Fatwa yoga akan diumum

PULAU PINANG 29 Okt. – Majlis Fatwa Kebangsaan dijangka mengumumkan keputusan berhubung hukum senaman yoga kepada umat Islam yang mengamalkan senaman itu dalam tempoh terdekat ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha berkata, perkara itu akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Adul Shukor Husin.

Beliau menambah, isu berhubung hukum senaman yoga itu ada dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diadakan di Kelantan, baru-baru ini.

“Keputusan mengenainya sudah ada tetapi Dr. Abdul Shukor belum umum lagi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Fiqh dan Pemikiran Islam Lestari anjuran bersama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jakim di sini, hari ini.

Ucaptama disampaikan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad.

Kira-kira 30 kertas kerja akan dibentangkan sepanjang seminar dua hari yang disertai oleh kira-kira 100 peserta itu.

Hadir sama ialah Dekan Fakulti Ilmu Kemanusiaan USM, Prof. Datuk Abu Talib Ahmad dan Pengarah seminar, Dr. Atikullah Abdullah.

Othman mengulas kenyataan pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Zakaria Stapa semalam yang menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.

……………………………………………………………………………

Penulis sudah siarkan satu artikel berkaitan Yoga pada 3 Disember 2007 yang lalu. Harap-harap Majls Fatwa Kebangsaan dan Kerajaan mempercepatkan pewartaan fatwa terbabit ke seluruh negeri dalam Malaysia. Kita tidak mahu ada orang Islam yang sudah bertahun-tahun ataupun baru belajar yoga, mati dalam kejahilan mengamalkan ajaran sesat yang berasal dari Ajaran Hindu.

Bukan setakat Yoga sahaja, bahkan Kerajaan harus serius menghapuskan amalan-amalan lain yang berkait dengan ajaran agama lain seperti Hindu, Kristian, Buddha dan seumpamanya.