November 2009


يا أيها الذين أمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن ان بعض الظن اثم و لا تجسسوا و لا يغتب بعضكم بعض أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه و اتقو ا الله ان الله تواب رحيم

12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

TAKRIF SANGKAAN

Sangkaan ialah Persepsi atau tanggapan. Ia terbahagi kepada sangkaan baik dan sangkaan buruk. Sangkaan buruk(prasangka) akan menjadi topik perbincangan dalam artikel ini.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, prasangka ialah sangka (anggapan) buruk terhadap sesuatu (seseorang) sebelum mengetahui (menyelidiki yang sebenarnya). Sedangkan berprasangka ialah menaruh prasangka. Adapun keprasangkaan pula ialah sifat (rasa) prasangka.

ASBABUL NUZUL

Setengah ulama’ mengatakan ayat ini diturunkan kepada dua orang sahabat nabi s.a.w. Sudah menjadi kebiasaan, apabila bermusafir, Rasulullah akan mencampurkan sahabatnya yang susah dengan sahabat yang senang. Ini bertujuan untuk menanamkan sifat ukhuwwah di antara satu sama lain. Orang yang senang akan menolong saudaranya yang susah. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah meletakkan Salman al farisi dengan dua orang lelaki dari kalangan sahabat yang dianggap lebih berada daripada Salman al farisi ketika itu.

Di sepanjang perjalanan dalam musafir itu berlaku suatu peristiwa di antara Salman dengan dua sahabat tadi di mana mereka terlewat bangun tidur, sedangkan Salman ditugaskan untuk menyediakan makanan buat mereka. Kedua-dua sahabat tadi menyuruh Salman bertemu Rasulullah untuk mengambil makanan. Apabila sampai, Rasulullah memberitahu Salman bahawa makanan telah habis, lalu menyuruhnya berjumpa dengan Usamah bin Zaid (ditugaskan menjaga perbekalan).

Salman pun pergi berjumpa dengan Usamah sebagaimana diarahkan nabi, tetapi malangnya Usamah juga menyatakan makanan sudah habis. Lalu Salman balik dalam keadaan tiada makanan bersamanya. Dua sahabat tadi menuduh Usamah bakhil kerana sengaja tidak mahu memberi mereka makanan. Akhirnya Salman dihantarkan pula kepada sahabat-sahabat lain untuk memperolehi makanan. Dalam keadaan ketiadaan Salman, dua sahabat tadi bercakap-cakap pula mengenai Salman dengan tidak mengharapkannya lagi.

Rasulullah s.a.w. telah melihat telatah kedua orang sahabat itu, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kedua orang sahabatnya:

ما لي أري خضرة اللحم في أفواهكما

Maksudnya:

”Aku melihat kamu berdua sedang memakan daging.”

Lalu sahabatnya berkata:

يا نبي الله و الله ما أكلنا فى يومنا هذا لحما و لا غيره

Maksudnya:

“Wahai nabi Allah, kami tidak makan apa-apa lagi pada hari ini sama ada dagingatau makanan yang lain.”

Rasulullah menjawab:

ولكنكما ظلمتما تأكلان لحم سلمان و أسامة

Maksudnya:

“Tetapi kamu berdua berlaku zalim dan kamu telah memakan daging saudara kamu iaitu Salman al Farisi.”

Lalu Allah turunkan ayat 12 surah al Hujurat sebagaimana di atas. Ia menunjukkan kepada kita betapa besarnya dosa mengumpat sehingga digambarkan seolah-olah kita memakan daging saudara kita sendiri.

TAFSIR AYAT

As Sobuni menyebutkan : Jauhilah kamu dari tohmahan, khianat dan buruk sangka terhadap keluarga dan manusia. Diibaratkan dengan banyak (كثيرا ) di sini untuk mengambil langkah berhati-hati kepada setiap zhan atau sangkaan dan jangan terlalu gopoh membuat kesimpulan sehinggalah disiasat dan dipastikan kebenaran sangkaan itu. Ini kerana sebahagian zhan merupakan dosa yang mengakibatkan tuannya dengan hukuman Allah s.w.t. sama ada di dunia dan di akhirat.

Ia ada kaitan dengan konsep tabayyun(tindakan menentukan sama ada khabar berita benar atau salah) dalam ayat keenam surah yang sama.

Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas, sebahagian sangkaan adalah dosa. Bermakna ada sangkaan yang membawa dosa dan ada sangkaan membawa pahala. Yang membawa dosa sudah tentulah sangkaan yang buruk atau disebut prasangka. Manakala yang membawa pahala dipanggil sangkaan baik. Dalam istilah arab, sangka buruk ialah su’uzzhan((سوء الظن, manakala sangka baik ialah husnuzzhan( حسن الظن).

Contoh prasangka : Seseorang yang berjanji untuk datang mesyuarat pada jam 3 petang. Tiba-tiba dia datang lewat. Ahli mesyuarat yang menunggu berprasangka kepada beliau dengan mengatakan beliau seorang yang tidak menjaga waktu dan tidak menghormati ahli mesyuarat sedangkan kemungkinan-kemungkinan yang lain masih ada. Mungkin beliau kesesakan lalulintas dan sebagainya.

Allah jalla wa ’ala memerintahkan orang yang beriman menjauhi sangkaan kerana kebanyakan sangkaan merupakan DOSA! Daripada sangkaan tadi, timbul pula keinginan untuk mengintip-intip dan mencari-cari keburukan orang. Lalu apabila terbongkar, terus disebarkan kepada umum menyebabkan aib kepada si mangsa intipan. Inilah yang dilarang keras dalam agama. Ia termasuk dalam dosa ghibah atau mengumpat kalau yang dibongkar itu benar. Kalau berita itu palsu, maka ia termasuk dalam namimah atau fitnah. Allah subhanahu wa ta’ala menyamakan orang yang mengumpat dengan perbuatan memakan daging saudaranya! Di akhir ayat, Allah menyeru agar orang beriman bertaqwalah kepadaNya. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan maha mengasihani.

DUNIA PERSEPSI

Kini, istilah persepsi sangat popular dalam masyarakat. Sebenarnya konsep ini sudah lama berlegar dalam sistem sosial kita. Bahkan ia wujud dalam mana-mana masyarakat dalam dunia sekalipun. Persepsi atau tanggapan atau sangkaan merupakan istilah-istilah yang membawa erti yang sama. Ia boeh jadi baik dan boleh jadi juga buruk. Kalau buruk persepsi, maka natijahnya buruk. Begitulah sebaliknya. Pandangan masyarakat umum terhadap sesuatu isu atau individu, kelompok masyarakat bergantung kepada persepsi yang menguasai minda mereka. Persepsi boleh diterjemahkan sebagai ’bagaimana kita melihat sesuatu’. Perkara yang sama boleh melahirkan persepsi yang berbeza bergantung kepada cara pemikiran seseorang. Ia mungkin positif, dan mungkin juga negatif! Yang negatif inilah dipanggil sangka buruk atau suu’uzzhan.

Mungkin masyarakat tidak merasakan dosa berprasangka buruk merupakan dosa yang besar kerana ia sudah menjadi darah daging mereka, sedangkan Rasulullah pernah bersabda,  ”اياكم و الظن فان الظن أكذب الحديث”. Maksudnya: ”Awasilah kamu daripada berprasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong ucapan.”(Muttafaqun alaihi).

Bahkan Allah jalla wa ’ala berfirman dalam ayat 116 surah al An’am,

و ان تطع أكثر من في الأرض يضلوك عن سبيل الله ان يتبعوك الا الظن و ان هم الا يخرصون

116. Dan jika Engkau menurut kebanyakan orang Yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah Yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.

Al Sobuni menjelaskan bahawa jika kita taati golongan kafir yang jumah mereka ramai di muka bumi nescaya mereka menyesatkan orang beriman dari petunjuk Allah.

Masyarakat Islam kini banyak dipengaruhi oleh cara berfikir yang diwarisi dari barat. Pendidikan sains sosial rata-ratanya diambil dari idea-idea cendekiawan barat yang mewarnai silibus pembelajaran ilmu psikologi di institusi pengajian tinggi. Lalu lahirlah ramai doktor-doktor dan profesor-profesor Islam tetapi celupannya barat, mempromosikan ilmu dan cara berfikir ala kebaratan. Sehingga timbul ungkapan, ” Sesiapa yang tidak percayakan persepsi, maka ia adalah primitif.” Ini sangat bertentangan dengan apa yang diajar oleh Allah melalui ayat-ayat dalam surah al hujurat ini. Bagaimana mungkin kita mahu berkiblatkan orang barat dan pemikiran mereka sedangkan mereka sekali-kali tidak mengikut kaedah Islam dalam isu zhan ini melainkan hanyalah sangkaan dan waham yang mereka warisi dari nenek moyang mereka sehingga mereka merasakan berada atas jalan kebenaran. Padahal merekalah orang-orang yang berdusta atas nama ilmu sains sosial.

Adakah boleh kita katakan sesuatu itu adalah benar hanya kerana majoriti masyarakat mengatakan benar? Contohnya seorang muslim yang tinggal di negara yang majoritinya kristian, adakah wajib dia mengikut persepsi masyarakat negara itu yang memandang semua orang Islam adalah ganas? Sudah tentu tidak.

PERSEPSI BERUBAH MENJADI INFORMASI

Sebuah hadis qudsi menyebut, ” ان ظن خيرا فله و ان ظن شرا فله- رواه أحمد  “انا عند ظن عبدي بي yang maksudnya, ”Aku di sisi(sebagaimana) sangkaan hambaKu denganKu, sekiranya dia(hambaKu) bersangka baik, maka baginya(natijah baik), dan sekiranya dia bersangka buruk, maka baginya juga(natijah buruk)”. Hadis Qudsi ini mengajar kita agar berfikiran positif kerana Allah redha dengan sangkaan baik dan murka dengan sangkaan buruk. Sekiranya kita berfikiran negatif, maka ia membentuk informasi yang salah dalam masyarakat. Menurut kajian barat, proses persepsi boleh ’mengubah’ apa yang manusia lihat. Apabila kita melihat sesuatu dengan konsep yang telah diprasangkakan, kita akan anggap prasangka itu sebagai maklumat atau fakta. Keadaan ini berlaku oleh kerana manusia mampu untuk memahami informasi baru tanpa ‘the inherent bias of their previous knowledge’ (pengetahuan lampau tentang sesuatu yang diwarisi secara berpihak).

Ada orang yang berhujjahkan hadis ini untuk menjustifikasikan bahawa benarnya konsep persepsi berubah menjadi informasi atau fakta. Kalaulah begitu, biarlah kita menjadi warga yang sentiasa berpersepsi baik agar natijahnya baik. Melainkan kita memang berniat untuk membentuk persepsi buruk terhadap individu atau organisasi tertentu.

Peranan media sangat penting dalam membentuk persepsi yang baik dalam masyarakat. Apa yang sering media paparkan, itulah yang akan menguasai minda masyarakat umum. Kesimpulannya, apa yang bermain di minda masyarakat, kemudian menjadi informasi dan fakta bagi mereka, tidak semestinya benar dan baik di sisi Islam.

Ini merupakan suatu cabaran yang sangat besar dan getir bagi umat Islam khususnya pendokong perjuangan Islam untuk membentuk persepsi yang baik di kalangan masyarakat terhadap apa yang mereka bawa selama ini agar diterima ramai dengan baik.

TAFSIR AYAT 6 HINGGA 9 SURAH A HUJURAT

يا أيها الذين آمنوا ان جاءكم فاسق بنباء فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين  .واعلموا أن فيكم رسول الله لو يطيعكم كثير من الأمر لعنتم ولكن الله حبب اليكم الايمان و زينه في قلوبكم و كره اليكم الكفر والفسوق والعصيان . اولئك هم الراشدون. فضلا من الله ونعمة.والله عليم حكيم.و ان طاءفتان من المؤمنين اقتتلوا فأصلحوا بينهما , فان بغت احداهما على الأخرى فقاتلوا التي تبغي حتى تفيء الى أمر الله. فان فاءت فأصلحوا بينهما ب العدل و أقسطوا. ان الله يحب المقسطين

6. Wahai orang-orang Yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara Yang tidak diingini – Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa Yang kamu telah lakukan.

7. Dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus; –

8. (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

9. Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya Dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

ASBABUL NUZUL AYAT 6

Ayat 6 surah al hujurat mengajar kita agar berhati-hati dalam menerima berita dari orang-orang fasik. Sebab nuzul atau turunnya ayat ini ialah bersempena kisah seorang muslim yang bernama al Walid bin Aqabah bin Abi Mu’id yang diutuskan oleh Nabi Muhammad salallahu alaihi wasallam untuk memungut harta sedekah dari Bani Mutalib. Kemudian apabila beliau ke Kampung Bani Mutalib, tiba-tiba beliau melihat penduduk kampung ramai-ramai keluar untuk menunaikan sedekah. Al Walid menyangkakan mereka sudah murtad lalu lari ke Madinah menghadap Baginda Nabi sallalahu alaihi wasallam, lau menceritakan apa yang berlaku. Setelah mendengar berita itu, baginda mengarahkan kerahan bala tentera untuk menyerang kampung Bani Mutalib. Baginda melantik Khalid al Walid sebagai pemimpin bala tentera. Khalid Al Walid bertindak menghantar perisik ke kampung tersebut untuk menyiasat apa yang berlaku. Sesampainya di sana, mereka terdengar suara azan dan melihat orang kampung menunaikan solat. Ternyata mereka tidak murtad sebagaimana didakwa oleh Walid bin Aqabah. Lalu Khalid al Walid dan bala tentera Islam kembali ke Madinah bertemu Rasulullah. Kemudian Allah menurunkan ayat 6 surah al hujurat sebagai teguran dan panduan buat orang beriman dalam menerima khabar berita dari orang fasik.

PENGERTIAN FASIK

Fasik ialah orang yang keluar dari garis panduan Islam. Menurut syara’, fasik ialah orang yang mengerjakan dosa-dosa besar atau mengekalkan dosa-dosa kecil.

PENGAJARAN

Sabda nabi sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud,  ”Berhati-hati itu dari Allah dan terburu-buru itu dari syaitan.”

Kalau di zaman Rasulullah sudah ada orang-rang Islam yang membawa berita palsu dan tidak betul, maka di zaman kita ini lebih-lebih lagi, terutamanya melalui media massa yang ada sekarang ini seperti tv dan akhbar. Ditambah pula dengan teknologi internet yang sedang berkembang maju, dunia hanya di hujung jari, berita-berita cepat tersebar tanpa mempedulikan sama ada betul atau tidak. Yang penting ialah sensasi berita itu. Kebenaran menjadi perkara kedua dalam pertimbangan. Sebahagian rakyat bagaikan mendapat kedai kopi kedua di mana mereka bincangkan isu-isu semasa sama ada politik, ekonomi, sosial, agama dan lain-lain dalam internet.

Lebih teruk lagi, ada individu tertentu seolah-olah menjadikan internet terutamanya blog-blog sebagai tempat menyelesaikan masalah dalaman gerakan Islam. Blog dan laman web sebagai media baru sangat berkesan dalam menyampaikan maklumat-maklumat terkini kepada masyarakat. Keburukannya ialah mereka tidak dapat membezakan yang mana benar dan yang mana salah. Ini kerana hilangnya kemahiran yang diajar oleh Allah s.w.t. melalui ayat di atas agar kita menyelidik berita yang disampaikan, lebih-lebih lagi di zaman kefasikan masa kini

TAFSIR AYAT 7

7. Dan Ketahuilah! bahawasanya Dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu Dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara Yang diwahyukan kepadaNya, dan kamu Wahai orang-orang Yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara Yang kamu cintai serta di perhiaskannya Dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara Yang kamu benci; mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang tetap menurut jalan Yang lurus; –

Rasulullah masih ada di kalangan kamu, maka janganlah ada di kalangan kamu yang membohongi Rasulullah s.a.w. Kamu hendaklah memaklumkan kepadanya berita yang sebenar. Menerima berita yang sebenar daripada pengajaran yang sebenar. Kalau kamu mendustakan Rasulullah s.a.w, maka Alah Maha Mengetahui dan Allah akan mendedahkan kerja-kerja tidak betul yang kamu lakukan.

Allah ta’ala menyatakan sekiranya Rasulullah s.a.w. taat kepada kamu dalam banyak perkara atau dengar percakapan kamu semuanya, nescaya akan berlaku perkara-perkara yang berat ke atas kamu dari kesilapan-kesilapan yang diambil oleh Rasulullah tentang berita yang kamu bawakan. Kalaulah Rasulullah s.a.w. percayakan berita al Walid bin Aqabah, kemudian mengarahkan Khalid al Walid lancarkan serangan ke atas penduduk Kampung Bani Mutalib itu tanpa usul periksa terlebih dahulu, sudah tentu ramai orang beriman akan dibunuh.

Seterusnya Allah ta’ala menjadikan perasaan kamu itu kasih kepada iman sehingga kamu tidak membohongi Rasulullah s.a.w. Kamu tidak menyampaikan berita-berita yang tidak betul kerana Allah ta’ala telah menjadikan iman itu suatu perkara yang kamu kasih. Kalau tubuh badan kita ini ada perhiasan yang zahir, maka perhiasan di dalam hati kita ialah iman dan perhiasan itu adalah kurniaan daripada Allah ta’ala.

Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud: ” Alah ta’ala menjadikan kebencian dalam diri kamu terhadap kekufuran , kefasikan dan penderhakaan.” Allah ta’ala menjadikan dalam hati orang-orang yang beriman itu benci kepada kufur, benci maksiat dan benci kepada fasik. Ini adalah suatu sifat yang Allah ta’ala jadikan di dalam hati-hati orang yang beriman. Hasil daripada pemberian Allah ta’ala ini menyebabkan seseorang itu melihat perkara kufur, maka dia akan benci dan marah. Kalau sekiranya dia melihat perkara-perkara tersebut dan ia terasa ingin melakukannya, maka sudah tentu dalam dirinya mempunyai hati yang kotor dan keji. Tetapi Allah ta’ala menjadikan dalam hati kita benci melihat kepada kufur, maksiat dan sebagainya. Semuanya ini adalah kurniaan daripada Allah azza wajalla.

Allah berfirman lagi yang maksudnya: ”Mereka itulah orang yang berada di atas jalan yang lurus dan betul.”

Makna al Rasyidun ialah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus iaitu jalan siratal mustaqim, orang-orang yang beristiqamah, orang yang duduk di atas jalan yang betul dan sentiasa berdiri teguh di atas jalan yang lurus itu. Bukanlah kita duduk di atas jalan yang betul andai pegangan kita terhadap Islam tidak teguh dan kukuh, ibaratnya seperti angin, apabila dia bertiup ke arah timur, maka dia condong ke sebelah timur dan begitulah sebaliknya. Maksud berdiri atas jalan yang betul ialah tegak atas pegangan yang betul.

TAFSIR AYAT 8

8. (Mereka dijadikan berkeadaan demikian) sebagai limpah kurnia dan nikmat pemberian dari Allah; dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Perasaan suka kepada iman dan benci kepada kufur merupakan antara kurniaan Allah yang paling besar kepada kita.  Nikmat lain yang kita perolehi atas mukabumi ini tidak kekal lama seperti nikmat makan, ia akan hilang apabila ia masuk ke dalam perut. Nikmatnya hanya di mulut sahaja. Adapun nikmat Iman, ia berkekalan, berpanjangan sampailah kita ke dalam kubur, bahkan tetap bersama-sama kita di hari akhirat.

TAFSIR AYAT 9

9. Dan jika dua puak dari orang-orang Yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap Yang lain, maka lawanlah puak Yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam Segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ada beberapa riwayat tentang turunnya ayat ini. Di antaranya, menurut riwayat al Mukhtar bin Sulaiman dari Anas bin Malik, beliau berkata, aku pernah berkata kepada Rasulullah s.a.w. “ Wahai Nabi Allah, alangkah baiknya kalau Rasulullah s.a.w. pergi berjumpa dengan Abdullah bin Ubay”(pemimpin kaum munafik yang ketika itu masih belum masuk Islam).

Lalu Rasulullah pergi dengan menunggang seekor keldai bersama-sama dengan beberapa orang Islam. Mereka melalui suatu kawasan tanah berdebu. Setelah sampai di tempat Abdullah bin Ubay laknatullahi alaihi, berkatalah Si Bapa Munafik itu dengan suara yang keras, ”Jauhkanlah keldai itu dariku, demi Allah aku tidak tahan menghidu bau busuk keldaimu itu.”

Lalu salah seorang lelaki di kalangan Ansar berkata kepada Abdullah, ”Demi Allah, sesungguhnya keldai Rasulullah s.a.w. adalah lebih harum baunya dari kamu.”

Rasulullah tidak menjawab barang sedikitpun dek kerana memang sikap baginda yang penyabar dan lemah lembut. Kemudian ada pengikut Abdullah bertengkar dengan lelaki Ansar tadi, menyebabkan berlakunya pergaduhan. Kemudian turun ayat ini memerintahkan agar diperdamaikan kedua-dua belah pihak.

Mengikut riwayat yang lain pula, bahawa ada seorang wanita Ansar berkahwin dengan seorang lelaki dari suku kaum lain. Pada suatu hari, berlakulah perbalahan suami isteri itu. Ummu Zaid ingin menziarahi keluarganya tetapi tidak dibenarkan oleh suaminya. Beliau dikurung dalam rumah. Secara sembunyi perempuan itu menyampaikan berita tersebut kepada keluarganya. Mereka pun datang beramai-ramai sementara suaminya pula memanggil ahli keluarganya dan akhirnya berlakulah perbalahan.

Kesimpulannya, Allah ta’ala memerintahkan supaya apabila berlaku pergaduhan, perbalahan, pertelingkahan, perselisihan faham, maka hendaklah diperdamaikan keduanya dengan al Qur’an dan sunnah Rasulullah s.a.w. Sekiranya salah satu pihak melampau(tidak mahu penyelesaian menurut al Qur’an dan Sunnah), maka perangilah mereka hingga mereka kembali kepada Qur’an dan Sunnah Nabi.

Hukum perdamaian yang diperintahkan daam ayat tersebut terpakai dalam keadaan sama ada hanya sebelah pihak yang salah ataupun kedua-duanya bersalah. Sekiranya kedua-dua belah pihak degil dan tidak mahu berdamai, maka hendaklah diperangi keduanya sehingga mereka kembai kepada hukum Allah. Tetapi jika sekiranya salah satu pihak benar, dan sebelah lagi salah; lalu kedua belah pihak berdegil untuk tidak berdamai, maka elok perangi yang salah.

Adapun sekiranya kedua-dua pihak berada dalam keraguan siapakah yang lebih benar, maka hendakah masing-masing mengemukakan hujjah yang terang lagi nyata. Apabila hujjah yang terang lagi nyata telah dikemukakan tetapi masing-masing masih berdegil, maka kedua-duanya dianggap penderhaka dan mereka boleh dikenakan tindakan sewajarnya.

Ayat ini juga menjelaskan kepada kita tentang kewajipan mengambil tindakan yang tegas terhadap golongan pemberontak yang menentang hukum hakam Allah ta’ala sama ada dia penderhaka kepada sesuatu kerajaan Islam atau dia pelampau kepada orang perseorangan atau golongan tersebut.

Ayat ini mengharuskan penyerangan dilakukan kepada penderhaka dan ia merupakan fardhu kifayah. Perlu dinyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan penderhaka menurut Islam ialah kumpulan orang-orang yang beriman yang menentang kerajaan yang adil, kerajaan yang melaksanakan Islam dalam satu-satu negara, walaupun demikian oleh kerana berlaku silap faham di kalangan kumpulan itu disebabkan berlainan pendapat tentang cara pelaksanaan syariat Islam. Adapun jika sekiranya kerajaan itu tidak menjalankan syariat Islam, maka tidak wujudlah apa yang diistilahkan sebagai pemberontak.

Wallahu a’lam.

 

Baiah ialah perjanjian untuk memberi ketaatan. Orang yang berbaiah ialah seolah-olah ia membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum Muslimin kepada amir atau ketuanya. Ia tidak akan melanggar kepada janji-setianya terhadap amir dalam urusan tersebut malah ia mestilah mentaati apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sama ada ia suka ataupun ia benci.

Baiah ialah suatu perbuatan sunnah Nabi yang pernah diberikan oleh kaum Muslimin beberapa kali kepada Rasulullah s.a.w semasa baginda masih hidup seperti Baiatul Aqabah pertama, Baiatul Aqabah kedua, Baiatul Ridhwan. Selepas kewafatan baginda para sahabat terus berbaiah kepada Ulil-Amri mereka.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Junadah bin Abu Umayyah dari ‘Ubadah bin Al-Samit yang menyatakan: “Rasulullah s.a.w telah memanggil kami, lalu kami pun memberi baiah kepada baginda… kemudian ‘Ubadah berkata: “Di antara perkara yang diminta kami berjanji ialah; Kami berjanji mendengar dan mentaati (Rasulullah s.a.w) dalam perkara yang kami sukai dan kami benci, dalam keadaan kami susah dan senang, tidak mementingkan diri sendiri, tidak membantah terhadap ketua dalam urusan-urusan kecuali kami melihat kekufuran terhadap Allah secara nyata dengan bukti yang terang dan jelas.” (Dari Sahih Al-Bukhari-Bab Al-Fitan)

Dalam bukunya “Fi Al-Din Al-Khalis” Sadiq hasan Khan berkata: “Di dalam hadis ini terdapat dalil bahawa tuntutan berbaiah ke atas para sahabat adalah satu sunnah, demikian juga baiah yang diberikan oleh para sahabat kepada Rasulullah s.a.w adalah sunnah. Menunaikan adalah wajib manakala mencabulinya adalah maksiat.”

Di dalam tafsirannya terhadap hadis ini Ibnu Hajar menyatakan: “Dalam keadaan yang kita sukai atau dalam keadaan yang kita benci, iaitu dalam keadaan kita merasa cergas (serta bersemangat) dan dalam keadaan kita merasa lemah untuk melakukan apa yang diperintahkan”. Al-Daudi pula berkata: “Maksudnya ialah sesuatu yang kamu membencinya.” Manakala Ibn Al-Tin pula berkata: “Yang jelas apa yang dimaksudkan ialah pada waktu malas dan kesusahan.” (Fathul-Bari Jil 13, ms 6)

Ibnul Jauzi Al-Maliki pula berkata: “Kita tidak harus menentang kerajaan (yakni kerajaan Islam) sekalipun (pimpinannya) melakukan kezaliman sehinggalah ternyata pada mereka kekufuran yang jelas, ketaatan mestilah diberikan kepada mereka sama ada dalam perkara yang disukai mahupun dibenci kecuali mereka memerintahkan supaya mengerjakan maksiat, maka dalam keadaan demikian tidak ada ketaatan kepada makhluk yang bermaksiat kepada Allah.” (Qawaniyyah Fikhiyyah 14)

Seorang saudara petugas yang jujur wajiblah berpegang dengan kewajipan yang diamanahkan ke atas dirinya dalam mua’malah dengan mas’ul dan pimpinan dakwah. Saudara petugas mestilah mengelakkan diri mencari-cari kecacatan dan keaiban saudaranya, kerana sikap berbaik sangka terhadap seorang saudara yang lain adalah dasar asal yang mesti diikuti, bukannya mengikuti cara-cara kepartian yang jauh dari sifat takwa dan semangat keagamaan dan ingatlah setiap bidaah itu adalah sesat.


Taat dan Hukum Syarak.

Taat ertinya menurut perintah. Apabila taat tidak berlaku maka maksiat dan fitnah akan menggantikan tempatnya. Bagi sesorang Mukmin bibit-bibit fitnah itu pada mula mungkin tidak begitu jelas sehingga ia tidak merasai kewujudan fitnah itu kecuali setelah ia benar-benar terjadi. Oleh yang demikian ia wajib berhati-hati dalam segala tutur katanya, perbuatannya dan tindak-tanduknya supaya semua perbuatan-perbuatan tersebut tidak mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman.

Memberi ketaatan (kepada yang berhak) adalah wajib selama ia tidak termasuk dalam perkara maksiat atau perkara yang boleh membawa maksiat sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah Al-Nisa’ 4: ayat 59)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Barangsiapa yang mentaatiku bererti ia telah mentaati Allah s.w.t. Barangsiapa yang menderhakaiku bererti ia telah menderhakai Allah s.w.t. Barangsiapa yang mentaati amirku bererti ia taat kepadaku dan barangsiapa yang menderhakai amir-amirku bererti ia derhaka terhadapku”. (Hadis)

Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas bin Malik yang berkata Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Dengarlah dan taatlah sekalipun yang dilantik untuk menjadi ketuamu itu seorang hamba Habsyi (yang hitam).”

Satu riwayat yang lain dari Ibnu ‘Abbas menyebut bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang melihat sesuatu yang dibencinya pada amirnya, maka hendaklah ia bersabar kerana sesungguhnya tidak seorang pun yang memisahkan diri dari jama’ah walaupun sekadar sejengkal kecuali ia mati dalam keadaan jahiliyah.”

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang memisahkan dirinya dari ikatan jama’ah sekadar sejengkal sesungguhnya ia telah menanggalkan ikatan Islam dari tengkuknya.”

Imam Bukhari juga meriwayatkan hadis dari Abdullah bin Umar yang menyebabkan Rasulullah s.a.w bersabda:

“Dengar dan taat adalah wajib atas setiap orang muslim dalam perkara yang ia suka atau benci selama ia tidak disuruh berbuat maksiat. Apabila ia disuruh berbuat maksiat maka tidak wajib lagi ia mendengar dan mentaati.”

 

Imam Bukhari juga meriwayatkan sebuah hadis yang berlangsung disandarkan kepada Sayidina Umar bahawa beliau:

“Sesungguhnya manusia di zaman Rasulullah s.a.w dihukum dengan wahyu tetapi sekarang wahyu telah terputus. Oleh yang demikian kami akan menghukum kamu berdasarkan apa yang zahir (jelas) dari amalan-amalan kamu. Maka sesiapa yang menunjukkan kebaikan kepada kami, kami akan melindunginya dan mendekatinya. Kami tidak berhak mencari rahsia hatinya sedikitpun. Allahlah yang akan menghisab perkara yang berkaitan dengan hatinya. Sesiapa yang melakukan kejahatan kepada kami, kami tidak akan melindunginya dan tidak akan membenarkannya sekalipun ia menyatakan niatnya baik”. (Riwayat Bukhari).