Ambe ambik artikel ni daripada Harakahdaily. Menarik untuk direnungi, lebih2 lagi jawapannya…
Surat terbuka kepada ayahanda Dato’ Seri Anwar dan ayahanda Tuan Guru Hj Hadi
Anakanda di penjara menara gading Tue | Sep 18, 07 | 2:45:24 pm MYT |
|||||
Ke hadapan ayahanda Dato’ Seri Anwar dan ayahanda Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi yang dirahmati Allah semuga berada di bawah lindungan Allah hendaknya.Kami tahu ayahanda berdua adalah di kalangan orang-orang terhormat dan aktif dalam perjuangan membela rakyat sehingga sukar untuk menjenguk kami di ’penjara’ menara gading ini!
Siapalah kami insan-insan kerdil yang tidak berapa penting dalam agenda perjuangan ayahanda berdua. Walaupun ayahanda Dato’ Seri Anwar pernah terpenjara sebagai pejuang rakyat. Namun adakah pengajaran yang dikutip dari Sungai Buloh itu masih belum cukup masak untuk mengesani rasa hati kami di sini? Perlukah ayahanda Dato’ Seri dipenjara sekali lagi? Bukan apa, supaya ayahanda Dato’ Seri benar-benar ’masak’ dalam menyelami hakikat sebuah penjara. Penjara hakiki bukan pada jasad yang dapat dilihat tetapi pada jiwa sebenarnya. Seperti mana yang ayahanda Dato’ Seri pernah ungkapkan ”Merdeka hakiki adalah merdeka jiwa bukan merdeka jasad!” Ayahanda Tuan Guru Dato’ Seri Hj Abdul Hadi pula antara pimpinan yang belum lagi di penjara. Mungkin kerana itulah ayahanda Tuan Guru pun tak berapa nak ’cakna’ dengan kami di penjara menara gading ini. Maaf jika terkasar bahasa, anakanda tumpang bertanya, dalam siri-siri ceramah dan ucapan ayahanda Tuan Guru, berapa patah ayahanda Tuan Guru sebut perkataan ’mahasiswa’? Sikap ’lebih kurang’ dan ’dok cakna’ ayahanda Tuan guru kepada kami mahasiswa, membuatkan kami tidak mengharap sangat kasih sayang dari ayahanda Tuan Guru. Nak jumpa, bertentang mata dengan ayahanda Tuan Guru pun rasa tak berbaloi. Tak mengapalah, mungkin agenda nak memenangkan Trengganu lebih aula dari membina kami sebagai pewaris kepimpinan masa depan negara agaknya. Ayahanda Dato’ Seri dan Tuan Guru, Fahamilah ayahanda berdua, kami sedang dipenjara di menara gading ini. Mengertilah, bukan jasad kami yang sedang terpenjara tetapi jiwa kamilah yang sedang dipenjara Kementerian Pengajian Tinggi. Pimpinan pembangkang wajar mengerti situasi kami ini. Alangkah bertuah menjadi pimpinan seperti ayahanda berdua dan pimpinan yang lain. Walaupun pernah terpenjara, namun rakyat tidak menunggu lama untuk membela. Bila terpenjaranya ayahanda Dato’ Seri Anwar, ribuan rakyat bingkas membela. Untung sungguh menjadi pimpinan. Teriakan ”Reformasi” dan laungan ”Allahu Akbar” dilaungkan, membangkitkan semangat dan dorongan motivasi mendalam di sanubari ayahanda berdua. Tetapi kami hanyalah mahasiswa! Mahasiswa yang sedang dipasung tangan dan kaki. Siapalah yang hendak melaungkan kata-kata keramat dan perangsang, apatah lagi laungan ”Reformasi dan Allahu akbar”! Ayahanda Dato’ Seri dan Tuan Guru, Mengapakah pimpinan pembangkang masih mahu berselindung di sebalik tabir. Menidakkan ”campurtangan” dengan mahasiswa di kampus. Padahal umum mengetahui, Umno bukan sahaja ‘campurtangan’ malah ‘camputangan dan kaki’ sekali. Malah seluruh pancaindera Umno telah mencampuri seluruh gerak geri mahasiswa. Mahasiswa diperlaku semahunya! Rayuan kami kepada Dato’ Seri dan Tuan Guru hanya satu. Isytiharkan penglibatan pembangkang secara terbuka dalam politik kampus! Bukan sekadar isyhtihar dan habis di situ saja. Malah buktikan kesungguhan ayahanda berdua dalam membantu kami untuk memenangi pilihan raya kampus. Apa lagi yang hendak diselindungkan? Apa lagi yang hendak difikir-fikirkan? Apa lagi yang hendak ditunggu-tunggu? Marilah hulurkan tangan, menyambut salam perjuangan dari kami mahasiswa yang bersedia berjuang menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman. Sekarang bukan masa lagi untuk pimpinan pembangkang ’nak jaga imej’ untuk dilihat profesional, kononnya tidak mahu campurtangan urusan mahasiswa. Percayalah sekarang bukan masanya lagi! Umno secara jelas terlibat secara langsung dalam membantu Aspirasi Umno dalam pilihan raya kampus. Sudah hampir lima tahun mereka bermaharajalela. Diulangi sudah hampir lima tahun! Siri-siri penglibatan Umno di kampus telah didedahkan dengan bahan bukti yang cukup kukuh dalam akhbar Harakah dan Siasah. Ayahanda Dato’ Seri dan Tuan Guru, Apa lagi yang hendak ditunggu? Sekarang bukan masa untuk kita lakunkan watak-watak ’pijak semut pun tak mati’ hingga kepala kita dihinjak-hinjak! Sekarang bukan masa untuk menang sorak tetapi mahasiswa dilacurkan! Sekarang bukan masa lagi untuk mengelak-ngelak supaya digelar negarawan! Sebagai bukti kasih sayang ayahanda berdua, kami merayu dengan sehina-hinanya, silalah datang menjenguk kami. Jika mereka tidak mengizinkan kedatangan ayahanda berdua, datanglah untuk berceramah di tepi-tepi pagar Universiti. Buktikan kasih sayang ayahanda berdua kalau masih sudi. Bebaskanlah kami untuk kami bangkit dari belenggu penjara yang ketat ini. Sila jemput kami dalam perjumpaan tertutup mahupun terbuka. Hidupkan ’dhomir’ kami yang mula hampir nyawa-nyawa ikan ini. Kami mahasiswa sedia gembelingkan tenaga, keringat malah darah untuk bersama ayanhanda berdua dan seluruh pendokong kebenaran. Namun kalau ayahanda berdua tidak menyahut lambaian kami ini, hanya satu permintaan terakhir kami. Bersiaplah untuk kamu berdua kafankan dan solat jenazah buat ’dhomir-dhomir’ kami yang sedang nazak ini! Solatlah jenazah ’dhomir’ kami secara berjamaah bukan nafsi-nafsi. Seorang jadi imam dan seorang lagi jadi makmumnya. Siapa lagi kalau bukan ayahanda berdua. Dua orang sudah cukup! Kami menyusun sepuluh jari, memohon kemaafan sekiranya ada kata-kata yang menyinggung perasaan ayahanda berdua. Bahasa anak muda memang payah hendak disusun seindahnya bila semangat sudah kian membara. Sekian dari kami mahasiswa yang bakal mewarisi perjuangan dan kepimpinan negara suatu hari nanti.
JAWAPAN Wahai anakanda di Penjara Menara Gading!
|
Tinggalkan Jawapan