isu tertentu bagi mencari jalan penyelesaiannya.

Keduabelas, sesungguhnya banyak pengajaran positif yang perlu diambil kira oleh setiap individu muslim yang cintakan agamanya ke arah satu tahap kekuatan dalam pelbagai aktiviti harian hidup mereka.

Doa Ya Amanal Khaifin Berasal Daripada Kaum Yahudi?
 
“Ya amanal khaifin aminna mimma nakhaf, Ya amanal kha’ifin sallimna mimma nakhaf, Ya amanal kha’ifin najjina mimma nakhaaf.”  

Ada beberapa persoalan ditimbulkan berhubung dengan doa tersebut.

Pertama ialah perkataan aman. Siapa itu aman, kerana sekiranya dirujuk kepada sifat-sifat Allah s.w.t, yang sembilan puluh sembilan, tiada terdapat perkataan tersebut.

Di dalam al-Quran surah al-Israk (17), ayat 110, Allah s.w.t, berfirman
yang bermaksud: “Berdoalah kamu dengan menyebut Allah atau Ar Rahman atau mana-mana Asmaaul Husna dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solat dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu.” 

Apabila dirujuk kepada Asmaaul Husna maka jelas tidak terdapat kalimat Aman. Syeikh Muhammad al Mandili, guru di Masjid al Haram, Makkah, melarang umat Islam berdoa dengan doa tersebut kerana katanya doa tersebut asalnya doa orang-orang Yahudi. Menurut Syeikh Muhammad, pengikut Nabi Musa a.s, terbahagi kepada dua golongan. Pertama golongan yang benar-benar beriman dengan Nabi Musa a.s.
Golongan satu lagi ialah golongan yang berbelah bagi kerana sungguh
pun mereka beriman dengan Nabi Musa a.s, tetapi hati mereka masih takut kepada Firaun.

Akhirnya golongan ini datang menemui Haman (Perdana Menteri Firaun) meminta perlindungan. Lalu mereka beramai-ramai merayu-merayu dengan ungkapan berikut:  

 

Ya Haman, aminna mimma nakhaf. Ya Haman, salimna mimma nakhaf. Ya Haman, najjina mimma nakhaf. 
Maksudnya: Wahai Haman tenteramkan kami, kami takut (kepada Firaun). Wahai Haman, selamatkan kami, kami takut. Wahai Haman, lepaskan kami, kami takut.
Pendita Yahudi telah membuang huruf `ha’ (abjad Arab) atau `h’, dengan tujuan untuk menyelewengkan masyarakat Islam, khususnya mereka yang tidak memahami bahasa Arab. Oleh itu, sesiapa yang tahu asal usulnya dan masih lagi mengamalkan doa tersebut, maka rosak akidahnya! Kesalahan bahasa juga boleh dikaitkan kerana “ Ya ”, adalah huruf seruan yang bermakna “wahai!” Maka selepas “ ya ” lazimnya diletakan nama atau sifat seperti “Ya Allah, ya Latif” atau kuniah yakni nama timangan seperti Ya Aba al Qasim. Sementara perkataan aman adalah kata nama terbitan yang bererti keamanan.  Keamanan tidak boleh memberi apa-apa ketentuan, kerana penentuan yang mutlak adalah Allah s.w.t.

Mengikut pandangan Datuk Mohd. Yunus, bekas mufti negeri Melaka, doa tersebut boleh dibaca dengan syarat perkataan aman digantikan dengan Ya Allah atau Ya Ar Rahman atau mana-mana Asmaaul Husna.
Para ulamak usul berpendapat, ibadah yang dipersetujui oleh semua
ulama adalah lebih baik daripada ibadah yang dipertikaikan. Doa adalah ibadah. Oleh itu, tidak logik selepas kita bersolat kerana Allah, kita menadah tangan meminta kepada yang lain! Doa tersebut juga bukan doa ma’sur, yakni doa-doa yang dibaca oleh Rasulullah s.a.w. Lagi pun dalam sebuah hadis Rasulullah memberi amaran yang bermaksud: “Barang siapa yang menunjuk jalan yang salah, maka dia akan memikul semua dosa-dosa pengikutnya!”  

Bulan Ramadhan bukan setakat bulan untuk melatih diri kita menjadi bertaqwa semata-mata. Bahkan natijah daripada Taqwa itu ialah ia membawa diri kita dan umat Islam seluruhnya ke arah kemenangan. Kalau nak menang, berperanglah dalam bulan Ramadhan kerana diri kita lebih dekat dengan ALLAH dan orang yang dekat dengan ALLAH ,sudah tentu lebih makbul doanya.

Berikut merupakan sebahagian besar catatan peristiwa penting dan bersejarah dalam bulan Ramadhan:

  1. Perang Badar yang terjadi pada tangal 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah. Perang Badar dianggap sebagai perang terbesar dan kemenangan terbesar yang diraih umat Islam di awal pertumbuhannya di Madinah.
  2. Fathu Makkah yang terjadi pada tahun ke lapan hijrah. Jihad ini merupakan kemenangan untuk menghancurkan tuhan-tuhan berhala dan menegakkan panji kebenaran.
  3. Pada Ramadhan tahun 9 Hijrah, Rasulullah saw. menerima utusan dari Tsaqif untuk membaiat Nabi Muhammad Saw.
  4. Pada Ramadhan tahun 15 Hijrah, terjadi perang Qadisiyyah dimana orang-orang Majusi di Persia ditumbangkan.
  5. Pada Ramadhan tahun 53 Hijrah, umat Islam memasuki pulau Rhodes di Eropah.
  6. Pada bulan Ramadhan tahun 91, umat Islam memasuki selatan Andalusia (Sepanyol sekarang)
  7. Pada Ramadhan tahun 92 H., umat Islam keluar dari Afrika dan membuka Andalus dengan komandan Thariq bin Ziyad
  8. Pada bulan Ramadhan tahun 132 H., Dinasti Umawiyah ditumbangkan dan berdirilah Daulah Abbasiyah.
  9. Pada bulan Ramadhan tahun 254 H., Mesir memisahkan diri dari daulah Abbasiyah dengan pimpinan Ahmad bin Thaulun.
  10. Pada Ramadhan tahun 361 H., dimulainya pembangunan Masjid Al-Azhar yang kelak menjadi universitas Al-Azhar di Kaherah.
  11. Pada bulan Ramadhan tahun 584 H., Sholahuddin Al-Ayyubi mulai menyerang tentara Salib di Siria dan berhasil mengusir mereka.
  12. Pada Ramadhan 658 H., Umat Islam berhasil menghancurkan tentera Tartar di perang “Ain Jalut”
  13. Pada Ramadhan tahun 675 H., Raja Bebes dan tentaranya berhasil mengusir tentara Salib secara total.
  14. Pada bulan Ramadhan 1393 tentara Mesir berhasil merebut terusan Suez dan mengusir tentara penjajah, Israel dari Sinai.

Demikianlah sebahagian peristiwa penting di bulan Ramadhan al mubarak. Kesimpulannya, Ramadhan adalah bulan KEMENANGAN, KEJAYAAN, KEGEMILANGAN, KECEMERLANGAN dan KETERBILANGAN dalam Islam.

ALLAHU AKBAR!!ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!!!