Jun 2009


TAFSIR SURAH AL BALAD

Terjemahannya:

1. Aku bersumpah Dengan negeri (Makkah) ini;

2. Sedang Engkau (Wahai Muhammad) tinggal di negeri ini (sentiasa ditindas),

3. Demi manusia Yang melahirkan zuriat, dan zuriat Yang dilahirkannya;

4. Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa Dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya);

5. Patutkah manusia Yang demikian keadaannya (terpedaya Dengan kekuasaan Yang ada padanya dan) menyangka Bahawa tidak ada sesiapapun Yang dapat mengatasi kekuasaannya (dan menyeksakannya)?

6. Manusia Yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia bermegah-megah Dengan kekayaannya dan) berkata: “Aku telah habiskan harta benda Yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan bangsa).

7. Adakah ia menyangka Bahawa tidak ada sesiapapun Yang melihatnya (dan mengetahui tujuannya menghabiskan harta bendanya itu?

8. (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) tidakkah Kami telah menjadikan baginya: dua mata (untuk ia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) –

9. Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?

10. Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?

11. Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal Yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan;

12. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui: apa Dia amal-amal Yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan itu?

13. (di antara amal-amal itu – bagi orang Yang mampu) ialah: memerdekakan hamba abdi;

14. Atau memberi makan pada hari kelaparan –

15. Kepada anak yatim dari kaum kerabat,

16. Atau kepada orang miskin Yang terlantar di atas tanah.

17. Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia (tidak pula) menjadi dari orang-orang Yang beriman dan berpesan-pesan Dengan sabar serta berpesan-pesan Dengan kasih sayang.

18. (Ketahuilah! Bahawa orang-orang Yang beriman serta berusaha mengerjakan amal-amal Yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh Syurga).

19. Dan (sebaliknya) orang-orang Yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan kami, merekalah golongan pihak kiri. –

20. Mereka ditimpakan (azab seksa) neraka Yang ditutup rapat (supaya kuat bakarannya).

1.MUQADDIMAH

Al Balad yang bermakna “NEGERI”, termasuk dalam surah makkiyah, diturunkan sesudah surah Qaaf. Ia mengandungi 20 ayat, 82 kalimah, dan 320 huruf.

2.SYARAH TAFSIR

Surah ini dimulakan dengan sumpah. Banyak surah yang dimulakan dengan sumpah. Ia menandakan selepas daripada sumpah itu, Allah ingin menyampaikan perkara yang sangat penting.

Allah bersumpah dengan ‘al Balad’yang merujuk kepada Mekah. Ini menunjukkan bahawa tanah Mekah merupakan tanah yang mulia dan diberkati Allah. Ia juga dikenali dengan tanah haram yang memberi erti bahawa banyak perkara tidak boleh dilakukan ketika berada dalam tanah haram. Antaranya mencabut tumbuhannya, membawa balik sesuatu yang menjadi milik tanah haram seperti tanah dan batunya.

Ayat 2 merujuk kepada Nabi Muhammad s.a.w. bertujuan untuk memuliakan rasulullah s.a.w. yang dilahirkan di tanah yang mulia, dan dilantik sebagai nabi terakhir di tanah yang mulia.

Allah ingin menekankan dalam ayat 4 bahawa manusia sentiasa dalam keadaan kesusahan, sama ada jasmani dan rohani. Antara kesusahan yang dialami manusia ialah susah menyara kehidupan, susah melahirkan anak, susah mencari harta benda, susah beramal kebajikan dan lain-lainnya. Kesusahan fizikal yang berlaku biasanya membawa kepada kesusahan kepada rohani juga.

Sebab itu dalam ayat ke 5, Allah membuat pertanyaan “adakah manusia mengira tiada seorang yang dapat berkuasa terhadapnya?” bertujuan mengingatkan manusia yang lupa asal usul, bahawa segala harta yang diperolehi dan ke mana dibelanjakan akan ditanya oleh Allah. Lihatlah ayat 7 menekankan bahawa Allah maha mengetahui segala isi hati manusia walaupun makhluk lain tidak mampu membongkarnya.

Seterusnya Allah mengingatkan manusia dalam ayat 8 dan 9 bahawa segala nikmat yang besar-besar seperti kurniaan dua mata, lidah dan bibir merupakan kurniaan Allah sebagai bukti kekuasaan dan kekayaanNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis qudsi yang maksudnya, “ Allah berfirman: Hai anak Adam, Aku telah memberimu nikmat yang amat banyak, engkau tidak akan dapat menghitungnya dan mensyukurinya. Dua mata untuk engkau melihat dengannya dan aku beri tutup maka gunakan  untuk melihat benda yang Aku halalkan dan apabila engkau melihat benda yang Aku haramkan maka tutuplah matamu. Juga Aku beri lidah kepadamu, juga Aku beri alat penutupnya, maka gunakannya untuk mengucapkan apa yang Aku perintahkan dan halalkan bagimu, jika ada sesuatu yang aku haramkan maka tutuplah rapat-rapat lidahmu, juga aku berikan kepadamu kemaluan dan Aku beri tutup, maka pergunakanlah kemaluanmu itu untuk apa yang Aku halalkan dan jika ada sesuatu yang Aku haramkan maka tutuplah. Hai anak Adam, engkau tidak sanggup menanggung murkaKu dan tidak kuat menerima seksa pembalasanKu.”

Lalu Allah menyebutkan dalam ayat ke 10 bahawa manusia diberi pilihan sama ada mengikuti jalan baik atau jalan jahat[1].

Tapi manusia tidak mahu menempuh kesusahan(ayat 11) dengan melakukan kebajikan seperti memerdekakan hamba(ayat 13), memberi makanan kepada orang yang kebuluran(ayat 14) atau kepada anak yatim dan kaum kerabat(ayat 15), atau kepada orang miskin yang melarat(ayat 16).

Umumnya manusia terbahagi kepada  dua golongan iaitu kanan dan kiri. Golongan kanan(ayat 18) ialah ahli syurga yang berpesan-pesan dengan kesabaran dan kasih sayang di dunia(ayat 17). Manakala golongan kiri merupakan orang-orang kafir(ayat 19)  yang sengsara hidupnya di akhirat akibat dihumban ke dalam neraka yang bersifat menutup mereka(ayat 20).

3.PENGAJARAN

  • Allah mengurniakan harta benda kepada manusia sebagai amanah untuk diuruskan dengan sebaiknya menurut syarak kerana ia akan disoal dari mana diperolehi dan bagaimana dibelanjakan.
  • Hargailah anggota tubuh badan yang dikurniakan Allah dengan mentaatiNya, bukan mengingkariNya.
  • Allah yang bersifat Maha Adil telah menyediakan dua jalan untuk kita lalui atas mukabumi ini, dan jalan yang kita pilih itu akan menentukan sama ada kita dibalas syurga atau neraka.

[1] Ayat ini(Dan telah Kami tunjukkan dua jalan) menjadi hujjah ulama’ mazhab ahli sunnah wal jamaah untuk menolak mazhab jabariah yang menggambarkan perbuatan manusia seperti kapas yang ditiup angin, baik atau jahat telah ditakdirkan Allah. Manusia dikurniakan akal fikiran untuk berikhtiar memilih jalan yang sepatutnya diredhai Allah, lalu membawa ke syurga.

SEDUTAN TAFSIR AL MUNIR

AYAT 20 HINGGA 23 SURAH AL ANFAL

1.TERJEMAHAN

20. Wahai orang-orang Yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran Yang mewajibkan taatnya).

21. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) Yang berkata: “Kami dengar”, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).

22. Sesungguhnya Sejahat-jahat makhluk Yang melata, pada sisi (Hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang Yang pekak lagi bisu, Yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).

23. Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah ia menjadikan mereka dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan Yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan diri.

2.HURAIAN TAFSIR

Allah memerintahkan hambaNya orang-orang beriman dengan ketaatan kepadaNya dan ketaatan kepada rasulNya, serta melarang mereka daripada menyalahi suruhan dan laranganNya.

Ayat di atas berkisar tentang seruan jihad serta meninggalkan harta benda sebagai rentetan perbincangan ayat sebelumnya.

Allah memberi peringatan agar orang-orang beriman tidak menjadi seperti golongan munafik yang berkata “kami dengar” sedangkan mereka tidak menghiraukan apa yang mereka dengar. Mereka tidak mahu turut berperang bersama-sama rasulullah dan para sahabat dalam perang Badar.

Lalu Allah ta’ala menyamakan golongan munafik dan musyrik itu dengan binatang ternakan yang melata di bumi bahkan  lebih teruk lagi kerana binatang ternakan tidak memudaratkan sedangkan munafik dan musyrik memudaratkan aqidah manusia.

Ini kerana mereka tidak memikirkan beza antara hak dan batil, baik dan buruk, petunjuk dan kesesatan, Islam dan kekufuran; seolah-olah mereka tidak mempunyai deria rasa terhadap manfaat, faedah dan kebaikan yan diperolehi hasil daripada ketaatan itu.

2.PENGAJARAN

Ayat-ayat di atas mengandungi dua pengajaran penting:

  • Taat Allah dan RasulNya
  • Peringatan agar tidak menyalahi perintah dan larangan Allah dan rasul.

Tiga golongan yang ditujukan oleh Allah azza wa jalla sebagai ‘seburuk-buruk binatang melata” ialah seperti berikut:

1.Munafik-mereka yang menzahirkan keimanan tetapi menyembunyikan kekufuran dalam hati. Mereka buat-buat dengar suruhan Allah dan rasul tetapi hakikatnya mereka tidak mentadabbur dan tidak memahami sedikit pun.

2.Yahudi dan Nasrani –mereka suka mempertikaikan kebenaran yang datang dari Nabi Muhammad s.a.w. Mereka inilah yang disifatkan dalam ayat tersebut sebagai “pekak telinga” kerana mereka meniadakan fungsi akal daripada memikirkan dan bercita-cita dengan kebenaran Islam.

3.Musyrik-mereka merupakan golongan yang keras kepala (kafir Inad)kerana tidak mahu dengar kata-kata Nabi Muhammad s.a.w. selama-lamanya, bahkan menyekat orang lain dari mendengar al Qur’an dan sabda rasulullah s.a.w. serta membuta tuli ikut kepercayaan nenek moyang mereka.

عن ابي نخيح العرباض بن سارية رضي الله عنه قال وعظنا رسول الله (صلي الله عليه وسلم) موعظة وجلت منها القلوب و ذرفت منها العيون فقلنا يا رسول الله كأنها موعظة مودع فأوصنا. قال أوصيكم بتقوى الله و السمع والطاعة وان تأمر عليكم عبد فان من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتس وسنة الخلفاء الراشدين المهديين عضوا عليها بالنواجز اياكم ومحدثات الأمور فان كل بدعة ضلالة

رواه أبو داود و الترمذي

Maksudnya:

Dari Abi Najih bin Al-Irbadh bin Sariyah, katanya : ” Rasulullah SAW telah memberikan suatu nasihat kepada kami yang menggeletarkan hati dan menitiskan air mata. Maka kami berkata kepadanya : ‘ Wahai Rasulullah, seolah-olah ini suatu nasihat yang terakhir, maka berikanlah kepada kami suatu pesanan. ‘ Sabda Rasulullah SAW : ‘ Saya berpesan kepada kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah Azza wajalla serta mendengar dan taat sekalipun kepada seorang hamba yang memerinta kamu. Sesungguhnya orang-orang yang masih hidup di antara kamu akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan dan sunnah Khalifah Ar-Rasyiddin Al-Mahdiyyin yang beroleh petunjuk ( daripada Allah ) dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu ( berpegang teguh dengannya dan jangan dilepaskan sunnah-sunnah itu ).
Dan jauhilah kamu dari perkara-perkara yang diadakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bida’ah itu menyesatkan. ‘

(Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Sifat sabar – Sinar menyuluh jalan

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
SELEPAS Allah menempelak golongan yang menyeru manusia berbuat kebaikan, sedangkan melupakan diri sendiri, Allah menegur mereka “Apakah kamu berakal di atas perlakuan mereka tersebut”. Kemudian Allah mengajar orang-orang yang beriman supaya membetulkan permohonan dalam pertolongan hanya semata-mata kepada Allah sebagaimana yang diikrarkan oleh seorang hamba mukmin ketika bermunajat dalam solatnya tatkala ia melafazkan al-Fatihah seperti ayat kelima yang bermaksud “Hanya kepada Engkau kami beribadat dan hanya kepada Engkau sahaja kami meminta pertolongan.”

Al-Imam al-Fakhr ar-Razi di dalam tafsirnya berkata: “Ulama telah khilaf apakah ayat ini ditujukan kepada orang beriman atau yang lain?” Katanya, yang lebih dekat bahawa ia ditujukan kepada Bani Israel. Tafsiran meminta tolong ini dinyatakan di dalam ayat ini sebagaimana firman Allah Taala.

DAN MINTALAH PERTOLONGAN (KEPADA ALLAH) DENGAN JALAN SABAR DAN MENGERJAKAN SEMBAHYANG. DAN SESUNGGUHNYA SEMBAHYANG ITU AMATLAH BERAT KECUALI KEPADA ORANG-ORANG YANG KHUSYUK. (Surah al-Baqarah ayat 45)

Firman Allah Taala `Dan mintalah pertolongan (kepada Allah)’, iaitu mintalah pertolongan atas segala urusan kamu. Al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil berkata: “Iaitu segala bala yang terkena ke atasmu, dan ada pendapat yang mengatakan bahawa maksudnya ialah meminta akhirat.”

`Dengan jalan sabar’, iaitu dengan menanggung segala masyaqqah (kesusahan) dan segala kesukaran terhadap jiwa daripada segala taklif syarak.

Imam Ibn al-Jauzi di dalam Zad al-Masir berkata: “Asal perkataan sabar ialah menahan. Orang yang bersabar yang menahan dirinya daripada sesuatu perkara. Justeru, dinamakan orang yang berpuasa sebagai orang yang bersabar kerana menahan dirinya daripada makan, minum dan jimak. Sebab itu Imam Mujahid menafsirkan sabar di sini dengan maksud puasa.

Dan manusia diperintahkan untuk bersabar di sini dengan tiga pendapat:

Pertama: Bersabar dalam menunaikan segala fardu dan kewajipan. Inilah pendapat Ibn Abbas dan Muqatil.

Kedua: Bersabar dalam meninggalkan segala maksiat. Inilah pendapat Qatadah.

Ketiga: Bersabar dengan tidak berebut jawatan. Ia ditujukan kepada Ahli Kitab.

Sedangkan as-Syaukani melalui tafsirnya, Fath al-Qadir berkata: “Yang dimaksudkan di sini, ialah kamu mintalah pertolongan dengan menghalang jiwamu daripada mengikut nafsu syahwat dan hanya melakukan ketaatan, di samping menghalang daripada terkena perkara yang menyakitkan.” Beliau juga berkata: “Sabar di sini tidak dimaksudkan dengan sabar yang khusus, yang menafikan selainnya berdasarkan faedah adanya `alif’ dan `lam’ pada permulaan perkataan sabar daripada kesemua jenis sabar.

Syed Qutb menyebut dalam Fi Zilal al-Quran: “Perkataan `minta tolong dengan sabar’ banyak diulang-ulang kerana ia merupakan bekalan yang semestinya wujud dalam pertembungan dengan sebarang masyaqqah.”

Tiang

Begitu juga dengan `Dan mengerjakan sembahyang’, iaitu dengan solat yang menjadi tiang seri kepada agama. Syed Qutb berkata: “Sesungguhnya solat merupakan perhubungan dan pertemuan antara hamba dengan Tuhannya. Hubungan yang berlangsung merupakan kekuatan kepada hati, di samping roh. Justeru, kamu dapati jiwa yang mempunyai bekalan lebih `mahal’ daripada segala mata benda dunia. Dengan sebab itu, thabit dalam sunah Rasulullah s.a.w., apabila Baginda merasa gusar, Baginda akan segera menunaikan solat kerana ia merupakan hubungan yang kukuh lagi mantap dengan Tuhannya di mana roh akan sampai dengan wahyu dan ilham. Dan sentiasalah pancaran seperti ini berlaku pada setiap orang yang beriman, yang menghendaki bekalan untuk jalannya dan boleh menghilangkan dahaganya dalam suasana yang panas, menambahkan bantuan ketika terputusnya dan lain-lain.

As-Samarqandi dalam Bahr al-`Ulum berkata: “Minta tolong dengan sabar dalam menunaikan segala fardu dan dengan membanyakkan solat dalam menghapuskan segala dosa.” Al-Fakhr ar-Razi berkata: “Yang dimaksudkan dengan sabar ialah puasa. Dan apabila disandarkan kepada solat, sudah tentu bercahaya hati dengan segala nur makrifah Allah. Dan sesungguhnya didahulukan puasa (sabar) daripada solat kerana kesan puasa menghilangkan segala yang tidak sepatutnya. Sedangkan kesan solat menghasilkan apa yang sepatutnya. Justeru, penafian hendaklah didahulukan daripada pengisbatan (penetapan). Kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa sebagai perisai dari neraka.” Sedangkan firman Allah pula: “Sesungguhnya solat dapat mencegah daripada akhlak yang keji dan kemungkaran.”

Betapa besarnya solat sehingga Allah menutup ayat dengan kenyataan-Nya “Dan sesungguhnya (sembahyang itu).” Ibn al-Jauzi berkata: “Terdapat tiga pandangan ulama berhubung ganti nama pada ayat ini.

Pertama: Bahawa ia bermaksud solat. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, Mujahid dan Jumhur.

Kedua: Iaitu pertolongan sebagaimana pada awalnya disebut kalimah meminta tolong. Inilah pendapat Muhammad Ibn al-Qasim an-Nahwi.

Ketiga: Ia bermaksud Kaabah dan kiblat kerana apabila disebut solat ia menunjukkan ke arah kiblat seperti yang disebut oleh ad-Dhahhaq daripada Ibn Abbas dan Muqatil.”

`Amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk’. Mereka yang benar-benar tawaduk dan tenang yang menjadikan jiwa-jiwa mereka bersih semata-mata kerana Allah sahaja, yang dapat mendirikan solat dengan sebaik-baiknya.

Syeikh Abdur Rahman as-Sa’di berkata di dalam tafsirnya, Taisir al-Karim ar-Rahman: “Dan sesungguhnya ia adalah jalan yang mudah ke atas mereka kerana khusyuk, takut kepada Allah, berharap sesuatu yang ada di sisi-Nya, dan mewajibkan baginya segala arahan, boleh melapangkan dadanya kerana sentiasa bermuraqabah untuk mendapatkan pahala, di samping takut terhadap hukuman dan balasan. Berlainan pula dengan mereka yang tidak bersifat khusyuk, sudah tentu tiada pendorong ke arah kebaikan dan kebajikan. Dan kalau dilakukannya sekalipun, pasti ia membebankan.

Suci

Al-Imam an-Nawawi memasukkan dalam Matan al-Arba`in, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Malik al-Harith bin `Asim al-Asy`ari r.a. katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w.: “Suci itu sebahagian iman, dan Alhamdulillah memenuhi timbangan. Subhanallah dan Alhamdulillah kedua-duanya memenuhi ruang antara langit dan bumi. Sembahyang itu cahaya dan sedekah itu keterangan. Sabar itu sinaran, al-Quran itu hujah (dalil) bagimu dan atasmu. Sekalian manusia itu pada waktu pagi ada orang yang menjual dirinya, lalu dimerdekakannya atau dibinasakannya.” (Riwayat Muslim).

Selepas Rasulullah s.a.w. menerangkan tentang kesucian dan pujian yang memenuhi timbangan, begitu juga dengan tasbih, Baginda menerangkan lagi berhubung sembahyang, sedekah dan sabar. Di antara lain katanya: “Bahawa sembahyang itu adalah cahaya.” Iaitu cahaya yang menerangkan jalan hidup yang sebenarnya, cahaya bagi orang yang mengerjakannya di dunia dan akhirat. Dan Rasulullah s.a.w. pernah menerangkan: “Bahawa sesiapa yang memelihara sembahyang, baginya cahaya, alasan dan pelepasan pada Hari Kiamat. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya, tiadalah cahaya baginya, tidak ada juga alasan dan pelepasan, dan pada Hari Kiamat dia bersama Firaun, Haman, Qarun dan Ubai bin Khalaf.”

Empat orang yang disebut itu adalah ketua orang-orang kafir, dan orang yang meninggalkan sembahyang adalah bersama mereka. Oleh kerana itu sekiranya dia meninggalkannya kerana perniagaannya, dia akan bersama Ubai bin Khalaf. Jika dia meninggalkannya kerana kerajaan atau kekuasaannya, maka dia bersama Firaun. Kalau ditinggalkannya kerana harta-bendanya maka ia bersama Qarun, dan kalau kerana ketuanya, maka ia bersama Haman.

Cahaya

Setelah Rasulullah s.a.w. mengatakan bahawa sembahyang adalah cahaya, sebaliknya tiada sembahyang tiada cahaya, maka diterangkan pula: Bahawa sedekah, iaitu terujinya iman dan terbukti keterangan dan dalil adanya zakat harta benda atau wang ringgit, satu-satunya mata benda yang sangat-sangat dicintai oleh seseorang. Sekiranya seseorang dapat mengeluarkan zakatnya dengan ikhlas, tanda imannya masih kuat. Kalau tidak, itulah alamat kekurangannya tetapi dia tidak merasakannya. Apa yang dirasanya ialah kekurangan harta benda atau wang ringgit yang dikeluarkan zakatnya saja.

Setelah itu diterangkan sifat sabar. As-Sabr kata Rasulullah s.a.w. adalah dhiya’, ertinya sinaran yang menyuluh jalan yang akan ditempuh. Bagaimana sulit sekalipun, jalan itu akan dapat dilalui dengan sabar. Sabar ertinya tahan menempuh sesuatu yang sukar. Sabar yang terpuji adalah sabar mengerjakan taat kepada Allah, menjauhi segala maksiat yang dilarang-Nya dan sabar atas segala takdir-Nya. Tetapi antara sifat sabar itu, maka sifat sabar kerana mengerjakannya dengan taat dan meninggalkan maksiat adalah sabar yang lebih utama. Ia lebih utama daripada sabar atas segala takdir yang amat susah dan menggelisahkan perasaan, sebagaimana yang diterangkan pada hadis daripada Saidina Ali yang bermaksud:

“Sesungguhnya sabar atas sesuatu maksiat dituliskan kerananya untuk seorang hamba sebanyak tiga ratus darjat. Dan sesungguhnya sabar atas sesuatu ketaatan dituliskan kerananya enam ratus darjat, dan sesungguhnya sabar (menahan diri) daripada segala maksiat dituliskan kepadanya sembilan ratus darjat.” (Hadis marfu’ dengan sanad yang daif).

Sementara itu, ada pula tiga macam sifat sabar yang terhimpun pada suatu ibadat. Misalnya ibadat puasa. Padanya didapati sifat-sifat:

* Sabar mengerjakan taat kepada Allah.

* Sabar daripada melakukan maksiat kepada-Nya. Ini kerana orang yang berpuasa meninggalkan syahwatnya kerana Allah, sesuai dengan maksud hadis yang menegaskan, “Bahawa tiap-tiap amal anak Adam adalah baginya, kecuali puasa. Kerana sesungguhnya puasa adalah bagi-Ku dan Akulah pula yang akan membalasnya.ni kerana dia meninggalkan syahwatnya, makanannya dan minumannya kerana Aku.

* Sabar atas segala takdir kesusahan lapar dan dahaga selama puasa. Dan kerana ini Rasulullah s.a.w. menamakan bulan puasa sebagai `bulan sabar’.

Semoga Allah menggolongkan kita semua termasuk di kalangan orang-orang mukmin yang bersifat meminta tolong dengan sabar, solat dan juga bersifat khusyuk. Amin.