TAFSIR AYAT 175 HINGGA 177 SURAH AL A’RAAF

175. Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang Yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang Yang sesat.
176. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya Dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika Engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika Engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.
177. Amatlah buruknya bandingan orang-orang Yang mendustakan ayat-ayat kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri merela sendiri.

KISAH DARI AYAT

Nabi Muhammad S.A.W. diperintahkan Allah menceritakan kisah seorang Ulama’ yang juga Wali Allah bernama Bal’am ibnu Ba’ura dari kalangan Bani Israel yang hidup di zaman Nabi Musa aliahissalam yang sangat mustajab doanya.

Dia termasuk salah seorang yang diberi ilmu tentang Ismul A’zham (Nama Allah Yang Paling Agung). Setiap kali menyampaikan kuliah, seramai 12 ribu ulama’ menimba ilmu agama darinya.

Menurut ulama tafsir yang diambil dari ‘Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, beliau mengisahkan:,
Ketika Nabi Musa ‘alaihissalam datang ke Kan’aan bersama para pengikutnya, para kerabat dan sepupu Bal’am datang menemui Bal’am lalu berkata: “Musa itu orang yang tiada tolak ansur dan mempunyai pasukan yang besar. Kalau dia menang tentulah dia akan memusnahkan kita. Maka doakanlah kepada Allah agar Dia menjauhkan Musa beserta pasukannya.”
Kata Bal’am: “Sesungguhnya, jika aku berdoa kepada Allah agar menghalau Musa dan orang-orang yang bersamanya, tentulah dunia dan akhiratku hilang.”

Tapi mereka terus menerus memujuknya hingga diapun menuruti permintaan mereka. Dikisahkan, setiap kali dia mendoakan keburukan terhadap Nabi Musa dan pasukannya, maka doa itu menimpa Bal’am dan orang-orang yang memujuknya. Begitulah seterusnya, wallahu a’lam.

Menyedari hal itu, merekapun menegurnya, mengapa dia mendoakan keburukan terhadap mereka?
“Begitulah, setiap aku mendoakan keburukan buat mereka(Musa dan pengikutnya) tidak dikabulkan doaku. Tapi aku akan tunjukkan kepada kamu satu hal yang semoga saja dapat menjadi sebab kebinasaan mereka. Sesungguhnya Allah membenci perzinaan, dan kalau mereka jatuh dalam perbuatan zina, nescaya mereka pasti binasa, dan aku berharap Allah menghancurkan mereka. Maka keluarkanlah para wanita menemui mereka. Kerana mereka itu para musafir, mudah-mudahan mereka terjerumus dalam perzinaan lalu binasa.”

Setelah sebahagian besar mereka terjerumus dalam perbuatan zina, Allah Subhanahu wa Ta’ala kirimkan wabak tha’un sehingga menewaskan 70 ribu orang dari mereka.

Pendek cerita, Bal’am pun tersungkur di pintu syurga dek diperdaya oleh syaitan walaupun berilmu tinggi.

PERUMPAMAAN ULAMA’ JAHAT DENGAN ANJING

As suddi berkata bahawa ayat itu merujuk kepada Bal’am yang ‘menjelir lidahnya’ selepas kesesatan beliau sebagaimana menjelirnya anjing. Dan tafsiran perumpamaan ini di sisi kebanyakan ahli ilmu tafsir secara umumnya merujuk kepada setiap orang yang mengetahui al Qur’an tetapi tidak beramal dengannya. Sesetengah pendapat(lemah) merujuk kepada orang munafik. Pendapat yang pertama lebih benar.

Begitu juga pendapat Mujahid tentang ayat ini; “Begitulah keadaan sesiapa yang membaca al Qur’an tetapi tidak beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya.” Sesetengah ulama pula menyebutkan bahawa ; “Inilah seburuk-buruk perumpamaan. Kerana sesungguhnya Allah menyamakan orang sebegitu yakni yang dikalahkan oleh hawa nafsunya sehingga ia tidak mampu mengawal dirinya daripada mendapat mudarat mahupun manfaat dengan seekor anjing yang sentiasa menjelir lidah.”

Allah membuat perumpamaan orang-orang yang mengambil ‘rasuah’ dalam agama dengan anjing yang sentiasa menjelir lidahnya. Betapa hinanya perlakuan mereka yang tahu ayat Allah tetapi sanggup menggadaikannya dengan mata benda dunia yang sedikit. Harta, pangkat, kedudukan dan wang ringgit yang mereka ambil daripada penguasa yang zalim tidak bernilai sedikitpun di sisi Allah. Mereka menjadi golongan yang hina sehina-hinanya kerana menyembunyikan kebenaran al Qur’an.

About these ads