‘Saya sekarang Muhammad Leo….’

Oleh: LUKMAN ABDULLAH

“Saya sekarang Muhammad Leo Toyad…saya rasa ada kedamaian dalam Islam…” itulah jawapan spontan bekas Menteri Pelancongan ketika ditanya bagaimana beliau tertarik memeluk agama Islam.

Perihal Datuk Seri Dr Muhammad Leo Toyad Abdullah memeluk Islam bukannya perkara yang hendak diperbesarkan tetapi ceritanya yang ingin bersama Islam sejak berada dalam kabinet itu tidak pernah diberitahu pada sesiapa pun.

Beliau hanya memendam rasa dan keinginannya sejak sekian lama sehinggalah pada tarikh 17 Jun 2006 Dr. Muhammad Leo mengambil keputusan untuk di’Islam’kan oleh Iman Besar Negeri Sarawak.

Pada mulanya beliau yang masih lagi panggil oleh rakan-rakan sebagai Dr. Leo agak segan menceritakan hal itu kerana menganggap terlalu peribadi, namun akhirnya menjawab juga beberapa soalan.

Dr. Leo, sebelum ini beragama Roman Khatolik mempunyai seorang isteri dan empat orang anak yang sudah menjangkau umur lebih 18 tahun.

“Mereka tidak bersama saya…” jawab kepada Agendadaily semasa berbual dengannya di bangunan Parlimen ketika ditanya samada isteri dan anak-anaknya ikut sertai Islam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen P212 Mukah mengakui tertarik dengan Islam kerana ramai dikalangan ahli keluarganya telah memeluk Islam.

Sebagai seorang baru dan tidak tahu tentang Islam, Dr. Leo kini sedang mendalami pengajian Al-Quran dan hukum hakam Islam melalui seorang ustaz.

“Saya juga seperti biasa menunaikan solat di masjid dan surau serta mengikuti pengajian di majlis ilmu yang adakan di masjid-masjid,” katanya.

Disamping itu, Dr. Leo juga membaca buku-buku mengenai Islam, membaca sebutan ayat-ayat Al-Quran dengan betul dan turut menggunakan tape dan CD.

Dr. Leo dilahirkan di Mukah, Sarawak pada 11 April 1950, mendapat pendidikan awal di SRB St. Patrick Mukah pada tahun 1957 kemudian meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah di SMB St. Patrick Mukah pada tahun 1963, SMK Three Rivers Mukah pada 1968 dan SMK Tanjong Lobang Miri pada 1969.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri pada tahun 1976.

Pada tahun 1977 Dr. Leo telah memulakan tugas sebagai Pegawai Perubatan dan Kesihatan di Jabatan Kesihatan Sarawak dan sekali lagi kembali ke UM kemudiannya berjaya menerima Ijazah Sarjana Kesihatan Awam pada tahun 1981.

Bergiat aktif dalam politik setelah menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kampung Tellian Tengah / Ulu, Mukah pada tahun1980.

Kini sebagai Ketua PBB Cawangan Kampung Tellian Tengah / Ulu, Mukah, Ketua Bahagian Limbang dan Naib Presiden PBB Pusat.

Beliau juga terlibat dalam pelbagai aktiviti sosial. Beliau kini adalah Pengerusi Saberkas Sarawak sejak 1998, Penaung dan ahli seumur hidup Persatuan Melanau Miri sejak tahun 1989, Presiden Persekutuan Melanau Sarawak semenjak tahun 2004 dan Penasihat Persatuan Bolasepak Bahagian Mukah sejak tahun 1998.

Pada tahun1982, Dr. Leo telah meninggalkan tugasnya di Jabatan Kesihatan Sarawak untuk bertanding mewakili Barisan Nasional di kerusi Parlimen Mukah dan memenangi kerusi tersebut buat kali pertamanya.

Dr. Leo juga terus berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen kawasan Mukah untuk tahun-tahun pilihan raya 1986, 1990, 1995, 2004 dan 2008.

Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri Luar Negeri semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Menterinya.- 11/7/2008

About these ads