Mac 2010


ILMU USUL FIQH

Bahagian 1
    

Saya pernah berjanji dengan salah seorang penanya dalam ruangan soaljawab agama untuk menulis berkenaan ilmu usul fiqh. Sudah terlalu lama janji itu tidak ditunaikan dek kerana kesibukan yang berpanjangan. Kali ini insya Allah saya cuba tunaikan setakat yang termampu.

Untuk pengetahuan, saya menggunakan risalah matan al waraqat fi usulil fiqh karangan al Imam al Haramain Abdul Malik bin Abdullah al Juwaini(meninggal 478 hijriah) sebagai asas dan kitab Syeikh Abdul Karim Zaidan, al wajiz fi usulil fiqh sebagai huraiannya.

Makna Usul Fiqh

Usul: ia kalimah jamak(plural) bagi aslun yang membawa makna secara bahasanya; “Apa yang dibina ke atasnya(asas) selainnya”. Adapun makna usul dari sudut istilah memberi beberapa pengertian iaitu dalil, rajih(asal makna yang hakiki dari Qur’an Sunnah), dan kaedah.

Fiqh: Pada bahasa, ia bererti “Ilmu dengan sesuatu dan kefahaman baginya.” Akan tetapi penggunaannya(kalimah fiqh) dalam al Qur’an tidaklah menunjukkan kepada makna yang dikehendaki dalam ilmu fiqh, bahkan ia membawa erti kefahaman yang mendalam seperti dalam contoh ayat;

                    
91. mereka berkata: “Wahai Syuaib,! Kami tidak mengerti kebanyakan dari apa Yang Engkau katakan itu, dan Sesungguhnya Kami melihat Engkau orang Yang lemah Dalam kalangan kami; dan kalau tidaklah kerana kaum keluargamu, tentulah Kami telah melemparmu (dengan batu hingga mati). dan Engkau pula bukanlah orang Yang dipandang mulia Dalam kalangan kami!”

Dan juga dalam contoh ayat ;

                                        
78. di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada Dalam benteng-benteng Yang tinggi lagi kukuh. dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: “Ini adalah dari sisi Allah”, dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:” ini adalah dari (sesuatu nahas) Yang ada padamu”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah”. maka apakah Yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?

Adapun al fiqh pada istilah ulama’ ialah satu ilmu dengan hukum syarak yang praktikal, yang diusahakan secara ijtihadi daripada dalil-dalilnya yang terperinci; atau ia(fiqh) merupakan hukum-hukum itu sendiri.

Adapun Usul Fiqh sebagai satu istilah, ia membawa maksud :

“Ilmu tentang kaedah mengeluarkan hukum fiqh berdasarkan dalil ijmal (umum/tidak terperinci).”

…………………..
Akan disambung insyaALLAH..

Setiap Penderitaan – Terkandung Kenikmatan
Oleh DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

Ibn `Abbas berkata: `’Bani Israel bertanya kepada Musa: “Bagaimana ayah membunuh anak dan saudara membunuh saudara”? Lantas Allah menurunkan ke atas mereka kegelapan sehingga sebahagian mereka tidak melihat sebahagian yang lain. Mereka bertanya: “Apakah tanda taubat kami diterima”? Jawab Musa: “Bahawa seseorang itu bangun dengan memberi salam dan tidak dibunuh dan diangkat daripada kegelapan”. Justeru, dibunuh mereka sehingga melimpahlah darah dan bertempiklah kanak-kanak: `’Hai Musa, mintalah keampunan dan keampunan.” Lantas Musa menangis dan diturunkan taubah dan bangkitlah kesejahteraan serta terangkat kegelapan.” Mujahid berkata: “ Pembunuhan hingga 70,000 orang.”
Nikmat
Selepas Allah mengingatkan mereka dengan pelbagai nikmat, lantas Allah menerangkan tentang sikap mereka yang melampau dan keingkaran mereka di samping meminda segala arahan Allah dengan perlakuan maksiat. Sekalipun mereka kufur dan melakukan maksiat, Allah tetap bermadah dengan penuh kasih sayang. Alangkah keji dan hinanya mereka. Seterusnya Firman Allah Taala:
DAN (KENANGKANLAH) KETIKA KAMU BERKATA: WAHAI MUSA! KAMI TIDAK AKAN BERIMAN KEPADAMU SEHINGGA KAMI DAPAT MELIHAT ALLAH DENGAN TERANG (DENGAN MATA KEPALA KAMI). MAKA KERANA ITU KAMU DISAMBAR PETIR, SEDANG KAMU SEMUA MELIHATNYA. KEMUDIAN KAMI BANGKITKAN KAMU SESUDAH KAMU MATI (ATAU PENGSAN DARIPADA SAMBARAN PETIR ITU), SUPAYA KAMU BERSYUKUR. (Surah al-Baqarah ayat 55-56)
Firman Allah Taala: `Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: Wahai Musa!’ Iaitu ingatlah Bani Israel ketika kamu keluar bersama Musa untuk minta keampunan kepada Allah dengan sebab menyembah anak lembu, lantas kamu berkata: `Kami tidak akan beriman kepadamu’, iaitu kami tidak akan mempercayaimu hanya kerana kami mendengar kalam Allah, `sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami).” Iaitu kami dapat melihat Allah secara nyata dan jelas.
Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-`Uyun berkata: `’Ada dua pendapat berhubung `melihat Allah’:
1. Secara terang-terangan. Inilah pendapat Ibn Abbas.
2. Secara zat. Inilah pendapat Qatadah.”
Sayid Qutub berkata di dalam tafsirnya, Fi Zilal al-Quran: “Bukti-bukti yang demikian banyak, nikmat-nikmat Ilahi yang melimpah ruah dan nikmat kemaafan dan keampunan Allah, semuanya tidak dapat mengubah tabiat Bani Israel yang kasar, yang tidak beriman melainkan kepada perkara-perkara yang dapat disaksikan oleh pancaindera sahaja, di samping itu mereka terus berdegil, menentang dan enggan menurut perintah melainkan dengan tekanan keseksaan dan penindasan.”
`Maka kerana itu kamu disambar petir’, iaitu Allah menurunkan ke atas mereka api dari langit yang membakar mereka. Al-Mawardi berkata: `’Maksudnya kematian.” Sayid Qutub berkata: “Dan sekali lagi mereka diselamatkan oleh rahmat Allah dan sekali lagi mereka diberi peluang hidup supaya mereka mengingati Allah dan bersyukur kepada-Nya, dan di sinilah Allah mengingatkan mereka dengan nikmat itu.”
Kematian
`Sedang kamu semua melihatnya.’ Iaitu apa yang berlaku denganmu. Al-Imam al-Baghawi dalam Ma`alim al-Tanzil berkata: “Sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain ketika berlaku kematian, dan dikatakan kamu mengetahuinya. Maksud melihat di sini dengan maksud mengetahui.”
Ibn al-Jauzi mengemukakan tiga pendapat dalam tafsirnya, Zad al-Masir:
1. Maknanya, sebahagian kamu melihat kepada sebahagian yang lain bagaimana seseorang itu mati.
2. Sebahagian kamu melihat cara bagaimana mereka dihidupkan.
3. Kamu melihat bagaimana azab berlaku ke atasmu.
Kemudian tatkala mereka mati, bangkit Musa menangis seraya berdoa: “Hai Tuhanku, apa yang patut aku katakan kepada Bani Israel, sedangkan kamu membinasakan yang terbaik di kalangan mereka dan sentiasalah ia berdoa kepada Tuhannya sehingga Allah menghidupkan mereka sebagaimana firman Allah, `Kemudian Kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan daripada sambaran petir itu)’, iaitu Kami hidupkan kamu selepas kamu mati sehari semalam. Lantas mereka bangun dan hidup melihat sebahagian mereka kepada sebahagian lain, bagaimana mereka dihidupkan.
`Supaya kamu bersyukur’. Supaya kamu benar-benar bersyukur atas segala nikmat kurniaan-Nya ke atasmu dengan membangkitkannya selepas mati. Imam al-Ghazali menyebut di dalam kitabnya, Minhaj al-`Abidin berhubung martabat bersyukur kepada Allah. Berkata Ibn `Abbas r.a: “Bersyukur adalah taat dengan segenap anggota badan kepada Allah, sama ada secara sembunyi atau secara terang-terangan, dan secara lisan mahupun di dalam hati.”
Bersyukur
Guru kami mengatakan: “Bersyukur ialah taat zahir dan batin. Kemudian menjauhi segala perbuatan maksiat.” Ulama lain menyatakan: “Bersyukur adalah menjaga diri daripada perbuatan maksiat, sama ada zahir mahupun batin.” Sehingga para guru beranggapan bahawa menjaga diri adalah makna yang tetap, selain menjauhinya jadi harus tetap menjaga, sekali gus menjauhi perbuatan maksiat. Maksud menjauhi maksiat dan perbuatan kufur adalah menolak sewaktu ada ajakan atau dorongan untuk melakukannya.
Berkata guru kami: “Sesungguhnya syukur itu mengagungkan Allah yang memberi nikmat, yakni mengukur nikmatnya agar kita menjauhkan diri dan bersifat kufur.” Dengan demikian, tidaklah pantas seseorang yang mendapat nikmat Allah mempergunakannya untuk berbuat maksiat kerana bererti melawan si Pemberi Nikmat. Kewajipan kita adalah bersyukur dan mengagungkan Allah, sehingga kita tidak berbuat maksiat. Seseorang yang telah berbuat demikian bererti benar-benar telah bersyukur. Kemudian bersungguh-sungguh berbakti kepada Allah, dan beramal sesuai dengan kenikmatan yang ada padanya. Setelah itu menjaga dan menjauhkan diri daripada maksiat.
Bila kita harus bersyukur? Kita wajib bersyukur tatkala mendapatkan kenikmatan, sama ada kenikmatan dunia mahupun kenikmatan agama (akhirat ). Sebahagian ulama mengatakan: “Dalam keadaan menderita (ditimpa musibah ) kita tidak perlu bersyukur, tetapi kewajipan kita bersabar menghadapi musibah itu.” Kata mereka selanjutnya: “Di dalam setiap kemudaratan selalu terkandung kenikmatan. Dan kita wajib mensyukuri nikmat itu, meskipun datangnya bersama musibah.”

Ujian
Abdullah bin Umar menyatakan: Setiap kali menerima ujian daripada Allah, aku rasakan di dalamnya terkandung empat kategori kenikmatan:
1. Bahawa musibah itu tidak berhubung dengan agama. Contohnya salah seorang anggota keluarga meninggal dunia. Bukan agama atau iman yang mati!
2. Musibah itu bukanlah mala petaka hebat atau berat. Kerana seberat-berat musibah, masih ada yang lebih berat.
3. Nikmat dikurniakan keredhaan menerima musibah.
4. Nikmat menunggu pahala.
Selain itu kenikmatan yang datang bersama musibah adalah bahawa musibah itu tidak kekal, suatu saat pasti berakhir. Lagi pula musibah itu datang daripada Allah, bukan daripada yang lain, meskipun mungkin penyebabnya adalah makhluk. Apabila seseorang mendatangkan musibah untuk kita, itu bererti keuntungan bagi kita, dan kerugian baginya!
Guru kami menyatakan: “Penderitaan dunia pada dasarnya harus disyukuri. Sebab semuanya itu akan mendatangkan manfaat besar dan pahala yang melimpah. Sehingga apabila dibandingkan dengan penggantinya, tidaklah bererti semua penderitaan itu.”