November 2007


Memahami konsep kepimpinan menurut al-Quran dan as-Sunnah (Bahagian 1)

Ustaz Zainudin Hashim
Fri | Nov 30, 07 | 8:21:13 am
Tazkirah Jumaat | Aspek kepimpinan dalam Islam merupakan satu pendekatan bagi merealisasikan segala tuntutan Allah SWT yang termaktub dalam al-Quran dan ajaran baginda Rasulullah s.a.w yang terdapat dalam hadis atau sunnahnya.Pelaksanaan kepimpinan menurut tuntutan al-Quran dan ajaran Sunnah baginda Rasulullah s.a.w disifatkan sebagai antara perkara utama yang mesti dilakukan oleh setiap insan bernama muslim, kerana tanpanya segala tuntutan kedua-dua sumber syariat itu tidak akan terlaksana dengan sempurna.

Sehubungan itu, baginda Rasulullah ada menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud daripada Abu Said dan Abu Hurairah : “Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah mereka memilih salah seorang menjadi ketua (pemimpin).” Hadis riwayat Abu Daud dengan sanadnya yang Hasan.

Jelas daripada apa yang ditegaskan dalam hadis di atas, menunjukkan kalau orang Islam yang berada dalam keadaan musafir pun perlu memilih ketua bagi menghalakan perjalanan yang betul dan diredai Allah, apatah lagi mereka berada dalam keadaan bermukim dalam satu negara, daerah atau kawasan, sudah tentu memilih ketua (pemimpin) itu adalah menjadi lebih wajib bagi menentukan hala tuju rakyat dengan pelaksanaan hukum-hukum syariat Islam.

Ia tidak lain adalah untuk menjalankan segala amanah Allah seperti undang-undang Hudud, Qisas dan Ta’zir yang tersedia ada dalam al-Quran, kerana matlamat utama penciptaan manusia di muka bumi ini adalah menjalankan amanah tersebut.

Allah SWT menegaskan perkara ini menerusi ayat 72 surah al-Ahzab yang bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah(tugas atau urusan keagamaan) kepada langit, bumi dan gunung-ganang, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, akhirnya ia dipikul oleh (makhluk yang bernama) manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim lagi amat bodoh.”

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah, baginda Rasulullah s.a.w bersabda : “Jika amanah (urusan dan tugas keagamaan itu) hilang (kerana tidak dilaksanakan), maka tunggulah akan berlakunya kiamat, salah seorang sahabat bertanya – Bagaimana amanah itu boleh hilang (kerana tidak dilaksanakan)? Rasulullah menegaskan: “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah akan berlakunya kiamat.” Hadis riwayat Imam Bukhari dengan sanad yang sohih.

Apabila terdapat pemimpin umat Islam yang dipilih oleh rakyat, mengabaikan tanggungjawab serta tugas untuk mendaulatkan Syariat dan hukum-hukum Allah dengan mengenengahkan peraturan ciptaan manusia seperti Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme dan sebagainya, maka umat seluruhnya terseret kepada satu hala tuju hidup yang tidak berpaksikan kebenaran Islam yang akhirnya mengundang mereka kepada satu keadaan yang hina di sisi Allah SWT.

Justeru, tidak ada alasan kepada manusia muslim untuk tidak menjalankan amanah tersebut, kerana di atas pundak merekalah Allah menyerahkan tugas pelaksanaan urusan keagamaan, keengganan mereka untuk berbuat demikian akan menerima akibat yang buruk pada hari Kiamat, ini kerana Allah SWT telah membekalkan kepada mereka rujukan utama iaitu al-Quran yang menjadi mukjizat hingga berlakunya hari pembalasan.

Negara terbentuk dengan acuan yang disediakan para pemimpin

Apabila terdapat pemimpin yang cenderung kepada pendekatan fahaman selain Islam seperti yang dijelaskan di atas, maka mereka berusaha untuk menjadikan rakyatnya juga pengikut setia kepada pendekatan fahaman mereka walaupun ia tersasar jauh daripada kebenaran Islam.

Ia dapat dilihat jika pemimpin yang mentadbir negara merupakan pengamal kuat kepada fahaman Sekularisme yang memisahkan antara agama dan negara, maka mereka akan berusaha untuk mencorak dan menjadikan negara yang ditadbir itu beraliran fahaman tersebut, jika ia Sekularisme, maka akan disekularkan semua termasuk segala perancangan bagi membangun negara, tidak kurang juga rakyat dipalitkan sama agar percaya, menganut dan berpegang teguh kepada Sekularisme.

Perlu dinukilkan penjelasan di sini, berhubung satu riwayat yang dipetik oleh Imam at-Tabari dalam kitabnya ‘Tarikh at-Tabari’, kata-kata yang dipetik daripada salah seorang Nabi yang berbunyi : Pegangan agama rakyat (orang ramai) bergantung kepada pegangan para pemimpin mereka.

Selanjutnya Imam at-Tabari membuat perbandingan perbezaan pentadbiran negara yang pernah berlangsung di zaman pemerintahan Umawiyah, iaitu dari khalifah yang keenam al-Walid Bin Abdul Malik, khalifah yang ketujuh, Sulaiman Bin Abdul Malik dan khalifah yang kelapan iaitu Saidina Omar bin Abdul Aziz.

Ia menggambarkan bagaimana terdapat perbezaan yang ketara di antara corak pemerintahan ketiga-tiga khalifah di atas, di zaman khalifah al-Walid, beliau amat menitik-beratkan persoalan pembangunan kebendaan, maka rakyatnya turut terpalit dengan banyak bertanya dan bercakap tentang pembangunan, apabila tampuk pemerintahan beralih tangan kepada khalifah Sulaiman, beliau lebih suka memperkata soal keseronokan dan makan minum, maka rakyatnya diheret sama memperkata tentang keseronokan apabila bertemu di antara sama lain.

Berbeza dengan saidina Omar Bin Abdul Aziz, beliau mempunyai agenda serta wawasan yang tidak serupa dengan khalifah-khalifah sebelumnya yang kurang bercakap tentang aspek keagamaan, beliau amat menitik-beratkan persoalan agama dari segenap sudut, hingga rakyat yang dipimpinnya saling bertanya antara satu sama lain mengenai tentang Islam, al-Quran, penghafalan hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w, ibadat fardu dan sunat dan sebagainya.

Beliau turut terpanggil untuk menyeru para pemimpin dari pelbagai bangsa di dunia untuk menerima islam dengan baik, kerana beliau merasakan ia adalah menjadi tanggungjawabnya yang akan ditanya di hadapan Allah SWT.

Bagaimana pula dengan para pemimpin negara, yang kita sama-sama dapat saksikan saban hari dengan pelbagai tindakan yang mungkin menyebabkan ramai di kalangan penganut agama lain tidak berminat untuk berjinak apatah lagi memeluk Islam?

Tidakkah mereka merasa berdosa dengan tidak menunjukkan contoh teladan yang pernah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w agar ramai di kalangan rakyat negara ini menerima Islam dengan baik?

Apakah mereka masih mahu mengekalkan pangkat dan jawatan, sedangkan apa yang mereka lakukan itu tidak menepati Sirah Rasulullah s.a.w?

Persoalan pemimpin wanita yang tidak bertudung kepala (hijab) dianggap kecil dosanya, para menteri yang terlibat dengan mengaut kekayaan sepanjang bergelar menteri, penglibatan meluluskan premis-premis judi yang keterlaluan, amalan rasuah atau politik wang, jatuh menjatuh antara satu sama lain menjadi perkara biasa, sedangkan perkara itu mempunyai impak yang besar kepada rakyat jelata yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan pegangan agama.

Larangan meminang wanita dalam idah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Al-Alusi berkata dalam Ruh al-Ma’ani: Wahai lelaki yang ingin berkahwin, sama ada dengan cara jelas kenyataannya atau secara sindiran, apatah lagi yang membabitkan perempuan yang dalam keadaan idah, maka di sana ada hukum yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t.

Alah berfirman: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).

Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan.

Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (al-Baqarah: 235)

Firman Allah: Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).

Sonhaji berkata: Jika seseorang itu hendak meminang janda yang masih dalam idahnya, janganlah pinangan itu dikemukakan kepadanya secara berterus-terang.

Namun, hendaklah dengan sindiran, bayangan ataupun isyarat sahaja, misalnya ia berkata: “Puan ini seorang yang cantik rupanya dan solehah pula orangnya, sedang saya berazam benar hendak berumahtangga, semoga Allah memudahkan saya memperoleh perempuan yang solehah.”

Lain-lain misal ialah menggunakan gaya bahasa yang tidak tepat tetapi sopan. Ataupun dengan menyembunyikan hasrat yang ada dalam hati – tiada dilahirkannya dengan rangkaian kata-kata – hanya dilakukan misalnya dengan melawat-lawat ke rumahnya, atau memberi salam ataupun memberikan suatu hadiah kepadanya.

Ibn al-Arabi berkata: Tafsiran sindiran itu boleh dibahagikan kepada dua bahagian pokok iaitu:

* Menyebutkan kepada wali dengan kata: “Janganlah kamu dahuluiku terhadapnya.”

* Menyebutkan perkara itu kepada wanita tersebut tanpa orang tengah. Jika perkara itu disebutkan sendiri kepada wanita tersebut, maka ada tujuh bentuk kata-kata yang diucapkan :

Lelaki berkata kepada wanita itu: Aku ingin berkahwin.

“Jangan dahulukan dirimu daripadaku.” Dikatakan oleh Ibn Abbas,

“Kamu ini cantik dan saya memang perlukan wanita, dan Allah meletakkan kebaikan kepada anda.

“Kamu memang laris.” Dikatakan oleh Ibn al-Qasim.

“Aku ada hajat, terimalah berita gembira bahawa kamu ini laris.” Wanita itu boleh menjawab: “Aku telah dengar apa yang kamu katakan. Dia tidak boleh menambah sesuatu selain itu.” Dikatakan oleh Atta’.

Diberikan hadiah kepada wanita itu. Dikatakan oleh Ibrahim, jika biasanya lelaki itu memberikan hadiah.

Diberikan hadiah tetapi jangan diambil janjinya. Dikatakan oleh al-Sya’bi.

Firman Allah: Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah yang ditetapkan itu.

Sonhaji berkata: Allah mengetahui akan hasrat hati seorang terhadap perempuan yang hendak dipinangnya, tiadalah ia menjadi larangan. Yang dilarang ialah berjanji kepada perempuan itu hendak mengahwininya, kecuali jika membahasakan dengan cara yang patut iaitu dengan memberitahukan walinya, dan mengemukakan pinangannya itu setelah selesai idahnya.

Maksud rahsia atau sulit yang disebut oleh ayat ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn al-Arabi: Kamu dilarang daripada berterus terang untuk berkahwin dan melakukan akad nikah, tetapi kamu dibenarkan menyebutnya secara sindiran. Oleh itu, apabila kamu menyebutkannya secara sindiran, maka jaga-jagalah jangan sampai kamu membuat janji untuk berkahwin semasa waktu kamu dilarang melakukan akad kahwin dengan mereka.

Para ulama berselisih pendapat tentang rahsia/ sulit yang disebutkan dalam ayat ini. Ada tiga pendapat tentangnya:

* Ia bermaksud zina.

* Ia bermaksud persetubuhan.

* Ia bermaksud menyatakan secara terus terang.

Al-Tabarani memilih pendapat yang mengatakan ia bermaksud zina berdasarkan kata-kata A’sya yang bermaksud:

Jangan kamu hampiri si gadis kerana rahsianya haram ke atas kamu, maka kahwinilah dia atau pencilkan diri.

Perkataan al-Sir (rahsia / sulit) dari sudut bahasa mempunyai banyak pengertian.

Bicara yang diucapkan secara rahsia dan disembunyikan apa yang terselindung.

* Sir al-Wadi (tebing lembah).

* Sir al-Syai’ (yang terbaik).

* Zina.

* Persetubuhan.

* Faraj wanita.

* Sir al-Shahr (malam-malam yang tidak kelihatan bulan sabit)

Kesemua pengertian ini ada yang boleh dipadankan antara satu sama lain, di mana maksud yang merangkumi semua pengertian itu ialah ‘tersembunyi’. Maksud ini adakalanya umum kepada sesuatu dan adakalanya khusus kepada yang lain.

Perhatikan perkataan yang bermaksud yang terbaik kerana ia tersembunyi dan terpelihara. Perkataan yang bermaksud tebing lembah kerana tebing itulah yang paling elok, kerana keindahan lembah itu hanya dapat dinikmati apabila kita duduk di atas tebingnya bukan di dalam lembahnya. Kerana itulah dinamakan Surriyyah (perempuan simpanan/khadam wanita) kerana dia diambil untuk tujuan persetubuhan.

Perkataan khadam (bagi wanita) digunakan untuk mereka yang diambil untuk bekerja dan disetubuhi. Wanita yang diambil untuk tujuan disetubuhi dipanggil surriyyah yang berakar kata daripada perkataan surur (seronok). Kerana itulah juga faraj wanita dinamakan sir kerana ia adalah tempat untuk berseronok.

Dalam konteks ayat ini, ia bermaksud: Jangan kamu membuat janji kepada mereka untuk bernikah atau bersetubuh, kerana ia merupakan janji yang diharamkan kepada kamu semasa dalam idah, disebabkan mereka diharamkan berkahwin semasa dalam idah sampai waktu tertentu, maka diharamkan juga membuat janji semasa dalam idah itu.

Firman Allah: Dan ketahuilah sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaan-Nya, dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun, yakni tiada menyegerakan seksa-Nya kepada orang yang derhaka kepada-Nya, bahkan dengan adanya sifat penyantun itu, ditutupi-Nya kesalahan hamba-Nya.

Iktibar Ayat

– Tidak boleh meminang seseorang perempuan dalam idah.

– Berkahwin semasa idah kemudian bersekedudukan hendaklah difasakh dan tidak berkahwin selamanya. Inilah pendapat Malik, Ahmad dan al-Sya’bi.

– Islam menggalakkan perkahwinan tetapi mengikut adab dan syarat-syaratnya.

natural_disasters.jpg

Bencana alam di abad ini meningkat empat kali ganda berbanding 2 dekad yang lalu. Satu kajian yang dibuat oleh British Charity Oxfam mendapati bahawa akibat dari kesan pemanasan global yang terus meningkat, bumi mengalami bencana alam yang naik mendadak iaitu sebanyak 500 pelbagai bencana alam setahun masakini berbanding 120 sahaja di era 1980an. Tahun ini kita lihat banjir besar merentasi Afrika dan Mexico yang memangsakan 250 juta rakyat.

banjir.jpg

Jumlah manusia yang menjadi mangsa bencana -bencana tersebut meningkat kepada 70%, daripada 174 juta antara 1985 hingga 1994, kepada 254 juta antara 1995 hingga 2004. Banjir dan ribut bertambah daripada 60 kejadian pada tahun 1980, kepada 240 kejadian tahun lalu.

Catatan:Fakta di atas merupakan hasil kajian Oxfam yang mengambil kira data daripada Pasukan Palang Merah Antarabangsa, Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Penyelidik Pakar daripada Universiti Louvain Belgium.

*Terjemahan artikel oleh ibnuabbas

Berikut merupakan Deklarasi yang dibuat hasil daripada program Sidang Rakyat: Menangani Musibah Kenaikan Harga Barang di Masjid Pengadang Baru 24 November 2007 yang dianjurkan oleh Lestari Resources and Consultancy.

(selanjutnya…)

Satu Pembohongan! : Pelupusan yuran sekolah

Kementerian Pelajaran Malaysia dikhabarkan akan menggantikan Yuran yang dipupuskan baru baru ini dengan istilah baru pengutipan wang dari ibu bapa yang dikenali sebagai PAKEJ?Menurut sumber yang boleh dipercayai, surat pekeliling sudah dihantar ke sekolah sekolah untuk mendapatkan maklum balas dari pihak guru besar tentang ketegori sekolah sekolah yang terdapat di seluruh Malaysia. Surat pekeliling tersebut dikhabarkan antara pihak sekolah dan Kementerian.

Menurut mereka lagi, pembayaran pakej itu akan mula di kenakan kepada ibu bapa seawal tahun hadapan selepas tempoh tempoh tertentu. IA mungkin ada kena mengena dengan tarikh pilihanraya.

Antara pakej yang dikenal pasti adalah 3 jenis pakej yang dikenali sebagai PAKEJ A, PAKEJ B dan PAKEJ C. Pakej A adalah pakej untuk sekolah di bandar yang bertaraf moden dan sekolah yang terletak di kawasan elit. Pakej itu memerlukan bapa membayar sekitar RM35 bagi seorang murid. Pakej B pula merujuk kepada sekolah bandar yang sederhana dan mengenakan pembayaran pakej sekitar RM30 bagi seorang murid manakala Pakej C adalah untuk sekolah diluar bandar yang memaksa ibu bapa murid membayar sekitar RM25 seorang.

Di dalam surat itu juga, dinyatakan juga bahawa pihak kerajaan dengan sukacitanya menghapuskan Yuran RM18, tetapi tujuan surat itu diedarkan adalah tentang pengenalan pakej pakej yang bakal dikenakan kepada ibu bapa sebagai gantian kepada Yuran tersebut. Berita tentang ini sibuk diperkatakan oleh pihak guru-guru sekolah dan mereka menamakan tindakan ini sebagai ‘Yuran Secara senyap”.

Sekiranya dakwaan ini benar, maka jelaskan bahawa Kerajaan Barisan Nasional sedang berusaha untuk menipu rakyat dengan istilah baru bagi mengaburi mata rakyat seperti CUKAI JALAN dan CUKAI KENDERAAN. Sedangkan pembayaran yuran terus kekal dikenakan, malah lebih tinggi lagi dengan penggunaan TERMA yang berlainan.

Berikut adalah keratan surat yang terkandung di dalam pekeliling yang  diedarkan kepada ibu bapa di sebuah sekolah di bandar, Selangor.

Ibu bapa bakal menerima surat pekeliling yang sedemikian ketika sessi permulaan persekolah Januari 2008 nanti. Ini jelas menunjukkan bahawa pelupusan YURAN TAHUNAN yang dicanangkan oleh kerajaan melalui kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran memang berlaku tetapi YURAN tersebut digantikan dengan terma lain, PEMBAYARAN PAKEJ TAMBAHAN.

Merujuk kepada artikel lepas, surat PEKELILING IKHTISAS yang diedarkan ke seluruh sekolah dikatakan mengandungi keterangan tentang ketiga tiga pakej berkenaan. PAKEJ A (RM38.00) untuk sekolah bandar yang moden dan canggih, PAKEJ B (30.50) untuk sekolah bandar yang sederhana dan PAKEJ C (RM23.50) untuk sekolah dikampung. Pihak sekolah diarah untuk membalas surat pekeliling berkenaan kepada KEMENTERIAN PELAJARAN. Dan sekolah diatas telah memilih PAKEJ B, seperti yang terkandung di dalam surat berkenaan. Ini bermakna YURAN TAHUNAN yang sebelum ini berjumlah RM18.00 setahun telah dinaikkan jumlah nya dengan kaedah tidak ketara.

Rakyat Malaysia sekali lagi diPERBODOHKAN oleh penggunaan TERMA oleh kerajaan Malaysia, menyaksikan betapa penipuan ini dilakukan oleh Pemimpin Barisan Nasional untuk tujuan Pilihanraya ke 12 semata mata. Diberita kan bahawa surat kepada ibu bapa yang bertarikh pada 14 November 2007 ini hanya akan diedarkan pada awal tahun hadapan. Dan mungkinkah ini turut membuktikan bahawa Pilihanraya akan diadakan sebelum penghujung tahun 2007 ini, bagi mengelakkan rasa tidak puas hati rakyat kepada kerajaan?

Rujukan: SKBT
Bil 03/03/04/005
Tarikh: 14 NOVEMBER 2007

Kepada,
Semua Ibubapa/Penjaga Murid
Sekolah Kebangsaan Bukit Tinggi
Bandar Bukit Tinggi, 41200 Klang

Tuan/Puan,

KUTIPAN YURAN SESSI PERSEKOLAHAN 2008

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2. Sukacitanya dimaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia telah memansuhkan YURAN KHAS di semua sekolah Kerajaan dan sekolah Bantuan Kerajaan pada sessi persekolahan 2008 dan melaksanakan SISTEM PAKEJ BAYARAN TAMBAHAN sebagai bayaran perkhidmatan dan kemudahan dikategorikan kepada 3 Pakej. (Surat Pekeliling Ikhtisas 13/2/2007 bertarikh 31 Oktober 2007) – rujuk Lampiran SR

3. Jawatankuasa Pentabdiran / Kewangan sekolah telah memutuskan untuk memilih Pakej B (RM 30.50) dengan mengambil kira latar belakang sosioekonomi masyarakat setempat.

4. Selain dari ibubapa/penjaga perlu membuat bayaran kepada KEPERLUAN MURID BAGI TAHUN 2008 dan sumbangan PIBG seperti disenaraikan mengikut Tahun persekolahan.

– Rujuk Lampiran BAYARAN KEPERLUAN MURID 2008 & SUMBANGAN PIBG.

5. Ibubapa/penjaga murid boleh membuat bayaran untuk PAKEJ BAYARAN TAMBAHAN dan KEPERLUAN MURID TAHUN 2008 pada 01 January 2008 semasa HARI ORIENTASI TAHUN SATU.

Sekian untuk makluman dan tindakan. Terima Kaseh.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,

Isu ubat gigi yang mengandungi unsur babi telah lama dicanangkan oleh pelbagai NGO kepenggunaan termasuklah CAP(Persatuan Pengguna Pulau Pinang) dan PPIM(Persatuan Pengguna Islam Malaysia). Ambe sendiri sudah lama menyedari masalah ini dan sudah lama jga meninggalkan penggunaan ubat-ubat gigi yang tiada logo Halal hatta Colgate yang mengaku halal itu pun ambe tak guna bertahun2 dah.

Bersama-sama artikel ini ambe sertakan kempen dari PPIM agar meninggalkan ubat gigi yang mengandungi bahan haram dan bahan kimia yang membahayakan kesihatan, bukan bertujuan nak mempromosikan UBAT GIGI MUKMIN tapi agar umat Islam di Malaysia sedar betapa pentingnya kita menjaga soal penggunaan barang harian kita supaya diredhai Allah. Banyak lagi ubat gigi yang boleh menjadi alternatif seperti HPA, SURECO, SAFI(walaupun ada pihak yg mempertikaikan kehalalannya, ia tetap ada sijil JAKIM), SIWAK, dan beberapa lagi jenama yang tidak terkenal.

ppim.jpg

SEBARKAN!!! JANGAN BIARKAN DIRI ANDA DISELUBUNGI DENGAN BENDA HARAM …..

Ibu difardukan menyusu anak

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

SAYID Qutub berkata: Hukum yang berikut ialah hukum yang berhubung dengan penyusuan kanak-kanak selepas talak.

Undang-undang keluarga pastilah mengandungi penjelasan mengenai hubungan yang tidak dapat diputuskan di antara suami dan isteri selepas talak, iaitu hubungan anak yang telah disumbangkan oleh mereka berdua. Dan si anak inilah yang mengikatkan mereka berdua.

Apabila ayah dan ibu tidak dapat hidup bersama lagi, maka si anak yang masih mentah itu pastilah mendapat jaminan-jaminan yang hemat dan terperinci yang meliputi segala keadaan.

Firman Allah: Dan ibu-ibu itu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu-ibu itu mengikut cara yang baik. Tidaklah ditaklifkan seseorang itu melainkan sekadar kemampuannya. Janganlah seseorang ibu dijadikan menderita dengan sebab anaknya dan janganlah seorang bapa dijadikan menderita sebab anaknya. Dan waris juga menanggung kewajipan yang seperti itu (jika tiada bapa) kemudian apabila keduanya (bapa dan ibu) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan dan rundingan dari keduanya, maka tiadalah menjadi apa-apa kesalahan kepada keduanya. Dan jika kamu mahu mengadakan penyusu kepada anak-anak kamu, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan kepada kamu jika kamu serahkan upah yang diberikan kamu dengan pertimbangan yang baik. Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah melihat segala apa yang kamu kerjakan. (al-Baqarah: 233)

Firman Allah s.w.t.: Dan ibu-ibu itu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu

Al-Mawardi berkata: Perkataan haul di sini bermaksud tahun pada asalnya mempunyai dua pendapat:

Pertama: Dengan maksud perubahan dari waktu pertama.

Kedua: Dengan maksud perubahan dari tempat iaitu perpindahan ke tampat yang lain.

Si ibu yang dicerai mempunyai kewajipan terhadap anaknya yang masih menyusu, iaitu kewajipan yang difardukan Allah ke atasnya. Allah tidak membiarkan si ibu itu dalam menghadapi perkara ini kepada fitrah dan emosinya yang mungkin dirosakkan oleh perbalahan-perbalahan suami isteri dan menyebabkan si anak yang kecil itu menanggung penderitaan.

Oleh itu Allah sendiri yang memelihara si anak dan memfardukan kewajipan itu ke atas leher ibunya, kerana Allah lebih melindungi manusia daripada mereka melindungi diri sendiri, kerana Allah lebih berbakti darpada mereka dan lebih kasihan daripada ibu bapa mereka. Allah memfardukan ke atas si ibu menyusukan anaknya selama dua tahun genap kerana Allah s.w.t mengetahui bahawa tempoh yang paling penting dari segi kesihatan dan kejiwaan seseorang kanak-kanak.

Firman Allah s.w.t, …dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu-ibu itu mengikut cara yang baik.

Menurut hasil kajian kesihatan dan kejiwaan pada hari ini ternyata bahawa tempoh dua tahun adalah satu tempoh yang perlu untuk membolehkan kanak-kanak itu subur dengan kesuburan yang sihat dari segi kesihatan dan kewajipan, tetapi nikmat Allah kepada kaum Muslimin tidak menunggu mereka mengetahui hakikat ini daripada hasil ujian mereka.

Tabung simpanan insaniah yang mengandungi perbendaharaan pengalaman zaman kanak-kanak tidak pernah ditinggalkan hingga dimakan oleh kejahilan selama masa yang panjang ini kerana Allah Maha Pengasih terhadap para hamba-Nya terutama terhadap kanak-kanak yang kecil yang memerlukan kepada kasih sayang dan belaan.

Dan bagi si ibu pula telah diwajibkan ke atas bapa si anak, sebagai balasan terhadap kewajipan yang difardukan Allah kepadanya, supaya memberi kepada si ibu perbelanjaan makan dan minum dan pakaian mengikut pertimbangan yang baik kerana kedua-duanya berkongsi dalam tanggungjawab itu. Kedua-duanya bertanggungjawab terhadap bayi yang masih menyusu itu.

Si ibu membantu dengan susu dan jagaan dan si bapa pula membantu dengan makanan dan pakaian untuk membelanya. Kedua-duanya menunaikan kewajipan masing-masing dalam batas kemampuannya.

Firman Allah s.w.t.: Tidaklah ditaklifkan seseorang itu melainkan sekadar kemampuannya.

Syeikh al-Maraghi berkata: Tidaklah membebankan seseorang kecuali mengikut kemampuannya.

Sonhaji berkata: Si ayah tidaklah diberati dengan nafkah anak dan ibu tadi, melainkan sekadar yang termampu oleh ayah atau sekadar yang ada, jangan sampai ibu dan anak itu menuntut yang berlebihan sehingga terkeluar dari batas kesanggupannya.

Firman Allah s.w.t.: Janganlah seseorang ibu dijadikan menderita dengan sebab anaknya dan janganlah seorang bapa dijadikan menderita sebab anaknya. Dan waris juga menanggung kewajipan yang seperti itu (jika tiada bapa).

Sonhaji berkata: Ibu yang bersedia menyusukan anaknya, janganlah anaknya itu diambil untuk disusui oleh perempuan lain, kerana yang demikian itu menyusahkannya. Atau ibu itu terpaksa menyusukan supaya menjadi beban dan kesusahan kepadanya. Padahal ia tidak sanggup menyusukannya. Dalam pada itu, menyusukan anak itu tiadalah wajib baginya.

Begitulah pula ayah anak itu, janganlah dibebankan dengan meletakkan anaknya kepadanya, padahal anak itu perlu disusui oleh ibunya sehingga menyusahkan ke atas dirinya dan iri kanak-kanak itu.

Walhasil salah seorang darpadai kedua-dua ibu bapa itu janganlah saling sakit menyakiti dan susah menyusahkan, disebabkan adanya kanak-kanak tadi. Jangan pula keduanya menyusahkan anak mereka, bahkan hendaklah keduanya bertanggungjawab ke atas kehidupannya.

Selain kedua-duanya bertanggungjawab, waris kanak-kanak itu pun ikut bertanggungjawab pula – manakala bapanya meninggal dunia – misalnya waris tersebut datuk, abang, bapa saudara dan seumpamanya daripada ahli waris sebelah lelaki. Mereka hendaklah menanggung mana-mana yang patut tentang nafkahnya. Dan ahli waris pula, janganlah mendatangkan kesusahan kepada kanak-kanak tersebut.

Firman Allah s.w.t.: Kemudian apabila keduanya (bapa dan ibu) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan dan rundingan dari keduanya, maka tiadalah menjadi apa-apa kesalahan kepada keduanya.

Sonhaji berkata: Ayat ini menjelaskan bahawa ibu bapa tidak berdosa menceraikan susu anaknya sebelum anak itu berumur dua tahun, iaitu sekiranya tiada mendatangkan mudarat kepada anak-anak tersebut.

Firman Allah s.w.t: Dan jika kamu mahu mengadakan penyusu kepada anak-anak kamu, maka tidaklah menjadi apa-apa kesalahan kepada kamu jika kamu serahkan upah yang diberikan kamu dengan pertimbangan yang baik.

Al-Baghawi berkata: Bagi anak-anak kamu ada penyusu-penyusu selain ibu mereka jika ibu mereka enggan menyusukannya ataupun dengan sebab sakit dan tiada susu. Maka bolehlah dicarikan ibu susuan untuk menyusukan kanak-kanak tersebut, asal dibayar upahnya. Atau mengupah kepada ibu kanak-kanak itu sendiri. Perbuatan demikian tiadalah berdosa.

Firman Allah s.w.t.: Dan bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah melihat segala apa yang dilakukan kamu.

Nyata takwa merupakan puncak kepada segala kebaikan dan kebajikan. Dengan sebab itu manusia akan mematuhi segala arahan Allah dan menjauhi segala larangannya.

Sonhaji berkata: Tiadalah sekali-kali tersembunyi di sisi Allah segala perbuatan yang kamu lakukan.

Iktibar Ayat

– Pensyariatan penyusuan bagi ibu-ibu kepada anak-anaknya.

– Nafkah yang diberikan mengikut kadar kemampuan seseorang bapa.

– Hak hadanah berdasarkan ayat di atas adalah milik ibu.

Tip menurunkan berat badan

Dr. Pakar,
BARU-BARU ini saya mengalami pertambahan berat badan yang amat ketara dan keadaan ini amat merunsingkan saya. Saya cuba mengawal berat badan dengan cara berdiet tetapi hasilnya sama seperti sediakala.Saya berusia 29 tahun dan berat badan saya sekarang mencecah 98 kilogram.

Masalahnya, saya tidak pasti dengan pemakanan yang sepatutnya saya ambil. Besar harapan saya agar doktor boleh memberikan menu yang sesuai sebagai diet saya selama seminggu. Apakah makanan yang perlu saya tambahkan ke dalam diet dan apakah pula makanan yang perlu dielakkan. Sekian, terima kasih.

– DEWASA BERAT

Dewasa Berat,

Bergantung kepada ketinggian tubuh anda (dan bukannya umur anda), doktor akan menentukan sama ada anda mempunyai berat badan yang berlebihan atau obes menggunakan pengiraan indeks jisim tubuh (BMI).

Saya anggarkan, dengan berat badan 98 kg, anda mungkin termasuk dalam kategori obes. Berikut adalah beberapa garis panduan yang boleh anda jadikan rujukan untuk mengurangkan berat badan.

l Bahagian utama hidangan anda hendaklah terdiri daripada makanan berasaskan kanji seperti roti, bijirin, kentang dan nasi; buah-buahan dan sayur-sayuran.

* Kurangkan sebanyak mungkin lemak daripada diet anda. Lemak mengandungi lebih banyak kalori – sehingga dua kali ganda berbanding makanan berkanji atau berprotein dalam kuantiti/berat yang sama.

Tip: Gunakan sapuan rendah lemak pada roti anda; apabila memasak kurangkan penggunaan minyak; panggang makanan di sebalik menggorengnya; buangkan lebihan lemak daripada daging dan pilih daging tanpa lemak dalam potongan yang lebih kecil.

Perhatikan juga lemak tersembunyi yang terdapat di dalam kek, biskut, coklat, kerepek dan pai.

l Ambil versi susu, keju, yogurt dan lain-lain yang rendah lemak. Ia mempunyai kandungan kalsium yang sama nilainya dengan versi lemak penuh tetapi kurang kalori.

l Umumnya, makanan lemak rendah adalah yang terbaik. Tetapi haruslah diingat, sesetengah makanan dan minuman rendah lemak mempunyai kandungan kalori yang tinggi seperti alkohol, minuman manis dan gula-gula. Jadikan air masak sebagai minuman utama anda berbanding minuman ringan.

* Makan sebanyak tiga hidangan sihat sehari termasuk bersarapan adalah yang terbaik. Makan setiap hidangan secara perlahan-lahan. Jangan melangkau hidangan anda kerana ia hanya akan membuatkan anda menjadi bertambah lapar.

Akibatnya, ia merangsang anda untuk lebih memikirkan tentang makanan, sekali gus menjadikan anda lebih cenderung untuk makan secara berlebihan pada waktu malam. Ini tidak baik untuk berat badan yang ideal. Elakkan mengudap snek/makanan ringan di antara waktu makan.

* Lakukan aktiviti fizikal sekerap yang boleh. Jiika anda tidak biasa melakukannya, mulakan dengan berjalan pantas lebih 30 minit setiap hari dan tingkatkannya dari situ.

Sebarang tambahan baik dari segi berjalan, menari, berenang, berbasikal dan sebagainya adalah digalakkan. Cuba tingkatkan jumlah aktiviti yang anda lakukan pada setiap minggu sehingga anda melakukan antara 60 hingga 90 minit, sekurang-kurangnya tiga kali/hari seminggu.

* Realistik. Anda tidak perlu menyasarkan berat badan yang sempurna. Sekiranya anda tergolong dalam kategori berat badan berlebihan atau obes, anda akan mendapat banyak faedah kesihatan daripada 5 hingga 10 peratus penurunan berat badan anda (biasanya 5 hingga 10kg).

* Yang terbaik adalah untuk tidak kehilangan berat badan dengan begitu cepat atau mendadak. Jiika berat anda turun lebih sekilogram seminggu, anda mungkin kehilangan tisu otot-otot dan bukannya lemak yang sepatutnya dihapuskan.

Penurunan berat badan antara setengah hingga 1 kilogram seminggu adalah paling baik. Untuk mencapainya, anda perlu kurangkan antara 500 hingga 1,000 kalori berbanding yang anda ambil sebelumnya. Anda akan kehilangan 6 ke 12kg jika mengekalkan amalan ini sehingga tiga bulan.

* Maklumkan kepada orang lain mengenai rancangan anda mengurangkan berat badan. Sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan dapat membantu anda kekal bermotivasi. Anda juga boleh menimbangkan untuk menyertai pusat-pusat kecergasan berhampiran anda.

Untuk mengurangkan berat badan secara berterusan adalah lebih mencabar berbanding menurunkan sedikit berat badan. Sebaik sahaja anda berjaya mengurangkannya, anda mungkin dapat terus menurunkannya dengan lebih stabil dengan syarat, pilih diet sihat, tidak lupa bersenam secara konsisten dan menimbang berat badan seminggu sekali untuk memeriksa berat badan semasa anda. Semoga berjaya!

Jawapan disediakan oleh Pakar Perubatan dan Gasteroenterologi, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari.

ambe siarkan artikel menarik drp Ust Abdul Ghani Shamsuddin sempena peristiwa BERSIH H100K baru2 ni.

(selanjutnya…)

Ini merupakan sambungan Panduan Perhimpunan Aman BERSIH. Cetak dan sebarkan kepada rakan-rakan seperjuangan yang akan ke Dataran Merdeka 10 November ini. ALLAHU AKBAR!!!

(selanjutnya…)

Laman Berikutnya »